Nuffnang Advertisment

Followers

Friday, 19 October 2012

PERANG DUNIA PERTAMA (1914-1918)

 
Pengenalan


Perang Dunia Pertama berlangsung antara tahun 1914-1918 dan hanya berlaku dalam kalangan negara-negara Eropah sahaja. Negara-negara Eropah yang terlibat dalam peperangan ini ialah Jerman, Britain, Rusia, Perancis, Austria-Hungary, Serbia, Itali, Belgium dan Turki. Negara-negara di Asia dan Afrika turut dilibatkan apabila wilayah di kedua-dua benua tersebut menjadi rebutan negara-negara Eropah untuk dijadikan tanah jajahan. Perang Dunia Pertama melibat dua pihak iaitu Triple Alliance (Perikatan Tiga Kuasa) dan Triple Entente (Pakatan Tiga Kuasa). Akhirnya, Triple Entente yang dipimpin oleh Rusia berjaya menewaskan Triple Alliance yang diketuai oleh Jerman.

Sebab-Sebab Meletusnya Perang Dunia Pertama

1. Kegagalan sistem pakatan

a.      Kegagalan sistem pakatan untuk mewujudkan keseimbangan kuasa dalam kalangan negara-negara Eropah telah menjadi salah satu sebab meletusnya Perang Dunia Pertama. Sistem pakatan ini telah menyebabkan dunia Eropah terbahagi kepada 2 kuasa iaitu Triple Alliance (Perikatan Tiga Kuasa) yang diketuai oleh Jerman dan disertai oleh Austria-Hungary, Turki dan Bulgaria. Manakala Triple Entente (Pakatan Bertiga) pula diketuai oleh Rusia yang turut disertai oleh Perancis, Britain, Itali, Serbia, Romania dan Greece.  
b.      Tujuan pakatan ini ialah untuk menyekat mana-mana kuasa atau blok menjadi lebih kuat daripada lawannya. Selepas tahun 1870, sistem ini berjaya menghalang meletusnya peperangan dalam kalangan negara-negara Eropah sehingga tahun 1900.
c.      Sistem pakatan ini tidak lagi sesuai pada abad ke-20 disebabkan oleh wujudnya persaingan negara-negara Eropah untuk mendapat pengaruh di rantau Balkan setelah runtuhnya Empayar Turki Uthmaniyah, tindakan Jerman membesarkan tentera lautnya yang menimbulkan kebimbangan Britian dan tibdakan Perancis menggunakan bantuan Rusia dengan cara peperangan untuk mendapatkan semula Alsace-Lorraine.
d.      Keadaan ini menyebabkan wujudnya ketidakstabilan politik yang berterusan di Eropah. Pergolakan yang berlaku antara tahun 1911 hingga 1914 di negara-negara Balkan yang bebas daripada penguasaan Turki jelas menonjolkan kegagalan sistem pakatan sebagai satu cara mengawal negara-negara berdaulat dalam hubungan antarabangsa.
e.      Selepas tahun 1908, sistem pakatan ini tidak bermakna lagi apabila negara seperti Serbia yang disokong Rusia begitu bebas bertindak dengan menggunakan ketenteraan, tindakan Austria-Hungary dan Rusia untuk mengukuhkan pengaruh masing-masing dalam kalangan bangsa Slav dan tindakan Rusia berusaha mencari jalan keluar bagi angkatan lautnya dari Laut Hitam ke Laut Tengah dengan menguasai Selat Bosporus dan Istanbul.


2. Imperialisme Ekonomi

a.      Pada penghujung abad ke-19, negara-negara Eropah mula mencari tanah jajahan baru untuk membolehkan mereka menjadi kuasa yang kuat di Eropah seperti Jerman, Britain, Perancis dan Itali. Ini telah menyebabkan wujudnya persaingan antara negara-negara tersebut untuk mendapatkan tanah jajahan sama ada di Asia, Afrika dan Kepulauan Pasifik.

