Nuffnang Ads

Tuesday, 2 April 2013

CADANGAN PENYELIDIKAN SEJARAH


APAKAH CADANGAN PENYELIDIKAN

Cadangan penyelidikan merupakan satu rangka kerja yang menjadi panduan kepada seseorang penulis dalam melakukan sesuatu penulisan yang bermutu. Ia mengandungi senarai perkara-perkara yang dirancangkan secara sistematik agar dapat diolah dengan lebih teratur, jelas dan berkesan. Setiap penulisan yang bermutu diusahakan dengan suatu bentuk perancangan yang sistematik umpama suatu bentuk perancangan pembinaan sebuah rumah yang dikenali sebagai pelan. Sesebuah rumah itu tidak boleh dibina dengan sempurna tanpa pelan yang sempurna. Ahli sejarah harus menjadi seorang arkitek yang mahir dalam perancangannya. Arkitek harus mahir mempertimbangkan bagaimana bentuk sesebuah rumah itu dibina, kedudukan bilik-bilik, dapur, ruang tamu dan sebagainya. Dengan adanya pelan, arkitek dapat membina rumah dengan teratur dan lancar. Manakala seseorang lain yang melihat pelan tersebut dapat membayangkan rupa bentuk rumah itu apabila siap kelak.

Pelan rumah dalam pengertian pembinaan semula sejarah atau penyelidikan sejarah adalah disebut sebagai cadangan penyelidikan. Cadangan penyelidikan ini akan memandu seseorang peneliti sejarah tentang reka bentuk penyelidikan yang boleh dijalankan, dan kaedah penyelidikan yang harus digunakan. Candangan penyelidikan mengandungi cadangan-cadangan perkara yang harus ada dalam melakukan sesuatu penyelidikan. Ia sebenarnya akan melicinkan perjalanan tugas-tugas penyelidikan. Tanpa suatu cadangan penyelidikan yang sempurna, seseorang penulis sejarah berkemungkinan akan sesat dalam proses kajiannya umpama seorang pengembara yang kehilangan peta destinasinya. Sepertimana suatu cadangan penyelidikan itu amat penting kepada seorang pelajar dalam penyelidikan eseinya, maka ianya juga tidak kurang penting kepada seorang pensyarah untuk mengetahui dan mendapat gambaran tentang kajian yang akan dilakukan oleh pelajarnya.

Oleh yang demikian, suatu cadangan penyelidikan yang baik harus mengandungi perkara-perkara seperti tajuk kajian, permasalahan (signifikan) kajian, tinjauan kajian lepas, tujuan (objektif) kajian, skop kajian, kaedah kajian, pembahagian bab (struktur olahan), sumber rujukan dan masalah semasa kajian. Setiap perkara tersebut memiliki ciri dan nilai tersendiri dalam membantu menghasilkan sesebuah cadangan penyelidikan yang sempurna. Hanya cadangan penyelidikan yang sempurna akan menghasilkan penulisan yang berkesan kerana sejarah menurut R.G. Collingwood (1966) merupakan suatu bentuk penyelidikan atau penyiasatan.

KEPENTINGAN CADANGAN PENYELIDIKAN


Hakikatnya suatu cadangan penyelidikan merupakan panduan kepada setiap penulis dalam melakukan keseluruhan penyelidikan yang akan dijalankan. Ia menunjukkan tugas-tugas yang harus dilakukan seperti mencari sumber dan mengumpul data-data yang diperlukan. Cadangan penyelidikan dapat mencegah kesilapan yang mungkin berlaku. Ia dapat mengawal atau melindungi penyelidik dari terkeluar dari kehendak tajuk penyelidikannya. Di samping itu, cadangan penyelidikan dapat mempastikan kaedah yang diguna adalah tepat dan data yang dipungut adalah sesuai dengan permasalahan kajian serta sesuai untuk menyelesaikan masalah yang menjadi tajuk kajiannya.

Cadangan penyelidikan juga berguna sekiranya penulis ingin mendapatkan kerjasama dari pihak-pihak tertentu, misalnya daripada jabatan-jabatan kerajaan, swasta dan orang perseorangan. Lazimnya setiap urusan yang memerlukan kerjasama harus dijalin dengan memperkenalkan cadangan penyelidikan terlebih dahulu untuk menyakinkan pihak berkenaan agar memberi kerjasama kepada penyelidik. Dengan mengemukakan cadangan penyelidikan terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu penyelidikan, maka akan memberi masa kepada pihak berkenaan untuk memahami aspek-aspek kajian yang akan dilakukan dan dengan itu dapat membuat keputusan tentang kerjasama yang boleh diberikan. Kebanyakan usaha penyelidikan menghadapi jalan buntu kerana penyelidikan kurang mendapat kerjasama daripada pihak tertentu kerana kurang maklum tentang apakah bantuan yang diperlukan oleh penyelidiikn. Justeru itu, mengikut saranan Paul S. Leedy (1980) bahawa masalah ini hanya akan dapat diatasi sekiranya penyelidik dapat mengemukakan satu candangan penyelidikan terlebih dahulu kepada pihak-pihak yang diperlukan untuk bekerjasama.

