Nuffnang Advertisment

Friday, 29 June 2012

KESAN-KESAN PENGISYTIHARAN DARURAT DI TANAH MELAYU

Anggota Home Guard

A)    PENGENALAN ( 3 MARKAH)

1.     Selepas Perang Dunia ke-2 tamat, Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengambil kesempatan untuk menguasai politik Tanah Melayu melalui cara perlembagaan tetapi telah gagal.

2.     Lantaran itu PKM telah mengubah corak perjuangan mereka secara militan. Pada tahun 1948, PKM mengambil keputusan untuk melancarkan revolusi bersenjata untuk menggulingkan pemerintahan British dan menubuhkan Republik Komunis Tanah Melayu.

3.     Keganasan yang dilakukan oleh PKM telah memaksa pihak British mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 15 Julai 1948 yang bertujuan menghapuskan pemberontakan komunis di Tanah Melayu. Zaman darurat ini telah meninggalkan pelbagai kesan kepada seluruh penduduk Tanah Melayu dari aspek politik, ekonomi dan sosial.


B)    ISI (20 MARKAH)

1.     Kesan Politik

(a)    Kerajaan British telah membuat keputusan untuk mempercepatkan pemberian kemerdekaan kepada Tanah Melayu kerana kerajaan mendapati rakyat Tanah Melayu semakin menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran British. Selain itu, kerajaan juga ingin mendapat sokongan rakyat supaya tidak memihak kepada komunis. Perikatan UMNO-MCA di bawah pimpinan Tunku Abd. Rahman memainkan peranan yang penting dalam proses mencapai kemerdekaan. Hasil rundingan di London, Tanah Melayu diberi kemerdekaan pada tahun 1957.

(b)    Pengisytiharan darurat menyebabkan aktiviti politik di Tanah Melayu tergendala terutamanya dari parti politik berhaluan kiri. Parti-parti politik berhaluan kiri yang dilihat bersimpati dengan PKM telah diharamkan oleh kerajaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan MDU. Manakala pemimipin-pemimpinnya pula ditangkap dan dipenjarakan seperti Ahmad Boestaman dan Ishak Hj. Muhammad. Terdapat juga parti-parti politik yang bersifat sederhana terpaksa dibubarkan akibat tekanan daripada kerajaan British. Contohnya, sebilangan besar pemimpin Hizbul Muslimin yang berpusat di Gunung Semanggol ditangkap oleh kerajaan British dengan menggunakan peruntukkan di bawah Undang-undang Darurat, 1948. Namum, kerajaan British masih lagi membenarkan parti politik berhaluan sederhana seperti UMNO, MCA dan MIC meneruskan kegiatan mereka.

(c)    Pada tahun 1949, pemimpin-pemimpin orang Cina dalam Majlis Perundangan Persekutuan terutamanya Datuk Tan Cheng Lock telah memainkan peranan penting dalam penubuhkan Malayan Chinese Association (MCA) pada tahun 1949. Tujuan penubuhan MCA adalah untuk membuktikan bahawa bukan semua orang Cina menyokong PKM. Penubuhan MCA ini telah dapat mengubah sikap orang Cina terhadap ideologi komunisme dan mereka telah menyokong kerajaan serta banyak membantu kerajaan dari segi memberi pertolongan kepada setinggan-setinggan yang dipindahkan ke kampung-kampung baru.

(d)    Kerajaan British juga telah mengambil beberapa langkah iaitu mengadakan Pilihan Raya Perbandaran George Town di Pulau Pinang (1951), Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur (1952) dan pilihan raya Persekutuan (1955). Dalam pilihan raya Persekutuan, perikatan UMNO-MCA-MIC membentuk kerajaan apabila memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan tersebut mengambarkan rakyat Tanah Melayu telah bersedia untuk merdeka. Kerajaan British telah memulakan rundingan kemerdekaan dan akhirnya Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

(e)    Sistem Ahli juga telah diperkenalkan pada tahun 1951-1952 oleh British sebagai langkah kearah berkerajaan sendiri. Ahli-ahli dipilih daripada pelbagai kaum bertujuan untuk mewujudkan kerjasama daripada pelbagai kaum. Melalui Sistem Ahli  mereka diberi tanggungjawab dalam jabatan pentadbiran sebagai persediaan untuk berkerajaan sendiri.

(f)     Darurat juga telah menyebabkan Persekutuan Tanah Melayu terpaksa menandatangani satu perjanjian pertahanan dengan kerajaan Inggeris selepas merdeka. Perjanjian pertahanan ini perlu kerana  Persekutuan Tanah Melayu tidak mempunyai kekuatan tentera yang cukup untuk menentang komunis. Perjanjian pertahanan ini telah menyebabkan wujudnya kecaman dan kritikan bahawa Persekutuan Tanah Melayu tidak merdeka sepenuhnya kerana masih bergantung kepada kerajaan Inggeris walaupun telah merdeka.


