Nuffnang Ads

Sunday, 29 July 2012

PENYATUAN JERMAN

Pengenalan

1.     Sebelum abad ke-19M, Jerman mempunyai 360 negeri kecil di bawah pemerintahan masing-masing. Pada awal abad ke-19M, Jerman telah dikuasai oleh Perancis di mana Perancis telah melucutkan takhta raja serta mengubah sempadan Eropah. Perancis telah membentuk semula struktur pemerintahan Jerman dan mencantum negeri-negeri kecil di Jerman.

2.     Selepas Perancis kalah pada tahun 1815, Persidangan Viena telah dibuat dan mereka bersetuju untuk mencantumkan Jerman kepada 39 buah negeri sahaja (Pengabungan Jerman) yang terdiri daripada Austria, Prusia, Bavaria, Wurtemberg, Honaver dan Saxony.

3.     Sebelum tahun 1871, penyatuan Jerman tidak berjaya kerana wujud beberapa faktor penghalang seperti kebangkitan revolusi pada tahun 1848, persaingan antara kuasa Austria dan Prusia iaitu yang mana lebih dominan jika Jerman disatukan dan ramai golongan nasionalis Jerman berselerak di Eropah malah ada yang telah menetap di Amerika.

4.     Walaupun wujud faktor-faktor penghalang, usaha untuk penyatuan Jerman tetap wujud bermula pada tahun 1815 iaitu selepas tamat perang Napoleon melalui Kongres Vienna. Dalam Kongres Vienna 1815, menetapkan Persekutuan Jerman sebagai negeri penampan kepada penaklukan Perancis dan keadaan ini mendorong kepada kerjasama ekonomi yang turut menyemai penyatuan dalam bidang politik.

5.     Pada tahun 1818, Kesatuan Kastam (Zollverein) telah ditubuhkan di Prusia. Persatuan ini telah berusaha menghapuskan cukai antara wilayah bagi menggalakkan aktiviti perdagangan. Ini telah mendorong negeri-negeri di Jerman untuk menyertai persatuan pada tahun 1854 kecuali Austria. Perkembangan perdagangan ini telah menyebabkan negeri di Jerman menganggap Prusia sebagai pemimpin politik Jerman.

Proses Penyatuan Jerman

1.     Prusia dilihat sebagai memainkan peranan efektif ke arah penyatuan Jerman, apabila William 1 ditabalkan sebagai Raja Prusia yang baru pada 1861 percaya Prusia boleh memimpin penyatuan Jerman. Beberapa langkah ke arah tersebut telah dilaksanakan seperti memperbesarkan angkatan tentera melalui penambahan pegawai tentera, rekrut tentera yang ramai dan memanjangkan perkhidmatan sukarelawan kepada 3 tahun.

2.     Untuk merealisasikan tujuan tersebut, William 1 telah melantik Otto von Bismark, iaitu seorang junkers (tuan tanah) yang pernah menjadi ahli parlimen (1847), duta Prusia ke Rusia dan Perancis pada tahun 1859 dan telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru pada tahun 1862. Tugas utama Bismark ialah menjinakkan ahli-ahli parlimen Prusia supaya patuh kepada kehendak  kerajaan dan raja. Namun apabila parlimen menolak permintaan William 1, Bismark telah bertindak secara lebih agresif dalam merealisaikan proses penyatuan Jerman .

3.     Sebagai Perdana Menteri, Bismark merancang untuk mengukuhkan pasukan tentera dan memperkasakan ekonomi Prusia agar dapat mengurangkan pengaruh Austria dalam kalangan negeri-negeri Jerman.

4.     Untuk melaksanakan dasar ini, Bismark melibatkan Prusia dalam tiga peperangan. Peperangan pertama Bismark ialah menentang Denmark atas isu daerah Schleswig dan Holstein yang diperintah oleh Raja Denmark. Kedua-dua daerah ini mempunyai majoriti bangsa Jerman yang telah menyatakan sokongan kepada Bismark. Untuk mencapai tujuan tersebut, Bismark telah memujuk Austria supaya bersama memerangi Denmark pada 1864. Perang Prusia-Denmark ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Gastein pada Ogos 1865. Mengikut perjanjian ini menyaksikan Austria diberi hak untuk mentadbir Holstein manakala Prusia mengawal Schleswig.

5.     Namun demikian usaha penyatuan Jerman tidak dapat dilakukan sekiranya Austria tidak dapat ditakluki. Justeru itu, Bismark mula mendapat sokongan daripada sekutunya di Eropah untuk membantu. Beliau telah menawarkan bantuan kepada Rusia ketika Rusia berhadapan dengan pemberontakan di Poland. Manakala di Itali pula, Bismark telah menandatangani perjanjian pada 1866, iaitu Prusia akan membantu Itali untuk mendapatkan wilayah Venetia yang dikuasai oleh Austria.

6.     Bismark mendapat persetujuan William 1 serta ketua-ketua tentera untuk memerangi Austria namun ditentang oleh Parti Progresif yang menguasai parlimen. Bagi mengatasi senario tersebut, Bismark telah bertindak memberikan hak mengundi kepada semua lelaki dewasa dalam pilihanraya dan bukannya hanya kepada golongan lelaki bangsawan seperti yang diamalkan sebelum ini. Perubahan ini menyebabkan Parti Progresif kehilangan banyak kerusi di parlimen.

