Nuffnang Ads

Tuesday, 2 April 2013

TEKNIK MENULIS NOTA KAKI ATAU NOTA AKHIR

Notakaki (FOOTNOTE) atau catatan bawah boleh didefinisikan sebagai catatan tambahan yang disediakan oleh penulis bagi menyokong dan menunjang maklumat yang dibuatnya. Notakaki akan berada di bawah setiap muka surat esei ilmiah manakala ENDNOTE pula akan dikumpulkan dan berada di satu muka surat selepas penutup atau kesimpulan esei ilmiah. Kedua-dua ini biasanya dilakukan untuk menggelakkan diri penulis daripada menghuraikan sesuatu perkara dengan panjang lebar dan boleh memesongkan perbincangan asal. Sementara pembaca yang teliti terhadap pembacaannya sering memerhatikan catatan nokakai bagi memastikan maklumat yang dibaca itu tepat, benar dan boleh dipercayai kesahihannya.

Pada kebiasaannya notakaki hendaklah dinomborkan mengikut nombor berturutan dan selaras dengan urutan (bilangan) nukilan dan lain-lain dalam isi. Ia hendaklah mengandungi urutan nombor notakaki, nama penulis, tajuk atau nama sumber, tempat penerbitan, nama penerbitan, tahun diterbit, dan halaman. Notakaki ini ditaip dengan selang baris satu langkau. Baris ayat pertama (first line) harus dimulakan pada  ketukan keenam (tab satu kali kalau guna computer), seumpama bentuk suatu permulaan setiap perenggan teks penulisan.

Bahasa yang digunakan bagi menyebut dan menerangkan maklumat pada bahagian notakaki mahupun bibliografi hendaklak sama dengan bahasa yang digunakan dalam penulisan teks. Sekiranya teks utama penulisan adalah dalam bahasa Melayu, halaman yang dirujukkan hendaklah disebut dalam bahasa Melayu juga. Contohnya;

halaman 131-142  ataupun singkatan hlm. 131-142.

Sebaliknya jika teks utama penulisan yang diusahakan dalam bahasa asing, misalnya bahasa Inggeris, maka rujukan tersebut harus ditulis sebagai;

pages 131-142 ataupun singkatan  pp. 131-142.

(a)  Nama Penulis

Semasa menulis notakaki, nama penulis hendaklah dimulakan dengan nama pertama (first name) dan diikuti oleh nama kedua atau nama keluarga (surname). Misalnya nama Rupert Emerson. Rupert ialah nama pertama penulis dan Emerson adalah nama kedua atau nama keluarga penulis.
           
Sekiranya penulis sesuatu bahan itu tidak lebih dari tiga orang, maka ditulis ketiga-tiga nama mereka sepenuhnya. Tetapi jika penulis terdiri lebih daripada tiga orang, maka nama penulis utama ditulis dengan diikuti oleh perkataan ‘dan rakan-rakan’ atupun singkatan et.al.

Manakala bagi sumber atau buku yang kita tidak ketahui nama pengarang pula harus digantikan dengan singkatan t.p. (tanpa pengarang).

Kemudian bagi nama penyunting atau penyusun pula ia harus ditulis dengan perkataan penyunting atau singkatan penyt. ataupun ed. (editor), eds. (editors) dan diletakkan dalam tanda kurungan selepas namanya. Bagi buku-buku terjemahan pula harus digunakan perkataan Terjemahan atau singkatan terj. yang diletakkan dalam tanda kurungan selepas nama buku atau tajuk sumber. Seandainya tiada nama pengarang tetapi katakan terdapat badan pengeluaran seperti institusi, pertubuhan atau agensi, maka nama badan tersebut harus dinyatakan. Sila rujuk contoh kesemua teknik dalam penggunaan notakaki dinyatakan seperti contoh-contoh di bawah;

Jacques Barzun dan Henry F. Graff, The Modern.…
(kurang dari tiga orang penulis).

Wood Gray, et al., Historians.…
(lebih dari tiga orang penulis).

(t.p), Sejarah .…
(tanpa pengarang).

Robert M. Hutchins (ed.),….
(penulis sebagai penyusun atau penyunting).

R.G. Collingwood, Idea Sejarah, (terj.),.…
 (buku terjemahan).

United State Senate, Commiitee on the Judiciary,.…
(nama badan penerbit buku).


(b)  Tajuk Buku Atau Nama Sumber

Tajuk bagi sesebuah buku pada notakaki mestilah sama ada digariskan ataupun dicondongkan (italic). Sementara itu tajuk utama pula harus dipisahkan oleh tanda bertindih (:) dan seterusnya diikuti oleh tajuk kecilnya. Contohnya;

7 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, ….

