Nuffnang Advertisment

Wednesday, 31 July 2013

PEMBANGUNAN EKONOMI AMERIKA SYARIKAT SELEPAS 1865


Menjelang abad ke-19 M dan ke-20 M, Amerika Syarikat telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang amat pesat. Perkembangan dalam bidang ekonomi didorong oleh kemajuan dalam bidang perindustrian, pertanian dan sistem pengangkutan.

Perindustrian

Selepas tamat Perang Saudara, berlaku perkembangan yang pesat dalam bidang perindustrian. Perkembangan ini menyebabkan Amerika Syarikat muncul sebagai negara pengeluar hasil pertanian dan perindustrian dunia.

Perkembangan ini menyebabkan muncul industri-industri baru seperti industri kereta api, besi keluli, perlombongan dan pemprosesan makanan. Antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan bidang perindustrian adalah:

1. Kekayaan sumber asli negara

Pertumbuhan pesat dalam perindustrian di Amerika Syarikat disebabkan oleh kekayaan sumber asli negara seperti arang batu, besi keluli dan minyak. Menjelang tahun 1913, Amerika Syarikat telah menjadi pengeluar arang batu yang utama. Kekayaan sumber asli meletakkan asas bagi pertumbuhan perindustrian di Amerika Syarikat.

2. Perkembangan sistem pengangkutan

Perkembangan sistem pengangkutan juga menjadi salah satu faktor yang merangsang pertumbuhan industri di Amerika Syarikat. Kerajaan memperuntukkan dana bagi membina rangkaian jalan kereta api bagi memajukan sektor perindustrian. Selain itu, terdapat juga syarikat-syarikat swasta yang melabur modal dalam industri kereta api. Antara tokoh yang terlibat dalam pembinaan landasan kereta api ialah James J. Hill, Collis P. Huntington dan Jay Gould.  Pembinaan rangkaian jalan kereta api menyebabkan sektor perindustrian berkembang dengan pesat.

3. Penawaran buruh yang tinggi

Salah satu lagi faktor yang mendorong pertumbuhan industri di Amerika Syarikat adalah penawaran buruh yang tinggi. Kemasukan imigran dari dalam dan luar negara menyebabkan terdapat bekalan buruh yang mencukupi. Selepas Perang Saudara berakhir, Amerika Syarikat menggalakkan kemasukan golongan imigran ke negara tersebut. Malah, undang-undang yang menggalakkan kedatangan buruh ke Amerika Syarikat telah digubal. Pada tahun 1864, “Undang-Undang Buruh Kontrak” telah diwartakan bagi menggalakkan kemasukan buruh ke negara tersebut. Kemasukan buruh menyebabkan sektor perindustrian mengalami perkembangan pesat.

4. Penciptaan teknologi baru

Perkembangan dalam bidang perindustrian juga disebabkan oleh penciptaan teknologi baru. Antara ciptaan baru yang telah mengubah cara hidup manusia adalah telefon (1876) oleh Alexander Graham Bell, cahaya elektrik (1879) oleh Thomas Alva Edison, kereta (1893) oleh Henry Ford, telegraf (1844) oleh Samuel F.B. Morse dan kapal terbang (1903) oleh Wilbur dan Orville Wright. Selain itu, penciptaan teknik pengeluaran besi keluli merangsang pertumbuhan sektor pembinaan dan pengangkutan. Penggunaan jentera-jentera baru juga menyebabkan berlaku peningkatan dalam pengeluaran barangan.

5. Organisasi industri yang cekap dan teratur

Satu lagi faktor yang menggalakkan pertumbuhan industri ialah kemuncuhan teknik baru dalam pemasaran. Selepas Perang Saudara berakhir, sistem pemasaran yang dikenali sebagai “Mail Order House” diperkenalkan. Menernsi sistem pasaran ini, barangan akan dihantar melalui pos. Antara syarikat yang mempelopori sistem pemasaran ini ialah Roebuck and Company dan Montgomery Ward. Selain itu, muncul juga gedung-gedung jualan yang menjual pelbagai jenis barangan. Antara gedung jualan yang terkenal termasuklah Marshall Field (Chicago), Macy (New York) dan Filene (Boston).

6. Peranan kerajaan

Kerajaan juga memainkan peranan penting dalam perkembangan sektor perindustrian. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan untuk merangsang pertumbuhan perindustrian ialah mengenakan kadar cukai yang rendah, mewujudkan sistem perbankan kebangsaan, memperkenalkan dasar imigrasi yang longgar, mewujudkan kestabilan mata wang, membenarkan penggunaan sumber semula jadi dan memperkenalkan kadar tarif yang bersesuaian.

Pada tahun 1862, kerajaan juga meluluskan beberapa akta yang menggalakkan penggunaan tanah awam seperti Akta Landasan Kereta Api Pasifik, Akta Ladang dan Akta Majlis Anugerah Tanah.

Menerusi “Akta Landasan Kereta Api Pasifik”, kerajaan menyumbangkan tanah-tanah awam kepada syarikat swasta untuk pembinaan landasan kereta api, memberikan bayaran $48 ribu dolar bagi setiap batu jalan kereta api yang dibina di kawasan pergunungan dan memberi pinjaman subsidi selama 30 tahun serta dikenakan kadar faedahyang rendah kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam pembinaan landasan kereta api.


Pertanian

Amerika Syarikat juga mencapai kemajuan yang pesat dalam bidang pertanian. Penggunaan teknologi moden telah menyebabkan berlaku peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian. Perkembangan ini telah menyebabkan Amerika Syarikat mula mengeksport hasil pertanian ke seluruh dunia. Pada tahun 1834, Cyrus McCormick telah mencipta mesin menuai tanaman. Penemuan ini membolehkan tanaman gandum dapat ditanam di kawasan yang lebih luas. Dalam pada itu, usaha juga dilakukan untuk memajukan industri penternakan lembu melalui kajian dan penyelidikan telah dilakukan untuk membaiki baka­-baka lembu. Perkembangan ini telah menyebabkan Amerika Syarikat menjadi kawasan perladangan yang kaya.



