Nuffnang Advertisment

Followers

Thursday, 5 July 2012

REVOLUSI DI CHINA (1911) DAN SIAM (1932)

Bincangkan faktor-faktor yang mencetuskan Revolusi China 1911 dan Revolusi Siam
1932.

A.  PENGENALAN:
Dr. Sun Yat Sen dan Pridi Panomyong
1.   Mulai awal abad ke-20, masyarakat tempatan di negara China dan Siam telah mula menunjukkan keinginan untuk melakukan perubahan di negara masing­-masing yang membawa kepada tercetusnya Revolusi China pada tahun 1911 dan Revolusi Siam 1932.

2.   Revolusi China 1911 telah dilakukan oleh golongan revolusiner yang dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen, Liang Chi Chao dan lain-lain. Revolusi ini dilancarkan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan beraja mutlak iaitu Dinasti Manchu dan menggantikannya dengan kerajaan republik.

3.   Sementara Revolusi Siam pula telah dicetuskan oleh golongan intelektual berpendidikan Barat yang diterajui oleh Pridi Panomyong, Pya Bahol dan Phibul Songgram serta ahli-ahli Parti Rakyat (People’s Party). Revolusi ini berlaku selama 3 hari sahaja tanpa menumpahkan darah. Tujuan utama revolusi ini dilancarkan adalah untuk mengubah pentadbiran daripada sistem beraja mutlak kepada raja berperlembagaan.


B.  ISI:

REVOLUSI CHINA 1911.

1.   Faktor-faktor berlaku revolusi:

a)   Kelemahan kerajaan Manchu

i.    Rakyat ingin menggulingkan kerajaan Manchu kerana pegawai-­pegawainya telah mengamalkan korupsi dan penyelewengan.

ii.   Kerajaan Manchu juga sering mengalami kekalahan dalam peperangan-­peperangannya dengan Barat. Ini menyebabkan rakyat China menganggap yang Manchu telah ‘hilang mandat dan syurga’ dan perlu digantikan dengan kerajaan yang baru. Oleh itu rakyat China telah menyokong idea Dr. Sun Yat Sen untuk menubuhkan kerajaan republik.

b)   Kesengsaraan sosio-ekonomi rakyat China

i.    Rakyat China semakin sengsara dari segi sosio-ekonomi apabila negara mereka sering dilanda bencana-bencana alam seperti kemarau, banjir dan tanah runtuh. Keadaan ini menyebabkan rakyat hilang punca pendapatan serta bekalan makanan yang tidak mencukupi. Ini menyebabkan mereka telah menyalahkan kerajaan Manchu.

ii.   Manchu juga tidak begitu menghiraukan kebajikan rakyat terutama orang­-orang China tulen. Ini telah menyemarakkan lagi perasaan anti-Manchu di kalangan rakyat.

c)   Pengaruh gerakan revolusioner

Rakyat China juga telah terpengaruh dengan idea-idea revolusioner yang dibawa oleh golongan intelek seperti Kang Yu Wei, Liang Chi Chao dan Dr Sun Yat Sen. Keadaan ini turut mempercepatkan lagi berlakunya revolusi ini.

d)   Kemajuan sistem komunikasi dan pengangkutan

Kemajuan sistem komunikasi seperti sistem telegraf dan pos serta sistem pengangkutan seperti jalan raya dan jalan keretapi telah menyebabkan aliran perjuangan revolusi dapat disebarkan dengan cepat di seluruh negara China terutama ke kawasan pedalaman. Keadaan ini mempercepatkan lagi proses revolusi.

e)   Tindakan Manchu memilik negarakan jalan-jalan keretapi

Keadaan ini telah menyebabkan timbul rasa tidak puas hati di kalangan pembesar­-pembesar wilayah yang telah hilang punca pendapatan mereka sejak sekian lama. Ini menyebabkan golongan pembesar ini telah menyokong golongan revolusi.