7.     Bagi meneruskan misinya, Bismark telah mengistiharkan perang ke atas Austria apabila menghantar tentera ke Holstein pada 15 Jun 1866 dengan menuduh pihak Austria melanggar Perjanjian Gastein iaitu kerajaan Austria telah melayan dengan buruk orang-orang Jerman yang berada di Austria. Perang ini mengambil masa selama 7 minggu, oleh sebab itu ia dikenali Perang Tujuh Minggu.

8.     Tentera Austria telah dikalahkan di Sedowa dan perang ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Prague pada tahun 1866. Mengikut perjanjian ini Austria dikeluarkan daripada kesatuan ini serta Austria serah Holstein kepada Prusia dan wilayah Venetia diserahkan kepada Itali. Kejayaan ini telah membolehkan Bismark mengabungkan semua negeri-negeri utara Jerman menjadi Pergabungan Jerman Utara.

9.     Prusia berhadapan dengan Perancis dalam usaha menyatukan negeri-negeri Jerman. Napoleon III tidak akan menyokong rancangan Prusia memimpin penyatuan Jerman. Selepas tamat Perang Prusia-Austria, Perancis mula bimbang kebangkitan Prusia sebagai kuasa kuat di Eropah. Ini telah mendorong Perancis menuntut agar negeri-negeri Selatan Jerman diserahkan kepada Perancis sebagai balasan pertolongan Perancis kepada Prusia mengalahkan Austria.

10.  Dengan menggunakan tipu helah, Bismark telah berjaya memujuk negeri-negeri Selatan Jerman bersatu dengan Prusia. Selepas itu, berusaha memujuk sekutu-sekutu Perancis supaya tidak membantu Perancis. Dalam meneruskan misinya Bismark telah melancarkan perang ke atas Perancis pada Julai 1870. Perancis berjaya dikalahkan oleh Prusia pada tahun 1871 dan perang ini ditamatkan melalui Perjanjian Frankfurt.

11.  Mengikut perjanjian ini, Perancis serah wilayah Alsace dan Lorraine serta membayar ganti rugi perang sebanyak 3 ribu juta kepada Prusia. Selepas berjaya mengalahkan Perancis, Bismark telah menyatukan Jerman menjadi Empayar Jerman yang mengandungi 25 negeri kecuali Austria.

12.  Pada 18 Januari 1871, Raja William 1 dilantik sebagai Kaiser Jerman manakala Bismark menjadi Cancellor (Perdana Menteri). Walaupun setiap negeri mempunyai pemerintah sendiri dan ada sesetengahnya mempunyai tentera dan pegawai diplomatik, namun Kaiser mengetuai pentadbiran pusat. Kaiser berkuasa untuk mengarahkan tentera sewaktu peperangan dan menentukan dasar luar.

13.  Selepas berjaya menyatukan Jerman (1871), Bismark berusaha untuk mewujudkan keamanan di dalam dan luar negeri Jerman, membangunkan negara dan mengamalkan dasar berhati-hati dalam menjalinkan hubungan persahabatan dengan negara-negara Eropah. Bismark juga telah menanda tangani perjanjian 3 kuasa iaitu antara Prusia dengan Itali dan Austria yang dikenali sebagai Perikatan Bertiga. Tujuannya untuk menggelakkan daripada Perancis menyerang Jerman.

14.  Bismark juga telah memperkenalkan perlembagaan Jerman dengan menubuhkan parlimen yang mengandungi Majlis Persekutuan dan Diet Maharaja. Bismark juga berusaha menyekat pengaruh gereja, menyeragamkan sektor ekonomi, membangunkan sektor perindustrian, memajukan sektor pertanian dan perdagangan serta pemulihan sosial.



Friday, 27 July 2012

EKONOMI FEUDALISME DI CHINA

Pengenalan.

1.     Sistem ekonomi bermaksud cara atau kaedah dalam menjalankan kegiatan ekonomi yang terbahagi kepada ekonomi tradisional dan moden (kapitalisme, merkantilisme dan perdagangan bebas).

2.     Sistem ekonomi feudalisme menunjukkan golongan petani bekerja dan menjadi tentera untuk golongan bangsawan sebagai balasan mereka dibenarkan mengusahakan tanah golongan bangsawan.

3.     Ekonomi feudalisme di China berkait rapat dengan faktor geografi di mana hamper keseluruhan Negara China merupakan kawasan pergunungan dan gurun. Hanya 15% sahaja tanah di China sesuai untuk kegiatan pertanian, namun mereka mampu menampung keperluan dalam negara.

4.     Pada abad ke-16, sistem ekonomi feudalisme di China adalah dikawal ketat oleh maharaja ke atas golongan petani dan pedagang asing yang dating berdagang di China. Golongan bangsawan bertindak sebagai penguasa kawasan dan mengawal aktiviti ekonomi di kawan luar bandar.

KEGIATAN EKONOMI FEUDALISME DI CHINA

A.     Pertanian

1.     Kegiatan pertanian merupakan kegiatan utama masyarakat China dan penyumbang utama dalam ekonomi di zaman Dinasti Ming pada abad ke-16. Kawasan pertanian utama ialah di kawasan timur laut China dan Mongolia iaitu di dataran loes yang subur sepanjang Sungai Kuning dan Sungai Yangtze.

