Nuffnang Advertisment

Followers

Saturday, 23 June 2012

TEMA 4 BAHAGIAN A: SISTEM PEMERINTAHAN DI MALAYSIA SELEPAS NEGARA MENCAPAI KEMERDEKAAN

Parlimen
Jelaskan sistem pentadbiran di Malaysia selepas kemerdekaan 1957.

A.  PENGENALAN

1.   Pada tanggal 31 hb. Ogos 1957 secara rasminya Persekutuan Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah.
2.   Selepas mencapai kemerdekaan, sistem pemerintahan Tanah Melayu telah ditentukan menerusi Perlembagaan Persekutuan dengan mengasingkan tiga komponen utama iaitu Badan Perundangan, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman. Perlembagaan ini menjadi teras sistem demoknasi berparlimen di negara ini.
3.   Doktrin pengasingan kuasa digunapakai bertujuan untuk mengelakkan wujudnya sebarang bentuk permuafakatan antara badan pemenintah dengan badan-badan lain.

B.  ISI

1.   Perlembagaan

a.   Perlembagaan Persekutuan merupakan suatu dokumen penting yang merangkumi prinsip-prinsip serta peraturan sebagai asas panduan dalam mencorakkan pentadbiran negara.
b.   Perlembagaan Persekutuan digubal oleh Lord Read, Sir Ivong Jennings, William Mc Kell, Hakim Ab. Malik dan Hakim Abdul Hamid.
c.   Mengandungi pelbagai peruntukan seperti kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, kuasa di tangan Parlimen, Yang Dipertuan Agong, Dewan Negara, Dewan Rakyat, Jemaah Menteri, Badan Kehakiman serta beberapa peruntukan lain berkaitan dengan kewarganegaraan, agama dan sebagainya.

2.   Parlimen

a.   Merupakan badan tertinggi yang bertanggungjawab untuk menggubal dan merangka segala dasar dan undang-undang bagi Persekutuan Tanah Melayu. Justeru rang undang-undang yang telah digubal dan diluluskan di Parlimen tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan.
b.   Tiga komponen penting parlimen terdiri daripada Yang Dipertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
c.   Parlimen juga berfungsi sebagai tempat mengawal kewangan negara dan meluluskan peruntukan belanjawan, meminda Perlembagaan, mengawasi pemerintahan serta mendengar rayuan orang ramai melalui ahli Parlimen.
d.   Bagi Yang Dipertuan Agong, selain berkuasa melantik Perdana Menteri, baginda juga bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan kaum-kaum lain.

 3.   Yang Dipertuan Agong
 
a.   Berperanan sebagai ketua negara dalam sistem pentadbiran di Malaysia. Berada di kemuncak di antara ketiga-tiga bidang kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman.
b.   Dipilih oleh Majlis Raja-Raja setiap 5 tahun dalam kalangan sembilan orang raja Melayu.
c.   Bertanggungjawab sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera, juga sebagai ketua agama bagi Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Namun dalam menjalankan tugasan baginda juga bertindak berdasarkan nasihat kabinet.
d.   Selain berkuasa melantik Perdana Menteri, baginda juga bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan kaum-kaum lain.

4.   Dewan Negara

a.   Merupakan dewan tertinggi dalam sistem pentadbiran di Malaysia yang bertujuan untuk membahaskan rang undang-undang yang dikemukakan oleh Dewan Rakyat.
b.   Keahliannya terdiri daripada pelbagai peringkat dan golongan, mewakili semua negeri dalam Persekutuan. Ahli-ahli Dewan Negara dikenali sebagai “Senator”.
c.   Keahliannya berjumlah 69 orang. Ada yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing iaitu seramai 2 orang bagi setiap negeri, 3 ahli dilantik oleh Yang Dipertuan Agong di Wilayah Persekutuan dan seramai 40 orang lagi dilantik khas oleh Yang Dipertuan Agong.
d.   Tempoh jawatan bagi setiap ahli Dewan Negara ialah selama 3 tahun dan mereka boleh dilantik semula untuk 3 tahun lagi.
e.   Dewan Negara tidak mempunyai kuasa untuk menolak sesuatu rang undang-­undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat, sebaliknya hanya boleh menangguhkan sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan itu daripada dikemukakan kepada Yang Dipertuan Agong.