Selain itu, cadangan penyelidikan juga memberi garis panduan dan rujukan berguna bagi seorang pensyarah dalam penyeliaan penyelidikan pelajarnya. Ia menentukan skop kajian bagi sesuatu topik. Dengan itu, seseorang penyelia boleh mendapat gambaran yang jelas tentang isi dan tesis yang bakal dihasilkan oleh pelajarnya. Pendek kata, suatu cadangan penyelidikan itu amat penting bukan sahaja bagi seorang pelajar, malah bagi seorang penyelia.
Tajuk
Tajuk adalah nama atau identiti kajian yang hendak dilakukan Ia merupakan perkara yang paling ringkas sifatnya tetapi amat penting dan wajib ada untuk membolehkan sesuatu bentuk tulisan dibina. Penyelidik harus jelas terhadap tajuk yang dibentuknya dan mempunyai pengetahuan terhadap hal-hal seperti berikut,

  • i.        induk persoalan iaitu perkara yang menjadi pokok atau ibu tajuk.
  • ii.      kehendak soalan atau apa yang ingin dijawab, dihurai atau bahaskan Hal-hal inilah yang menjadi petunjuk kepada permasalahan kajian atau signifikannya kajian. Malah apa yang ingin dibahas-jawab itulah menjadi tema kepada sesuatu kajian.
  • iii.    skopnya dari ruang, waktu dan aspek
  • iv.    latarbelakang yang meliputi sejarah umum induk persoalan, penulisan yang pernah dihasilkan berkaitan dengan induk dan kehendak persoalan yang bakal dikaji oleh penyelidik, termasuklah melakukan literature review.
  • v.      gagasan struktur binaan olahan
  • vi.    dan mempunyai satu atau beberapa hipotesis atau kenyataan awal terhadap permasalahan (induk dan kehendak soalan) kajiannya.

Biasanya sebelum menentukan sesuatu tajuk penyelidikan, seseorang penyelidik harus membuat pembacaan yang umum terlebih awal sebelum menentukan tajuk kajiannya agar mendapat idea-idea dan pengetahuan yang luas tentang bidang dan subjek yang diminati. Di samping itu, penyelidik juga harus mengumpul dan membaca hasil-hasil kajian lepas untuk dijadikan panduan dan batu asas kepada penyelidikannya. Kajian lepas ini dapat membantu penyelidik dalam menentukan tajuk yang dikehendaki. Terdapat beberapa perkara lain yang perlu dipertimbangkan dalam pemilihan atau pembentukan sesuatu tajuk.

Pertama, tajuk yang dicadangkan untuk sesuatu penulisan haruslah mempunyai nilai penarik agar membolehkan pembaca-pembaca tertarik pada tajuk tersebut, dan seterus mewujudkan keinginan dalam diri mereka untuk mengetahui atau membaca lebih lanjut hasil tulisan tersebut. Dengan kata lain, sesuatu tajuk penulisan itu harus seboleh-bolehnya menampakkan kelainan atau keunikan, misalnya mengutarakan isu-isu semasa yang hangat ataupun mungkin boleh jadi sesuatu yang kontroversi.

Kedua, tajuk harus memiliki keaslian (originality atau purity). Keaslian dalam tajuk mengandungi maksud sesuatu yang baru atau sesuatu yang belum pernah dan belum dibuat oleh orang lain. Sifat yang demikian bertepatan dengan objektif ssetiap penyelidikan yang sebenarnya dijalankan iaitu suatu discovery atau suatu penemuan. Ini tidak pula bermakna bahawa penyelidikan terhadap apa yang telahpun dilakukan oleh orang lain adalah tidak dibenarkan. Sebaliknya ia dibenarkan dengan syarat penyelidikan itu akan menampilkan apa yang tiada atau kurang dalam penyelidikan lepas itu. Mungkin juga seseorang penyelidik yang baru ingin mengikut tajuk yang serupa dengan penyelidikan lepas, tetapi harus meninjau dari aspek atau sudut yang berlainan. Misalnya, melakukan kontradiksi terhadap penyelidikan lepas itu.

