Nuffnang Advertisment

Followers

Tuesday, 12 June 2012

MASYARAKAT INDUSTRI DI ENGLAND

Pengenalan

Map of EnglandPada umumnya, revolusi perindustrian bermaksud proses perubahan sebuah ekonomi yang mudah kepada satu ekonomi yang kompleks. Revolusi perindustrian berlaku dalam 2 tahap iaitu tahap pertama berlaku di England pada tahun 1760 hingga tahun 1860. Manakala tahap kedua pula revolusi perindustrian telah berkembang ke bahagian barat benua Eropah, Amerika Syarikat, Rusia dan Jepun antara tahun 1860-an hingga tahun 1914.

Revolusi perindustrian  mempunyai beberapa maksud seperti perubahan pesat dalam kaedah pengeluaran barangan selain pertanian. Ia juga mempunyai pengertian lain iaitu melibatkan proses perubahan dalam industri, dalam bidang penggunaan sumber tenaga, bidang sosial dan intelektual. Perubahan ini melibatkan penghasilan barangan daripada penggunaan tangan kepada penggunaan mesin pengeluaran dan proses kimia.

Menurut Straubhaar dan LaRose , masyarakat industri wujud  selepas berlakunya Revolusi Industri yang dikaitkan dengan penemuan mesin wap di Eropah (Britain) pada tahun 1712. Masyarakat industri mengalami perubahan yang pesat dalam bidang ekonomi iaitu dari kegiatan ekonomi agraria  kepada ekonomi industri yang penggunaan mesin dalam memproses bahan mentah menjadi barangan siap atau barangan kilang.

Perkembangan revolusi ini telah mencetuskan sistem ekonomi kapitalisme iaitu satu sistem ekonomi yang berasaskan pemilikan secara persendirian ke atas aset-aset kilang yang dianggap sebagai modal. Revolusi Perindustrian juga memperlihatkan England berubah daripada negara agraria (pertanian) kepada negara perindustrian serta menyebabkan berlakunya pertumbuhan kadar urbanisasi yang pesat dan pertambahan penduduk yang tinggi.

Revolusi Perindustrian yang berlaku juga membawa kepada pengenalan kuasa jentera, sistem kilang dengan pengeluaran yang berlibat ganda, pengumpulan modal yang memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan berlakunya pertambahan bilangan kelas pekerja serta kelas pertengahan baru yang terdiri daripada pemilik kilang, saudagar, peniaga, ahli-ahli bank, doktor, peguam dan jurutera.

Faktor-Faktor Yang Mendorong Tercetusnya Revolusi Perindustrian di England.

1.      Berlakunya perkembangan pesat dalam sektor pertanian telah menambahkan pengeluaran makanan di England.

2.      Perkembangan industri tekstil yang merupakan perusahaan tertua di England telah mendorong pengambilan beribu-ribu tenaga kerja untuk menghasilkan barangan tekstil.

3.      Revolusi ini juga berlaku kerana England mempunyai modal yang banyak yang dipusatkan di Bank England dan juga mempunyai bahan mentah yang banyak seperti arang batu dan bijih timah.  Bekalan bahan mentah ini juga dibekalkan oleh empayar England di luar negara.

4.      Di England juga berlaku pertambahan penduduk turut menyumbang kepada bekalan tenaga buruh yang tinggi untuk kilang dan pasaran yang tersedia sama ada dalam negara dan empayar luar England.

5.      England juga mempelopori perindustrian di Eropah kerana mempunyai hasil kekayaan yang dikumpul daripada pengamalan dasar mekantilisme. England juga muncul sebagai negara yang pertama berlaku revolusi perindustrian kerana tidak mendapat persaingan daripada negara-negara Eropah yang lain seperti Perancis dan Jerman.

6.      Pada abad ke-18, England mengamalkan satu bentuk sistem aristokrat yang terbuka iaitu golongan aristokrat (bangsawan) diberi keistimewa yang banyak, memiliki kekayaan dan pengaruh politik. Di bawah sistem terbuka ini golongan pedagang diterima secara terbuka dan mempunyai hubungan yang rapat antara kedua-duanya.

