Nuffnang Advertisment

Sunday, 29 July 2012

PENYATUAN JERMAN

Pengenalan

1.     Sebelum abad ke-19M, Jerman mempunyai 360 negeri kecil di bawah pemerintahan masing-masing. Pada awal abad ke-19M, Jerman telah dikuasai oleh Perancis di mana Perancis telah melucutkan takhta raja serta mengubah sempadan Eropah. Perancis telah membentuk semula struktur pemerintahan Jerman dan mencantum negeri-negeri kecil di Jerman.

2.     Selepas Perancis kalah pada tahun 1815, Persidangan Viena telah dibuat dan mereka bersetuju untuk mencantumkan Jerman kepada 39 buah negeri sahaja (Pengabungan Jerman) yang terdiri daripada Austria, Prusia, Bavaria, Wurtemberg, Honaver dan Saxony.

3.     Sebelum tahun 1871, penyatuan Jerman tidak berjaya kerana wujud beberapa faktor penghalang seperti kebangkitan revolusi pada tahun 1848, persaingan antara kuasa Austria dan Prusia iaitu yang mana lebih dominan jika Jerman disatukan dan ramai golongan nasionalis Jerman berselerak di Eropah malah ada yang telah menetap di Amerika.

4.     Walaupun wujud faktor-faktor penghalang, usaha untuk penyatuan Jerman tetap wujud bermula pada tahun 1815 iaitu selepas tamat perang Napoleon melalui Kongres Vienna. Dalam Kongres Vienna 1815, menetapkan Persekutuan Jerman sebagai negeri penampan kepada penaklukan Perancis dan keadaan ini mendorong kepada kerjasama ekonomi yang turut menyemai penyatuan dalam bidang politik.

5.     Pada tahun 1818, Kesatuan Kastam (Zollverein) telah ditubuhkan di Prusia. Persatuan ini telah berusaha menghapuskan cukai antara wilayah bagi menggalakkan aktiviti perdagangan. Ini telah mendorong negeri-negeri di Jerman untuk menyertai persatuan pada tahun 1854 kecuali Austria. Perkembangan perdagangan ini telah menyebabkan negeri di Jerman menganggap Prusia sebagai pemimpin politik Jerman.

Proses Penyatuan Jerman

1.     Prusia dilihat sebagai memainkan peranan efektif ke arah penyatuan Jerman, apabila William 1 ditabalkan sebagai Raja Prusia yang baru pada 1861 percaya Prusia boleh memimpin penyatuan Jerman. Beberapa langkah ke arah tersebut telah dilaksanakan seperti memperbesarkan angkatan tentera melalui penambahan pegawai tentera, rekrut tentera yang ramai dan memanjangkan perkhidmatan sukarelawan kepada 3 tahun.

2.     Untuk merealisasikan tujuan tersebut, William 1 telah melantik Otto von Bismark, iaitu seorang junkers (tuan tanah) yang pernah menjadi ahli parlimen (1847), duta Prusia ke Rusia dan Perancis pada tahun 1859 dan telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru pada tahun 1862. Tugas utama Bismark ialah menjinakkan ahli-ahli parlimen Prusia supaya patuh kepada kehendak  kerajaan dan raja. Namun apabila parlimen menolak permintaan William 1, Bismark telah bertindak secara lebih agresif dalam merealisaikan proses penyatuan Jerman .

3.     Sebagai Perdana Menteri, Bismark merancang untuk mengukuhkan pasukan tentera dan memperkasakan ekonomi Prusia agar dapat mengurangkan pengaruh Austria dalam kalangan negeri-negeri Jerman.

4.     Untuk melaksanakan dasar ini, Bismark melibatkan Prusia dalam tiga peperangan. Peperangan pertama Bismark ialah menentang Denmark atas isu daerah Schleswig dan Holstein yang diperintah oleh Raja Denmark. Kedua-dua daerah ini mempunyai majoriti bangsa Jerman yang telah menyatakan sokongan kepada Bismark. Untuk mencapai tujuan tersebut, Bismark telah memujuk Austria supaya bersama memerangi Denmark pada 1864. Perang Prusia-Denmark ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Gastein pada Ogos 1865. Mengikut perjanjian ini menyaksikan Austria diberi hak untuk mentadbir Holstein manakala Prusia mengawal Schleswig.