Ketiga, sesuatu tajuk kajian itu harus pendek, ringkas dan tepat. Ini adalah kerana tajuk-tajuk yang umum mempunyai skop yang luas dan mustahil bagi penyelidik untuk mengkaji sesuatu hal yang merangkumi keseluruhan aspek. Misalnya, Malaysia, Pahang, Universiti Kebangsaan Malaysia dan lain-lain. Apabila pembaca terbaca tajuk-tajuk umum begini, pembaca tidak dapat meramalkan aspek apakah yang akan dibincangkan oleh penulis tentang tajuk-tajuk tersebut, sama ada aspek penubuhan, pembentukan organisasi pentadbiran, aspek perekonomian dan sebagainya. Akan timbul banyak pertanyaan-pertanyaan apabila seseorang penyelidik memilih tajuk yang umum. Misalnya satu pertanyaan berbunyi apakah itu negara Malaysia? Amatlah sukar untuk menjelaskan tentang negara tersebut secara keseluruhannya dalam satu atau dua perkataan sahaja malah memerlukan masa yang panjang dan pengetahuan yang mendalam mengenai negara tersebut. Tetapi jika timbul pertanyaan yang khusus seperti kemerdekaan Malaysia, maka dapatlah menjawab pertanyaan ini dengan tepat, ringkas dan jelas memandangkan pertanyaan tersebut hanyalah sebahagian kecil episod sejarah negara Malaysia.

Di samping itu, satu perkara yang tidak kurang pentingnya dalam pembentukan dan pemilihan tajuk ialah berkenaan dengan minat peribadi atau sendiri. Ini kerana tajuk yang bersesuaian dengan minat sendiri akan mendorong untuk berusha dengan lebih gigih dan dapat mengurangkan tekanan dalam melakukan kajian. Bagi membantu seseorang penyelidik untuk memilih tajuk penyelidikan sejarah, sila rujuk atau baca buku Historical scholarship in America, its need and opportunities, yang disunting oleh Arthur M. Schlesinger. Dalam pada itu, penyelidik harus menumpukan kajiannya kepada sesuatu tajuk yang ringkas, tepat dan dirasai mampu dikaji berdasarkan sumber-sumber yang diperolehi.

Permasalahan (Signifikan) Kajian

Dalam permasalahan, perlu dikemukakan persoalan subjek (subject matter) yang akan diteliti. Apakah keistimewaan subjek atau tema atau peristiwa sejarah yang hendak diselidiki. Penganalisaan dan pernyataan terhadap teori dan konsep yang hendak dipakai untuk memahami subjek perlu dinyatakan dalam bahagian ini.


Tinjauan Kajian Lepas (literature review)


Dalam tinjauan kajian lepas (literature review) ataupun menyingkap historiografi aspek atau tajuk yang akan dikaji, perlu dikemukakan sejarah pe­nulisan yang telah dilakukan sekitar aspek atau tajuk itu. Kalau tulisan kita adalah untuk menguatkan, mene­ruskan, atau membantah sebuah tulisan lalu, biarlah orang tahu tujuan penulisan kita. Tujuan melakukan tinjauan terhadap kajian-kajian lepas dalam cadangan penyelidikan adalah untuk mengetahui samada sesuatu penyelidikan pernah dibuat atau tidak terhadap subjek dan topik yang dipilih. Kalau kita meng­ambil soal tanah, maka seluruh penelitian sejarah tentang tanah harus kita tinjau atau review. Melalui tinjauan ini kita dapat mengemukakan kekurangan para peneliti terdahulu, dan apa yang masih perlu diteliti. Tinjauan kajian lepas akan dapat memastikan aspek-aspek yang telah digarab oleh penyelidik terdahulu. Dengan merujuk kepada kajian lepas juga dapat dikesan kecacatan atau kelemahan sesuatu penulisan dan dapat mengelakkan terjadi hal yang sama dalam kajian seterusnya. Di samping itu juga, seseorang penyelidik dapat mengguna atau meminjam idea-idea dan kemahiran-kemahiran pengkaji terdahulu dan ini amat berguna dalam membantu penyelidik menyajikan satu kajian dan penulisan yang amat berkesan. Walau bagaimanapun dalam penelitian sejarah kita perlu mementingkan sifat keaslian.