7.      Golongan puritan merupakan sebahagian kecil golongan agama bermazhab protestan yang tidak berpuas hati  dengan gereja Anglican (gereja kebangsaan di England) terhadap pengekalan amalan dan sifat gereja tradisional Kristian. Golongan ini turut membantu perkembangan rovolusi perindustrian di England dengan melabur sejumlah wang dalam industri. Mereka juga memperkenalkan kemajuan sains dan teknologi dalam bidang industri.

8.      Penciptaan baharu dalam revolusi pertanian seperti mesin menyemai benih, mesin pembajak Rotterham, jentera berkuasa wap dan mesin memukul yang menggunakan kuasa wap telah mendorong berlakunya revolusi perindustrian di England. Penciptaan mesin-mesin ini telah dapat mengurangkan penggunaan tenaga manusia dan meningkatkan hasil pertanian seterusnya hasil yang berlebihan ini dijadikan sebagai sumber bahan mentah dalam sektor industri.


Ciri-Ciri Masyarakat Industri di England

1.     Kemajuan dalam sistem pertanian
-      Sistem pertanian yang berkonsepkan pemagaran tanah untuk mengasingkan kawasan tanah yang dimiliki di antara individu. Kesannya antara tahun 1761 hingga 1793, hampir 5 juta ekar tanah telah dipagar melalui Akta Pemagaran Tanah.
-      Sistem Tanaman Bergilir Norfolk telah diperkenalkan pada akhir abad ke-18. Dalam sistem ini tanah pertanian  akan digunakan sepanjang tahun melalui penanaman secara bergilir-gilir dengan jenis tanaman yang berlainan seperti lobak, gandum, barli dan rumput. Kaedah ini dapat megekalkan kandungan nitrogen dalam tanah dan mengekalkan kesuburan tanah setiap masa
-      Petani juga turut memperkenalkan sistem pertanian campuran iaitu menternak biri-biri serta menanam rumput dalam kawasan yang sama.
-      Pengenalan teknik penanaman baru dan jentera seperti alat penggali dan penabur benih yang dicipta oleh Jethro Tull
-      Pengenalan baja kimia
-      Coke of Holkham memperkenalkan sistem pengurusan ladang yang lebih moden  dan tebus guna tanah secara heavy manuring

2.     Masyarakat yang berasaskan kepada perindustrian
-      Perkembangan industri tekstil  membawa kepada penciptaan mesin pemintal dan mesin tenun yang menggunakan kuasa air.
-      Perindustrian besi telah membawa kepada kemajuan peleburan besi dengan menggunakan arang bagi menghasilkan besi tempa
-      Pada akhir abad ke-18, kuasa wap tealah digunakan untuk mengendalikan jentera

3.     Kemajuan dalam sistem pengangkutan
-        Masyarakat industri juga menikmati kemajuan dalam bidang pengangkutan seperti perkapalan, jalan raya, jalan keretapi dan terusan/sungai.
-        Pembinaan kapal menggunakan rangka besi pada 1787 dan penggunakan enjin berkuasa wap pada 1802 menjadikan industri pembuatan kapal semakin berkembang
-        Pembinaan lokomotif pada 1801 dan penggunaan minyak tar untuk menurap jalan menjadikan sistem pengangkutan lebih lancar.
-        Landasan kereta api yang moden dibina pada 1825 yang menghubungkan lombong arang batu Durham di Stockton dengan Darlington merancakkan perindustrian di England

4.     Penghijrahan dan pertambahan penduduk
-        Masyarakat industri menyumbang kepada pertambahan penduduk. Penduduk England telah meningkat dengan mendadak antara tahun 1800 hingga 1850 dan lebih separuh populasi tinggal di bandar-bandar terutamanya London
-        Selain itu kemajuan infrastruktur telah menyumbang kepada penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar. Antara kawasan yang mengalami pertambahan penduduk yang pesat ialah Lancashire, Yorkshire dan Nottinghamshire
-        Penghijrahan penduduk dari Ireland juga memajukan industri tekstil di England
-        Kehidupan penduduk yang semakin berkualiti juga menyebabkan peningkatan jumlah penduduk yang ketara di negara berkenaan.

5.     Perluasan perdagangan antarabangsa
-        Masyarakat industri juga terlibat dalam perdagangan antarabangsa apabila berlaku pertambahan penghasilan barangan dalam industri pembuatan. Kemajuan dalam industi tekstil telah menyebabkan pengeksportan kain kapas dari Manchester dan Leeds.
-        Demi untuk meningkatkan perdagangan antarabangsa, England telah memansuhkan tarif import bahan mentah bagi membolehkan barang-barang dieksport ke luar negara.

