Nuffnang Advertisment

Followers

Tuesday, 3 July 2012

SISTEM BERMAHARAJA DI CHINA

Konsep Raja/Maharaja

Sistem pemerintahan beraja atau maharaja merupakan satu sistem pentadbiran yang meletakkan raja/maharaja pada kedudukan teratas dalam hierarki politik dan struktur sosial serta menjadi kuasa penentu dalam pentadbiran kerajaan. Dalam hubungan ini, kedudukan mereka sebagai seorang individu yang paling berkuasa adalah amat penting dalam masyarakat. Seseorang raja atau maharaja mempunyai peranan yang cukup besar dan secara peribadi merupakan perlambangan kepada kedudukan kerajaan. Seseorang raja/maharaja yang berwibawa dan disegani seharusnya berupaya mengekalkan kesejahteraan rakyat daripada sebarang bentuk ancaman sama ada secara fizikal mahupun bencana alam. Kejayaan seseorang raja/maharaja mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial. Keadaan ini menjadikan seseorang raja/maharaja sebagai penentu kepada hala tuju sesebuah kerajaan. Kejayaan seseorang raja/maharaja mengekalkan kuasa menandakan kejayaan peribadi seseorang raja/maharaja dan seterusnya menjamin kedudukan raja atau maharaja kekal di puncak kekuasaan.

Sistem Pemerintahan Kemaharajaan di China

Di negara China, kewujudan sistem maharaja dikatakan bermula sejak zaman Dinasti Hsia yang dianggap sebagai dinasti pertama dan berkekalan sehingga tahun 1911. Antara dinasti yang wujud lanjutan daripada Dinasti Hsia ialah Dinasti Shang (1750 SM), Dinasti Chin, Dinasti Sung, Dinasti Sui, Dinasti Tang, Dinasti Ming dan Dinasti Ching (Manchu).

Pemerintahan bercorak maharaja di negara China berakhir dengan berlakunya Revolusi pada tahun 1911. Sehubungan itu, walau sekerap mana sekalipun penggantian dinasti berlaku namun kedudukan maharaja sebagai pemerintah tertinggi tetap terpelihara. Maharaja kekal kedudukannya sebagai tonggak terpenting dalam kerajaan selagi berupaya mengekalkan mandat dari syurga. Maharaja China menjalankan pelbagai peranan dalam memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah di negara China sehingga kejatuhan Dinasti Manchu pada 1911.

Kedudukan Maharaja

Memerintah Berdasarkan Ajaran Confucius

Dalam mengabsahkan kedudukan maharaja dalam sistem pemerintahan di negara China, ia haruslah dilihat melalui kombinasi beberapa aspek terutamanya antara falsafah Confucius dan kepercayaan masyarakat terhadap perkembangan politik semasa yang melibatkan maharaja dengan kerajaan yang ditadbir serta hubungannya dengan kesejahteraan masyarakat pada ketika itu.

Konsep Manadat Dari Syurga

Kedudukan politik seseorang maharaja adalah dilegitimasikan berdasarkan konsep mandate of haeven atau mandat dari syurga. Konsep ini secara langsung meletakkan maharaja sebagai wakil syurga atau anak syurga (Tuhan) dan ia memberi kuasa spiritual yang tidak terhingga kepada seseorang maharaja.

Konsep ini juga menjelaskan bahawa Tuhan telah menganugerahkan  kepada maharaja tersebut satu kuasa untuk memerintah dan sehingga kuasa tersebut ditarik balik, tiada kuasa lain yang boleh mendakwa baginda atas segala tindakan baginda.

Dalam hal ini, ahli falsafah terkenal China, Kung Fu-Tze menyatakan bahawa, “sesiapa (maharaja) yang berjaya mendapat mandat dari syurga akan berjaya menjadi maharaja, namun sekiranya mandat tersebut ditarik balik, ia (maharaja) akan dianggap sebagai penjenayah dan harus digulingkan”. Justeru bagi mengekalkan legitimasinya, seseorang maharaja harus memastikan kehidupan rakyat sentiasa berada dalam keadaan tenteram, harmoni dan makmur. Sekiranya maharaja tersebut gagal, maka mandatnya dianggap telah ditarik balik dan harus digantikan dengan seseorang yang lain yang mendapat mandat  baru dari syurga.