2.     Tanaman utama ialah tanaman padi sawah yang ditanam di kawasan lembah Sungai Yangtze, Sungai Kuning dan Selatan China. China turut memperkenalkan penanaman padi dua musim setahun di atas tanah yang sama iaitu baka padi jenis baharu yang cepat masak di bawa dari Vietnam Selatan. Padi ini juga tidak memerlukan air yang banyak, oleh itu ia boleh ditanam di kawasan yang berbukit di China. Masyarakat Cina di sini menjadikan nasi sebagai makanan utama mereka.

3.     Tanaman lain yang ditanam di Selatan China ialah tanaman kapas, tebu, teh, gandum, barli, sekoi, millet, oat dan lain-lain bijirin. Tanaman gandum banyak ditanam di Dataran Tinggi Utara China, Wilayah Shantung, Kansu, Shensi dan Bahagian Utara Anhui dan Hupeh. Millet pula ditanam di Wilayah Kansu, Shensi dan Shansi.

4.     Tanaman kaoliang ditanam secara meluas di Manchuria untuk dijadikan atap rumah, anyaman alas lantai dan dibuat minyak. Tanaman kapas juga ditanam di utara dan selatan China dan kapas menjadi bahan utama dalam industri membuat pakaian di China.

5.     Masyarakat China yang tinggal di kawasan tanah tinggi seperti di bahagian utara China iaitu sekitar Sungai Heilongjiang, mereka telah menanam padi huma, sekoi dan tanaman kekacang. China turut memperkenalkan tanaman baru seperti jagung India, ubi kentang manis dan kekacang.

6.     Tanaman sayur-sayuran juga ditanam oleh masyarakat Cina. Mereka akan menanam sayur-sayuran di sekitar rumah mereka di setiap ruangan tanah kosong. Mereka turut menanam pokok buluh iaitu rebung buluh untuk dibuat makanan manakala batang buluh untuk membina bangunan, membuat perabot-perabot dan peralatan memasak.

7.     Setelah berlaku revolusi dalam bidang pertanian, beberapa kaedah baru dalam pertanian diperkenalkan seperti memperkenalkan system penanaman bergilir, penggunaan baja dan peralatan pertanian baru seperti tenggala penabur benih, penyisir tanah, penggiling, kereta sorong beroda dua dan kolar kuda. Revolusi dalam bidang pertanian telah mendorong peningkatan pengeluaran pertanian dan bertambahnya keluasan kawasan pertanian daripada 422 juta mu pada awal abad ke-16M kepada 701 juta mu di akhir abad ke-16M.

8.     Penggunaan teknologi pengairan juga telah mendorong perkembangan bidang pertanian di China seperti terusan, kolam takungan air dan empangan. Kawasan yang jauh dari sumber air juga sudah boleh ditanam dengan pelbagai tanaman.

9.     Pada abad ke-16M, China turut mengamalkan ekonomi komersil seperti mengusahakan tanaman tembakau di wilayah Kwangsi dan Fukein, tanaman kapas di Sungking, Taitsang dan Tung-chou manakala tanaman mulberi di wilayah Kwangtung.

B.     Menternak Binatang

Selain bercucuk tanam, petani Cina juga turut menjalankan kegiatan menternak binatang untuk dijadikan sumber makanan dan kegunaan pertanian serta pengangkutan. Antara binatang yang diternak untuk sumber makanan ialah ayam, itik, kambing, lembu, babi, kerbau dan sebagainya. Kerbau juga digunakan untuk kegiatan penanaman padi sawah manakala lembu biasanya untuk menarik kereta lembu. Binatang ini biasanya dipelihara kawasan yang berdekatan dengan rumah mereka.


C.     Industri Kecil

1.     Masyarakat Cina juga turut menjalankan kegiatan industri-industri kecil seperti pengeluaran barang-barang kertas, sutera, kapas dan porselin. Industri porselin telah berkembang di China dan telah memberi sumbangan yang besar dalam perbendaharaan negara. Wilayah Kiangsi merupakan pusat pengeluaran porselin utama China.

2.     Wilayah Soochow pula sebagai pusat pengeluaran tekstil dan Sungkiang pula sebagai pusat utama pengeluaran kapas di China. Perkembangan industri tekstil ini telah menjadikan tanaman kapas sebagai salah satu tanaman terpenting di abad ke-16M.

3.     Industri kraf tangan dan tenunan turut menyumbang dalam sektor pertanian dan pembangunan negara China. Industri mengubah bunga plastik diusahakan di Peiping dan industri sutera dijalankan di wilayah Shangtung, Hopei dan Manchuria.

D.    Perdagangan

1.     Pada abad ke-16M, ekonomi feudalisme China mengutamakan kegiatan pertanian sebagai sumber utama. Dengan itu, ekonomi perdagangan berada di lapisan paling bawah dan pekerjaan berdagang merupakan pekerjaan yang hina di China. Walau bagaimanapun kegiatan perdagangan tetap berjalan lancar dengan wujudnya sistem pengangkutan yang baik.

2.     Sungai-sungai di China telah dijadikan jalan perhubungan yang utama untuk menjalankan kegiatan perdagangan seperti Sungai Yangtze yang boleh dimudiki kapal sejauh seribu batu dari muaranya. Sungai-sungai barat membolehkan perdagangan dijalankan di selatan China dan Sungai Peiho serta Sungai Kuning telah memudahkan perhubungan timur dan barat di sebelah utara China.