Pengangkutan

Selepas Perang Saudara, Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang terbentang luas telah disatukan menerusi pembinaan landasan kereta api. Perkembangan pesat dalam pembinaan landasan kereta api berlaku pada pertengahan abad ke-19 M terutama selepas kerajaan meluluskan “Akta Landasan Kereta Api Pasifik” pada tahun 1862 dan 1864.

Menjelang tahun 1860-an, terdapat lebih kurang 53 000 batu landasan kereta api di Amerika Syarikat dan telah meningkat sehingga mencecah 166 000 batu menjelang tahun 1880-an. Ini telah menggalakkan kepada penerokaan  kawasan-kawasan baru untuk membina petempatan dan perkembangan ekonomi.

Dalam pada itu, usaha dilakukan untuk mencantumkan laluan kereta api yang pendek iaitu dimulakan oleh Cornelius Vanderbilt yang telah mencantumkan landasan kereta api di bahagian tengah New York. Beliau turut terlibat dalam usaha memanjangkan landasan kereta api dari New York ke Chicago. Dalam pada itu, J. Edgar Thomas pula memanjangkan landasan kereta api dari Philadelphia ke Chicago dan St. Louis.

Sementara itu, landasan kereta api merentas benua yang pertama menghubungkan pantai Atlantik dengan pantai Pasifik siap dibina pada tahun 1869. Landasan kereta api di sebelah barat Sungai Missouri telah dibina oleh Syarikat Union Pacific. Manakala landasan kereta api di sebelah timur Sacramento, California pula dibina oleh Syarikat Central Pacific.

Kejayaan menyiapkan landasan kereta api merentas benua mendorong pihak lain untuk melibatkan diri dalam pembinaan rangkaian jalan kereta api. Pembinaan landasan-landasan kereta api menyebabkan petempatan-­petempatan baru dibuka di sepanjang laluan kereta api.

Pembinaan sistem kereta api juga membawa perubahan dalam bidang ekonomi dan juga politik. Syarikat-syarikat kereta api juga merupakan perniagaan awal yang amat menguntungkan. Industri kereta api juga melahirkan ramai jutawan terkenal seperti Cornelius Vanderbilt, Daniel Drew, Jay Gould, James J. Hill dan J. Pierpont Morgan. Menjelang tahun 1860-an, sistem kereta api merangsang pertumbuhan industri asas seperti besi, keluhi, pembinaan dan pembuatan mesin.


Tuesday, 30 July 2013

PERANG SAUDARA DI AMERIKA (1861-1865)

Perang Saudara berlaku antara negeri-negeri utara dengan negeri­-negeri selatan Amerika Syarikat. Perang ini melibatkan 22 buah negeri utara Amerika Syarikat dengan 11 buah negeri di selatan Amerika Syarikat. Gabungan negeri-negeri utara dikenali sebagai Kesatuan Amerika Syarikat manakala negeri-negeri selatan dinamakan Gabungan negeri-negeri Amerika. Perang Saudara ini berlanjutan selama empat tahun iaitu dari tahun 1861 hingga 1865.



Faktor-faktor yang Menyebabkan Tercetus Perang Saudara

Masalah Hamba Abdi

Masalah hamba abdi telah menjadi salah satu faktor yang menyebabkan tercetus Perang Saudara di Amerika. Amalan perhambaan bermula sejak orang Inggeris mengasaskan petempatan di Amerika. Pembukaan ladang-ladang kapas dan tembakau menyebabkan tuan-tuan tanah memerlukan hamba abdi untuk bekerja di ladang. Hamba abdi dari Afrika (orang Negro) digunakan untuk bekerja di ladang-ladang di selatan Amerika.

Dalam pada itu, lahir kesedaran untuk menghapuskan amalan perhambaan di Amerika. Pada tahun 1859, John Brown memimpin pemberontakan hamba di bahagian selatan Amerika. Parti Republik turut berjuang untuk menghapuskan amalan perhambaan di Amerika.

Pada tahun 1861, Abraham Lincoln yang mengetuai Parti Republik dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-16. Beliau menentang amalan perhambaan dan berjaya menghapuskan amalan ini pada tahun 1863. Tindakan Abraham Lincoln membasmi amalan perhambaan mencetuskan Perang Saudara.

Negeri-negeri Selatan Menarik Diri dari Kesatuan Amerika Syarikat

Tindakan Abraham Lincoln membasmi amalan perhambaan menyebabkan negeri-negeri selatan menarik diri daripada kesatuan Amerika Syarikat. Pada tahun 1861, tujuh buah negeri selatan membuat keputusan untuk berpisah daripada Kesatuan Amerika Syarikat.

Negeri yang paling awal berpisah daripada Kesatuan Amerika Syarikat ialah Carolina Selatan, kemudian diikuti oleh Virginia, Georgia, Carolina Utara, Florida, Alabama, Mississippi, Louisiana, Tennessee, Arkansas dan Texas.

Pada 4 Februari 1861, negeri-negeri tersebut menubuhkan kerajaan baru yang dipanggil Gabungan Negeri-Negeri Amerika. Jefferson Davis telah dilantik sebagai presiden Gabungan Negeri­-Negeri Amerika.

