Nuffnang Advertisment

Followers

Wednesday, 11 July 2012

RAJA BERKUASA MUTLAK DAN BERPERLEMBAGAAN DI ENGLAND

Raja Mutlak dan Raja Berperlembagaan Di England

Pengenalan
Raja Henry VII - Pengasas Dinasti Tudor Di England
1.     Selepas Zaman Pertengahan, telah berlaku kemerosotan sistem feudalisme di Eropah. Keadaan ini telah membolehkan raja-raja mengumpul kekayaan dan mengukuhkan kedudukannya. Ini telah membawa kepada penubuhan negara bangsa iaitu sebuah negara yang bebas daripada konsep dunia empayar dan di bawah kedaulatan raja berkuasa mutlak.

2.     Negara bangsa di Eropah terbentuk melalui dinasti, keluarga baharu, perkahwinan diraja dan konsep empayar. Perkembangan ini berlaku di negara England pada abad ke-15 dan England berada  di bawah pemerintahan beraja mutlak hampir 2 abad iaitu bermula pada 1485 setelah berakhirnya Perang Bunga Ros. Sistem pemerintahan ini diasaskan oleh Raja Henry VII dari Dinasti Tudor yang memerintah England dan berakhir pada tahun 1603 semasa pemerintahan Ratu Elizabeth I.

3.     Mengikut sistem raja berkuasa mutlak, seseorang pemerintah (raja) berkuasa sepenuhnya untuk menggubal dan melaksanakan segala dasar dan kedudukannya adalah mengatasi undang-undang negara.

4.     Sepanjang pemerintahan Dinasti Tudor, England mempunyai kerajaan yang stabil dan mendapat sokongan daripada rakyat. Kerajaan ini menghormati prinsip perbatasan kuasa pemerintah seperti mana yang terdapat dalam Magna Carta dan tidak membelakangkan parlimen.

5.     Dasar-dasar pemerintahan raja berkuasa mutlak di England seperti keagamaan, luar negeri dan perdagangan yang dijalankan oleh Raja Henry VII, Raja Henry VIII dan Ratu Elizabeth I diterima oleh rakyat.

6.     Namun demikian semasa pemerintahan Dinasti Stuart (1603-1688), sistem pemerintahan beraja mutlak semakin diperkasakan oleh Raja James I dan Raja Charles I sebelum bertukar kepada raja berpelembagaan.


Perkembangan Sistem Pemerintahan Raja Berkuasa Mutlak

1.     Selepas tamatnya Perang Bunga Ros, sistem pemerintahan beraja mutlak telah diterima oleh rakyat kerana ingin menamatkan keadaan huru-hara yang berlaku.  Sistem beraja mutlak yang diasaskan oleh  Dinasti Tudor memperlihatkan sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat sokongan rakyat. Pemerintahan Dinasti Tudor adalah berdasarkan kepada Magna Carta iaitu satu piagam yang digubal untuk mengawal kuasa raja. Raja-raja Tudor tidak mementingkan prinsip kesucian raja dalam melaksanakan pemerintahan mereka

2.     Raja-raja Tudor dapat bekerjasama baik dan dapat mengawal 2 buah dewan parlimen England yang terdiri daripada House of Lords (tuan tanah, bishop dan kerabat diraja) dan House of Common (knight, orang kaya dan peguam).

3.     Pada abad ke-17, muncul golongan gentry di luar bandar yang memiliki tanah dan menjadi kaya daripada golongan bangsawan. Di bandar pula muncul golongan bourjois yang semakin kaya dan menguasai ekonomi melalui kegiatan perdagangan. Kedua-dua kumpulan mula berani mempertikaikan pengaruh politik golongan aristokrat dalam House of Lords.

4.     Pada abad ke-17 juga, wujud perbalahan antara mazhab Kristian di England iaitu antara penganut Protestan (golongan puritan) yang tidak berpuas hati dengan gereja Anglican (gereja kebangsaan di England) di atas pengamalan tradisional gereja Kristian (Katolik). Golongan puritan ini ingin membersihkan amalan agama di England daripada pengaruh gereja Katolik Rom dan mahu gereja di England bebas daripada kawalan politik.