3.     Sistem jalan air seperti pembinaan Terusan Besar dari Peking di sebelah utara ke Hangchow, selatan Sungai Yangtze. Terusan-terusan kecil juga dibina di bahagian tengah dan selatan China untuk memudahkan membawa barang dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

4.     Pada abad ke-16M, maharaja telah membenarkan pelayar-pelayar China belayar ke Asia Tenggara, India, Sri Lanka, Hormuz dan pantai timur Afrika. Hubungan dengan negara luar ini telah meningkatkan aktiviti perdagangan China di pelabuhan Canton seperti dengan pedagang Asia Tenggara, Portugal, Sepanyol dan Belanda.

5.     Hubungan dengan Portugal telah bermula dengan Rafeal Perestrello pada tahun 1516 kemudian dengan Tom Pires dihantar untuk menjalinkan hubungan dengan China. Pedagang Portugis hanya dibenarkan berdagang di Macau sahaja pada tahun 1532 dan dibenarkan berdagang di Canton pada hari-hari tertentu sahaja atas kawalan ketat oleh pembesar China. Hasil hubungan ini, China memperoleh barangan perak dari pedagang Portugal dan sebagai tukarannya sutera untuk dibawa ke Eropah.




Wednesday, 25 July 2012

SISTEM NEGARA KESATUAN PERANCIS

A. Pengenalan

Di negara Barat terdapat dua jenis bentuk kerajaan yang diamalkan iaitu negara kesatuan dan negara persekutuan. Pelaksanaan mana-mana bentuk kerajaan ini akan mempengaruhi keharmonian kerajaan pusat dan tempatan di negara masing-masing.

Kerajaan kesatuan merupakan sebuah kerajaan yang memberi kuasa yang luas kepada kerajaan pusat dan mengehadkan kuasa kepada kerajaan tempatan (local government).

Kerajaan kesatuan sesuai dilaksanakan bagi sebuah negara seperti Perancis kerana mempunyai keluasan geografinya tidak luas atau besar dan mempunyai jumlah penduduk tidak terlalu ramai. Pengaruh geografi yang tidak begitu luas lebih memudahkan komunikasi dua hala dan sebarang keputusan boleh dilaksanakan secepat mungkin tanpa berlakunya masalah dalam pentadbiran. Sistem Negara kesatuan di Perancis dibentuk berdasarkan ciri-ciri tertentu.


CIRI-CIRI KERAJAAN KESATUAN PERANCIS

1. Kuasa penuh kepada kerajaan pusat

Di negara Perancis, kerajaan pusat mempunyai kuasa dalam semua aspek pemerintahan, boleh mengubah sempadan dan kuasa, dan juga boleh membatalkan perundangan yang telah diluluskan oleh peringkat negeri/wilayah.

Di dalam negara kesatuan Perancis juga kerajaan pusat mempunyai kuasa penuh untuk menguruskan seluruh pemerintahan di negara Perancis.

2. Pentadbiran wilayah

Untuk memudahkan pentadbiran maka kerajaan kesatuan telah membahagikan negara kepada beberapa wilayah atau cawangan dan diberi kuasa untuk mentadbir.

Pentadbiran wilayah ini merupakan wakil kerajaan pusat. Walau bagaimanapun kuasa ini boleh ditarik balik oleh kerajaan pusat. Bentuk seperti ini adalah merupakan sistem sentralisasi iaitu pemerintah pusat  memiliki kedaulatan penuh untuk menyelenggarakan urusan dari pusat ke wilayah.

3. Pentadbiran wilayah

Pemerintah wilayah hanya melaksana ketetapan yang diputuskan oleh kerajaan pusat. Setelah sistem pemerintahan beraja dan sistem feudal dihapuskan di Perancis, pada tahun 1790 pentadbiran baru telah dibentuk iaitu negara Perancis telah dibahagikan kepada 83 department (wilayah) dan setiap wilayah dibahagi pula kepada cantons (daerah) dan daerah pula dipecahkan kepada commune.

4. Pentadbiran department

Pentadbiran department akan diketuai oleh Prefet yang dilantik oleh kerajaan pusat. Prefet bertanggungjawab secara langsung kepada Menteri Dalam Negeri dan berperanan untuk menguruskan perkhidmatan di kawasan tempatan.

Di setiap department telah ditubuhkan sebuah majlis iaitu General Council.  Ahli-ahlinya dilantik oleh pemerintah peringkat pusat. Majlis ini merupakan institusi tempatan yang menghubungkan penduduk tempatan dengan kerajaan pusat.

5. Pentadbiran Commune

Commune pula berperanan untuk mentadbir kawasan bandar yang diketuai oleh Datuk Bandar (Mayor) sebagai ketua eksekutif. Datuk Bandar pula akan dibantu oleh Majlis Bandaran (Municipal Council). Institusi commune berperanan mengendalikan perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran bandar seperti meluluskan permit bangunan, menjaga keselamatan penduduk, dan menguruskan pendaftaran perkahwinan.

Commune merupakan institusi yang dibentuk bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk tempatan seperti pejabat pendaftaran, mahkamah rendah, jabatan kerja raya, polis tempatan dan sebagainya.

Datuk Bandar akan menjadi wakil kerajaan pusat di kawasan bandar. Datuk Bandar berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang tempatan, mendaftar jurutera awam, menguruskan pekerja di kawasannya dan sebagainya. Walau bagaimanapun segala keputusan yang dibuat oleh Datuk Bandar boleh dipinda, diubah atau dibatalkan oleh kerajaan pusat.