REVOLUSI THAI 1932

Revolusi Thai merupakan revolusi yang agak berbeza dengan revolusi-revolusi lain kerana ianya tidak berlaku di seluruh negara Thai, hanya melibatkan 170 orang sahaja yang terdiri danpada ahli-ahli parti Rakyat, tidak menumpahkan darah dan berlaku secara aman. Revolusi ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin intelek dan tentera di bawah pimpinan Pridi Panomyong, Pya Bahol, Phibul Songgram dan Khuang Aphaiwong.

1.   Faktor-faktor berlaku:

a)   Kemunculan golongan berpendidikan Barat

Golongan ini muncul ekoran daripada perkembangan sistem pendidikan yang dilakukan oleh Raja Mongkut dan Raja Chulalongkorn. Golongan ini telah terdedah kepada idea-idea Barat seperti demokrasi, liberalisme, sosialisme dan anti-monarki. Apabila pulang ke Siam, mereka ingin mengubah struktur pemerintahan Siam yang masih berbentuk monarki raja. Oleh itu, golongan ini telah menubuhkan sebuah parti yang dikenali sebagai Parti Rakyat untuk merealisasikan perjuangan mereka.

b)   Rasa tidak puas hati rakyat semasa pemerintahan Raja Vajiravudh (1910-1925)

Populariti monarki mutlak raja telah merosot ketika pemerintahan Raja Vajivarudh iaitu Rama VI (1910-1925) ekoran daripada tindakan baginda yang mengamalkan nepotisme, kronisme, boros dan kemuncaknya ialah penubuhan pasukan tentera peribadinya iaitu ‘Wild Tiger Corps’. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati tentera kerajaan yang kemudiannya cuba melakukan rampasan kuasa sebanyak dua kali tetapi gagal.

c)   Kelemahan pemerintahan Raja Prajadhipok (1925-1935)

Kemunculan Rama VII iaitu Raja Prajadhipok (1925-1935) memburukkan lagi keadaan kerana cubaan baginda untuk memulihkan ekonomi negara telah menyemarakkan lagi perasaan tidak puas hati rakyat kerana rakyat merasai kesan ekonominya seperti memotong gaji pegawai-pegawai kerajaan dan tentera, menamatkan tugas pegawai-pegawai istana dan lain-lain.

d)   Perbalahan antara Menteri Perdagangan dan Menteri Peperangan

Ketidakpuasan hati rakyat terhadap sistem monarki semakin meruncing apabila berlaku perbalahan dalam kabinet Prajadhipok antara Menteri Perdagangan iaitu Putera Purachatra dengan Menteri Perang iaitu Putera Bovaradej pada Oktober 1931. Keadaan ini memuncakkan lagi apabila rakyat tidak yakin terhadap pemenntahan beraja di Siam.


C.   KESIMPULAN:

1.   Sebagai kesimpulannya kita dapati, revolusi yang berlaku di negara China dan Siam telah meninggalkan kesan yang berbeza.

2.   Di negara China, revolusi ini telah berjaya menjatuhkan kerajaan beraja mutlak dan digantikan dengan kerajaan republik. Walau bagaimanapun, kerajaan republik ini tidak dapat dijalankan sepenuhnya kerana pemimpin dan rakyat negara China tidak memahami istilah republik. Keadaan ini menyebabkan muncul golongan beridealogi komunis yang kemudiannya berjaya menubuhkan kerajaan Republik Komunis mulai tahun 1949.

3.   Di Siam pula, keadaan agak berbeza kerana revolusi ini hanya berjaya mengubah kerajaan beraja mutlak sahaja dan digantikan dengan kerajaan demokrasi beraja berperlembagaan. Walaupun demokrasi cuba dijalankan di Siam namun ianya amat terhad kerana campur tangan pihak tentera dan sering kali berlaku rampasan­-rampasan kuasa sebelum dan selepas Perang Dunia yang kedua.




1 comment:

  1. Bagaimana nak jawab jika soalan berbentuk...

    Sejauhmanakah wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap pemerintah telah membawa kepada gerakan rovolusi di China dan Siam.

    ReplyDelete

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...