Nuffnang Advertisment

Followers

Sunday, 5 August 2012

EKONOMI FEUDALISME DI PERANCIS

Pengenalan


Pada abad ke-16M, Perancis juga mengamalkan sistem ekonomi feudalisme yang hampir sama dengan Jerman. Masyarakat Perancis juga masih terikat dengan sistem feudal iaitu penguasaan golongan bangsawan dan tuan tanah ke atas golongan petani. Ekonomi feudalisme di Perancis boleh dilihat dalam 4 bidang iaitu pertanian, perdagangan, perindustrian dan institusi kewangan.


P
ertanian

1.       Pada abad ke-16M, Perancis juga masih bergantung kepada bidang pertanian yang diusahakan oleh masyarakat yang tinggal di desa. Petani masih terikat dengan tuan-tuan tanah dan perlu berkhidmat kepada mereka di bawah sistem manor. Mengikut sistem ini, petani akan tinggal di tanah milik tuan tanah, mengusahakan tanah tuan tanah, membekalkan kayu api, membina jalan dan membayar cukai kepada tuan tanah.

2.       Kegiatan pertanian di Perancis menggunakan kaedah tanah lapang iaitu tanah-tanah ini dibahagi kepada 3 bahagian atau pusingan penanaman. Pusingan pertama akan ditanam dengan tanaman bijirin seperti oat dan barli pada musim bunga, kemudian ditanam dengan gandum pada musim luruh dan pusingan yang terakhir tanah tersebut dibiarkan kosong. Ketika ini binatang ternakan seperti kuda dan lembu akan dilepaskan untuk meragut rumput yng tumbuh.

3.       Walau bagaimanapun, berlaku perubahan secara perlahan dalam bidang pertanian di selatan Perancis apabila golongan bangsawan telah mula memajak dan menyewakan tanah mereka kepada petani untuk mendapatkan keuntungan. Petani tidak lagi menjadi hamba atau serf tetapi telah menjadi penyewa tanah yang bebas.

4.       Petani telah digelar sebagai metayers di mana mereka bukan sahaja bertani tetapi telah melakukan pekerjaan lain seperti menternak lembu daging dan lembu susu kemudian dijual di pasar-pasar.

5.       Bagi memajukan bidang pertanian, Raja Henry IV telah mengarahkan menterinya Duke Sully memajukan bidang pertanian di Perancis. Beliau telah memperkenalkan beberapa pembaharuan seperti menghapuskan cara lama yang dilakukan oleh petani, membekalkan biji benih percuma, membiayai kegiatan penternakan, larangan memusnahkan hutan dan mengeringkan paya dikeluar, dan membangunkan kemudahan pengangkutan jalan raya, jambatan dan terusan.

6.       Pembaharuan ini telah menjadikan Perancis sebagai pengeluaran bijirin dan anggur merah dan hasil ini telah menjadi bahan dagangan utama Perancis ke Eropah seperti Belanda. Tanaman malberi dan penternakan ulat sutera juga telah diusahakan di Perancis. Ini telah mendorong berlakunya peningkatan pendapatan petani dan membawa perkembangan bandar Paris, Lyons dan Marseilles.

7.       Semasa pemerintahan Raja Louis XIV, pembaharuan dalam bidang pertanian juga turut dilaksanakan oleh menteri Jean-Baptiste Colbert. Antara pembaharuan yang dilaksanakan ialah peralatan pertanian petani tidak dibenarkan dirampas akibat hutang, menggalakkan aktiviti penternakan lembu dan kuda, membaiki jalan raya, membina terusan dan menyelaraskan cukai antara wilayah.

8.       Walaupun kegiatan ekonomi pertanian berkembang pesat tetapi petani kekal miskin dan ditindas oleh golongan tuan tanah. Golongan petani masih lagi dibebani dengan pembayaran cukai langsung dan cukai tidak langsung. Cukai langsung seperti cukai pendapatan, cukai keluarga dan cukai harta manakala cukai tidak langsung pula cukai garam dan cukai seigneur.

9.       Kehidupan petani bertambah sukar bila berlaku kemeleseten ekonomi pada tahun 1787-1789, tanaman tidak menjadi, kenaikan harga gandum, kekurangan makanan dan pelbagai tekanan lain. Akhirnya golongan petani telah bangkit menentang dan berjaya menumbangkan rejim feudal pada tahun 1789.