5.     Golongan puritan menjadi semakin berpengaruh dan menarik minat pelbagai golongan masyarakat kerana dalam ajaran mereka mengutamakan kehidupan berdisiplin dan menolak upacara atau istiadat agama yang tradisional. Pemerintah Dinasti Tudor berjaya menangani dengan baik tentangan golongan puritan yang tidak berpuas hati dengan golongan anglican dan ingin mewujudkan gereja yang bebas daripada kawalan politik.

6.     Selepas berakhir Dinasti Tudor pada tahun 1603, maka bermula pula era pemerintahan Dinasti Stuart (1603-1702) di England yang diasaskan oleh Raja James I dari Scotland. Namun dasar pemerintahan Dinasti Stuart berbeza dengan Dinasti Tudor, dan ini telah membawa penentangan parlimen dan berlaku kebangkitan golongan puritan sehingga membawa tercetusnya perang saudara yang dikenali sebagai Revolusi Puritan (1642-1648).

7.     Raja James I merupakan raja yang berpegang kuat kepada doktrin kuasa suci raja. Baginda menegaskan bahawa kedudukan raja mengatasi kedudukan undang-undang. Oleh itu semua pihak seperti parlimen, mahkamah, gereja,  dan sebagainya mesti berkhidmat kepada raja dan bukannya berkongsi kuasa.

8.     Pemerintahan Raja James 1 mendapat tentangan daripada golongan puritan dan ahli-ahli parlimen kerana baginda mengamalkan dasar agama yang lebih memihak kepada mazhab Katolik. Golongan puritan juga telah menolak bishop yang dilantik oleh Raja James I dan kemarahan golongan ini memuncak apabila baginda mengahwinkan puteranya dengan puteri dari Perancis yang bermazhab Katolik. Tindakan baginda yang membelakangkan parlimen dalam urusan pengenaan cukai telah memburukkan lagi hubungan Raja James I dengan golongan puritan.

9.     Ketegangan hubungan ini telah mendorong Raja James I membubarkan parlimen pada tahun 1611. Tindakan baginda telah menyebabkan keadaan politik England kucar kacir dan lebih memburukkan keadaan apabila Raja Charles I yang memerintah England pada tahun 1625 juga tidak menyukai golongan puritan. Baginda juga bertindak membelakangi parlimen dalam urusan pengutipan cukai. Mana-mana ahli parlimen yang menentang baginda telah ditahan dan tentera akan mengawal mereka.

10.  Akibat tidak berpuas hati dengan pemerintahan kuku besi raja, maka rakyat telah bersatu untuk menafikan kuasa mutlak raja. Akibatnya pada tahun 1628 parlimen telah mengemukakan Petition of Right yang mengutuk tindakan autokratik raja. Akibat kecaman ini baginda telah menangkap 9 orang ahli parlimen yang menentang baginda secara terbuka di parlimen.  Sehubungan itu, baginda membubarkan parlimen dan memerintah secara mutlak tanpa parlimen selama 11 tahun.

11.  Raja Charles I telah mengenakan pelbagai jenis cukai dengan bebas dan menaikkan cukai dengan sewenang-wenangnya telah mengancam ahli-ahli parlimen. Dalam aspek agama pula, Raja Charles I memulihkan semula amalan roman khatolik sebagai amalan dalam gereja Anglican yang menyebabkan kebangkitan golongan puritan.

12.  Pada tahun 1639, Raja Charles I telah menubuhkan semula parlimen untuk tujuan mendapatkan peruntukkan yang diperlukan oleh baginda tetapi ahli parlimen enggan bekerjasama dengan baginda. Ini telah mendorong baginda membubar semula parlimen yang baru ditubuhkan dalam masa 3 minggu dan menangkap beberapa ahli parlimen.

13.  Pada tahun 1642, rusuhan telah berlaku di Ireland yang telah menyebabkan beberapa orang British bermazhab Protestan dibunuh oleh penganut Katolik. Sekali lagi berlaku pertikaian tentang penubuhan tentera sama ada dikendalikan oleh raja atau parlimen. Akhirnya peperangan telah berlaku dan tentera gereja di bawah pimpinan Oliver Cromwell telah berjaya mengalahkan tentera raja pada tahun 1645 dan tahun 1648.

14.  Raja Charles I telah dihukum bunuh dan parlimen telah mengisytiharkan England sebuah negara republik dengan Oliver sebagai ketua negara yang baharu. Pemerintahan Oliver berhadapan dengan kebangkitan 2 golongan iaitu levellers dan diggers yang dianggap mengancam pemerintahannya.