 

Tujuan (Objektif) Kajian

Objektif sesuatu kajian merupakan perkara yang ketiga penting dalam sesuatu cadangan penyelidikan yang sempurna. Maksud objektif kajian ialah suatu motif atau matlamat yang ingin dicapai yang membawa kepada usaha penyelidikan atau penulisan karya sejarah. Tujuannya adalah supaya pembaca dapat mengetahui apa yang cuba dibuktikan atau cuba dicapai oleh penulis dalam penyelidikannya itu. Terdapat banyak tujuan sesuatu kajian itu dilakukan. Apabila mengkaji sesuatu yang belum diteliti oleh pengkaji lain, maka tujuan kajian itu adalah untuk mengisi kekosongan dalam sejarah sesuatu subjek. Objektif kajian juga adalah untuk menambahkan fakta. Tujuan menambahkan fakta lain dari apa yang pernah dihasilkan oleh kajian lepas. Jika seseorang sejarawan itu mendapati terdapat kekurangan fakta di dalam sesuatu kajian lepas, maka beliau cuba menambah fakta kepada kajian tersebut selaras dengan penemuan-penemuan sumber baru. Kes seperti ini sering berlaku disebabkan oleh kekangan yang dihadapi oleh penyelidik sebelumnya seperti halangan akta arkib yang hanya akan membenarkan sesuatu sumber itu dibuka selepas usianya 25 tahun. Penambahan fakta kepada kajian yang ada juga didorong oleh penemun baru yang dapat mengukuhkan atau menyangkal kajian serta pendapat kajian terdahulu.

Tujuan kajian juga adalah untuk memperkenalkan sesuatu kajian baru, iaitu yang belum pernah dibuat oleh orang lain. Tujuan ini didorong oleh rasa tanggungjawab dan kewajipan untuk memberi pengetahuan kepada umum tentang sejarah dan perlunya mengingati sesuatu peristiwa atau tokoh. Apabila timbul sesuatu yang mempunyai nilai sejarah penting dan sehingga kini belum ada usaha kajian yang dibuat mengenainya, maka penyelidik merasa ini perlu didedahkan kepada umum dan adalah menjadi tugasnya untuk membuat kajian tentang sejarah tersebut.
Tujuan seterusnya ialah untuk tatapan, panduan dan pelajaran kepada generasi muda. Generasi akan datang boleh mempelajari sesuatu dari kesilapan nenek moyang mereka dan akan cuba mengelakkan perkara tersebut berulang. Selain itu, mereka juga dapat mengetahuan sejarah sesuatu kawasan dan sesuatu peristiwa yang pernah terjadi ke atas nenek moyang mereka seperti mana mempelajari  apa yang telah nenek moyang lalui suatu ketika dahulu. Jika tidak dikaji, maka sejarah itu akan lenyap bersama-sama dengan generasi tua. Misalnya, pengarang teks Sejarah Melayu, Tun Seri Lanang menulis dalam mukadimahnya menyatakan tujuan penulisan beliau ialah semata-mata untuk dijadikan sebagai panduan kepad generasi muda.

Dengan mengariskan tujuan kajian, seseorang penyelidik sejarah akan tahu apa yang patut dilakukannya untuk mencapai tujuan tersebut. Misalnya, tujuan untuk menambahkan fakta kepada kajian yang sedia ada dengan berusaha mencari maklumat yang sepatutnya ada tetapi tidak pula terdapat dalam sesuatu sumber yang ditemui. Keadaan ini sudah tentu akan mendorong penyelidik itu berusaha dengan gigih mencari sumber-sumbernya agar dapat menghasilkan satu hasil penulisan yang bermutu kelak.

Skop (Tumpuan) Kajian

Tumpuan kajian khusus kepada sesuatu aspek dalam sesuatu topik juga dikenali sebagai skop kajian. Skop kajian bermaksud lingkungan masa dan lingkungan perkara yang akan diliputi dalam sesuatu kajian. Misalnya untuk lingkungan masa, skop kajian dinyatakan dalam unit tahun, dekad, dan kurun. Manakala untuk lingkungan perkara pula dinyatakan dalam bidang atau aspek tertentu misalnya sosial, politik, ekonomi, geografi kawasan, dan hubungan antarabangsa.

 

Di bawah skop kajian, akan dinyatakan apakah aspek yang hendak dibincangkan dalam liputan masa tertentu sama ada aspek ekonomi, sosial dan sebagainya. Skop kajian ini seolah-olah membuat satu bulatan yang menghadkan kajian seseorang penulis. Ini kerana amatlah sukar bagi penyelidik untuk mengkaji setiap aspek yang berkaitan dengan topiknya secara terperinci. Dengan adanya skop kajian seseorang penyelidik hanya perlu memberi penekanan kepada aspek yang khusus bagi ruang masa tertentu sahaja. Pendek kata, dengan adanya skop kajian ini akan memudahkan suatu penyelidikan yang bersistematik dan khusus.