b.      Negara Jerman dan Itali yang belum mempunyai tanah jajahan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tanah jajahan. Oleh itu, Jerman telah memulakan tindakan dengan merampas tanah jajahan di Afrika daripada negara-negara yang dianggap lemah seperti Portugal dan Perancis pada tahun 1890-an. Manakala Itali pula cuba mendapatkan bekas jajahan Turki Uthmaniyah dengan menakluki Cyrenaica dan Tripoli dan menjadikannya tanah jajahan baharu yang dikenali sebagai Libya.
c.      Tindakan Jerman ini telah menimbulkan kebimbangan negara Britian dan Perancis terutamanya apabila Jerman telah bertindak  memperbesarkan angkatan lautnya. Oleh itu, Britain turut memperkuatkan angkatan lautnya untuk melindungi empayar dan aktiviti perdagangan antarabangsanya.Jerman dilihat mempunyai kekuatan ekonomi melebihi jirannya iaitu Britain dan Perancis, terutama dalam pengeluaran besi pada tahun 1900.
d.      Perancis cuba menyaingi Jerman di Morocco pada tahun 1911 sehingga hampir menggugat kestabilan di Eropah. Kehancuran kerajaan Turki Uthmaniyah menyebabkan munculnya negeri-negeri Slav yang baru seperti Serbia dan Bulgaria. Kesan semangat nasionalisme yang melampau,negeri-negeri kecil tersebut berjaya mengalahkan Turki keluar dari Eropah pada tahun 1908 hingga 1913.
e.      Keadaan ini dirumitkan lagi dengan minat kuasa-kuasa besar seperti Austria-Hungary dan Rusia untuk mendapatkan pengaruh politik. Pada tahun 1908, Austria-Hungary berjaya menakluki Bosnia-Herzegovina dan sasaran seterusnya ialah menguasai Serbia. Bagi menghalang serangan Austria-Hungary ke atasnya, Serbia berjaya mendapatkan sokongan Rusia yang bercita-cita menguasai Selat Bosporus dan sebahagian wilayah Turki. Ini telah mendorong ke arah meletusnya Perang Dunia Pertama di Eropah.
  
3. Perlumbaan dalam teknologi ketenteraan

a.      Perlumbaan senjata telah berlaku terutamanya antara Jerman, Britain dan Perancis yang telah membawa keuntungan kepada syarikat pengeluar senjata seperti Syarikat Krupp di Jerman dan Coventry Ordanance Work di Britain. Pada tahun 1906, Britain berjaya menghasilkan HMS Dreadnought iaitu sebuah kapal perang yang canggih dan terhebat di dunia pada ketika itu serta berkuasa tinggi untuk menyaingi angkatan tentera Jerman walaupun melibatkan peruntukkan perbelanjaan yang besar.
b.      Kuasa besar seperti Britain, Jerman, Rusia dan Austria-Hungary telah menambah lebih 50% perbelanjaan ketenteraan sekitar tahun 1908 hinggga 1914 terutama apabila golongan tentera semakin berpengaruh dalam bidang politik dan pentadbiran di sesebuah negara.
c.      Negara Jerman golongan tenteranya bertanggungjawab terus kepada Kaiser/Raja, nilai-nilai ketenteraan diterima oleh sebahagian besar rakyat Jerman dan rakyat telah memberi sokongan terhadap pengisytiharaan perang yang dibuat kerajaan pada tahun 1914. Peningkatan bilangan anggota tentera yang ketara selepas tahun 1900 telah meningkatkan ketegangan sedia ada dan perang tidak dapat dielakkan lagi.

4. Idea dan pendidikan

a.      Sistem pendidikan yang dilaksanakan di beberapa negara Eropah turut meningkatkan semangat patriotik yang akhirnya menyemai bibit-bibit ke arah peperangan. Kurikulum pendidikan di Jerman memberi penekanan terhadap bahasa Jerman telah berjaya menyuburkan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda.
b.      Manakala, persatuan-persatuan belia di Jerman diterapkan perasaan mengagungkan peperangan dan ciri-ciri keperwiraan dengan setiap anggota sehingga rakyat Jerman percaya mati dimedan pertempuran adalah lebih baik daripada mati di atas katil, malah nama mereka yang terkorban akan dipahat di tugu peringatan.
c.      Di Perancis pula, pendidikan Sejarah yang dilaksanakan pada tahun 1912 mengingatkan rakyatnya tentang kemungkinan berlakunya perang dan rakyatnya diingatkan supaya membuat persiapan yang sewajarnya. Setiap pelajar diberitahu kewajipan mempertahankan negara Perancis.