Perbezaan antara Negeri-negeri Utara dan Negeri-negeri Selatan

Terdapat perbezaan yang amat ketara antara negeri-negeri utara dan selatan Amerika Syarikat. Perbezaan tersebut dapat dikesan dalam aspek kekayaan, agama, kehidupan dan bahasa. Penduduk di negeri-negeri selatan melibatkan diri dalam aspek pertanian manakala penduduk di utara terlibat dalam perusahaan.

Tidak Berpuas Hati terhadap Undang-undang Kerajaan Pusat

Negeri-negeri selatan tidak berpuas hati dengan undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan pusat. Mereka berpendapat undang-undang tersebut digubal untuk melindungi kepentingan penduduk di negeri-negeri utara.

Negeri-negeri selatan membantah tindakan kerajaan pusat mengenakan cukai yang tinggi terhadap barang-barang import. Mereka berpendapat tindakan tersebut boleh meningkatkan harga barang-barang yang diimport. Langkah ini turut menjejaskan kedudukan negeri-negeri selatan yang bergantung kepada barang-barang import.


Peristiwa Perang Saudara

Perang Saudara meletus apabila tentera negeri-negeri selatan (tentera Konfederasi) menyerang Fort Sumter pada 12 April 1861. Pasukan tentera negeri-negeri selatan dipimpin oleh Jeneral Robert Lee dan Jonathan Jackson. Manakala, tentera negeri-negeri utara (Tentera Kesatuan) dipimpin oleh Jeneral Ulysses Grant, Thomas Sheridan dan Jeneral William Sherman.

Pada peringkat awal iaitu antara tahun 1861-1863, tentera selatan memperoleh kemenangan. Namun, selepas tahun 1862 tentera negeri-negeri utara mula mengukuhkan kedudukan mereka.

Tentera utara memiliki beberapa kelebihan berbanding tentera selatan. Antara kelebihannya adalah bilangan penduduk yang ramai iaitu seramai 19 juta orang berbanding tentera selatan hanya seramai 9 juta orang. Di negeri-negeri utara pula terdapat lebih 100 000 buah syarikat luar di negeri-negeri utara terutama kewujudan industri membuat senjata. Manakala negeri selatan hanya mempunyai 18 000 buah syarikat sahaja. Pihak utara juga mengawal rangkaian jalan kereta api utama serta mempunyai 2 juta orang askar manakala negeri selatan hanya mempunyai 800 000 orang askar.

Pada bulan September 1862, tentera selatan pimpinan Jeneral Lee mengalami kekalahan di Maryland. Pertempuran terakhir dalam Perang Saudara ini berlaku pada bulan Julai 1863 di Gettysburg. Dalam peperangan tersebut, tentera selatan pimpinan Jeneral Lee seramai 100 000 orang telah berperang dengan 90 000 orang tentera pihak utara.

Dalam peperangan tersebut, tentera selatan dikalahkan oleh tentera utara. Dalam peperangan tersebut, dianggarkan lebih kurang 40 000 orang terbunuh di kedua-dua belah pihak.

Selepas peperangan tamat, Abraham Lincoln telah membuat ucapan yang termasyhur yang dikenali sebagai “Ucapan Gettysburg.” Ucapan tersebut berakhir dengan kata-kata “...kerajaan daripada rakyat, oleh rakyat, bagi rakyat tidak akan lenyap dari muka bumi...”

Selepas kekalahan di Gettysburg, negeri-negeri di selatan tidak dapat membaiki kedudukannya. Pada 9 April 1865, Jeneral Lee telah menyerah diri kepada Jeneral Ulysses Grant di Appomatox. Peristiwa tersebut menandakan Perang Saudara di Amerika pun berakhir.


Kesan Perang Saudara

Perang Saudara menyebabkan lebih setengah juta orang Amerika telah terbunuh. Pada tahun 1865, amalan perhambaan telah dihapuskan di seluruh Amerika Syarikat. Perang ini menyebabkan negeri-negeri utara dan negeri-negeri selatan bersatu semula. Perang Saudara ini menyelamatkan Amerika Syarikat daripada berpecah kepada dua.

Pada 14 April 1865, Abraham Lincoln telah ditembak mati oleh seorang penyokong pihak selatan, iaitu John Wilkes Booth. Selepas tahun 1865, Amerika Syarikat mengalami pembangunan pesat dalam bidang sosial dan ekonomi.

Walaupun mencapai kemajuan yang pesat, Amerika Syarikat menghadapi cabaran dalam menyatupadukan masyarakat yang berbilang bangsa seperti orang Inggeris, Sepanyol, Perancis, pendatang­-pendatang dari Itali, Greece, Rusia dan Poland. Dalam usaha untuk menyatukan rakyat berbilang bangsa dan keturunan, bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar.

Usaha untuk menyatukan masyarakat Amerika Syarikat telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Amerika Syarikat membangun sebagai sebuah negara yang bersatu yang terdiri daripada pelbagai bangsa.




PERANG KEMERDEKAAN AMERIKA


Perang kemerdekaan Amerika merupakan perang pembebasan koloni-koloni daripada cengkaman kerajaan British. Perang tercetus adalah didorong oleh beberapa faktor yang telah menyebabkan tercetus Perang Kemerdekaan, antaranya ialah:

Peperangan Tujuh Tahun (1756-1763)

Menjelang pertengahan abad ke-18 M, orang Inggeris mempunyai koloni di sepanjang pantai timur Amerika Utara dan Perancis mempunyai koloni di Amerika Utara di kawasan pedalaman yang menganjur dan Teluk Mexico di Selatan hingga Kanada di bahagian Utara. Pada tahun 1756, tercetus peperangan antara Perancis dengan Britain di Eropah.