Kedudukan Maharaja Dalam Susun Lapis

Dalam susun lapis masyarakat pula, maharaja berada pada kedudukan tertinggi dalam sistem feudal. Justeru dalam mengekalkan kedudukannya, maharaja membahagikan negara China kepada dua bahagian, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan wilayah. Bagi membantu maharaja di peringkat pusat, golongan sarjana yang berpendidikan dan lulus peperiksaan awam dalam ajaran Confucius bertanggungjawab membantu dalam menggubal dasar-dasar awam serta melaksanakan arahan maharaja ke peringkat bawahan.Golongan ini mendapat status yang tinggi di istana serta berpengaruh dalam kalangan rakyat disebabkan pengetahuannya dalam ajaran Confucius. Di peringkat wilayah pula, pentadbiran lam dipertanggungjawabkan kepada golongan warlord atau hulubalang. Golongan ini membentuk pentadbiran sendiri di peringkat wilayah. Jarak yang jauh di antara peringkat pusat dan wilayah, memudahkan mereka membentuk sistem pencukaian, tentera dan pentadbiran sendiri.

Kedudukan seseorang maharaja semakin diperkukuhkan melalui falsafah dan ajaran Confucius yang meletakkan kesetiaan kepada maharaja sebagai keperluan kepada masyarakat selain isteri taat kepada suami dan anak taat kepada ibu bapa. Ajaran Confucius yang kemudianya menjadi ideologi politik dalam pembentukan sistem pentadbiran dinasti di China secara tidak langsung memperkasakan lagi kedudukan seseorang maharaja sebagai pemerintah. Sejak zaman dinasti-dinasti awal lagi, ajaran Confucius menjadi pegangan dalam pemerintahan. Ia membentuk satu aliran falsafah yang utama di China dan seterusnya menjadi asas kepada kebudayaan masyarakat tempatan di negara berkenaan sehingga kedatangan orang-orang Barat.


Peranan Maharaja di China

1.     Politik

Ketua pemerintah
Dalam sistem pemerintahan Maharaja merupakan ketua pemerintah tertinggi negara yang berkuasa mutlak. Maharaja berkuasa penuh dalam semua aspek yang merangkumi politik, ekonomi dan sosial. Segala perintah maharaja rakyat tidak boleh engkar dan jika engkar rakyat boleh dijatuhkan hukuman yang berat. Maharaja China juga sebagai ketua perundangan, eksekutif, & kehakiman. Untuk melicinkan pentadbiran Maharaja dibantu oleh Jabatan Setiausaha Tinggi dan Majlis Tertinggi.Terdapat 6 orang pembesar kanan. Maharaja juga menubuhkan jabatan khas  iaitu Jabatan Penapis sebagai mata dan telinga dan maharaja.

Melantik golongan pembesar
Maharaja China mempunyai peranan yang sangat besar dalam urusan melantik golongan pembesar sama ada di peringkat pusat atau wilayah. Golongan pembesar yang akan dilantik oleh maharaja ini perlu lulus dalam peperiksaan awam China yang diadakan diperingkat pusat, wilayah dan kampung. Maharaja perlu melantik golongan pembesar yang benar-benar boleh menjalankan tugas mereka kerana kuat atau lemah seseorang maharaja itu bergantung kepada mereka. Golongan pembesar ini dianggap sebagai tulang belakang atau tiang kerajaan untuk menunjukkan betapa pentingnya golongan ini. Mereka akan membantu maharaja dalam pemerintahan sama ada diperingkat pusat atau wilayah.
 
Memerintah berdasarkan prinsip Confucianisme.
Mengikut ajaran Confucius, “sesiapa berjaya mendapat mandat dari syurga akan berjaya menjadi pemerintah yang baik dan rakyat dapat menikmati kehidupan yang aman serta makmur”. Sekiranya bencana alam berlaku menunjukkan bahawa maharaja yang memerintah tidak lagi mempunyai mandat dari syurga  dan dianggap sebagai penjenayah. Maharaja mesti memerintah negara berdasarkan prinsip-prinsip anjaran confuciannisme.

Menggubal undang-undang
Maharaja China juga berperanan dalam pengubalan undang-undang yang akan digunakan di negara China. Setiap arahan atau kata maharaja akan menjadi undang-undang. Kedudukan maharaja adalah mengatasi undang-undang. Sistem perundangan yang digubal akan memastikan kedudukan maharaja terjamin sebagai pemerintah berkuasa mutlak dan untuk memastikan negara sentiasa aman dan selamat. Maharaja juga menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh.

Sebagai ketua tentera
Maharaja adalah sebagai ketua tentera dan bertanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman negara serta rakyat. Baginda akan dibantu oleh golongan pembesar yang bertanggungjawab dalam bidang keselamatan terutama golongan bangsawan perang dan anggota tentera.

2.  Ekonomi

Maharaja perlu memastikan ekonomi negara China sentiasa berkembang dan mampu memenuhi keperluan dalam negara iaitu sesuai dengan pengamalan dasar tutup pintunya. Maharaja menguasai semua hasil ekonomi negara, menentukan dan menguasai semua sistem pungutan cukai negara, terlibat dalam kegiatan perdagangan, menaungi perdagangan Asia Tenggara dalam perdagangan ufti, menentukan sistem sukatan dan timbangan dan sebagainya.