Kaedah Kajian


Kaedah kajian ialah cara bagaimana untuk mendapatkan fakta, sumber, bukti, mewujudkan idea, dan mengadakan analisa sesuatu penyelidikan. Lazimnya, kaedah kajian ini lebih menumpukan kepada cara untuk mendapatkan maklumat seperti bukti, sumber dan fakta. Terdapat dua kaedah yang lazim digunakan dalam penyelidikan sejarah, iaitu penyelidikan perpustakaan dan temubual. Dalam penyelidikan perpustakaan, penyelidik biasanya boleh mendapat sumber kedua atau sekunder seperti buku, majalah, makalah (journal), dan lain-lain bahan bercetak. Daripada sumber-sumber kedua ini penyelidik mencatat atau meminjam idea, pendapat, analisa dan hujah-hujah penyelidik terdahulu.

Kaedah temubual dijalankan untuk mendapatkan maklumat-maklumat tambahan kepada penyelidikan. Sasaran temubual adalah individu yang tahu mengenai sesuatu kejadian sejarah, ataupun orang yang terlibat secara langsung dalam sesuatu kejadian sejarah, iaitu dipanggil sebagai saksi. Lazimnya kesaksian ini dikalsifikasikan dalam sumber awalan atau primer.

Di samping itu, satu kaedah lain yang biasa digunakan dalam penyelidikan sejarah ialah kaedah carigali arkeologi. Kaedah ini dilakukan untuk mencari bukti-bukti dalam bentuk artifak atau bahan-bahan material peninggalan sejarah. Kaedah ini penting untuk menyokong pernyataan-pernyataan sejarah yang dibuat dalam sesuatu penulisan.

Pembahagian Bab (Struktur Olahan)


Pembahagian bab adalah lebih merupakan pengklasifikasian isi atau kandungan sesuatu penulisan kepada kategori-kategori tertentu. Kaedah ini merupakan suatu cara untuk merangka dan menyusun pemikiran dan penulisan yang baik. Kaedah ini dilakukan bagi memudahkan pemahaman terhadap sesuatu matlamat penulisan itu dicapaikan. Pemecahan topik yang umum kepada topik-topik yang kecil atau kategori-kategori yang khusus akan memudahkan tugas-tugas penyelidikan dan penulisan dengan lancar dan berkesan.

Lazimnya, pembahagian bab ini dilakukan menurut kronologi masa ataupun menurut kepentingan perkara-perkara yang hendak disampaikan. Misalnya, sering kali kita menjumpai tulisan sejarah yang meninjau perkembangan, sebab kemerosotan, dan sebab-sebab yang lain dari aspek ekonomi, politik dan sosial.

Sumber Rujukan


Sumber atau juga difahami sebagai rujukan adalah perkara yang terakhir terdapat dalam sesuatu cadangan penyelidikan sejarah yang sempurna. Setelah memilih tajuk yang sesuai dan menentukan skop liputan kajian, penyelidik harus memilih sumber-sumber yang diperlukan untuk rujukan utama dalam penyelidikannya. Pemilihan sumber yang tepat dapat membantu untuk mempengaruhi pandangan, penyeluruhan, dan penafsiran, penyelidik terhadap sesuatu topik kajian. Bahagian rujukan ini menyenaraikan sumber-sumber, sama ada primer, sekunder, dan lisan  yang akan digunakan dalam sesuatu penyelidikan. Ia bertujuan untuk mendapatkan kepercayaan pembaca tentang ketulenan atau keaslian penulisan. Ia juga membolehkan pembaca yang ingin mengetahui lebih mendalam tentang hal-hal yang dibincangkan dalam penulisan dengan merujuk kepada sumber-sumber dalam bahgian rujukan tersebut.

Masalah-Masalah Semasa Kajian

Bahagian ini sebenarnya hanya akan dikemukakan atau disertakan dalam penulisan setelah penulis menyelesaikan penulisannya terutamanya draf pertama. Ia mengandungi segala masalah-masalah yang penulis hadapi sepanjang proses penyelidikan dan penulisannya. Mungkin masalah itu adalah terdiri daripada pelbagai aspek seperti wang pembiayaan, pengangkutan, kekurangan sumber, kerjasama pihak-pihak tertentu, kesihatan, peribadi dan keluarga. Sebarang bentuk masalah yang terpaksa dilalui oleh penulis harus dinyatakan dengan jelas kerana semua keterangan tersebut akan menjadi ukuran penilaian terhadap hasil penulisan dan juga penting sebagai suatu panduan dan peringatan kepada penyelidik-penyelidik di hari muka agar memperlengkap diri mereka sebelum cuba melanjutkan penyelidikan dan penulisan sebelumnya.