2.     Kesan Ekonomi

(a)    Kerajaan juga terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk untuk membendung komunis. Kerajaan membelanjakan sebanyak $250 000 hingga $300 000 setiap hari bagi tujuan keselamatan untuk menghapuskan komunis. Sepanjang tempoh pengisytiharan darurat kerajaan membelanjakan sebanyak $136.2 juta untuk pertahanan dan sebanyak $721.9 juta untuk memperlengkapkan pasukan keselamatan. Jumlah ini belum diambil kira peruntukkan kerajaan untuk membangunkan kampung-kampung baru di bawah Rancangan Briggs. Perbelanjaan yang besar ini telah menimbulkan beban kewangan kepada kerajaan iaitu sehingga tahun 1953, Tanah Melayu mengalami defisit belanjawan sebanyak $1.46 juta. Kedudukan kewangan yang terbatas ini telah menyukarkan kerajaan untuk membangunkan semula ekonomi Tanah Melayu.

(b)    Pengganas komunis telah bertindak merosakkan landasan kereta api, jalan raya, lombong bijih timah, menyerang kenderaan awam dan menetak beribu-ribu batang pokok getah. Sabotaj yang dilakukan oleh komunis ini bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu. Akibat tindakan komunis ini, kerajaan telah mengisytiharkan darurat dengan mengadakan sekatan jalan raya dan perintah berkurung yang sering kali menganggu kelicinan urusan perdagangan Tanah Melayu. Keadaan politik Tanah Melayu yang bergolak ini menyebabkan pelabur-pelabur tidak berani melabur modal di Tanah Melayu.

(c)    Usaha-usaha membanteras darurat yang dijalankan oleh kerajaan British telah meninggalkan kesan yang teruk terhadap ekonomi Tanah Melayu. Rakyat hidup tertekan kerana tidak dapat menjalankan kegiatan ekonomi yang disebabkan undang-undang darurat. Rakyat menderita dan sengsara akibat keganasan komunis sepanjang darurat. Ladang, lombong dan balai polis menjadi sasaran serangan komunis, disamping terdapatnya serangan ke atas pegawai keselamatan dan orang awam. Kerajaan pula terpaksa menumpukan usaha membanteras pengganas komunis, keadaan ini menyebabkan pengeluaran hasil bumi dan eksport Tanah Melayu terjejas.

(d)    Di bawah Rancangan Briggs, kerajaan telah memindahkan penduduk-penduduk Cina yang tinggal di kawasan luar bandar dan pinggir hutan ke kampung-kampung baru. Kampung baru ini dilengkapi dengan semua kemudahan, dipagari dan dikawal rapi.  Dianggarkan seramai satu hingga dua juta orang dipindahkan di bawah Rancangan Briggs. Kerajaan juga telah membelanjakan sebanyak $7 juta pada tahun 1950 dan meningkat kepada $155 juta pada tahun 1954. Peruntukan ini telah menjadi beban kepada kerajaan kerana ekonomi Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua berada di dalam keadaan muflis.

(e)    Kerajaan telah menubuhkan Rural Industri Development Authority (RIDA) pada tahun 1950 yang bertujuan memajukan ekonomi dan pendidikan masyarakat luar bandar khususnya orang Melayu dan sebagai memenuhi tuntutan mengimbangi penubuhan kampung baru untuk orang Cina.


3.     Kesan Sosial

(a)    Kempen memerangi komunis dijalankan selama 12 tahun (1948-1960) yang menyaksikan rakyat hidup menderita keganasan komunis. Pelaksanaan undang-undang darurat seperti perintah berkurung amat menyusahkan hidup rakyat kerana tidak dapat menjalankan pekerjaan dan aktiviti harian mereka. Bekalan beras berkurangan kerana semakin banyak sawah  ditinggalkan oleh petani tanpa diusahakan. Begitu juga dengan padi huma dan kerja-kerja ladang yang lain seperti jagung, ubi dan pisang turut tidak dikerjakan bagi menambah bahan makanan. Kekurangan makanan ini telah menyebabkan kerajaan bertindak mencatukan  makanan dan catuan yang dikenakan ini menyebabkan rakyat terpaksa bergantung kepada ubi kayu dan keledek sama seperti dialami semasa zaman Jepun. Walaupun catuan makanan ini berjaya menyekat bekalan makanan daripada sampai kepada komunis, namum rakyat hidup menderita akibat kekurangan makanan.