3.  Sosial

Ketua agama
Maharaja China juga merupakan ketua agama yang diamalkan di negara China seperti Buddha, Toisme & Confucius. Baginda bertanggungjawab memastikan rakyatnya sentiasa mematuhi pengamalan agama yang dianuti di China dan memastikan kepercayaan agama mereka tidak dicemari oleh pengaruh luar seperti agama Kristian.

Ketua adat istiadat dan adat resam masy China.
Maharaja juga bertanggungjwab untuk memastikan setiap adat istiadat diraja dan adat resam dipatuhi setiap masa seperti adat kow-tow iaitu adat bersujud dihadapan maharaja sebanyak 9 kali tanpa boleh melihat wajah maharajanya. Adat ini mesti dilakukan oleh rakyat tempatan atau orang asing yang ingin mengadap maharaja. Maharaja juga perlu memastikan alat-alat kebesaran diraja sentiasa dijaga seperti lambang naga yang hanya boleh dipakai oleh Maharaja dan kerabat diraja sahaja.

Pamerkan diri sebagai pemimpin intelektual bagi seluruh rakyat.
Maharaja bertanggungjawab untuk menjadikan istana sebagai pusat perkembangan ilmu. Oleh itu istana telah dijadikan sebagai pusat peperiksaan awam kerajaan China untuk memilih kakitangan awam bagi menjawat jawatan tertinggi negara.


Kesimpulan

Sistem pemerintahan bermaharaja di China mula tergugat apabila berlakunya campurtangan kuasa Barat terutama apabila China mengalami kekalahan dalam Perang Inggeris-China I pada tahun 1842. Negara China yang semakin lemah dan kucar kacir ini telah mendorong golongan berpendidikan Barat melancarkan revolusi pada tahun 1911. Revolusi ini akhirnya telah berjaya menamatkan sistem pemerintahan bermaharaja di China dan kemudian diganti dengan sistem pemerintahan bercorak Republik dan selepas itu sistem pemerintahan Komunis. Ketua pemerintahannya adalah berjawatan sebagai Presiden.


Soalan-soalan Perbincangan:

a)     Huraikan kedudukan dan peranan raja/maharaja dalam pemerintahan di China pada abad ke-16.
b)     Bandingkan kedudukan dan peranan raja/maharaja dalam pemerintahan di China dengan Russia pada abad ke-16.
c)      Perundangan merupakan satu perkara penteng yang dijalankan oleh maharaja di China dan raja Rusia pada abad ke-16. Bincangkan.




6 comments:

  1. Soalan Perbincangan umum..

    Apakah yang anda faham tentang konsep mandat daripada syurga yang diamalkan dlm sistem bermaharaja di China. Apa kelebihan dan kelemahan konsep ini?

    ReplyDelete
    Replies
    1. mandat dari syurga umpama anugerah dan amanah tuhan kepada raja untuk memerintah di dunia

      Delete
  2. Assalamualaikum w.b.t

    sblum mmulakn, terima kasih kpd admin krna tlah mnyediakn nota2 sejarah . sngat bmanfaat..

    apa yg saya faham ttg konsep tsebut ialah, mharaja dgambarkn sbgai wakil dr syurga. konsep mandat ne juga mnjelaskn bhawa maharaja telah dianugerahkn kuasa oleh Tuhan utk mmerintah. mlalui konsep ni, maharaja mndduki hierarki plg atas dlm susun lapis masyarakat dan dpat pghormatan yg ttinggi di China.

    klebihan konsep ni, skiranya maharaja bjaya mmakmurkan dan bjaya mmerintah negaranya dgn baik , maka mharaja akn mdapat pghormatan tinggi dr rakyat . klemahannya pula, skiranya blaku malapetaka/bencana d negaranya, maka malapetaka tsebut mjadi ptunjuk bhawa maharaja gagal mdpat mandat dr syurga utk mmerintah dn rakyat akn mggantikn mharaja yg lain utk mdpatkn mandat dr syurga .. sekian sahaja bdasarkn apa yg saya faham . terima kasih :)

    ReplyDelete
  3. Betul kata Fatinah..

    Konsep mandat dari syurga memang amat penting dalam sistem bermaharaja di China. Adanya mandat ini maharaja akan berkuasa segala-galannya. Tetapi apabila madat ditarik balik maharaja akan dianggap sebagai penjenayah boleh digulingkan. Oleh kerana adanya mandat inilah negara China sering bertukar dinasti, tidak seperti negara lain..

    ReplyDelete
  4. terima kasih daun keladi ada maso kto jmpo lagi
    kepada penulis thnk,sbb bagi ilmu yg bergna kpd sy.

    ReplyDelete

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...