Nuffnang Advertisment

Followers

Tuesday, 19 June 2012

MASYARAKAT MARITIM DI PORTUGAL

Pengenalan

Masyarakat maritim bermaksud masyarakat yang memberikan tumpuan utama terhadap perdagangan dan kegiatan yang berkaitan dengan laut. Masyarakat ini mempunyai pelabuhan-pelabuhan sebagai tempat untuk menjalankan kegiatan perdagangan atau kegiatan kelautan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bekalan air, tempat tinggal, tempat menyimpan barang dan kawasan untuk berjual beli. Masyarakat maritim merupakan masyarakat yang tinggal di pesisir pantai, kepulauan dan di lembah sungai bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti perdagangan, membuat kapal, menangkap ikan dan mengutip hasil laut.

Semasa pemerintahan Putera Henry (Henry The Navigator), kerajaan Portugal telah menjadi kuasa maritim yang terunggul di Eropah pada abad ke-15. Putera Henry bersungguh-sungguh mempromosi kegiatan penjelajahan melalui penubuhan Akademi Laut di Sagres. Melalui akademi ini beliau telah mengundang ahli pelayaran, pakar matematik, kartografi dan astronomi dari luar negara untuk memberi tunjuk ajar kepada pelaut Portugal. Usaha Putera Henry ini telah memunculkan ramai kelasi atau pelayar Portugal telah menjelajah ke selatan sehingga ke Cape Verde di sebelah pantai barat benua Afrika.


Ciri-Ciri Masyarakat Maritim Portugal

1.     Lokasi di pesisiran pantai

Portugal merupakan kerajaan pertama di Eropah mula menjalankan penerokaan tanah baru yang serius melalui aktiviti pelayaran ke dunia luar. Hal ini berlaku kerana Portugal mempunyai geografi tempatan di Lautan Atlantik, mempunyai pantai yang panjang dan memiliki pelabuhan yang baik seperti Lisbon. Selain daripada itu, Portugal tidak menghadapi persaingan dengan negara-negara Eropah yang lain seperti Sepanyol yang masih belum teguh dan bersatu padu, Itali pula masih tidak bersatu, Belanda menghadapi masalah dalam negara, manakala negara England dan Perancis terlibat dalam Perang 100 Tahun. Keadaan ini telah memberi peluang kepada Portugal untuk muncul sebagai negara maritim yang terunggul ketika itu.

2.     Terdapat pelabuhan pembekal

Portugal mempunyai pelabuhan yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang Eropah iaitu pelabuhan Lisbon dan Antwerp. Portugal menjadikan pelabuhan-pelabuhan ini sebagai pusat pengeksportan dan pengeluaran barangan dagangan Portugal. Dalam masa 30 tahun, Portugal berjaya menembusi pasaran rempah-ratus yang dikuasai oleh pedagang Venice di Itali. Portugal berhasrat untuk menguasai perdagangan rempah kerana pada abad ke-15, pedagang Islam telah menjual barangan dari Timur kepada pedagang di Venice dengan harga yang tinggi. Pedagang di Venice pula bertindak sebagai orang tengah pula telah menjual barangan tersebut kepada pedagang Eropah yang lain dengan harga yang lebih tinggi. Oleh itu, dengan menguasai jalan perdagangan di Lautan Hindi akan membawa kepada penguasaan perdagangan rempah-ratus dan boleh mengambil alih peranan pedagang Venice sebagai orang tengah.

3.     Memiliki pelabuhan entrepot

Menjelang abad ke-16, kapal-kapal Portugal sentiasa belayar ke Timur Jauh menggunakan Tanjung Pengharapan dan membawa pulang rempah-ratus, lada hitam, sutera dan batu permata. Mereka juga berjaya membawa hasil hutan seperti kayu kayan dan bahan pencelup dari Brazil. Portugal juga telah membuka ladang tebu, menjalankan penanaman tembakau, menternak lembu dan kuda untuk diperdagangkan. Ini semua telah memberikan keuntungan kepada masyarakat Portugal. Pelabuhan Lisbon juga telah menjadi pusat agihan rempah-ratus kepada pedagang-pedagang Eropah yang lain bagi menggantikan pelabuhan Venice di Itali.