Peperangan ini juga dikenali sebagai Peperangan Tujuh Tahun (1756-1763). Peperangan ini bukan sahaja berlangsung di Eropah tetapi tersebar ke bahagian-bahagian lain di dunia seperti di Amerika Utara dan India. Pada tahun 1763, orang Perancis telah dikalahkan oleh Britain dalam Perang Tujuh Tahun. Ekoran kekalahan tersebut, Perancis terpaksa menandatangani Perjanjian Paris pada tahun 1763. 

Menerusi Perjanjian Paris, Perancis menyerahkan Kanada dan wilayah pedalaman Mississippi-Ohio kepada Inggeris. Peperangan ini menelan perbelanjaan yang besar bagi kerajaan Britain. Britain menuntut koloni-koloni di Amerika membayar sebahagian daripada perbelanjaan peperangan tersebut. Namun demikian, penduduk-penduduk di 13 buah koloni tidak bersetuju dengan tindakan Britain. Perkembangan ini telah mencetuskan peperangan antara koloni­-koloni tersebut dengan Britain.


Pengenalan Akta-akta Baharu

Sejak awal abad ke-17 M, raja-raja di England mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal koloni-koloni mereka di Amerika Syarikat. Dalam konteks ini, koloni-koloni tersebut diberikan kebebasan untuk menguruskan hal ehwal mereka sendiri. Namun demikian, perubahan besar berlaku apabila Raja George III ditabalkan menjadi Raja England pada tahun 1760. Baginda mula mengamalkan dasar campur tangan dalam hal ehwal penduduk koloni-koloni di Amerika Syarikat.

Ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati penduduk di koloni-koloni dengan dasar baru itu. Mereka membantah tindakan kerajaan Britain apabila menuntut koloni­-koloni membayar sebahagian daripada perbelanjaan Perang Tujuh Tahun. Raja George III tidak menghiraukan bantahan malah baginda mengambil langkah-langkah yang lebih tegas untuk mendapatkan wang daripada penduduk koloni-koloni tersebut.

Baginda menguatkuasakan empat akta untuk memungut cukai daripada penduduk-penduduk di koloni-koloni tersebut. Akta-akta tersebut adalah seperti Akta Pelayaran, Akta Gula, Akta Setem, dan Akta Teh. Selain itu, undang-undang yang memerlukan penduduk koloni­-koloni membayar perbelanjaan tentera-tentera Britain yang berkhidmat di Amerika Syarikat diluluskan.


Bantahan Koloni-koloni

Penduduk-penduduk koloni membantah akta-akta yang diluluskan oleh parlimen di London. Mereka berpendapat adalah tidak sah bagi parlimen di London meluluskan cukai-cukai baru bagi koloni-koloni mereka. Mereka mengemukakan hujah bahawa parlimen tidak berhak untuk mengenakan cukai kerana koloni-koloni tersebut tidak diwakili di parlimen. Slogan yang dilaungkan oleh mereka ialah “Tiada cukai tanpa perwakilan”. Bantahan daripada penduduk-penduduk koloni menyebabkan kerajaan Britain bimbang kekacauan akan berlaku. Perkembangan ini menyebabkan kerajaan Britain menarik balik semua akta kecuali Akta Teh.


Peristiwa Pembuangan Teh Boston

Pada tahun 1773, menteri Lord North  kerajaan Britain telah meluluskan Akta Teh. Mengikut akta ini, Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) boleh menjual teh kepada penduduk di koloni-koloni Amerika tanpa membayar cukai, penduduk di koloni-koloni Amerika Syarikat dipaksa membeli teh daripada Britain melalui SHTI, dan tidak membenarkan penduduk-penduduk di koloni­-koloni tersebut daripada mengimport teh. Perkembangan ini menimbulkan kemarahan penduduk-penduduk di koloni-koloni terhadap kerajaan Britain.

Pada bulan Disember 1773, beberapa orang penduduk koloni yang memakai pakaian Red Indian menaiki sebuah kapal Syarikat Hindia Timur Inggeris di pelabuhan Boston. Mereka bertindak membuang kotak-kotak yang berisi teh ke dalam laut. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Pembuangan Teh Boston.

Kerajaan Britain telah bertindak menutup Pelabuhan Boston pada tahun 1774. Penduduk koloni-koloni jajahan mengambil keputusan untuk memperjuangkan kemerdekaan negara mereka daripada Britain.


Perang Kemerdekaan

Pada bulan September 1774, pemimpin-pemimpin daripada 13 koloni mengadakan pertemuan di Philadelphia dan mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah Kongres (Parlimen Bersatu). Pada pertengahan tahun 1775, George Washington telah dilantik untuk memimpin tentera Amerika Syarikat.

Pada 6 Julai 1775, Kongres membuat keputusan untuk mengisytiharkan peperangan terhadap Britain. Pada bulan April 1776, pasukan tentera koloni bertempur dengan tentera Inggeris di Lexington. Pada 4 Julai 1776, Kongres dalam persidangan yang diadakan di Philadelphia meluluskan Pengisytiharan Kemerdekaan. Pengisytiharan Kemerdekaan ini telah ditulis oleh Thomas Jefferson. Mengikut pengisytiharan ini, 13 buah koloni digabungkan menjadi Amerika Syarikat yang merdeka.

Pada tahun 1777, angkatan tentera Britain yang dipimpin oleh Jeneral Burgoyne mengalami kekalahan di Saratoga. Pada tahun 1781, askar-askar Britain di bawah pimpinan Jeneral Cornwallis dikalahkan di Yorktown.

Pada tahun 1783, Perang Kemerdekaan Amerika berakhir dengan termeterainya Perjanjian Versailles. Antara syarat Perjanjian Versailles ialah Britain menyerahkan kesemua 13 tanah jajahan dan mengakui kemerdekaan Amerika Syarikat.




