Nuffnang Advertisment

Followers

Wednesday, 22 May 2013

KONSEP DAN CIRI-CIRI UTAMA MASYARAKAT AGRARIA

Pengenalan / Definisi Masyarakat Agraria

Masyarakat agraria merupakan masyarakat yang bergantung kepada kegiatan ekonomi berasaskan kepada pertanian iaitu bercucuk tanam dan menternak binatang sebagai sumber kehidupan mereka. Jenis-jenis tanaman utama ialah padi sawah, padi huma, ubi taro, dan keladi; tanaman bijirin pula ialah gandum, barli, oat, kubis, kekacang dan sebagainya.

Mereka tinggal menetap di kawasan tanah pertanian yang subur dan sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian seperti menetap di sekitar kawasan lembah sungai yang mempunyai mendapan tanah lanar yang subur.

Selain itu, masyarakat juga menjalankan aktiviti berburu, mengutip hasil hutan dan menangkap ikan di kawasan sungai ataupun tasik-tasik. Mereka juga mempunyai kemahiran menghasilkan makanan sendiri dengan mengamalkan pertanian pindah sehingga mengusahakan pertanian tetap. Pada masa yang sama masyarakat agraria mempunyai hubungan dengan masyarakat maritim dan saling bergantungan.

Masyarakat agraria di Belanda berkembang sejurus berlakunya Revolusi Pertanian di England pada abad ke-17 di mana revolusi ini telah tersebar ke kawasan-kawasan lain di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat. Perkembangan ini telah menyebabkan bilangan masyarakat yang terlibat dengan akviti pertanian semakin meningkat. Masyarakat agraria menjadi lebih berdikari dan melalui penggunaan jentera moden, kegiatan pertanian lebih menjurus kepada  pertanian ladang dan dalam skala yang besar.

Manakala masyarakat agraria di China terbentuk disebabkan sebahagian besar kawasan negara tersebut mempunyai tanah yang subur, disaliri oleh Sungai Hwang Ho dan diselaputi oleh iklim yang bersesuaian menjadikan negara berkenaan sesuai ditanam dengan pelbagai jenis tanaman. Namun demikian pada peringkat awal kemunculan masyarakat agraria di China, kegiatan mereka dikawal oleh golongan pemerintah dan menggunakan peralatan tradisional.

Secara umumnya ciri-ciri masyarakat agraria di kedua-dua negara boleh dilihat berdasarkan kepada 5 aspek iaitu kegiatan yang berasaskan pertanian, lokasi aktiviti di kawasan tanah yang subur dan iklim yang sesuai, hasil tanaman utama, sistem pengairan dan saliran serta kegiatan lain seperti berburu, menternak binatang, mengutip hasil hutan dan menangkap ikan.


Ciri-ciri Utama Masyarakat Agraria.

Masyarakat agraria di negara Belanda dan China boleh dihuraikan dalam beberapa aspek utama seperti kegiatan ekonomi yang dijalankan, kawasan penempatan mereka, sistem pengairan, kesuburan tanah petanian, dan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian.


1. Kegiatan Ekonomi Yang Dijalankan

Kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh masyarakat agraria adalah berasaskan kepada kegiatan pertanian dan penternakan. Di samping itu mereka juga menjalan kegiatan sampingan yang lain seperti memunggut hasil hutan.

Kegiatan pertanian yang dijalankan secara kecil-kecilan dalam bentuk sara diri iaitu sekadar untuk menampung keperluan harian sahaja. Mereka akan menanam sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin seperti barli, gandum dan oat.

Silain itu, masyarakat agraria juga menjalankan kegiatan penternakan sebagai sumber keperluan protien yang mencukupi untuk mereka. Binatang yang diternak oleh mereka seperti lembu, kambing, ayam dan biri-biri.


2. Kawasan Petempatan

Petempatan masyarakat agraria adalah terletak di kawasan yang subur untuk menjalankan kegiatan pertanian seperti di lembah sungai dan delta sungai. Kawasan ini menjadi tumpuan mereka kerana kawasan ini terdapat mendapan tanah lanar yang subur. Contohnya, masayarakat agraria di China membuka petempatan di sekitar lembah Sungai Kuning.


3. Sistem Pengairan

Masyarakat agraria juga mempunyai kemahiran atau pengetahuan dalam membina sistem pengairan bagi tujuan mengairi kawasan pertanian mereka. Mereka mempunyai kemahiran dalam membina terusan, kolam takungan air dan tali air.

Terbinanya sistem pengairan ini telah mendorong berlakunya pertambahan keluasan kawasan pertanian kerana kawasan yang jauh dari sumber air juga dapat diusahakan dengan adanya terusan. Selain itu, kegiatan pertanian dapat dijalankan secara intensif atau lebih giat dengan adanya sistem pengairan ini.

Masyarakat agraria di China, telah membina terusan untuk mengairan kawasam pertanian mereka. Manakala di Belanda pula, mereka menggunakan kaedah kincir angin untuk menyalurkan air ke kawasan pertanian.


4. Kesuburan Tanah

Oleh kerana memerlukan tahap kesuburan tanah yang tinggi bagi membolehkan kegiatan pertanian dijalankan, maka masyarakat agraria telah berusaha untuk mengetahui bagaimana cara-cara dalam memelihara kesuburan tanah pertanian ini. Mereka telah mencipta pelbagai teknik dan kaedah untuk meningkatkan tahap kesuburan tanah pertanian.

Di Belanda, masyarakat agrarianya menggunakan baja asli (najis binatang) yang diperolehi daripada kawasan penternakan untuk meningkatkan kesuburan tanah pertanian.

Selain itu, mereka juga menggunakan teknik memugar tanah pertanian dan mengamalkan sistem tanaman giliran untuk mengekalkan tahap kesuburan tanah.


5. Peningkatan Penggunaan Teknologi

Masyarakat agraria juga mempunyai kemahiran dalam mencipta peralatan-peralatan baru bagi menjalankan kegiatan pertanian secara besar-besaran. Penggunaan teknologi atau peralatan baru turut meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Masyarakat di Belanda telah menggunakan mencipta tugal dan tenggala beroda untuk memugar dan membajak tanah pertanian.

Masyarakat agraria juga memperkenalkan kaedah dan teknik pertanian untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian seperti memperkenalkan sistem tanaman giliran.





No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...