(c)  Nama Tempat Terbitan

Dalam hal ini, nama bandar atau negeri tempat sumber tersebut diterbitkan harus dinyatakan. Sekiranya terdapat banyak bandar atau negeri, nama pertama ataupun terpenting yang mudah difahami sahaja dicatat. Jika tiada nama tempat penerbitan, gunakan singkatan t.t.p yang bermaksud ‘tanpa tempat penerbitan’ dan diletak dalam tanda kurungan. Contohnya;

8 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur….

ataupun, jika tiada nama tempat;

8 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, (t.t.p)….

(d)  Nama Penerbit

Nama penerbit haruslah ditulis selepas nama tempat penerbit. Tanda titik bertindih atau kolon harus diletakkan di antara nama tempat dan nama penerbit tersebut. Jika tidak ada nama penerbit, maka ia harus tulis dengan singkatan t.n.p yang bermaksud ‘tanpa nama penerbit’ yang diletak dalam tanda kurungan. Teknik ini juga digunakan untuk menulis catatan rujukan atau bibliografi. Contohnya;

9 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka….

Ataupun, jika tiada penerbit;

9 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, (t.t.p): (t.n.p)….

(e)  Tahun Penerbitan

Tahun atau tarikh penerbitan penting untuk memberitahu pembaca bilakah buku tersebut dikeluakan. Sekiranya sesebuah buku atau sumber itu tidak terdapat tahun penerbitannya, maka harus dituliskan singkatan t.t yang bermaksud ‘tanpa tarikh’ yang diletakkan dalam tanda kurungan. Contohnya;

10 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988….

Ataupun, jika tiada tahun penerbitan;

10 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, (t.t)….

(f)  Halaman

Ini adalah perkara terakhir dalam catatan notakaki. Ia harus ditulis dengan perkataan ‘halaman’ ataupun dengan singkatan hlm. dan diikuti oleh nombor halamannya. Rujukan yang hanya ter­diri daripada satu halaman sahaja akan ditulis hlm. 23. Jika lebih dari satu halaman harus ditulis hlm. 27-29 yang termasuk halaman 28. Sekiranya hendak  menunjukkan kepada halaman 27 dan 29, ia harus ditulis hlm. 27 dan 29, atau mungkin lebih daripada dua nombor harus ditulis hlm. 27, 29 dan 44. Tanda noktah harus diletakkan pada akhir notakaki. Contoh notakaki yang lengkap;

11 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 23.

12 (t.p), Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 23.

13 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, (t.t.p): Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 23.

14 Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, (t.t), hlm. 23.

Singkatan perkataan kerap digunakan dalama teknik notakaki. Singkatan ini biasanya berasal daripada perkataan bahasa Latin dan juga bahasa Inggeris. Namun, beberapa contoh tadi telah menggunakan singkatan-singkatan dalam bahasa Melayu, yakni bahasa pengantar modul ini. Di antaranya singkatan-singkat asal bahasa Latin ialah termasuk  ibid, op.cit, dan passim.

Ibid adalah singkatan perkataan dari bahasa latin, Ibidem yang bermaksud ‘dalam sumber yang sama’. Biasanya ia diberi bermaksud ‘sama seperti di atas’. Ini bermaksud Ibid digunakan untuk merujuk kepada maklumat yang sama dibuat secara berturut-turut tanpa apa-apa rujukan yang lain di antaranya walaupun untuk beberapa halaman ke hadapan. Dengan kata lain, untuk merujuk kepada sumber yang baharu sahaja dicatatkan pada notakaki sebelumnya. Harus ingat bahawa setiap istilah atau perkataan yang bukan istilah bahasa pengantar sesebuah penulisan sejarah hendaklah dicondongkan (italic). Oleh kerana istilah seperti ibid, op.cit dan lain-lain adalah bukan istilah bahasa Melayu, maka perkataan tersebut harus dicondongkan. Contohnya;

15 Rupert Emerson, Malaysia: A Study of Direct and Indirect Rule, London: Macmilla, 1937, hlm. 186.

16 Ibid.

17 Ibid, hlm. 189.

Op.cit adalah singkatan bahasa latin opera citato iaitu yang membawa maksud ‘sama dengan sumber yang telah dirujuk’ yang dahulunya lazim digunakan dalam karya-karya akademik, tetapi kini jarang digunakan ataupun langsung tidak lagi dikehendaki. Oleh itu, adalah digalakkan untuk menggunakan kaedah singkatan Ibid.  Ia merujuk kepada sumber yang telah dicatatkan di dalam notakaki. Tetapi rujukan itu tidak menyusul berturut seperti mana penggunaan singkatan Ibid tadi. Kadang kala pula tidak digunakan op.cit, tetapi digunakan catatan pendek, iaitu ditulis nama pengarang, tajuk buku atau sumber secara singkat (ditulis tajuk induk) diikuti oleh halaman. Contohnya;