Wednesday, 24 July 2013

PERJANJIAN BURNEY - 1826

Selepas perjanjian sementara ditandatangani dan mendapat pengesahan kerajaan India, Burney sekali lagi dihantar ke Siam untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Siam pada Dis 1825. Ketika berada di Bangkok, Burney telah berjaya tandatangani perjanjian dengan Siam yang dikenali sebagai Perjanjian Burney. Tujuan-tujuan lain Burney dihantar adalah untuk:-

  1. memberi jaminan British tidak berniat buruk terhadap Siam dan ingin kukuhkan lagi hubungan perdagangan dan persahabatan,
  2. memulihkan takhta sultan Kedah [Sultan Ahmad Tajuddin], dan
  3. memastikan kemerdekaan Perak dan Selangor serta negeri-negeri Melayu yang lain terpelihara.

Antara syarat-syarat perjanjian Burney ialah:-

  1. Kedah diiktiraf sebagai sebuah jajahan Siam. British tidak akan campurtangan di Kedah dan tidak akan tolong Kedah untuk mendapatkan kembali takhta,
  2. Sultan Kedah tidak dibenarkan tinggal di Pulau Pinang, Seberang Prai, Perak, Selangor dan Burma,
  3. Kemerdekaan Perak dan Selangor dijamin oleh Siam. Perak boleh tentukan sama ada hendak hantar bunga emas ke Siam atau tidak,
  4. Siam dan British boleh hantar rombongan diplomatik antara 40-50 orang tetapi tidak boleh “cabul, menyerang atau mengancam” Perak dan Selangor,
  5. British bersetuju tidak akan campurtangan di Perak dan Selangor tetapi akan menghalang Selangor daripada menyerang Perak, dan
  6. Siam tidak akan menganggu perdagangan British di Kelantan dan Trengganu tetapi kedua-dua kuasa tidak boleh “cabul, menyerang atau mengancam” negeri tersebut.

Perjanjian Burney mempunyai kepentingan tertentu kepada British iaitu dapat menentukan kedudukan negeri-negeri Melayu Perak dan Kedah iaitu Perak tidak akan diganggu oleh Siam dan Kedah diiktiraf sebagai jajahan takluk Siam; British telah berjaya menyekat perluasan pengaruh Siam ke negeri-negeri Melayu dan melindungi kepentingan perdagangan British di negeri tersebut; dan perjanjian ini telah menjadi asas hubungan British-Siam di masa akan datang.

            Perjanjian Burney telah memberi kesan ke atas negeri-negeri Melayu seperti Perak, Kedah, Kelantan dan Trengganu.


PERAK

Selepas perjanjian Raja Ligor tidak berpuas hati dan mengambil tindakan yang bertentangan dengan perjanjian iaitu telah menghantar wakil dan satu angkatan perang kecil ke Perak. Alasan yang digunakan untuk membantu Sultan Perak dalam bidang pentadbiran tetapi yang sebenarnya untuk memaksa Perak hantar bunga emas kembali ke Siam.

            Sultan Perak telah meminta bantuan daripada British di Pulau Pinang. British telah hantar wakilnya [Kapt. James Low], 40 orang sepoi dan sebuah kapal perang. Tujuannya adalah menasihati Sultan tentang haknya dan memberi jaminan akan membantu Perak sekiranya diserang oleh Siam.

            Di Perak, James Low berjaya menggulingkan golongan pro-Siam [pegawai-pegawai dan Raja Muda] dan ini menyebabkan Siam berundur dari Perak. James Low telah melampaui arahan iaitu telah memberi jaminan untuk melindungi Perak sekiranya diserang melalui Persetian Low antara J. Low dengan Raja Abdullah pada 18 Okt 1826. Antara syarat-syarat persetian ialah Perak berjaya tidak menghantar bunga emas ke Siam atau mengadakan hubungan politik dengan Siam dan negeri-negeri Melayu lain; Perak berjanjian tidak akan benar wakil lebih 30 orang lelaki negeri lain ke Perak untuk campurtangan urusan Perak; British bersetuju beri perlindungan dan bantuan tentera kepada Perak; dan Perak bersetuju menyerahkan Pulau Dinding dan Pulau Pangkor kepada British.

            Persetiaan Low ini telah membolehkan Gab. R. Fullerton bertindak ke atas lanun di Perak dengan menghantar Kapt. J. Low untuk memusnahkan kubu lanun di Kuala Kurau dan berjaya menangkap ketua lanun [Nakhoda Udin] iaitu seorang ejen Siam di Perak. Kejayaan British ini telah dapat menyelamatkan Perak dan menghentikan kemaraan Siam.


KEDAH

            Jika dikaji syarat-syarat perjanjian Burney adalah suatu pengkhianatan British terhadap Sultan Kedah. British telah mematuhi syarat perjanjian dengan Siam iaiatu bekerjasama dengan Siam untuk menghalang cubaan Sultan Kedah untuk mendapatkan kembali takhta. British bertindak demikian untuk menjaga kepentingan perdagangan di Kedah dan Siam.

            Sultan Ahmad Tajuddin tidak berputus asa dan telah berusaha dapatkan kembali takhta baginda dari Pulau Pinang pada tahun 1831-1841. Baginda mengatur langkah untuk menghalau Siam dengan mendapat bantuan orang-orang Melayu Kedah, Kelantan dan Trengganu pada tahun 1831, 1836 dan 1838 tetapi semuanya gagal kerana Kedah sudah dikepong. Sultan Kedah telah berpindah ke Melaka.

            Walaubagaimanapun, pada tahun 1840 Sultan Kedah, Siam dan British mula berubah sikap dalam masalah ini. Sultan Kedah sedar baginda sudah tua dan tidak larat lagi untuk menyerang siam, manakala Siam pula berperang dengan Kedah telah menjejaskan kemakmuran dan terpaksa menanggung kos yang tinggi. Bagi British dibawah pentadbiran Gab. Bonham berpendapat dasar pro-Siam telah menjejaskan perdagangan British di negeri-negeri Melayu.

