Nuffnang Advertisment

Thursday, 21 June 2012

BAHAGIAN B TEMA 2: DASAR ISOLASI DI JEPUN DAN SIAM

BANDINGKAN DASAR ISOLASI YANG DIAMALKAN DI JEPUN DAN SIAM SEHINGGA
PERTENGAHAN ABAD KE-19.

A.  PENGENALAN:

Dasar isolasi atau juga dikenali sebagai dasar pintu tertutup merujuk kepada pendirian sesebuah negara yang tidak membenarkan campur tangan dan kemasukan pengaruh luar khusus negara-negara Barat ke negara mereka. Tujuan dasar ini diamalkan adalah untuk mengelak campur tangan kuasa asing dalam sistem politik, ekonomi dan sosial. Antara negara di Asia yang mengamalkan dasar ini pada abad ke-19 ialah Jepun dan Siam. Dasar isolasi di Jepun diamalkan semasa pemerintahan Keshogunan Tokogawa manakala di Siam pula diamalkan oleh pemerintah daripada raja-raja Dinasti Chakri. Dasar ini telah ditamatkan di kedua-dua buah negara melalui perjanjian iaitu perjanjian Kanagawa di Jepun pada tahun 1854 dan perjanjian Bowring di Siam pada tahun 1855.


B.  ISI

1.  Dasar Isolasi di Jepun.

Jepun telah menjalankan dasar isolasi yang relatif dari dunia luar selama kira-kira 250 tahun. Shogun Tokogawa telah mengamalkan dasar isolasi sejak tahun 1638. Menurut dasar ini, orang Jepun dilarang menjalinkan hubungan perdagangan dengan kuasa-kuasa asing khasnya kuasa-kuasa Barat. Pedagang-pedagang luar juga tidak boleh berdagang di Jepun.

Boleh dikatakan bahawa sehingga tahun 1850-an tidak terdapat pedagang asing di Jepun kerana pada waktu itu, Jepun lebih menekankan perkembangan ekonomi dalaman sahaja.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Jepun mengamalkan dasar isolasi iaitu:

i.    Wujudnya perasaan syak wasangka terhadap kejujuran pihak Barat. Jepun bimbang kemungkinan besar kuasa-kuasa Barat akan menggunakan kesempatan untuk melibatkan diri dalam politik tempatan.

ii.   Perkembangan agama Kristian akan dijadikan landasan oleh orang Barat untuk menjatuhkan dan melemahkan kerajaan Jepun dan masyarakat tempatan.

iii.  Jepun berasa bahawa mereka tidak perlu bergantung kepada orang Barat kerana mereka tidak memerlukan barangan dari luar. Sistem ekonomi sara diri yang dilaksanakan oleh mereka lebih daripada mencukupi untuk keperluan masyarakat Jepun.

iv.  Orang-orang asing juga dikatakan kerap kali mencetuskan masalah dan huru-hara di Jepun yang dianggap boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara.

v.   Kerajaan Jepun juga bimbang pembesar-pembesar seperti Daimyo Tozama dan Ronin yang tidak berpuas hati akan meminta bantuan senjata dan askar dan luar untuk menentang kerajaan.

Berpunca daripada faktor-faktor tersebut akhirnya Jepun mula menyekat kemasukan orang-orang Barat ke Jepun. Malah mubaligh-mubaligh Kristian yang ketika itu berada di Jepun telah diusir keluar.

Rakyat tempatan turut dilarang melawat ke negara-negara luar terutamanya negara-negara Barat. Tindakan ini jelas membuktikan amalan dasar isolasi Jepun.

Pada tahun 1825, Syogun telah mengeluarkan satu perintah bahawa jika kapal-­kapal asing menghampiri mana-mana bahagian Jepun pada bila-bila masa penduduk Jepun akan mengusir mereka keluar. Sekiranya mereka mendarat, mereka akan ditawan, dibunuh dan kapal mereka akan dimusnahkan.

Walau bagaimanapun, dasar isolasi ini juga tidak dapat bertahan lama. Terdapat beberapa percubaan oleh kuasa-kuasa Barat bagi mengubah dasar luar Jepun. Sebagai contoh Amerika Syarikat telah cuba menjalinkan hubungan persahabatan dengan Jepun pada pertengahan abad ke-19. Pada tahun 1853, Amerika Syarikat telah menghantar perutusan yang besar di bawah Komoder Matthew Perry.

Utusan Perry menekankan aspek persahabatan dan perdamaian tetapi menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan menggunakan kekerasan sekiranya Jepun masih menganggap Amerika Syarikat sebagai musuhnya.

Walaupun Maharaja, pembesar istana dan daimyo menentang permintaan Amerika Syarikat tetapi mereka sedar jika permintaan-permintaan Amerika Syarikat tidak dipenuhi, Jepun akan menerima nasib yang sama seperti negara China iaitu akan kehilangan kedaulatan negaranya.

Akhirnya, Perjanjian Kanagawa telah ditandatangani pada 31 Mac 1854 antara Jepun dan Amerika Syarikat. Perjanjian ini sekaligus telah menamatkan dasar isolasi yang diamalkan oleh Jepun. Mengikut perjanjian ini, Jepun dikehendaki membuka 2 buah pelabuhannya iaitu Shimoda dan Hakodate, menerima seorang konsul Amerika yang akan ditempatkan di Shimoda, Jepun dikehendaki memberi layanan yang baik dan adil kepada mana-mana kelasi kapal Amerika terkandas di Jepun dan kuasa Amerika mesti diberi keutamaan layanan.