(b)    Melalui undang-undang darurat, kerajaan boleh menahan sesiapa sahaja yang dianggap mengancam keselamatan negara atau disyaki bersubahat dengan komunis tanpa perlu dibicara di mahkamah. Orang ramai tidak dibenarkan berkumpul melebihi 5 orang di tempat terbuka tanpa mendapat kebenaran polis. Sesiapa yang membawa atau menyimpan senjata api tanpa permit boleh dihukum bunuh. Ramai penduduk terutama orang Cina ditangkap dan dipenjarakan, sebahagian daripada mereka dihantar pulang ke negara China.

(c)    Masalah perkauman antara orang Melayu dan orang Cina menjadi semakin serius. Orang Melayu menganggap semua orang Cina adalah komunis dan orang Melayu telah menyertai pasukan keselamatan untuk membanteras komunis. Oleh itu, tindakan memerangi komunis semasa darurat seolah-olah dilihat sebagai peperangan antara orang Melayu dengan orang Cina. Masalah perkauman yang tercetus ini telah memberi kesan penting ke atas kedudukan sosiopolitik di Tanah Melayu.

(d)    Ketegangan hubungan antara kaum Melayu dan Cina telah mendorong pemimpin-pemimpin seperti Dato’ Onn Jaafar, Dato’ E.E.C. Thuraisingham dan Datuk Tan Cheng Lock berusaha untuk meredakan ketegangan kaum dengan menubuhkan Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (JPAK) pada tahun 1949. Jawatankuasa ini diketuai oleh Dato’ E.E.C. Thuraisingham yang bertujuan untuk menjalin hubungan yang lebih baik antara penduduk yang berbilang kaum di Tanah Melayu.

(e)    Untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu terutamanya orang Cina bagi membanteras komunis, kerajaan telah melancarkan kempen “Memenangi Hati dan Fikiran Rakyat” dan melonggarkan syarat-syarat untuk mendapat kerakyatan Tanah Melayu pada tahun 1952. MCA dijadikan juru bicara kaum Cina dengan kerajaan. Langkah ini membolehkan seramai 1.2 juta orang Cina dan 180 000 orang India menjadi warganegara Tanah Melayu sehingga tahun 1957. Mereka juga diberi hak untuk memiliki tanah dan menikmati kemudahan pelajaran dan kesihatan di kawasan kampong-kampung baru. Dengan cara ini, kerajaan dapat memenangi hati dan fikiran orang Cina agar menyokong kerajaan.

(f)     Dasar Pelajaran Kebangsaan Tanah Melayu digubal untuk mewujudkan perpaduan dan persefahaman antara kaum Melayu, Cina dan India. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang digubal berasaskan Penyata Pelajaran Razak 1956, menetapkan kandungan sukatan pelajaran semua jenis sekolah mestilah berteraskan hal ehwal Tanah Melayu, Bahasa Melayu dijadikan bahasa penghantar utama di semua sekolah untuk mewujudkan persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di Tanah Melayu. Kerajaan merasakan perlunya kanak-kanak di Tanah Melayu dididik dengan ilmu pengetahuan yang boleh memupuk semangat cinta dan taat setia kepada tanah air.

(g)    Penubuhan Rancangan Briggs menyebabkan wujudnya ketidakseimbangan kependudukan kaum iaitu 86% penduduknya terdiri daripada orang Cina, 9% orang Melayu dan 4% orang India. Perubahan ini telah menyebabkan orang Cina tertumpu di kawasan bandar manakala orang Melayu kekal di kampung tanpa kemudahan moden seperti di kampung baru.


C)     KESIMPULAN (2 MARKAH)

1.     Darurat telah menimbulkan pelbagai kesan dan masalah kepada rakyat di Tanah Melayu. Namum usaha berterusan yang dilakukan oleh kerajaan dan usaha Tunku Abd. Rahman menuntut kemerdekaan telah menyebabkan komunis terpaksa mengaku kalah.

2.     Setelah darurat tamat pada tahun 1960, kerajaan telah menumpukan usaha untuk memajukan Tanah Melayu khususnya ekonomi dan sosial.




MASYARAKAT INDUSTRI DI JERMAN

Pengenalan

Masyarakat industri di Jerman lahir kesan daripada ledakan revolusi industri selepas di England pada 1860-an hingga 1914. Kesan daripada revolusi ini, kerajaan telah memberi tumpuan untuk memajukan kemudahan infrastruktur seperti sistem pengangkutan dan komunikasi. Kerajaan juga mewujudkan lebih banyak kilang bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

Pertambahan penduduk juga telah mewujudkan masyarakat yang berorientasikan industri seperti di kawasan Ruhr, Saxony, Silesia dan Berlin. Bilangan penduduk yang semakin ramai  telah membawa pertambahan dalam peluang pekerjaan di kawasan industri.