Pada tahun 1841, Sultan Kedah telah menggunakan cara diplomasi iaitu dengan menghantar anak baginda Tengku Daik ke Bangkok. Tg. Daik telah berjaya memujuk Siam menaikkan kembali Sultan Kedah ke takhta dan menarik balik pegawai-pegawai Siam dari Kedah dengan beberapa syarat. Antaranya ialah Kedah kekal dibawah Siam dan perlu menghantar bunga emas 3 tahun sekali; dan Kedah akan diperkecilkan kawasannya iaitu Sentul dan Perlis diasingkan.

            Jadi pada tahun 1842, Sultan Kedah naik takhta semula dan Perlis diasingkan dengan diperintah oleh Syed Sapee yang bergelar raja Perlis.


KELANTAN DAN TRENGGANU

Dalam perjanjian Burney tidak menyebut dengan jelas tentang kedudukan Kelantan dan Trengganu. Siam telah menuntut haknya di negeri tersebut dengan mengambil kesempatan di atas perang saudara di Pahang (1857-1863) antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir untuk meluaskan pengaruhnya di Pahang dan Trengganu. Siam telah menyokong Wan Ahmad yang berlindung di Trengganu. Campurtangan Siam ini telah menyebabkan timbulnya kekacauan dan ini telah mengancam kepentingan perdagangan British di Kelantan dan Trengganu. British meminta Siam menangkap bekas sultan Riau-Lingga (Sultan Mahmud III) dan Wan Ahmad dari Trengganu tidak diendahkan oleh Siam dan Sultan Trengganu (Sultan Omar). British juga telah merayu kepada Siam supaya jangan campurtangan dan berundur dari Trengganu tetapi tidak diendahkan oleh Siam. Maka pada Nov 1862, Gab. Sir Orfeur Cavenagh telah menghantar kapal perang dan membedil kubu di Kuala Trengganu. Akhirnya pada tahun 1863, Siam telah menarik diri dari Trengganu.



PERANG NANING (1831-1832)

Semasa Belanda menjajah Naning pada 1641, Naning dikehendaki membayar ufti tahunan sebanyak 400 gantang beras iaitu 1/10 daripada hasil tuaian padi. Selepas British mengambil alih Melaka dari pihak Belanda, British juga telah memasukkan Naning di bawah pentadbiran Melaka. Oleh itu British juga memaksa Naning supaya membayar cukai 1/10 daripada hasil Naning. Ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Naning dan terutamanya Penghulunya iaitu Abdul Said (Dol Said).

Dol Said enggan membayar cukai dan cuba menyelesaikan semua perkara yang berlaku di Naning seperti kes-kes jenayah. Dol Said juga telah bertindak menghalang kerja-kerja membanci di Naning serta menolak cadangan Robert Fullerton dan W.T. Lewis (Penguasa Tanah di Melaka) untuk melantik para pembesar Naning sebagai pengutip cukai atau memberi bayaran pencen sebagai ganti rugi. Tindakan Dol Said ini membimbangkan British kerana takut orang lain juga terpengaruh dengan tindakan Dol Said.

Perang Naning meletus pada Julai 1831, apabila sepasukan tentera British seramai 150 orang di bawah pimpinan Kapt. Wyllie menyerang Naning untuk memaksa Dol Said menerima cadangan-cadangan British dan menandatangani satu perjanjian yang telah disediakan oleh British. Tentera British telah mendapat tantangan yang hebat dari pasukan Dol Said dan British telah mengalami kekalahan teruk kerana kurang pengalaman berperang di hutan. British telah berundur semula ke Melaka. Kemenangan Dol Said ini adalah kerana mempunyai strategik perang yang berkesan iaitu teknik menebang pokok, menanam ranjau dan serang hendap. Kemenangan ini juga kerana mendapat bantuan daripada Penghulu Remai dan Recat, Penghulu Gemencheh serta pemerintah Rembau iaitu Syed Shaaban.

Selepas berjaya mempengaruhi pembesar di Rembau melalui perjanjian, British telah melancarkan serangannya yang kedua dengan pasukan yang lebih besar seramai 1200 orang di bawah pimpinan Kol. Herbert. Dol Said tidak lagi dibantu oleh Syed Shaaban kerana telah diugut oleh British. Akibat tiada bantuan, dikhianati oleh pengikutnya yang berpaling tadah serta jumlah tentera British yang lebih besar maka Dol Said gagal mempertahankan Naning. Kubu kuat Dol Said di Tabuh berjaya ditawan pada 15 Jun 1832. Dol Said telah melarikan diri kemudiannya menyerah diri pada Feb. 1833.

Naning telah diletakkan di bawah kawalan Melaka dengan diketuai oleh seorang Superintenden. Dol Said telah dilucutkan jawatannya dan dibuang negeri ke Melaka dengan bayaran pencen sebanyak 60 rupi kemudian ditambah menjadi 100 rupi sebulan serta diberi satu tapak rumah di Melaka. Kemudian Dol Said meninggal dunia pada 1849.

Dalam perang Naning, British telah memperuntukkan perbelanjaan lebih kurang £10 000. Peruntukkan yang besar ini adalah semata-mata untuk mempertahankan maruah dan martabat British yang dicabar oleh seorang pemimpin tempatan.