5.     Namun demikian usaha penyatuan Jerman tidak dapat dilakukan sekiranya Austria tidak dapat ditakluki. Justeru itu, Bismark mula mendapat sokongan daripada sekutunya di Eropah untuk membantu. Beliau telah menawarkan bantuan kepada Rusia ketika Rusia berhadapan dengan pemberontakan di Poland. Manakala di Itali pula, Bismark telah menandatangani perjanjian pada 1866, iaitu Prusia akan membantu Itali untuk mendapatkan wilayah Venetia yang dikuasai oleh Austria.

6.     Bismark mendapat persetujuan William 1 serta ketua-ketua tentera untuk memerangi Austria namun ditentang oleh Parti Progresif yang menguasai parlimen. Bagi mengatasi senario tersebut, Bismark telah bertindak memberikan hak mengundi kepada semua lelaki dewasa dalam pilihanraya dan bukannya hanya kepada golongan lelaki bangsawan seperti yang diamalkan sebelum ini. Perubahan ini menyebabkan Parti Progresif kehilangan banyak kerusi di parlimen.

7.     Bagi meneruskan misinya, Bismark telah mengistiharkan perang ke atas Austria apabila menghantar tentera ke Holstein pada 15 Jun 1866 dengan menuduh pihak Austria melanggar Perjanjian Gastein iaitu kerajaan Austria telah melayan dengan buruk orang-orang Jerman yang berada di Austria. Perang ini mengambil masa selama 7 minggu, oleh sebab itu ia dikenali Perang Tujuh Minggu.

8.     Tentera Austria telah dikalahkan di Sedowa dan perang ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Prague pada tahun 1866. Mengikut perjanjian ini Austria dikeluarkan daripada kesatuan ini serta Austria serah Holstein kepada Prusia dan wilayah Venetia diserahkan kepada Itali. Kejayaan ini telah membolehkan Bismark mengabungkan semua negeri-negeri utara Jerman menjadi Pergabungan Jerman Utara.

9.     Prusia berhadapan dengan Perancis dalam usaha menyatukan negeri-negeri Jerman. Napoleon III tidak akan menyokong rancangan Prusia memimpin penyatuan Jerman. Selepas tamat Perang Prusia-Austria, Perancis mula bimbang kebangkitan Prusia sebagai kuasa kuat di Eropah. Ini telah mendorong Perancis menuntut agar negeri-negeri Selatan Jerman diserahkan kepada Perancis sebagai balasan pertolongan Perancis kepada Prusia mengalahkan Austria.

10.  Dengan menggunakan tipu helah, Bismark telah berjaya memujuk negeri-negeri Selatan Jerman bersatu dengan Prusia. Selepas itu, berusaha memujuk sekutu-sekutu Perancis supaya tidak membantu Perancis. Dalam meneruskan misinya Bismark telah melancarkan perang ke atas Perancis pada Julai 1870. Perancis berjaya dikalahkan oleh Prusia pada tahun 1871 dan perang ini ditamatkan melalui Perjanjian Frankfurt.

11.  Mengikut perjanjian ini, Perancis serah wilayah Alsace dan Lorraine serta membayar ganti rugi perang sebanyak 3 ribu juta kepada Prusia. Selepas berjaya mengalahkan Perancis, Bismark telah menyatukan Jerman menjadi Empayar Jerman yang mengandungi 25 negeri kecuali Austria.

12.  Pada 18 Januari 1871, Raja William 1 dilantik sebagai Kaiser Jerman manakala Bismark menjadi Cancellor (Perdana Menteri). Walaupun setiap negeri mempunyai pemerintah sendiri dan ada sesetengahnya mempunyai tentera dan pegawai diplomatik, namun Kaiser mengetuai pentadbiran pusat. Kaiser berkuasa untuk mengarahkan tentera sewaktu peperangan dan menentukan dasar luar.

13.  Selepas berjaya menyatukan Jerman (1871), Bismark berusaha untuk mewujudkan keamanan di dalam dan luar negeri Jerman, membangunkan negara dan mengamalkan dasar berhati-hati dalam menjalinkan hubungan persahabatan dengan negara-negara Eropah. Bismark juga telah menanda tangani perjanjian 3 kuasa iaitu antara Prusia dengan Itali dan Austria yang dikenali sebagai Perikatan Bertiga. Tujuannya untuk menggelakkan daripada Perancis menyerang Jerman.

14.  Bismark juga telah memperkenalkan perlembagaan Jerman dengan menubuhkan parlimen yang mengandungi Majlis Persekutuan dan Diet Maharaja. Bismark juga berusaha menyekat pengaruh gereja, menyeragamkan sektor ekonomi, membangunkan sektor perindustrian, memajukan sektor pertanian dan perdagangan serta pemulihan sosial.



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.