15.  Pada tahun 1658, Oliver meninggal dunia dan diganti dengan anaknya iaitu Richard Cromwell. Walau bagaimanapun dalam masa setahun memerintah beliau telah meletakkan jawatannya kerana tidak mendapat sokongan parlimen dan tentera.


Perkembangan Raja Berperlembagaan di England

1.     Sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak telah digantikan dengan raja berperlembagaan selepas berakhirnya Revolusi Cemerlang yang berlaku secara aman dan memberi impak yang besar terhadap perubahan landskap politik England selepas 1688.

2.     Raja Charles II telah ditabal sebagai raja England selepas Richard Cromwell meletak jawatannya dan mesti mengamalkan sistem beraja berperlembagaan. Sistem pemerintahan raja berperlembagaan juga membawa kepada perkembangan politik kepartian apabila wujud dua buah parti iaitu Parti Whig dan Parti Torries yang sebahagian besarnya dikuasai oleh golongan aristokrat, gentry dan bourjuis. Golongan rakyat atau kelas bawahan masih tidak diberikan ruang untuk terlibat secara langsung dalam politik di England ketika itu.

3.     Selepas Raja Charles II meninggal dunia pada tahun 1685, diganti pula oleh Raja James II yang lebih cenderung untuk memulihkan kembali doktrin kuasa suci raja. Oleh itu Raja James II telah disingkirkan dan kemudiannya Marry II dan Raja William of Orange telah ditabal sebagai raja England yang baharu selepas berlakunya Revolusi Cemerlang (1698) tanpa berlaku pertumpahan darah.

4.     Parlimen meluluskan Toleration Act dan Bill of Right pada 1699. Raja berperlembagaan adalah sejenis kerajaan yang ditubuhkan di bawah sistem berperlembagaan yang mengiktiraf raja sebagai ketua negara.

5.     Toleration Act bertujuan mewujudkan kebebasan beragama bagi penganut Kristian yang bermazhab Protestan di England. Manakala Bill of Right pula mengemukakan beberapa peruntukan berhubung dengan bidang kuasa raja dalam soal undang-undang dan pencukaian serta keadilan dan hak untuk mengecapi kebebasan.

6.     Raja berperlembagaan di England memerintah berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh parlimen dan tidak lagi mempunyai kuasa autokratik. Raja tidak boleh memansuhkan undang-undang yang telah diluluskan oleh parlimen. Raja tidak dibenarkan untuk campur tangan dalam urusan mahkamah dalam aspek penguatkuasaan undang-undang

7.     Kedudukan parlimen menjadi semakin kuat apabila Act of Settlement diluluskan pada 1701 yang menetapkan hanya raja yang bermazhab protestan sahaja yang layak menjadi raja. Raja juga bertanggungjawab kepada parlimen sebagai institusi yang mewakili rakyat dan mempunyai keutuhan dalam soal legislatif dan eksekutif. Sistem pemerintahan beraja mutlak di England juga telah menghapuskan pergeseran antara raja dengan parlimen dalam soal-soal dasar pemerintahan dan keadaan ini secara langsung telah memperkukuhkan perpaduan dalam politik negara tersebut.

8.     Raja boleh menghadapi Petition of Right yang dikemukakan oleh rakyat dan mempertahankan kedudukannya berdasarkan undang-undang. Dalam menjalankan pemerintahan, raja tertakluk kepada perlembagaan dan juga dibatasi oleh undang-undang bagi membenarkan sesuatu tindakan yang diambil oleh raja

9.     Oleh yang demikian pada 1689 bermula sistem pemerintahan raja berpelembagaan di England dan kekal sehingga hari.



3 comments:

  1. mohon ckgu bagi nota utk zaman pencerahan or elghtment..

    ReplyDelete
  2. assalamualikum cikgu..pemerintahan Raja mutlak dan Raja berperlembagaan di Perancis..boleh cikgu bagi notanya?..Nota cikgu sangat membantu saya dan kawan2 di sekolah ..terima kasih..

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah nota cikgu membantu saya dan kawan2, sekarang susah nak dapatkan nota untuk STPM modular.... terima kasih...
    nota ringkas lagi padat ;)

    ReplyDelete

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...