 

Sunday, 21 July 2013

PERJANJIAN INGGERIS-BELANDA 1824


Pengenalan

Selepas pendudukan Inggeris di Singapura pada tahun 1819, hubungan antara Belanda dan Inggeris terus renggang. Belanda mendakwa pendudukan Inggeris di Singapura adalah tidak sah kerana Singapura terletak di kawasan pengaruh mereka. Justeru itu, Belanda menggugut sanggup menggunakan kekerasan terhadap Inggeris sekiranya mereka enggan berpindah dari Singapura. Walau bagaimanapun, ketegangan hubungan ini berjaya diselesaikan melalui Perjanjian Inggeris-Belanda di London pada 17 Mac 1824. Perjanjian ini telah meninggalkan kesan ke atas Gugusan Kepulauan Melayu kerana telah memberi peluang kepada Inggeris dan Belanda menegakkan pengaruh masing-masing.


Faktor-faktor yang membawa kepada PerjanjiĆ n Inggeris-Belanda

Persaingan perdagangan di Timur

Hubungan permusuhan di antara Belanda dan Inggeris telah wujud sejak awal abad ke-17 lagi kerana masing-masing bersaing untuk menguasai perdagangan di timur. Persaingan berlaku akibat perbezaan dasar perdagangan yang diamalkan oleh kedua-dua belah pihak. Dasar monopoli perdagangan Belanda seringkali menimbulkan ketidakpuasan hati pihak Inggeris yang mengamalkan dasar perdagangan bebas atau laissez faire. Permusuhan mereka semakin memuncak apabila berlakunya Peristiwa Pembunuhan Beramai-ramai di Ambon pada tahun 1623. Dalam peristiwa itu, Belanda telah membunuh ramai saudagar Inggeris serta memusnahkan loji-loji Inggeris di kawasan berdekatan demi untuk mengukuhkan monopoli perdagangan mereka di Kepulauan Rempah. Ini telah menyebabkan Inggeris telah menutup semua loji mereka di Kepulauan Melayu kecuali Bengkulen atau Bangkahulu dan kembali menumpukan kegiatan perdagangan di India.

Dasar persahabatan Inggeris-Belanda di Eropah

Hubungan antara Inggeris dan Belanda di Eropah jauh berbeza berbanding di Timur. Hubungan yang baik terjalin di Eropah adalah disebabkan oleh keperluan hidup saling bergantungan dan saling membantu di antara satu sama lain dan Belanda ingin membalas budi baik Inggeris kerana kesediaan dan keikhlasan mereka menghulurkan bantuan kepada Belanda semasa tercetusnya Perang Napoleon 1795.

Ini terbukti melalui Surat-surat Kew 1795, Belanda bersetuju untuk menyerahkan Pulau Jawa dan Melaka kepada British. Apabila perang tamat, Inggeris akan memulangkan tanah jajahan Belanda di Hindia Timur semula seperti Pulau Jawa diserahkan pada tahun 1816 dan Melaka pada tahun 1818.

Bagi Inggeris pula, persahabatan dengan Belanda penting untuk faedah pertahanan kerana kedudukan geografi negara Belanda yang strategik membolehkan musuh-musuh Inggeris menggunakan negara Belanda sebagai pangkalan untuk menyerang Britain. Di samping itu, kejayaan Napoleon Bonaparte, pemerintah Perancis menawan negara Belanda pada tahun 1795 menambahkan kebimbangan Britain. Besar kemungkinan Perancis menjadikan Belanda sebagai tapak untuk meluaskan kekuasaannya ke Britain. Oleh itu, Inggeris bercadang untuk menjadikan Belanda sebagai rakan tentera, untuk membantu mempertahankan negara Britain dan ancaman musuh di Eropah. Tambahan pula hubungan Britain (Mazhab Protestant) dengan rakan-rakannya di Eropah seperti Prusia, Rusia, Austria (Mazhab Katolik) sudah mulai dingin kerana berlainan aliran agama dan ideologi. Justeru itu, persamaan pegangan agama mendorong Inggeris untuk bersahabat baik dengan Belanda. Inggeris berminat menjalinkan hubungan baik dengan Belanda bukan sahaja di Eropah, bahkan di Timur demi kepentingan pertahanan, keselamatan, ekonomi dan agama.

Pertelingkahan tentang Singapura

Selepas Perang Napoleon tamat, Belanda kembali semula ke Hindia Timur dan memulakan semula perdagangan monopoli di Hindia Timur. Sir Stamford Raffles telah nekad membuka petempatan Inggeris di Singapura pada tahun 1819 sebagai tindakbalas terhadap kesombongan Belanda. Tujuan Inggeris menduduki Singapura adalah untuk melumpuhkan ekonomi Belanda dengan menjadikan Singapura saingan utama Pelabuhan Betawi.

Di bawah pentadbiran Inggeris, Singapura telah berkembang dengan cepat. Pada tahun 1820, nilai perdagangannya telah melebihi $4 juta dan meningkat kepada $13.2 juta pada tahun 1823. Penduduk Singapura dianggarkan melebihi 10000 orang ketika itu. Dalam masa empat tahun, Singapura telah mampu menjadi pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu. Kejayaan Singapura telah melumpuhkan kemasyhuran Pelabuhan Betawi dan melemahkan ekonomi Belanda di Hindia Timur.

Perkembangan Singapura telah mencetuskan rasa tidak puas hati Belanda dan mendakwa Singapura berada di kawasan pengaruh mereka yang merupakan sebahagian daripada Empayar Johor-Riau di bawah pemerintahan Sultan Abdul Rahman. Oleh itu, Belanda mengugut untuk menggunakan kekerasan sekiranya Inggeris enggan meninggalkan Singapura.

Masalah kewangan negara Belanda

Selepas tamatnya Perang Napoleon 1815, Belanda menghadapi krisis kewangan yang teruk sehingga meletakkan Belanda dalam keadaan muflis. Ditambah pula berlakunya  Pemberontakan Belgium. Akibatnya, Belanda telah kehilangan perusahaan perkapalan dan perdagangannya kepada Britain.