5. Pembunuhan Arcduke Franz Ferdinand

a.      Peristiwa pembunuhan Arcduke Franz Ferdinand iaitu pewaris takhta Austria-Hungary dan isterinya Duchess Sophie di Sarajevo pada 28 Jun 1914 oleh seorang pemuda Serbia yang merupakan ahli kongsi gelap Black Hand telah menjadi sebab serta-merta meletusnya Perang Dunia Pertama.
b.      Kerajaan Austria mengambil kesempatan daripada peristiwa ini untuk menghapuskan kedaulatan Serbia kerana Serbia sudah lama menghasut rakyat Austria yang berbangsa Serb supaya membebaskan diri daripada pemerintahan Austria. Tindakan Austria mendapat sokongan sekutunya iaitu Jerman.
c.      Melihatkan keadaan tersebut, Rusia yang merupakan sekutu Serbia memberi amaran kepada Austria dan bersiap sedia untuk menyerang Austria. Jerman yang bimbang dengan perkembangan tersebut meminta Rusia menghentikan persiapannya. Oleh kerana Rusia enggan menuruti saranan Jerman telah menyebabkan Jerman mengisytiharkan peperangan terhadap Rusia dan sekutunya.


Termeterainya Perjanjian Versailles

Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1919 telah menamatkan Perang Dunia Pertama. Perjanjian ini dianggap tidak adil kerana pihak yang kalah dipaksa menerima syarat-syarat yang berat sebelah. Jerman menerima hukuman yang berat daripada pihak yang menang (Triple Entente).


Syarat yang terpaksa dipatuhi oleh Jerman ialah:
a)     Menyerahkan 12% daripada jumlah penduduknya.
b)     Menyerahkan 13% daripada daerahnya termasuk ¾ hasil besi dan 1/5 hasil arang batu.
c)      Membayar ganti rugi dan pampasan  perang yang tinggi.
d)     Mengurangkan jumlah tentera.Jumlah tentera akan dikurangkan daripada 400,000 kepada 200,000 menjelang 30 September 1919 dan 100,000 menjelang 31 Mac 1920.
  
Matlamat perjanjian ini ialah untuk melumpuhkan Jerman sebagai satu kuasa besar. Rakyat Jerman begitu marah dan terhina dengan syrat-syarat tersebut. Perdana Menteri Jerman, Philip Scheidemann meletak jawatan sebagai tanda protes. Para perwakilan Jerman ke Versailles terpaksa menurunkan tandatangan mereka kerana yakin Jerman tidak mampu ingkar dan berperang semula.


Terbentuknya Liga Bangsa

Selepas Perang Dunia Pertama, Liga Bangsa dibentuk pada tahun 1919 bagi menjaga keamanan serta mengelak daripada berlakunya peperangan. Pertubuhan yang berpusat di Geneva ini berharap sebarang masalah antarabangsa dalam kalangan negara-negara anggota dapat diselesaikan melalui rundingan.

Hampir semua negara Eropah kecuali Rusia dan Amerika Syarikat menyertai pertubuhan ini dan taraf kuasa besar diberikan kepada Britain, Perancis, Itali dan Jepun. Di peringkat awal pertubuhan ini berjaya menyelesaikan masalah sempadan antara Bulgaria dengan Greece pata tahun 1926.

Bagaimanapun, ketiadaan Amerika Syarikat dan Rusia sebagai anggota melemahkan pertubuhan ini kerana berhadapan dengan masalah yang lebih mencabar pada tahun 1930-an seperti penaklukan Itali terhadap Habsyah dan penaklukan Jepun ke atas Manchuria. Liga ini telah dibubarkan pada bulan April 1945.


Kesan-kesan  Perang Dunia Pertama

A)    Kesan Politik

Rusia

1.     Menamatkan sistem pemerintahan beraja
Perang Dunia Pertama telah menamatkan pemerintahan beraja di Rusia di bawah kerajaan Tsar yang pernah memerintah Rusia selama 400 tahun. Perang Dunia Pertama telah menguji kemampuan kerajaan menghadapi keadaan semasa. Kekalahan demi kekalahan yang dihadapi oleh Rusia khususnya pertempuran dengan Jerman menyerlahkan kelemahan kerajaan Tsar. Kekalahan teruk tentera Rusia di medan perang menyebabkan kesetiaan sebahagian tentera berbelah bagi.

2.     Kerajaan hilang imej dan sokongan
Selain imej kerajaan beraja jatuh kepada golongan tentera dan kelas menengah, kerajaan juga kehilangan sokongan daripada golongan petani dan pekerja kerana tidak membela nasib mereka dalam suasana ekonomi yang muram kesan daripada Perang Dunia Pertama.

3.     Pejuang Revolusi berpecah
Pejuang-pejuang Revolusi yang terdiri daripada kelas menengah, pekerja dan petani telah berpecah ekoran daripada perbezaan kepentingan. Vladimir Lenin telah mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan pekerja dan petani serta menyokong rampasan tanah yang dilakukan oleh golongan petani.