18 Rupert Emerson, op.cit, hlm. 187.

18 Rupert Emerson, Malaysia, hlm. 187.

Akhir sekali, ialah penggunaan istilah passim yang berkmaksud ‘terdapat di halaman sana sini’. Biasanya ia digunakan untuk merujuk kepada suatu idea atau fakta yang ditemui atau disebut pada berbagai-bagai halaman sesuatu sumber. Contohnya;

19 Rupert Emerson, Malaysia, hlm. passim.
           
Penggunaan notakaki adalah berbeza terhadap jenis-jenis sumber. Bagi sumber buku telahpun diberikan beberapa contoh yang telah disebut tadi. Bagi sumber artikel atau esei sama ada terdapat dalam buku ataupun makalah, notakaki hendaklah mengandungi urutan nombor notakaki, nama penulis, tajuk artikel atau esei, tajuk atau nama sumber, tempat penerbitan, nama penerbitan, tahun diterbit, dan halaman. Tajuk artikel atau tajuk esei tidak boleh dicondongkan seumpama yang harus dilakukan terhadap tajuk atau nama sumber. Tajuk artikel atau esei bolehlah menggunakan tanda pembuka dan penutup kata atau dua tanda kutip “…” (quote and quote), ataupun tidak perlu jika petikan itu ditempatkan pada kedudukan berbeza dari format teks. Berikut adalah contoh-contoh penggunaan notakaki pada sumber yang berbeza;

Buku
10 G. Balandier, Political Anthropologhy, New York: Pantheon Book, 1970. hlm. 23.

Artikel atau Esei
21 G. Dalton, Primitive Money, American Anthronology, New York: Natural History Press, 1967, hlm. 45.

Suratkhabar
22 The Prairie City Cyclone, 22 February 1953, hlm. 6.

Bahan tidak diterbitkan
23 Gerge Dogberry, London Sailors Under Henry VIII: A Study Of Their Origins. Dissertation (Ph.D), New York: Department of History, University of America, 1955, hlm. 29.

Dokumen Kerajaan
24 Majlis Kongres Amerika, Violations of free speach and rights of labor, 76th Congress, Senate Report 6, Part 3, 16 Mac 1939, Washington: Goverment Printing Office, hlm.107-115.

Mengapa Perlu Notakaki

Pertautan amat penting dalam penulisan sejarah. Transisi inilah yang membantu menjalinkan hubungan antara satu idea dengan yang lain. Dengan ini penulis akan mendapatkan temanya dan membentuk keterangan yang selari pada notakaki yang diberikan. Jelas notakaki menjadi evidence atau bukti yang selari dengan tema yang dibincangkan. Selain itu, notakaki juga digunakan dalam sejarah untuk memastikan penulis memperolehi idea dari fakta secara teliti, tepat dan penting kerana ia mendedahkan sumber-sumber yang telah digunakan. Maka notakaki sebagai sesuatu yang memberikan jaminan tentang hak penggunaan sumber secara wajar.

Notakaki diperlukan dalam penulisan apabila mendapati bahawa ringkasan biodata yang disebutkan dalam teks perlu dimaktubkan tetapi ia tidak sewajarnya diserta di bahagian lampiran. Penulis boleh menulis biodata seseorang di bahagian notakaki agar tidak menjejaskan susunan teks sesuatu penulisan. Sekiranya penulis ingin membincangkan beberapa hujah khusus dengan mendalam yang berkaitan dengan tajuk perbincangan teks ataupun bukan merupakan inti kepada tema asal, ia boleh menggunakan notakaki. Di sini notakaki berperanan untuk menyatakan pendapat-pendapat atau maklumat tambahan kepada teks penulisan.

Ruang lingkup penggunaan notakaki lebih luas lagi apabila penulis ingin mendedahkan beberapa istilah khas, konsep atau makna-makna yang tersirat dalam sesuatu penulisan, yang penulis merasakan tidak perlu diterangkan dalam teks penulisan. Mungkin penulis ingin memberikan penerangan atau ingin menjelaskan kepada pembaca sebagai pengetahuan tambahan, supaya lebih memahami apa yang dibincangkan. Pendek kata, notakaki berfungsi sebagai suatu alat untuk menunjukkan perkara yang menarik perhatian kerana perkara tersebut adalah tidak sesuai dihuraikan dalam teks penulisan.

(Dipetik drp nota pensyarah Sejarah UKM)



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.