6.     Perubahan gaya hidup
-      Kehidupan bebas masyarakat di bandar membawa kepada pelbagai masalah sosial yang kritikal seperti keruntuhan moral, kegiatan pelacuran dan perlakuan jenayah dan sebagainya.
-      Justeru masyarakat yang tinggal di bandar harus menyesuaikan cara hidup yang penuh mencabar dan berlandaskan material dengan lebih berdikari, berilmu pengetahuan dan mengejar kekayaan.

7.     Masalah pencemaran dan kesihatan
-      Industri perkilangan menyebabkan berlakunya pencemaran yang menjejaskan kesihatan masyarakat
-      Pencemaran air menyebabkan merebaknya pelbagai penyakit dan bertambahnya kematian di kawasan bandar
-      Akta kesihatan awam telah ditubuhkan pada 1875 untuk mengurang dan memperbaiki keadaan kesihatan masyarakat

8.     Kemunculan kelas baharu masyarakat
-   Selain kelas pekerja wujud golongan kelas pertengahan yang terdiri daripada pemilik  kilang, peniaga, ahli perbankan, peguam dan jurutera.
-   Pertumbuhan ekonomi yang pesat menyebabkan berlakunya peningkatan dalam kedudukan dan pendapatan kelas pertengahan.
-   Golongan ini mempunyai kuasa politik yang berjuang mendapatkan perwakilan di parlimen untuk menyuarakan kepentingan mereka dalam bidang perdagangan dan ekonomi.

9.     Kemunculan golongan proletariat
-        Kesan daripada akta Pemagaran Tanah menyebabkan hampir 85% tanah pertanian dikuasai oleh pemajak-pemajak yang mempunyai modal manakala golongan petani yang tidak memiliki tanah menjadi buruh untuk mendapat upah di ladang atau berhijrah ke bandar untuk bekerja di kilang-kilang dan dikenali sebagai golongan proletariat.
-        Pekerja-pekerja ini terdiri daripada pelbagai golongan termasuk wanita dan kanak-kanak yang dibayar upah minimum dan dipaksa bekerja dalam tempoh yang panjang iaitu 12 jam sehari
-        Kebajikan pekerja yang tidak terbela menyebabkan golongan yang tidak berpuas hati dengan majikan telah mengadakan rusuhan pada tahun 1800 dan masyarakat pekerja dibenarkan untuk menubuhkan Kesatuan sekerja.
-        Sehubungan dengan itu beberapa akta telah digubal antaranya Akta Kilang 1833 dan Akta Lombong 1842.

10.   Kelahiran idea-idea baru
-        Masyarakat industri maju dalam pemikiran apabila melahirkan idea-idea baru yang berupaya menyumbang kepada keadilan dalam bidang ekonomi dan sosial
-        Hasilnya lahirlah pemikir sosialis awal seperti Claude Henri de Saint-Simon yang menyeru kerajaan agar memiliknegarakan semua kilang, merancang perkembangan ekonomi dan meningkatkan kebajikan rakyat.
-        Manakala pemikir terkenal Robert Owen pula mengatakan bahawa kapitalisme harus bersifat kemanusiaan dalam mengejar keuntungan. Majikan perlu membayar upah yang tinggi, mementingkan kebajikan pekerja dan masa bekerja tidak lebih 10 jam sehari.


3 comments:

  1. di mana nak cari buku sejarah rujukan untuk modul yg terbaru?

    ReplyDelete
  2. Salam..Puan tolong letakan tajuk2 yg perlu difokuskan untuk exam pggal 1...Terima kAsiH

    ReplyDelete
  3. Soalan fokus tu susahlah jugak. Tapi untuk pengetahuan saudari... cuba beri tumpuan kepada soalan contoh yang diberikan oleh MPM...pasti dari situ akan ada soalan yang akan dikeluarkan. Kebiasaannya jugak setiap tema pasti akan ada satu soalan yang akan dikeluarkan...mengikut nisbah 1:2:2:1. SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN PENGGAL SATU 2013.

    ReplyDelete

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...