C. Kesimpulan

Terdapat kelebihan jika mengamalkan kerajaan kesatuan iaitu tidak akan berlaku masalah pertindihan kerana sebarang percanggahan antara penggubal dengan pelaksana dasar dapat dielakkan. Hal ini kerana segala keputusan akan dibuat oleh kerajaan pusat dan dengan ini pemerintahan akan dapat dijalankan dengan mudah, teratur dan berkesan.


Sistem negara kesatuan telah memudahkan pentadbiran di negara Perancis sesuai dengan latar belakang sosial dan geografinya. Sistem ini telah menyumbang kepada pentadbiran yang lancar dan memberi kesan kepada keharmonian penduduk di negara Perancis.



Saturday, 21 July 2012

RAJA MUTLAK DAN BERPERLEMBAGAAN DI PERANCIS

Pengenalan
1.     Kemunculan negara bangsa pada abad ke-15M, telah menjadi asas bagi kemunculan pemerintahan mutlak di Eropah pada abad ke-16M dan ke-17M seperti Perancis. Maksud raja mutlak ialah pemerintahan raja tidak dikawal oleh parlimen dan segala arahan raja merupakan undang-undang. Raja yang dilantik adalah atas kehendak Tuhan untuk menjadi ketua kepada rakyat. Oleh itu, menjadi tanggungjawab rakyat untuk membantu raja dalam menjalankan pentadbiran. Rakyat tidak boleh membantah perintah raja walaupun raja memerintah dengan zalim.

2.     Pemerintahan raja mutlak di Perancis muncul di dorong dengan lahirnya idea-idea oleh pemikir-pemikir politik seperti Jean Bodin, Hugo Crotius dan Cardinal Duc de Richelien. Jean Bodin mengesyorkan supaya Perancis diperintah oleh kerajaan pusat yang kuat supaya boleh mengawal wilayah dengan lebih baik dan berkesan. Hugo Crotius pula mengatakan sesebuah negara berhak mempertahankan negara dengan membela hukum antarabangsa dan sesiapa yang mencabuli hukum antarabangsa akan dianggap penceroboh. Manakala Cardinal pula, berpendapat kerajaan pusat yang kuat perlu untuk menghadapi ancaman sekiranya pentadbiran dijalankan oleh ramai pihak. Untuk menggelakkan daripada berlakunya ancaman atau penentangan maka rakyat tidak perlu diberi pendidikan.

3.     Menjelang abad ke-17, Perancis muncul sebagai antara negara yang terkuat di Eropah menggantikan Sepanyol. Pemerintahan raja mutlak di Perancis dijalankan oleh Raja Louis XIV (1643-1715) yang dikenali sebagai ‘Grand Monarch’ yang memerintah selama 72 tahun. Semasa pemerintahannya berjaya mewujudkan keamanan dan kemakmuran di Perancis.

4.     Baginda mengukuhkan kedudukannya melalui pentadbiran pusat yang kukuh dan teratur. Bagi memastikan dasar pemerintahannya dapat dilaksanakan dengan baik, baginda terlibat dalam urusan pelantikan pegawai-pegawai kerajaan dan berjaya mengawal mereka dengan dibantu oleh menteri-menteri yang berwibawa.

5.     Raja Louis XIV mendapat sokongan padu daripada golongan bangsawan, Huguenot dan institusi-institusi kerajaan. Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan Raja Louis XIV sebagai pemerintah monarki mutlak di Perancis. Untuk memperkukuhkan lagi pemerintahnnya, Raja Louis XIV telah memperkenalkan beberapa dasar seperti:


a)     Dasar Dalam Negara

Louis XIV menyusun semula pentadbiran pusat negara kepada empat majlis utama dan juga telah melantik menteri-menteri yang berkebolehan untuk membantunya mentadbir seperti Colbert (Menteri Kewangan), Le Tellier (Menteri Hal Ehwal Luar), Louvois (Menteri Peperangan) dan Vauban (Menteri Ketenteraan).

Louis juga menggunakan menteri yang bertanggungjawab bagi malaksanakan dasar-dasar diraja di pelbagai provinsi Perancis. Penyelia ditugaskan untuk menyelia pentadbiran, keadilan, pentadbiran dan pentadbiran ketenteraan di peringkat daerah.
Louis XIV percaya sebagai pemerintah mutlak bagi seluruh Eropah, beliau harus hidup bergaya dengan itu beliau mendirikan istana besar di Versailles dan di beberapa buah tempat lain. Arkitek-arkitek  terkemuka digaji untuk mereka bangunan dan pelukis-pelukis terkemuka  mengindahkannya. Raja menetap di Versailles yang dikelilingi oleh istana yang besar.

Golongan bangsawan bergantung hidup kepada pencen daripada raja dan dikehendaki tinggal dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan sokongan raja.
Perkhidmatan awam terdiri daripada menteri-menteri yang berkebolehan antaranya Jeans Baptiste Colbert sebagai menteri kewangan. Zaman Louis XIV juga zaman keemasan bagi kesusasteraan Perancis. Antara tokoh seni yang terkenal ialah Racine dan Moliere.

b)   Dasar Ekonomi

Baginda melaksanakan dasar ekonomi merkantilisme untuk memastikan negaranya muncul sebagai negara yang makmur . Melalui dasar Colbert, wujud perkembangan industri baru, memansuhkan tarif tempatan, mengurangkan kadar bunga ke atas hutang kerajaan, mengawal upah dan harga kebanyakan barangan. Dasar ekonomi Colbert telah meningkatkan pendapatan kerajaan namun perbelanjaan untuk peperangan tempatan semakin bertambah.

c)   Dasar Ketenteraan

Melalui Louvis (Menteri Perang), Perancis telah mengadakan reformasi dalam ketenteraan apabila raja mempunyai kawalan penuh ke atas ketenteraan. Baginda juga menghapuskan dominasi golongan bangsawan ke atas bidang ketenteraan dan memulakan kawalan langsung ke atas ketenteraan.