5.   Dewan Rakyat

a.   Merupakan badan ketiga terpenting dalam komponen Parlimen. Berperanan dalam menggubal dan meluluskan undang-undang yang dikendalikan oleh seorang Yang Dipertua dikenali sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
b.   Rang undang-undang yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat boleh dipecahkan kepada 4 jenis iaitu berkaitan dengan rang undang-undang awam, rang undang­-undang persendirian, rang undang-undang ahli persendirian dan undang-undang hibrid iaitu yang dibentangkan sama ada oleh ahli pemerintah atau pembangkang yang difikirkan ada kepentingan tertentu.
c.   Keahlian adalah dipilih melalui pilihan raya yang dijalankan selama 5 tahun sekali. Calon yang menang dalam pilihan raya akan menguasai dewan rakyat dan akan membentuk kerajaan Malaysia untuk meneruskan pentadbiran yang sedia ada.

6.   Badan Eksekutif

a.   Bertanggungjawab dalam menjalankan pentadbiran kerajaan mengikut perlembagaan dan undang-undang yang ada. Terbahagi kepada 3 peringkat iaitu persekutuan, negeri dan tempatan.

i.    Pentadbiran peringkat persekutuan

Dijalankan oleh kabinet atau Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri dengan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri lain.
Bagi menjalankan tugas tersebut beberapa buah kementerian, jabatan dan badan berkanun diwujudkan.

ii.    Pentadbiran kerajaan negeri.

Kuasa eksekutif berada di tangan Sultan atau Raja atau Yang Dipertuan Besar atau Yang Dipertua Negeri. Kuasa tersebut dijalankan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Badan ini diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik oleh raja atau Sultan atau Yang Dipertua Negeri.
Di Sarawak, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dipanggil Majlis Tertinggi manakala di Sabah majlis ini dipanggil Jemaah Menteri (Kabinet).

iii.   Pentadbiran kerajaan tempatan

Terdiri daripada Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah yang diketuai oleh seorang Yang Dipertua.
Di Sabah, pentadbirannya dibahagikan kepada daerah dan kampung. Setiap daerah ditadbirkan oleh pegawai Daerah yang dibantu oleh ketua anak negeri dan Ketua Kampung.
Di Sarawak, pentadbirannya dibahagikan kepada Bahagian, Daerah Kecil dan kampung. Bahagian ditadbirkan oleh Rasiden, Daerah ditadbir oleh Pegawai Daerah dan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Tadbir Sarawak.

7.   Badan Kehakiman

a.   Bertanggungjawab dalam menjalankan kuasa-kuasa kehakiman dalam sistem pentadbiran di Malaysia. Kuasa ini dilaksanakan oleh pihak mahkamah yang diketuai oleh ketua hakim negara.
b.   Antara kuasa lain badan kehakiman ialah berkuasa membicara dan memutuskan kes-kes sivil dan jenayah, mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan negeri, mentafsir undang-undang, mengistiharkan sesuatu undang-undang sah ataupun tidak sah serta boleh mengistiharkan sesuatu tindakan kerajaan sah atau tidak sah di sisi undang-undang.
c.   Bagi menjamin kebebasan mahkamah, perlembagaan telah mengecualikan para hakim daripada peraturan am di bawah perkara 132 (2.a)


C.  KESIMPULAN

1.   Jelas menunjukkan bahawa sistem pentadbiran di Tanah Melayu selepas merdeka telah di strukturkan dengan jelas mengikut perlembagaan persekutuan.
2.   Dengan itu sistem pentadbiran sama ada di peringkat pusat, negeri dapat berjalan lancar.


* Soalan Percubaan Kelantan


No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...