(Sumber: Daripada nota Pensyarah Sejarah UKM)

TEKNIK MENULIS NOTA KAKI ATAU NOTA AKHIR

Notakaki (FOOTNOTE) atau catatan bawah boleh didefinisikan sebagai catatan tambahan yang disediakan oleh penulis bagi menyokong dan menunjang maklumat yang dibuatnya. Notakaki akan berada di bawah setiap muka surat esei ilmiah manakala ENDNOTE pula akan dikumpulkan dan berada di satu muka surat selepas penutup atau kesimpulan esei ilmiah. Kedua-dua ini biasanya dilakukan untuk menggelakkan diri penulis daripada menghuraikan sesuatu perkara dengan panjang lebar dan boleh memesongkan perbincangan asal. Sementara pembaca yang teliti terhadap pembacaannya sering memerhatikan catatan nokakai bagi memastikan maklumat yang dibaca itu tepat, benar dan boleh dipercayai kesahihannya.

Pada kebiasaannya notakaki hendaklah dinomborkan mengikut nombor berturutan dan selaras dengan urutan (bilangan) nukilan dan lain-lain dalam isi. Ia hendaklah mengandungi urutan nombor notakaki, nama penulis, tajuk atau nama sumber, tempat penerbitan, nama penerbitan, tahun diterbit, dan halaman. Notakaki ini ditaip dengan selang baris satu langkau. Baris ayat pertama (first line) harus dimulakan pada  ketukan keenam (tab satu kali kalau guna computer), seumpama bentuk suatu permulaan setiap perenggan teks penulisan.

Bahasa yang digunakan bagi menyebut dan menerangkan maklumat pada bahagian notakaki mahupun bibliografi hendaklak sama dengan bahasa yang digunakan dalam penulisan teks. Sekiranya teks utama penulisan adalah dalam bahasa Melayu, halaman yang dirujukkan hendaklah disebut dalam bahasa Melayu juga. Contohnya;

halaman 131-142  ataupun singkatan hlm. 131-142.

Sebaliknya jika teks utama penulisan yang diusahakan dalam bahasa asing, misalnya bahasa Inggeris, maka rujukan tersebut harus ditulis sebagai;

pages 131-142 ataupun singkatan  pp. 131-142.

(a)  Nama Penulis

Semasa menulis notakaki, nama penulis hendaklah dimulakan dengan nama pertama (first name) dan diikuti oleh nama kedua atau nama keluarga (surname). Misalnya nama Rupert Emerson. Rupert ialah nama pertama penulis dan Emerson adalah nama kedua atau nama keluarga penulis.
           
Sekiranya penulis sesuatu bahan itu tidak lebih dari tiga orang, maka ditulis ketiga-tiga nama mereka sepenuhnya. Tetapi jika penulis terdiri lebih daripada tiga orang, maka nama penulis utama ditulis dengan diikuti oleh perkataan ‘dan rakan-rakan’ atupun singkatan et.al.

Manakala bagi sumber atau buku yang kita tidak ketahui nama pengarang pula harus digantikan dengan singkatan t.p. (tanpa pengarang).

Kemudian bagi nama penyunting atau penyusun pula ia harus ditulis dengan perkataan penyunting atau singkatan penyt. ataupun ed. (editor), eds. (editors) dan diletakkan dalam tanda kurungan selepas namanya. Bagi buku-buku terjemahan pula harus digunakan perkataan Terjemahan atau singkatan terj. yang diletakkan dalam tanda kurungan selepas nama buku atau tajuk sumber. Seandainya tiada nama pengarang tetapi katakan terdapat badan pengeluaran seperti institusi, pertubuhan atau agensi, maka nama badan tersebut harus dinyatakan. Sila rujuk contoh kesemua teknik dalam penggunaan notakaki dinyatakan seperti contoh-contoh di bawah;

Jacques Barzun dan Henry F. Graff, The Modern.…
(kurang dari tiga orang penulis).

Wood Gray, et al., Historians.…
(lebih dari tiga orang penulis).

(t.p), Sejarah .…
(tanpa pengarang).

Robert M. Hutchins (ed.),….
(penulis sebagai penyusun atau penyunting).

R.G. Collingwood, Idea Sejarah, (terj.),.…
 (buku terjemahan).

United State Senate, Commiitee on the Judiciary,.…
(nama badan penerbit buku).


(b)  Tajuk Buku Atau Nama Sumber

Tajuk bagi sesebuah buku pada notakaki mestilah sama ada digariskan ataupun dicondongkan (italic). Sementara itu tajuk utama pula harus dipisahkan oleh tanda bertindih (:) dan seterusnya diikuti oleh tajuk kecilnya. Contohnya;

7 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, ….