Kerajaan juga bertanggungjawab merekrut tentera, menyediakan perumahan dan bekalan makanan kepada golongan tersebut. Pelantikan pegawai-pegawai tentera dilakukan berasaskan merit. Kesannya tentera Perancis muncul sebagai tentera yang terkuat di Eropah ketika itu.

d)   Dasar Agama

Dalam aspek agama raja bertindak untuk memaksa golongan bukan Katolik iaitu Huguenot (Calvinis) untuk menerima agama Katolik. Edict of Nantes yang ditandatangani pada tahun 1598 yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk menganut agama pilihan mereka telah dibatalkan oleh raja pada 1685.
Tindakan Louis menyebabkan seramai 200 ribu penganut bukan Katolik meninggalkan Perancis dan berhijrah ke England dan Amerika.

e)   Dasar perluasan wilayah

Semasa pemerintahan Raja Louis, wilayah kekuasaan Perancis merangkumi Sungai Rhine dengan Perancis menguasai wilayah-wilayah seperti Spanish Netherlands dan United Province.

6.     Pada tahun 1787, Raja Louis XIV telah memutuskan untuk mengadakan Perhimpunan Orang-Orang Kenamaan untuk mengatasi masalah kewangan  Perancis dengan mengenakan cukai ke atas golongan bangsawan, gereja dan hakim.

7.     Raja Louis XIV telah mengadakan persidangan parlimen buat kali pertama pada 5 Mei 1789 dengan mengikut cara lama yang memberi kelebihan kepada Estet (Parlimen) Pertama dan Kedua, manakala Estet Ketiga diminta tunggu diluar dewan. Segala usul yang dibincangkan akan diundi yang akan menyebelahi Estet Pertama dan Kedua. Estet Ketiga menuntut supaya ketiga-tiga Estet disatukan dan pengiraan undi berdasarkan undi individu, tetapi tidak mendapat persetujuan oleh Raja Louis XIV.

8.     Pada 12 Jun 1789, Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Negara) telah diisytiharkan oleh Estet Ketiga dan ini menandakan bermulanya Revolusi Perancis. Apabila pintu dewan ditutup untuk anggota Perhimpunan Kebangsaan, mereka telah berkumpul di gelanggang tenis dan mengangkat sumpah bahawa mereka tidak akan bersurai sehingga mereka mengubal perlembagaan Perancis. Peristiwa ini dikenali sebagai “Sumpah Padang Tenis”.

9.     Perhimpunan Kebangsaan (Estet Ketiga) menuntut konsep persamaan dan keadilan dilaksanakan dan bukannya keistimewaan diberikan kepada rakyat berdasarkan hak atau warisan turun temurun. Perjuangan mereka turut mendapat sokongan golongan miskin dan sebahagian tentera yang dipimpin oleh Marshall de Broglie yang dihantar oleh Raja Louis XIV.

10.  Pada 14 Julai 1789, bangunan Bastille telah jatuh ke tangan golongan Perhimpunan Kebangsaan (pemberontak) yang memberi semangat kepada golongan revolusi di kawasan bandar dan desa. Peristiwa ini diperingati oleh rakyat Perancis sehingga kini dan tarikh ini disambut setiap tahun sebagai Hari Kebangsaan Perancis.

11.  Perhimpunan Kebangsaan juga telah berjaya menghapuskan sistem feudal, perhambaan, golongan istimewa, monopoli golongan bangsawan dihapuskan, cukai yang sama untuk semua, menghapuskan buruh paksa, menghapuskan cukai dan semua jenis hak istimewa gereja ditarik balik. Penghapusan masyarakat feudal dan sistem feudal di Perancis dikenali sebagai “Hari Ogos”.

12.  Pada 26 Ogos 1789, parlimen telah meluluskan Perisytiharan Hak-Hak Manusia dan Warganegara. Pengisytiharan ini telah mengiktiraf semua manusia dilahirkan dan kekal bebas serta mempunyai hak yang sama. Ini rakyat bebas untuk bertukar-tukar fikiran selagi tidak melanggar batas undang-undang.

13.  Menjelang tahun 1791, Majlis Perhimpunan Kebangsaan telah menyiapkan satu perlembagaan ini kerajaan dibahagikan kepada 3 iaitu badan legislatif, badan eksekutif dan badan judisiari. Wujudnya perlembagaan ini maka bermulanya pemerintahan raja berperlembagaan selama setahun kemudian sistem pemerintahan Perancis bertukar menjadi republik.

14.  Selepas itu, negara Perancis mengalami huru hara dan berlaku perpecahan dalam kalangan pendukung revolusi iaitu golongan jacobin dan girondin. Akhirnya Perancis telah diperintah oleh diktator Maximilien Robespierre dari golongan jacobin dan zaman ini dikenali sebagai Zaman Pemerintahan Ganas. Mereka telah mewujudkan Mahkamah Revolusi dan Undang-Undang Syak. Sesiapa disyaki musuh mereka dan menyokong raja akan dihukum tembak atau pancung.