Sektor Perdagangan

1.       Kekayaan Portugal dan Sepanyol dalam penjelajahan dan perdagangan luar mendorong Perancis meluaskan tanah jajahan dan meluaskan perdagangan di seberang laut. Perancis memulakan penjelajahan dan membuka pusat perdagangan di India dan Amerika Utara. Ini telah membolehkan Perancis memonopoli perdagangan bulu dan membuka petempatan di Amerika.

2.       Pada tahun 1620-an, Perancis telah membuka petempatan di Hindia Barat, pangkalan di Chandernagore timur India dan pada tahun 1642 pula membuka bandar Montreal. Perkembangan perdagangan turut berlaku dalam negara iaitu bandar-bandar perdagangan telah muncul seperti bandar Champagne, Lyon dan Beaucaire.
3.       Untuk menggalakkan lagi perdagangan di Perancis, beberapa pembaharuan telah dilaksanakan oleh Jean-Baptiste Colbert seperti membina gudang senjata di Toulan dan pelabuhan, membina kapal di Rochefort, Calaeis, Brest dan Havre, melengkapkan pasukan tentera laut, menggalakkan pembukaan petempatan baru, menggalakkan migrasi golongan profesional dari luar Perancis, dan meyakinkan raja untuk berperang bagi meningkatkan perdagangan.

4.       Perdagangan di Perancis juga dapat berkembang kerana bantuan Raja Louis XIV seperti mengenakan tarif cukai yang tinggi kepada barangan asing dan kapal asing yang menggunakan pelabuhan Perancis serta memberi bantuan kewangan kepada industri perkapalan.

5.       Pembaharuan dan dasar yang dilaksanakan ini telah mendorong berkembangnya beberapa industri kraf tangan berdasarkan daerah di Perancis seperti industri gelas di Paris; industri sutera di Lyon; industri kain bulu; pembukaan ladang tebu di San Domingo, Martinique dan Guadeloupe serta menjadi pembekal gula ke Eropah; perdagangan Perancis dengan Sepanyol meningkat; dan Levant menjadi pusat perdagangan utama.


Bidang Perindustrian

1.       Pada abad ke-16M, industri tekstil iusahakan secara besar-besaran untuk pasaran dalam negeri dan dieksport. Kain dan teknik pengeluaran sutera dari China dibawa masuk oleh pedagang Arab ke Eropah dan ini membolehkan Perancis mengeluarkan sendiri kain seperti di Tuscany.

2.       Industri kain telah berkembang di desa dan mereka berjaya mengeluarkan pakaian berasaskan kain bulu dan linen. Manakala masyarakat bandar pula menggunakan mesin untuk mewarnakan dan memutihkan kain sebelum dipasarkan.

3.       Di Perancis industri pertukangan juga berkembang iaitu tukang yang berkelayakan akan bekerja tanpa menerima upah selama beberapa tahun di rumah guru atau ahli pertukangan sebelum membuka pusat pertukangan sendiri apabila mereka kembali ke tempat asalnya. Mereka akhirnya menubuhkan kesatuan tukang untuk menjaga hasil pertukangan mereka. Barangan pertukangan Perancis seperti perabut telah mendapat tempat di pasaran pada tahun 1770.

4.       Perkembangan perdagangan dan galakan daripada kerajaan telah mengukuhkan kedudukan golongan saudagar @ borjois sehingga menyaingi kedudukan golongan aristokrat dalam bidang politik.


Institusi Kewangan

1.       Perkembangan perdagangan adalah didorong oleh perkembangan institusi kewangan di Perancis. Menjelang tahun 1500, pedagang tidak perlu membawa wang dengan banyak untuk urusan perdagangan. Penubuhan institusi kewangan ini banyak memudahkan urusan perdagangan dan kutipan cukai di Perancis.

2.       Sistem perbankan di Perancis berkembang pesat pada abad ke-18 dengan penubuhan institusi kewangan dan perbankan sepeti Paris Bourse (1724), Caisse ’Escompte (1776), Loterie Royale (1783).  


Kesimpulan

Perkembangan ekonomi feudalisme di Perancis begitu ketara dengan berlakunya banyak perubahan dalam sektor pertanian, perdagangan, perindustrian dan perbankan. Perkembangan ini telah memberi kelebihan kepada golongan saudagar sehingga boleh menyaingi kedudukan golongan aristocrat. Walau bagaimanapun, kemajuan ini tidak dinikmati sepenuhnya oleh golongan petani sehingga mereka bangkit melancarkan pemberontakan dan akhirnya berjaya menumbangkan rejim feudal.




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...