Pada tahun 1815, hutang Belanda dianggarkan berjumlah 600 juta florin. Hutang Belanda dengan Britain adalah sahaja sebanyak £144 juta. Justeru itu, hubungan baik dengan Inggeris amat perlu bagi menyelesaikan hutang mereka.

Demi memelihara kepentingan kedua-dua belah pihak, maka satu perjanjian telah ditandatangani antara pihak Inggeris dan Belanda pada 17 Mac 1824 di London yang dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda atau Konvensyen London. Oleh itu, perang dingin antara Inggeris dan Belanda dapat dipulihkan.


Syarat-syarat perjanjian

Syarat-syarat kewilayahan

Belanda mengakui pendudukan Inggeris di Singapura adalah sah

Belanda bersetuju menyerahkan Melaka kepada Inggeris. Sebagai balasan, pihak Inggeris bersetuju menyerahkan Bengkulen atau Bangkahulu secara rasminya kepada Belanda dan semua loji Belanda di India diserahkan kepada Inggeris.

Belanda juga berjanji tidak akan membuka sebarang petempatan atau menjalinkan hubungan dengan mana-mana pemerintah tempatan di Tanah Melayu atau di utara Selat Singapura. Inggeris juga mengakui tidak akan membuka petempatan atau membuat sebarang perjanjian dengan pemerintah tempatan di wilayah yang terletak di selatan Selat Singapura termasuklah Kepulauan Riau-Lingga, Kepulauan Karimon dan Sumatera yang menjadi milik Belanda.

Kedua-dua kuasa juga bersetuju tidak akan membuka petempatan baru tanpa keizinan dan pengetahuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya Inggeris atau Belanda ingin meninggalkan sesuatu petempatan, maka hendaklah mereka memberikan keizinan kepada salah satu kuasa untuk menduduki wilayah tersebut.

Syarat perdagangan

Belanda bersetuju tidak akan menjalankan monopoli perdagangan di Kepulauan Melayu dan akan memberi layanan yang sama adil terhadap saudagar-saudagar Inggeris yang berdagang di Hindia Timur.

Inggeris mengiktiraf monopoli perdagangan Belanda di Kepulauan Rempah dan berjanji tidak akan mengkhianati perdagangan Belanda.

Kedua-dua pihak bersetuju memberikan kebebasan kepada pedagang luar untuk memilih mana-mana pelabuhan perdagangan yang disukai tanpa dthalang oleh mana-mana kuasa sama ada Inggeris atau Belanda.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama bagi membanteras masalah perlanunan di Kepulauan Melayu.

Syarat kewangan

Belanda hanya diminta membayar kepada kerajaan Britain berjumlah £ 100 000 sterling secara beransur-ansur.


Kesan perjanjian Inggeris-Belanda 1824

Kepulauan Melayu dibahagikan kepada dua lingkungan pengaruh

Kepulauan Melayu dipisahkan kepada dua lingkungan pengaruh iaitu Singapura dan negeri-negeri di utara Selat Singapura menjadi hak Inggeris sementara Sumatera dan wilayah ke selatan Selat Singapura menjadi hak miik Belanda.

Akibat perjanjian ini, kuasa Inggeris dan Belanda telah berjaya meluaskan pengaruh masing-masing tanpa gangguan mana-mana pihak.

Perpecahan Empayar Johor

Melalui perjanjian ini Ernpayar Johor telah mengalami keruntuhan dan berpecah kepada dua bahagian. Singapura dan Tanah Besar Johor diperintah oleh Sultan Hussein dan diletakkan di bawah pengaruh Jnggeris. Sementara Kepulauan Riau-Lingga diperintah oleh Sultan Abdul Rahman dan berada di bawah pengaruh Belanda. Pahang pula telah membebaskan diri dari Empayar Johor dan diperintah oleh keluarga Bendahara.

Kebangkitan keluarga Temenggung di Johor bermula pada tahun 1855 apabila Sultan Ali telah menyerahkan takhta kerajaan kepada Temenggung Ibrahim. Sebagai ganti rugi di atas kehilangan kuasa, Sultan All dibayar pencen dan sebidang tanah yang terletak di antara Sungai Muar dan Sungai Kesang.

Sementara itu, pada bulan Ogos 1824, Singapura telah dipisahkan dan Johor dan dijadikan tanah jajahan Inggeris.

Hubungan Inggeris-BeIanda di Timur

Pertelingkahan di antara Inggeris dan Belanda di Timur masih berterusan kerana Belanda tidak mematuhi perjanjian kerana Belanda masih terus mengamalkan monopoli rempahnya di Hindia Timur dan masih mengenakan cukai yang tinggi kepada pedagang-pedagang Inggeris yang berlabuh di Betawi.

Perselisihan antara Inggeris dan Belanda juga berpunca daripada masalah Labuan yang telah diserahkan oleh Sultan Brunei kepada SHTI pada tahun 1846. Belanda membantah tindakan itu kerana menganggap Labuan berada di bawah pengaruh mereka iaitu di selatan Selat Singapura. Perbalahan ini diselesaikan apabila Inggeris dapat membuktikan kedudukan Labuan.

Inggeris juga tidak berpuashati di atas keengganan pihak Belanda membanteras kegiatan perlanunan di perairan Kepulauan Melayu. Belanda hanya bertindak menghapuskan kegiatan lanun di perairan Hindia Timur sahaja. Hanya pihak Inggeris sahaja yang berusaha keras untuk menghapuskan laun di Selat Melaka dan selat Sunda. Keadaan ini telah menyebabkan Inggeris terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menghapuskan kegiatan lanun ini.




Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.