15.  Raja Louis XIV dan isterinya Marie Antoinnette telah dihukum pancung dengan alat gilotin. Robespierre sendiri dihukum pancung dengan menggunakan gilotin oleh penyokong parlimen. Dengan ini berakhirlah zaman pemerintahan ganas di Perancis pada tahun 1794. Perancis menjadi aman selepas pemerintahannya diambil alih oleh Napoleon Bonaparte pada penghujung tahun 1799.




Sunday, 15 July 2012

KERAJAAN PERSEKUTUAN AMERIKA SYARIKAT

Pengenalan
Peta Amerika Syarikat Yang Mengandungi 50 Buah Negeri Pada Tahun 1850-an.
1.     Persekutuan berasal daripada perkataan Greek iaitu foedus yang membawa maksud perjanjian. Persekutuan merupakan gabungan beberapa wilayah atau negeri di bawah satu perlembagaan pusat.

2.     Sistem persekutuan adalah satu sistem pemerintahan yang mengandungi 2 kerajaan iaitu kerajaan pusat dan negeri yang mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam perkara tertentu.

3.     Walaupun negeri-negeri ini berada di bawah pemerintahan pusat, negeri-negeri ini diberi kebebasan untuk mengubal undang-undang sendiri berdasarkan kepada adat dan budaya tempatan.

4.     Amerika Syarikat merupakan kerajaan persekutuan yang dibentuk daripada 13 buah negeri yang pernah menjadi koloni Britian, kemudian menjelang akhir abad ke-19 telah menjadi 50 buah negeri. Pusat pemerintahannya terletak di Washington dan Presiden sebagai ketua kerajaan.

PERKEMBANGAN SEJARAH AMERIKA SYARIKAT


1.          Sebelum tertubuhnya kerajaan persekutuan Amerika, orang Eropah berlumba-lumba untuk meneroka dan membuat penempatan di benua Amerika seperti orang Sepanyol, Portugis, Perancis, Belanda dan British.

2.          John Cobat merupakan orang pertama meneroka di Amerika pada tahun 1497, diikuti oleh Sir Humphrey Gilbert (1583) dan Sir Walter Raleigh (1584). Kesemua usaha mereka menemui kegagalan kerana mendapat tentangan kaum peribumi Red Indian dan kawasan tersebut tidak sesuai untuk pertanian.

3.          Pada tahun 1607, Kapt. John Smith membuka koloni di Virginia dan berjaya memajukannya kerana memiliki kubu-kubu pertahanan di Jamestown dan wujudnya hubungan baik dengan puak Red Indian. Ini telah mendorong lebih ramai orang British berhijrah ke Amerika untuk memulakan kehidupan baru ekoran kerajaan Britian mengenakan cukai yang tinggi kepada mereka dan masalah  agama terutama daripada golongan puritan.

4.          Pada tahun 1620, golongan puritan telah mendarat di New Plymounth dan telah mendapat bantuan orang Red Indian untuk menanam jagung. Pada tahun 1621, mereka telah menganjurkan Kenduri Kesyukuran” kerana mendapat hasil jagung yang banyak sebagai tanda berterima kasih kepada tuhan.

5.          Kedatangan orang British semakin bertambah di Amerika dengan membentuk 13 koloni iaitu telah membuka penempatan koloni di Virginia (1607), Massachusetts dan New Hampshire (1630), Maryland (1634), Connecticut dan Rhode Island (1636), Delaware (1638), Carolina Utara (1653), Carolina selatan (1663), New Jersey (1664), New York (1664), Pennsylvania (1681) dan Georgia (1732).

6.          Pada abad ke-18, Britian dan Perancis mempunyai koloni di Amerika Utara. Pada tahun 1756, telah tercetus Perang Tujuh Tahun (1756-1763) antara Britian dengan Perancis di Eropah. Dalam perang ini Perancis telah kalah dan perang ini ditamatkan melalui Perjanjian Paris. Oleh kerana perang ini melibatkan belanja yang besar, Britian mendesak koloni di Amerika membiayai sebahagian perbelanjaan perang tetapi mendapat bantahan penduduk koloni.

7.          Raja George III tidak menghiraukan bantahan ini, sebaliknya memperkenalkan 4 akta bagi mengutip cukai di koloni seperti akta pelayaran, gula, setem dan teh. Penduduk tetap membantah dengan melaungkan slogan tiada cukai tanpa perwakilan” dan ini telah membimbangkan Britian. Britian telah menarik balik kesemua akta kecuali akta teh.

8.          Melalui Akta Teh, hanya SHTI sahaja boleh menjual teh kepada penduduk di koloni-koloni tanpa membayar cukai dan penduduk koloni tidak boleh mengimport teh. Hal ini menimbulkan kemarahan penduduk di koloni. Pada tahun 1773, beberapa orang penduduk koloni menaiki kapal SHTI dan membuang kotak-kotak teh ke laut. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Pembuangan Teh Boston dan ekoran daripada peristiwa ini pelabuhan Boston telah ditutup pada tahun 1774.

9.          Tindakan Britian ini telah menyebabkan penduduk di koloni bangkit memperjuangkan kemerdekaan mereka daripada Britian. Pada Sept. 1774, pemimpin 13 koloni telah bertemu di Philadelphia dan bersetuju menubuhkan sebuah Kongres (Parlimen Bersatu). George Washington telah dilantik sebagai pemimpin tentera koloni-koloni Amerika dan mengisytiharkan perang terhadap Britian pada tahun 1775.