2.  Dasar isolasi Siam

Siam mengamalkan dasar tutup pintu sejak pengasasan Dinasti Chakri oleh Jeneral Chakri (Raja Rama I) pada tahun 1782. Siam enggan mengadakan hubungan persahabatan dan perdagangan dengan kuasa-kuasa Barat atas beberapa alasan iaitu:

i.         Mempunyai segala keperluan yang mencukupi dan tidak memerlukan sebarang barangan kecuali senjata. Thailand hanya berminat berdagang dengan China.

ii.    Bimbang kuasa Barat akan cuba mengambil kesempatan campur tangan dalam politik tempatan dengan memihak kepada Burma, Vietnam dan Kemboja yang sedang berperang dengan Thailand.

Raja Rama II (1809- 1824) mengadakan hubungan yang terhad dengan kuasa Barat. Raja Rama II mengadakan hubungan perdagangan dengan Portugis menerusi perjanjian dengan Carlos Manuel Silveria pada tahun 1818 di bawah kawalan Siam. Usaha Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk mendapatkan kebenaran perdagangan tidak dilayan oleh Raja siam.

Keadaan politik di negeri-negeri Melayu Utara naungan Siam memaksa Siam berhubung dengan kuasa Barat terutamanya British. Siam telah campur tangan dalam hal ehwal politik di Kedah pada tahun 1818 dengan memaksa Sultan Kedah iaitu Sultan Ahmad Tajuddin menyerang Perak yang enggan menghantar bunga emas ke Siam. Sultan Kedah terpaksa menyerang Perak untuk mengelakkan serangan oleh Siam.

Sekitar tahun 1821, Siam sekali lagi campur tangan di Kedah apabila Kedah bersekutu dengan Burma menentangnya. Siam bertindak menghantar satu pasukan tentera untuk menyerang Kedah. Sultan Ahmad Tajuddin melarikan diri ke Pulau Pinang untuk meminta perlindungan dan bantuan tentera British. Kesan daripada tindakan Siam, British menghantar John Crowford ke Siam pada tahun 1822 untuk mengadakan hubungan perdagangan dengan Siam. Utusan John Crowford mengalami kegagalan kerana Raja Rama II enggan mengadakan sebarang perjanjian perdagangan dengan kuasa Barat.

Raja Rama III (1824-1851) terpaksa melonggarkan dasar tutup pintu untuk mengelakkan Siam kehilangan wilayah kepada kuasa Barat. Perubahan sikap ini disebabkan meletusnya Perang British-Burma I dan hubungan Inggeris-Siam dengan Negeni-negeri Melayu Utara.

Kesan Perjanjian Yandabo yang menamatkan Perang British-Burma I pada tahun 1826 merugikan Burma dan juga mengancam keselamatan Siam. Raja Rama III bimbang akan menerima nasib yang sama dengan Burma jika Siam degil dan terus mengamalkan dasar tutup pintu.

Baginda melonggarkan dasar pemencilan untuk mengurangkan alasan campur tangan British di wilayah-wilayahnya di Negeri- negeri Melayu Utara. Raja Rama III merintis jalan dengan mengadakan hubungan persahabatan dan perdagangan dengan kuasa British di Pulau Pinang dengan menandatangani Perjanjian Burney pada 20 Jun 1826.

Namun, dasar buka pintu Raja Rama III tidak kekal lama khususnya selepas kekalahan China dalam Perang Candu Pertama (1839-1842). Malahan Siam tidak memperoleh sebarang keuntungan melalui perdagangan dengan kuasa Barat. Justeru Rama III mengubah dasar politiknya dan menghadkan semula hubungannya dengan kuasa- kuasa Barat dengan mengamalkan dasar isolasi.

Sekatan perdagangan dengan mengenakan beberapa cukai baru terhadap barang­-barang dan luar dan mengawal eksport barangannya. Contohnya, cukai gula dinaikkan kepada hampir 40%. Walau bagaimanapun, usaha kuasa-kuasa Barat untuk membuka pintu Siam berterusan. Pada tahun 1850-an, Britain dan Amerika Syanikat cuba mengadakan perdagangan. Utusan British diketuai oleh James Brooke sementara Amerika Syarikat diwakili Joseph Ballestier ke Siam. Kedua-­dua utusan itu gagal memperoleh sebarang hak wilayah dan perdagangan di Siam.

Raja Mongkut (1851-1868) menyedari kuasa-kuasa Barat sedang meningkatkan usaha memperluas lingkungan pengaruh masing-masing. Tindakan ini mengancam tindakan kedaulatan Siam. Pencerobohan British di Burma dan China membimbangkan kemerdekaan Siam. Raja Mongkut merasakan langkah-langkah positif perlu diambil untuk mengelakkan Siam daripada pencerobohan kuasa­-kuasa Barat.


C.   Kesimpulan

Perjanjian Kanagawa 1854 telah membuka jalan kepada beberapa perjanjian dengan kuasa-kuasa barat yang lain seperti Britain, Rusia dan Belanda. Perjanjian ini merintis kepada pemodenan Jepun di bawah pemerintahan Maharaja Meiji. Jepun telah mengamalkan dasar pintu terbuka melalui hubungan perdagangan dan diplomatik dengan kuasa-kuasa Barat selepas pertengahan abad ke-19. Bagi negara Siam pula, perjanjian Bowring 1855 menunjukkan keterbukaan Raja Mongkut atau Rama IV terhadap kedatangan kuasa-kuasa barat di Siam. Sikap keterbukaan ini telah menyelamatkan Siam dari dijajah oleh kuasa-kuasa barat.

* Soalan Percubaan Kelantan




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.