4.     Mampu membuat perahu dan kapal layar
Masyarakat maritim Portugal mempunyai teknologi membuat kapal walaupun kapal yang dibina lebih kecil daripada kapal buatan China. Kapal orang Portugal yang dibina mempunyai dasar yang lebih dalam dan badan kapal yang agak bulat sesuai untuk perjalanan di Lautan Atlantik.

5.     Mempunyai kemahiran dalam ilmu pelayaran dan mencari jalan ke Timur

Masyarakat maritim Portugal mempunyai kemahiran dalam ilmu pelayaran hasil usaha Putera Henry. Beliau mahu orang Portugal mahir dalam bidang pelayaran untuk menguasai kekayaan di Afrika. Tujuan lain ialah mencari Prester John yang menjadi raja sebuah kerajaan Kristian di Afrika bagi mendapatkan bantuannya untuk menguasai kerajaan Islam di Maghribi.

Usaha Putera Henry ini telah berjaya melahirkan ramai pelayar Portugal seperti Bartholomew Diaz, Vasco da Gama dan Alfonso de Albuquerque. Mereka telah berjaya menjelajah ke selatan sehingga ke Cape Verde di sebelah pantai Barat benua Afrika. Bartholomew Diaz telah belayar dan sampai ke Cape of Good Hope iaitu bahagian paling selatan di Afrika pada tahun 1487. Vasco da Gama pula berjaya mengelilingi Tanjung Pengharapan pada tahun 1497 dan seterusnya telah sampai di Malindi (1487) dan seterusnya beliau telah belayar ke Kalikat (1499). Selepas itu beliau telah kembali ke Lisbon dengan membawa penuh muatan barangan daripada Timur.

Pada tahun 1511, Lopez de Sequeire telah berjaya menguasai Melaka dan ini membolehkan Portugal menguasai jalan perdagangan di Lautan Hindi. Pada tahun 1542, orang Portugal berjaya memasuki negara Jepun melalui pelabuhan Kyushu. Pada tahun 1570, satu perjanjian telah ditandatangani antara pedagang Portugal dengan Shogun Ashikaga iaitu mereka dibenarkan berdagang di pelabuhan Nagasaki. 
Seterusnya pedagang Portugal telah sampai ke pelabuhan Canton di China pada tahun 1517.

6.     KEMAJUAN TEKNOLOGI PELAYARAN

Masyarakat maritim Portugal juga mempunyai teknologi pelayaran yang diambil daripada negara lain seperti penemuan baru seperti peta Benua Eropah (kartografi), kompas magnetik, reka bentuk kapal, memiliki teknologi senapang dan meriam, dan astrolab.

Pelayar Portugal mempunyai catatan wilayah baru di atas peta dan seni catatan peta yang tepat dalam peta gaya baru. Mereka juga mempunyai teknologi kompas yang diambil daripada orang Cina. Kompas ini menunjukkan utara iaitu satu petunjuk penting bagi kapal-kapal yang belayar dari timur ke barat. Orang Portugal juga mempunyai teknologi membina kapal yang baik sesuai untuk belayar di Lautan Atlantik dan memiliki astrolab hasil ciptaan orang Arab yang membenarkan seorang kapten kapal laut mengagak kedudukan kapal mereka sejauh mana dari garisan Khatulistiwa. Masyarakat maritim Portugal juga memiliki teknologi senjata api seperti senapang dan meriam. Mereka menggunakan bahan letupan daripada China dan kemudian diubah suai dengan ciptaan senjata api mereka. Senjata api digunakan semasa pelayaran untuk menakutkan dan mengalahkan musuh-musuh yang ditentang.

Kesimpulan

Masyarakat Portugal berjaya membina sebuah empayar perdagangan serta menguasai jalan perdagangan di Lautan Hindi selama lebih daripada satu kurun.
Masyarakat Portugal berjaya menjadi perintis dan meluaskan kekuasaan kerana tidak perlu bersaing dengan pihak lain di Eropah pada masa tersebut .
Pusat perdagangan hanya didirikan di kawasan pantai sahaja bukannya kawasan pedalaman.



Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah
dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau
dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua.....



2 comments:

  1. CIKGU BILA NAK UPDATE TAJUK MASYARAKAT INDUSTRI DI JERMAN...PLEASE

    ReplyDelete
  2. terima kasih tak terhingga. nota cikgu telah membantu P&P saya. jazakallah.

    ReplyDelete

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...