(c)  Nama Tempat Terbitan

Dalam hal ini, nama bandar atau negeri tempat sumber tersebut diterbitkan harus dinyatakan. Sekiranya terdapat banyak bandar atau negeri, nama pertama ataupun terpenting yang mudah difahami sahaja dicatat. Jika tiada nama tempat penerbitan, gunakan singkatan t.t.p yang bermaksud ‘tanpa tempat penerbitan’ dan diletak dalam tanda kurungan. Contohnya;

8 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur….

ataupun, jika tiada nama tempat;

8 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, (t.t.p)….

(d)  Nama Penerbit

Nama penerbit haruslah ditulis selepas nama tempat penerbit. Tanda titik bertindih atau kolon harus diletakkan di antara nama tempat dan nama penerbit tersebut. Jika tidak ada nama penerbit, maka ia harus tulis dengan singkatan t.n.p yang bermaksud ‘tanpa nama penerbit’ yang diletak dalam tanda kurungan. Teknik ini juga digunakan untuk menulis catatan rujukan atau bibliografi. Contohnya;

9 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka….

Ataupun, jika tiada penerbit;

9 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, (t.t.p): (t.n.p)….

(e)  Tahun Penerbitan

Tahun atau tarikh penerbitan penting untuk memberitahu pembaca bilakah buku tersebut dikeluakan. Sekiranya sesebuah buku atau sumber itu tidak terdapat tahun penerbitannya, maka harus dituliskan singkatan t.t yang bermaksud ‘tanpa tarikh’ yang diletakkan dalam tanda kurungan. Contohnya;

10 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988….

Ataupun, jika tiada tahun penerbitan;

10 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, (t.t)….

(f)  Halaman

Ini adalah perkara terakhir dalam catatan notakaki. Ia harus ditulis dengan perkataan ‘halaman’ ataupun dengan singkatan hlm. dan diikuti oleh nombor halamannya. Rujukan yang hanya ter­diri daripada satu halaman sahaja akan ditulis hlm. 23. Jika lebih dari satu halaman harus ditulis hlm. 27-29 yang termasuk halaman 28. Sekiranya hendak  menunjukkan kepada halaman 27 dan 29, ia harus ditulis hlm. 27 dan 29, atau mungkin lebih daripada dua nombor harus ditulis hlm. 27, 29 dan 44. Tanda noktah harus diletakkan pada akhir notakaki. Contoh notakaki yang lengkap;

11 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 23.

12 (t.p), Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 23.

13 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, (t.t.p): Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 23.

14 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, (t.t), hlm. 23.

Singkatan perkataan kerap digunakan dalama teknik notakaki. Singkatan ini biasanya berasal daripada perkataan bahasa Latin dan juga bahasa Inggeris. Namun, beberapa contoh tadi telah menggunakan singkatan-singkatan dalam bahasa Melayu, yakni bahasa pengantar modul ini. Di antaranya singkatan-singkat asal bahasa Latin ialah termasuk  ibid, op.cit, dan passim.

Ibid adalah singkatan perkataan dari bahasa latin, Ibidem yang bermaksud ‘dalam sumber yang sama’. Biasanya ia diberi bermaksud ‘sama seperti di atas’. Ini bermaksud Ibid digunakan untuk merujuk kepada maklumat yang sama dibuat secara berturut-turut tanpa apa-apa rujukan yang lain di antaranya walaupun untuk beberapa halaman ke hadapan. Dengan kata lain, untuk merujuk kepada sumber yang baharu sahaja dicatatkan pada notakaki sebelumnya. Harus ingat bahawa setiap istilah atau perkataan yang bukan istilah bahasa pengantar sesebuah penulisan sejarah hendaklah dicondongkan (italic). Oleh kerana istilah seperti ibid, op.cit dan lain-lain adalah bukan istilah bahasa Melayu, maka perkataan tersebut harus dicondongkan. Contohnya;

15 Rupert Emerson, Malaysia: A Study of Direct and Indirect Rule, London: Macmilla, 1937, hlm. 186.

16 Ibid.

17 Ibid, hlm. 189.

Op.cit adalah singkatan bahasa latin opera citato iaitu yang membawa maksud ‘sama dengan sumber yang telah dirujuk’ yang dahulunya lazim digunakan dalam karya-karya akademik, tetapi kini jarang digunakan ataupun langsung tidak lagi dikehendaki. Oleh itu, adalah digalakkan untuk menggunakan kaedah singkatan Ibid.  Ia merujuk kepada sumber yang telah dicatatkan di dalam notakaki. Tetapi rujukan itu tidak menyusul berturut seperti mana penggunaan singkatan Ibid tadi. Kadang kala pula tidak digunakan op.cit, tetapi digunakan catatan pendek, iaitu ditulis nama pengarang, tajuk buku atau sumber secara singkat (ditulis tajuk induk) diikuti oleh halaman. Contohnya;