4.     Kerajaan komunis terbentuk
Dengan sokongan daripada pekerja, petani, tentera dan komunis yang berdisiplin, Lenin berjaya menggulingkan pemerintahan dan membentuk sebuah kerajaan komunis yang pertama di dunia.

5.     Rusia kehilangan wilayah
Bagi menamatkan perang dengan Jerman dan Austria, Lenin telah menandatangani Perjanjian Brest-Litovsk pada 3 Mac 1918. Melalui perjanjian tersebut, Rusia telah kehilangan ¼ wilayahnya di Eropah yang diserahkan kepada Jerman dan ¾ sumber arang batu dan besi. Kejayaan tersebut turut dibantu oleh peranan ejen perisikan Jerman. 

6.     Wujud golongan kapitalis 
Pada tahun 1905, ekonomi Rusia mula berkembang tetapi perlahan berbanding dengan negara-negara Eropah Barat. Wujud sebilangan kecil golongan kapitalis yang menyediakan modal bagi melibatkan diri dalam perniagaan.

7.     Kemunculan golongan pekerja industri
Golongan tersebut membiayai dan menguruskan pembinaan kilang dan jalan kereta api. Situasi ini membawa kepada kemunculan golongan pekerja industri yang miskin dan persekitaran kerja yang kurang memuaskan. Jumlah pekerja industri kecil iaitu kira-kira 10% daripada penduduk Rusia pada tahun 1917.

8.     Penubuhan Parti Buruh Demokratik Sosial
Perkembangan dalam bidang ekonomi turut membawa kesan dalam bidang politik. Parti-parti politik ditubuhkan seperti Parti Buruh Demokratik Sosial oleh golongan pekerja yang kemudiannya dikenali sebagai Parti Komunis. Oleh kerana perselisihan pendapat, maka parti ini berpecah kepada dua iaitu Mensheviks yang dipimpin oleh Julius Martov dan Bolsheviks yang dipimpin oleh Lenin

9.     Berlaku demonstrasi/rusuhan
Demonstrasi diadakan di beberapa bandar yang disertai oleh golongan pekerja, petani dan pemimpin parti-parti politik yang akhirnya membawa kepada rusuhan ekoran polis kerajaan Tsar melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

10. Gerakan “Tanah, roti dan keamanan”
Dengan bantuan Jerman, Lenin kembali ke Rusia. Lenin dan Bolsheviks meminta “tanah, roti dan keamanan”. Tanah untuk diberikan kepada golongan petani  miskin manakala roti untuk diberikan kepada pekarja yang kelaparan. Keamanan pula bermaksud untuk menamatkan penglibatan Rusia dalam Perang Dunia Pertama. Bolsheviks berhasrat untuk menubuhkan kerajaan, khususnya untuk membela nasib pekerja dan petani. Demonstrasi terbesar berlaku di ibu negara iaitu di Petrograd, kini dikenali sebagai St.Petersburg. Walaupun Tsar telah melakukan sedikit pembaharuan politik dengan  menubuhkan Duma (Parlimen), namun Duma mempunyai kuasa yang terhad.


 Jerman dan Austria Hungary

1)    Keresahan rakyat bawahan
Perang Dunia Pertama yang berterusan menimbulkan keresahan dalam kalangan golongan bawahan seperti petani, pekerja dan tentera.

2)    Tentangan golongan ahli politik
Penentangan terhadap peperangan juga timbul dalam kalangan ahli-ahli politik walaupun sebelum ini mereka menyokong penglibatan kerajaan dalam Perang Dunia Pertama.

3)    Kaiser Wilhem II turun takhta
Dalam keadaan ekonomi dan sosial yang terumbang-ambing di samping keadaan perang yang tidak menentu, Kaiser Wilhem II bersetuju untuk turun takhta dan mendapat suaka politik di Belanda.


4)    Kerajaan republik terbentuk
Parti Sosialis Demokrat pimpinan Friedrich Ebert telah membentuk sebuah kerajaan republik yang dikenali sebagai Republik Weimer yang menggunakan khidmat golongan tentera dan pentadbir lama untuk mengendalikan urusan negara sehinggalah Adolf Hitler berkuasa pada tahun 1933 apabila semua pihak terpaksa mengikut semua kemahuannya dalam usaha menguasai Eropah.