Longgokan sumber bahan mentah yang banyak juga menyumbang kepada perkembangan perindustrian di Jerman seperti arang batu, bijih besi, dan  bijih timah di Ruhr, Lorraine dan Silesia pada abad ke19.

Ciri-ciri masyarakat industri di Jerman

1.     Kemajuan dalam sistem pertanian

-      Kemajuan teknologi telah meningkatkan mekanisme dalam kegiatan pertanian seperti masalah pembajakan tanah dapat diatasi apabila traktor dicipta bagi menggantikan penggunaan kuda.

-      Kemajuan dalam pertanian juga menghasilkan kajian saintifik tentang tanah, misalnya melalui penemuan Humphry Davy (1802) tentang sumbangan ilmu kimia dalam mengatasi masalah kesuburan tanah dan tanaman. Pada tahun 1840 pula, saintis Jerman, Justus von Leibig telah menemui formula untuk menghasilkan baja tiruan (kimia)

-      Selain itu petani juga turut memperkenalkan sistem pertanian campuran iaitu menternak lembu dengan diselangi oleh penanaman bijirin khasnya jagung dan ubi kentang.

2.     Perkembangan perindustrian

-      Pembukaan lombong arang batu dan bijih besi di Saxony dan Silesia telah mendorong kepada kewujudan masyarakat industri.

-      Kemajuan dalam industri kulit melahirkan perubahan dalam gaya hidup

-      Kemajuan dalam industri tekstil khususnya di Berlin

-      Ciptaan-ciptaan baru mencetuskan inovasi baru dalam teknologi di Jerman seperti industri kimia dan elektrik.

3.     Kemajuan dalam sistem pengangkutan

-      Masyarakat industri di Jerman juga maju dalam sistem pengangkutan.

-      Kemajuan yang pesat dalam industri besi dan keluli telah membawa perkembangan dalam sektor pengangkutan khususnya dalam pembinaan jalan kereta api.

-      Borsig telah muncul sebagai pengeluar utama kereta api dan kemudian diikuti oleh pembinaan jalan kereta api ke bandar-bandar lain di Jerman.

4.     Perdagangan antarabangsa

-      Pada tahun 1870an berlaku perkembangan pesat dalam perindustrian di Jerman yang menyebabkan pertambahan dalam eksport sehingga mencetuskan masalah dalam memasarkan barangan dan mendapatkan lebih banyak sumber bahan mentah.

-      Daripada perkembangan tersebut, perluasan wilayah perlu dilakukan untuk meluaskan perdagangan dan berusaha mendapatkan tanah jajahan.

-      Pada tahun 1897, Jerman mempunyai hubungan perdagangan dengan China bagi mendapatkan arang batu serta membina pengkalan tentera di sana.

5.     Kemajuan dalam sistem kewangan

-      Pada tahun 1840an, Bank of Prussia menjalankan perniagaan perbankan sebagai join stock dalam pengeluaran kredit dan pelaburan kapital.

-      Sistem perbankan di Jerman dikawal oleh D Bank iaitu penggabungan empat buah bank utama di Jerman yang terdiri daripada Disconto Gesellschaft of Stuttgart (1851), Deutsche Bank (1870), Darmstadter Bank (1870) dan Dresdener Bank (1872)

-      Melalui sistem perbankan, membawa kemunculan kelas pengusaha industri baru pada abad ke 18 kerana mereka mendapat bantuan modal daripada bank.

-      Penyaluran modal tersebut membolehkan pihak bank mempunyai kuasa mengawal perusahaan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat industri.

-      Selain itu penubuhan kartel di Jerman juga membantu perkembangan industri apabila menguasai bekalan dan harga jualan bagi produk-produk.

6.     Dasar kerajaan

-      Kewujudan masyarakat industri di Jerman juga dirangsang oleh dasar kerajaan Jerman yang menubuhkan sekolah pertukangan dan teknikal untuk melahirkan ramai tenaga mahir.

-      Undang-undang insurans sosial juga dikuatkuasakan pada tahun 1883

-      Selain itu banyak pusat-pusat kesihatan dibina yang mana kos pembiayaan 2/3 ditanggung oleh oleh pekerja dan selebihnya oleh majikan

-      Kerajaan juga memanipulasi pengeluaran akhbar sebagai satu langkah mengawal pemikiran rakyat

-      Seterusnya kerajaan Jerman mengawal pengurusan perkilangan, firma, kartel dan bank-bank
 
-      Kerajaan Jerman fokus kepada kilang pengeluaran peralatan tentera dan senjata di Eropah.


Soalan-soalan Perbincangan :

1.      Bandingkan definisi dan ciri-ciri masyarakat industri di negara England dan Jerman antara abad ke-18 hingga abad ke-19

*Hasil Usaha Cg. Nazri, SMK Sri Aman



Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.