18 Rupert Emerson, op.cit, hlm. 187.

18 Rupert Emerson, Malaysia, hlm. 187.

Akhir sekali, ialah penggunaan istilah passim yang berkmaksud ‘terdapat di halaman sana sini’. Biasanya ia digunakan untuk merujuk kepada suatu idea atau fakta yang ditemui atau disebut pada berbagai-bagai halaman sesuatu sumber. Contohnya;

19 Rupert Emerson, Malaysia, hlm. passim.
           
Penggunaan notakaki adalah berbeza terhadap jenis-jenis sumber. Bagi sumber buku telahpun diberikan beberapa contoh yang telah disebut tadi. Bagi sumber artikel atau esei sama ada terdapat dalam buku ataupun makalah, notakaki hendaklah mengandungi urutan nombor notakaki, nama penulis, tajuk artikel atau esei, tajuk atau nama sumber, tempat penerbitan, nama penerbitan, tahun diterbit, dan halaman. Tajuk artikel atau tajuk esei tidak boleh dicondongkan seumpama yang harus dilakukan terhadap tajuk atau nama sumber. Tajuk artikel atau esei bolehlah menggunakan tanda pembuka dan penutup kata atau dua tanda kutip “…” (quote and quote), ataupun tidak perlu jika petikan itu ditempatkan pada kedudukan berbeza dari format teks. Berikut adalah contoh-contoh penggunaan notakaki pada sumber yang berbeza;

Buku
10 G. Balandier, Political Anthropologhy, New York: Pantheon Book, 1970. hlm. 23.

Artikel atau Esei
21 G. Dalton, Primitive Money, American Anthronology, New York: Natural History Press, 1967, hlm. 45.

Suratkhabar
22 The Prairie City Cyclone, 22 February 1953, hlm. 6.

Bahan tidak diterbitkan
23 Gerge Dogberry, London Sailors Under Henry VIII: A Study Of Their Origins. Dissertation (Ph.D), New York: Department of History, University of America, 1955, hlm. 29.

Dokumen Kerajaan
24 Majlis Kongres Amerika, Violations of free speach and rights of labor, 76th Congress, Senate Report 6, Part 3, 16 Mac 1939, Washington: Goverment Printing Office, hlm.107-115.

Mengapa Perlu Notakaki

Pertautan amat penting dalam penulisan sejarah. Transisi inilah yang membantu menjalinkan hubungan antara satu idea dengan yang lain. Dengan ini penulis akan mendapatkan temanya dan membentuk keterangan yang selari pada notakaki yang diberikan. Jelas notakaki menjadi evidence atau bukti yang selari dengan tema yang dibincangkan. Selain itu, notakaki juga digunakan dalam sejarah untuk memastikan penulis memperolehi idea dari fakta secara teliti, tepat dan penting kerana ia mendedahkan sumber-sumber yang telah digunakan. Maka notakaki sebagai sesuatu yang memberikan jaminan tentang hak penggunaan sumber secara wajar.

Notakaki diperlukan dalam penulisan apabila mendapati bahawa ringkasan biodata yang disebutkan dalam teks perlu dimaktubkan tetapi ia tidak sewajarnya diserta di bahagian lampiran. Penulis boleh menulis biodata seseorang di bahagian notakaki agar tidak menjejaskan susunan teks sesuatu penulisan. Sekiranya penulis ingin membincangkan beberapa hujah khusus dengan mendalam yang berkaitan dengan tajuk perbincangan teks ataupun bukan merupakan inti kepada tema asal, ia boleh menggunakan notakaki. Di sini notakaki berperanan untuk menyatakan pendapat-pendapat atau maklumat tambahan kepada teks penulisan.

Ruang lingkup penggunaan notakaki lebih luas lagi apabila penulis ingin mendedahkan beberapa istilah khas, konsep atau makna-makna yang tersirat dalam sesuatu penulisan, yang penulis merasakan tidak perlu diterangkan dalam teks penulisan. Mungkin penulis ingin memberikan penerangan atau ingin menjelaskan kepada pembaca sebagai pengetahuan tambahan, supaya lebih memahami apa yang dibincangkan. Pendek kata, notakaki berfungsi sebagai suatu alat untuk menunjukkan perkara yang menarik perhatian kerana perkara tersebut adalah tidak sesuai dihuraikan dalam teks penulisan.

(Dipetik drp nota pensyarah Sejarah UKM)



Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.