10.       Pertempuran telah berlaku di Lexington pada April 1776. Pada Julai 1776, kongres yang bersidang di Philadelphia telah meluluskan Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika yang ditulis oleh Thomas Jefferson. Melalui pengisytiharan ini, 13 koloni telah digabungkan menjadi Amerika Syarikat yang merdeka.

11.       Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh tentera Britian seperti di Saratoge (1777) dan Yorktown (1781). Pada tahun 1783, perang telah ditamatkan melalui Perjanjian Versailles iaitu Britian mengakui kemerdekaan Amerika Syarikat dan menyerahkan kesemua 13 tanah jajahannya.


PENGUBALAN PERLEMBAGAAN AMERIKA SYARIKAT

1.          Pada tahun 1787, perwakilan daripada semua negeri telah bertemu di Philadelphia untuk merangka perlembagaan seperti Benjamin Franklin, George Washington, John Adams, Alexander Hamilton, James Madison dan George Mason.

2.          Di bawah perlembagaan ini:
a.      Sebuah kerajaan persekutuan akan diwujudkan
b.      Kerajaan pusat menguasai perkara-perkara penting seperti dasar luar negeri, pertahanan, cukai dan mata wang.
c.      Hal-hal tempatan terletak di bawah bidang kuasa negeri masing-masing
d.      Pentadbiran kerajaan akan dibahagi kepada eksekutif, perundangan dan kehakiman.

3.          Pilihanraya pertama Amerika Syarikat telah diadakan pada 4 Nov. 1789 dan George Washington telah dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat yang pertama.

4.          George Washington bertindak untuk mewujudkan perpaduan antara negeri-negeri persekutuan dengan dibantu oleh Thomas Jefferson, Henry Knox, Alexander Hamilton dan John Kay. Antara yang dilakukan oleh Washington ialah memperkenalkan sistem cukai yang adil dan seragam antara negeri, menyeragamkan penggunaan mata wang, menubuhkan Bank Nasional pada tahun 1791, dan memindahkan pusat pentadbiran dari Philadelphia ke Washington.

5.          Bangunan Capitol dan White House telah dibina di Washington sebagai lambang perpaduan dan demokrasi rakyat Amerika Syarikat. Kongres pertama telah diadakan di Capitol pada tahun 1800.

6.          Pada tahun 1812, Perang Inggeris-Amerika telah meletus disebabkan tindakan Britian memeriksa semua kapal Amerika yang menuju ke Eropah untuk menggelakkan bekalan sampai ke tangan musuh. Amerika mengumumkan dasar berkecuali dalam Perang Napoleon. Ini telah menyebabkan Britian menahan dan memeriksa kapal-kapal dagang Amerika dan ini telah menjejaskan kegiatan perdagangan Amerika.

7.          Selepas perang tamat muncul kebimbangan Amerika terhadap aktiviti peluasan kuasa Eropah dalam hal ehwal Amerika sehingga munculnya doktrin Monroe” yang menekankan konsep Amerika untuk orang Amerika” pada tahun 1823. Doktrin ini diwujudkan bertujuan untuk menjaga kepentingan negara daripada pencerobohan kuasa luar terutama Eropah. Amerika juga menegaskan bahawa peperangan akan dilancarkan terhadap mana-mana pihak yang melanggar doktrin ini.

8.          Pada abad ke-19, Amerika telah berkembang daripada 13 buah koloni kepada 50 buah negeri melalui 3 cara iaitu pembelian, perjanjian dan peperangan. Menjelang tahun 1850-an, Amerika telah mempunyai sempadan negeri seperti hari ini.

9.          Walau bagaimanapun, Amerika mula menampakkan pepecahan antara negeri-negeri utara dan selatan. Perpecahan ini semakin serius sehingga meletusnya Perang Saudara pada tahun 1861-1865 antara Kesatuan Amerika Syarikat (Negeri-negeri Utara) dengan Gabungan Negeri-Negeri Amerika (Negeri-Negeri Selatan). Perang ini meletus disebabkan oleh masalah hamba abdi, tindakan negeri-negeri selatan menarik diri dari kesatuan Amerika, perbezaan antara negeri-negeri Utara dengan Selatan dan wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap undang-undang kerajaan pusat.

10.      Perang ini bermula apabila Fort Sumter telah diserang oleh tentera selatan pada 12 April 1861. Pada Sept. 1862 pula tentera selatan telah mengalami kekalahan di Maryland dan di Gettysburg pada Julai 1863. Selepas perang tamat, Abraham Lincoln telah memberi ucapan termasyhur yang dikenali Ucapan Gettysburg” dan berakhir dengan kata-kata ...kerajaan daripada rakyat, oleh rakyat, bagi rakyat tidak akan lenyap dari muka bumi...”.

11.       Perang saudara ini telah banyak memberi kesan seperti lebih ½ juta orang Amerika terkorban, amalan perhambaan dihapuskan di Amerika dan negeri-negeri Utara dan Selatan bersatu semula.

12.       Selepas tamatnya perang, Amerika Syarikat telah membangun sebagai sebuah negara yang bersatu yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Amerika juga mengalami perubahan ekonomi yang pesat dalam bidang perindustrian, pertanian dan pengangkutan.



Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.