5)    Dinasti Habsburg tamat
Kerajaan Austria-Hungary turut mengalami kemusnahan apabila Dinasti Habsburg ditamatkan. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pemberontakan yang dicetuskan oleh bangsa-bangsa yang pernah dikuasainya seperti Czech, Pole, Slovak, Finn dan Liithuania. Kejayaan pemberontakan tersebut telah menyebabkan lahirnya negara-negara baharu seperti Czechoslovakia, Estonia, Finland, Hungary, Latvia, Lithuania, Rumania dan Yugoslavia.

B)    Kesan Ekonomi

1)    Berlaku Inflasi dan kekurangan bekalan makanan
Di Jerman, kekurangan bekalan makanan menyebabkan berlakunya masalah inflasi dan terpaksa mengenakan catuan terhadap bahan makanan yang penting seperti roti, kentang, susu dan daging sehingga menyebabkan rusuhan anti-kerajaan pada tahun 1917 di Berlin dan Leipzip yang melibatkan hampir 300,000 orang pekerja.
Di Rusia, timbul masalah dalam sektor pertanian akibat kekurangan buruh kerana 4 juta buruh dalam sektor ini dikerah menyertai pasukan tentera. Keadaan tersebut menyebabkan pengeluaran pertanian terus berkurangan.

2)    Kejatuhan Nilai Mata Wang
Pada tahun 1922, nilai mata wang Jerman iaitu Mark telah menjunam turun hingga kurang daripada seperseratus daripada nilainya pada tahun 1914. Pengeluaran industri Jerman juga terjejas. Pengeluaran arang batu dan besi Jerman juga berkurangan daripada jumlah pengeluaran sebelum perang.

3)    Sistem pengangkutan terganggu
Pada tahun 1916, sistem pengangkutan tidak berfungsi. Kepincangan sistem pengangkutan memberi kesan kepada tentera Rusia yang berada di medan peperangan kerana bekalan gagal dihantar kepada pasukan yang memerlukan bantuan.

4)    Penutupan kilang/kekurangan bahan bakar
Pemerintahan Tsar di Rusia turut menghadapi masalah dalam belanjawan kerana terpaksa mengagihkan peruntukan dalam bidang pendidikan dan perumahan kepada bidang ketenteraan. Lebih memburukkan keadaan ialah kesan perang yang berterusan menyebabkan kilang yang ditutup semakin bertambah dan Rusia menghadapi kekurangan bahan bakar yang serius.

5)    Berlaku mogok/revolusi rakyat
Keresahan dalam kalangan masyarakat juga berlaku dan mogok yang melibatkan 3 juta pekerja terjadi pada tahun 1916. Keadaan seperti ini memudahkan rakyat melancarkan revolusi terhadap pemerintahan Tsar.

6)    Beban hutang
Pertempuran yang berlaku di utara Perancis menyebabkan keupayaan pengeluaran Perancis merosot kepada 70% bagi arang batu, 81% bagi keluli dan 63% bagi besi. Setelah perang tamat, Perancis terpaksa menanggung hutang luar yang amat besar. Maka tidak hairanlah dalam Perjanjian Versailles, wakil Perancis menuntut ganti rugi yang besar terhadap Jerman.

7)    Amerika Syarikat dan Jepun menguasai pasaran dunia
Pasaran dunia mula diambil alih oleh Amerika Syarikat dan Jepun. Perkara ini amat dirasai oleh negara-negara Eropah terutamanya Britain, sebuah negara industri yang sebelum ini menguasai peratus perdagangan terbesar di dunia. Perang Dunia Pertama menyebabkan Britain kehilangan 1/3 daripada perdagangan luarnya.


C)     Kesan Sosial

1)    Korban Nyawa dan Kecederaan
Perang Dunia Pertama banyak mengorbankan nyawa. Kira-kira 8.5 juta tentera terkorban dan 12.5 juta orang awam terkorban. Dari segi harta benda pula, peperangan ini mengakibatkan kemusnahan yang bernilai AS$ 36 760 juta. Britain kehilangan 750,000 rakyatnya, iaitu 9% daripada jumlah penduduk lelakinya yang berumur 45 tahun ke bawah manakala bilangan yang cedera dianggarkan berjumlah 2 juta orang. Lebih kurang 1.4 juta rakyat Perancis terkorban dan 3.5 juta tercedera. Angka ini melibatkan hampir 10% jumlah rakyat lelakinya yang cergas dan ini merupakan satu kehilangan besar kepada Perancis. Tambahan pula,Perancis mengalami kadar pertumbuhan penduduk yang rendah.

2)    Pencemaran Udara/ Bumi
Pencemaran udara dan bumi turut berlaku kesan penggunaan senjata kimia yang meluas dalam pertempuran sengit di Marne dan Somme.




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...