Nuffnang Advertisment

Tuesday, 2 July 2013

EKONOMI TRADISIONAL ATAU SARA DIRI DI MALAYSIA


PENGENALAN

Sebelum kedatangan British pada abad ke-19, masyarakat tempatan di Malaysia telah mempunyai sistem ekonomi mereka yang tersendiri yang boleh dibahagikan kepada dua iaitu sistem ekonomi sara diri dan ekonomi komersil. Kegiatan ekonomi sara diri merupakan kegiatan ekonomi yang dijalankan untuk kegunaan sendiri dan keluarga tanpa ada lebihan atau stok.

Antara kegiatan ekonomi sara diri yang diceburi adalah seperti pertanian, perikanan, perlombongan, mencari hasil hutan, penternakan, memburu binatang dan pertukangan.

Tujuan sistem ekonomi dijalankan adalah untuk menjamin kestabilan ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat di Malaysia.


EKONOMI SARA DIRI

Pertanian

Antara sistem ekonomi sara diri yang dijalankan adalah seperti pertanian. Kita dapati kegiatan pertanian melibatkan hampir keseluruhan masyarakat tempatan dan selalunya mereka ini menjalankan pelbagai kegiatan makanan. Jenis tanamannya seperti sayur-sayuran, ubi keledek, padi, buah-buahan, tebu dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kita dapati peralatannya masih berbentuk tradisional seperti penggunaan bajak, tajak, cangkul, tenggala dan lain-lain. Hasil-hasil tanaman ini hanya cukup untuk menampung keperluan keluarga sahaja tanpa ada lebihan.

Masyarakat tradisi tidak mengamalkan pengkhususan pekerjaan dan dalam masa yang sama mereka melibatkan diri dalam kemahiran-kemahiran membuat pasu, rumah, menternak dan memetik kelapa. Antara tanaman yang paling banyak dan utama ditanam ialah padi, seperti padi bukit dan padi sawah yang terdapat di Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Walau bagaimanapun, kita dapati di Kedah dan Perlis pengeluaran padinya bukan sahaja bersifat separa sara diri tetapi pada tahun 1809 ianya lebih bersifat komersil. Dalam kegiatan pertanian masyarakat Tanah Melayu tradisi tidak mengamalkan sistem upah tetapi sebaliknya seluruh keluarga akan bekerja untuk mendapatkan hasil yang lebih baik seperti menjemur padi dan lain-lain.

Padi bukit juga turut dijalankan oleh masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak.

Perikanan/ Menangkap ikan

Mereka juga menjalankan kegiatan perikanan yang merupakan kegiatan tradisi dan lebih tertumpu kepada beberapa sektor seperti penangkapan ikan di tepi laut, tasik, kolam dan sawah. Antara peralatan yang digunakan juga berbeza mengikut sektor yang diceburi seperti bubu, jala, pukat, serkap, lukah, sampan, kail dan lain-lain.

Jika terdapat lebihan hasil tangkapan, nelayan-nelayan ini selalunya akan memprosesnya menjadi ikan kering, keropok, belacan, sos bilis dan lain-lain.


Pelombongan

Perlombongan juga dijalankan secara kecil-kecilan sebagai tambahan kepada kegiatan pertanian, antaranya ialah bijih timah, emas, perak dan lain-lain. Pada peringkat awal kegiatan perlombongan yang dijalankan dimiliki oleh pembesar dan raja.

Kawasan perlombongan dapat dilihat dari Kedah hingga ke Beruas di Perak seperti Manjung (Perak), Bernam (Selangor), Kuala Selangor, Kelang dan Jugra. Cara melombongnya ialah mendulang. Walau bagaimanapun pada abad ke-19, selepas kemasukan buruh-buruh dari China, pelombong Melayu mula menggunakan cara melampan dan lombong siam atau lombong dedah.

Ada juga dalam kalangan para pembesar Melayu menjalankan kegiatan perlombongan secara komersil apabila pembesar Melayu berkongsi dengan tauke Cina untuk mengusahakan lombong. Contohnya antara Ngah Ibrahim di Larut dengan kongsi gelap Hai San.


Pertukangan/Kraftangan

Selain itu masyarakat tempatan juga mengamalkan sistem ekonomi pertukangan yang merupakan kegiatan sampingan. Selalunya mereka yang melibatkan diri adalah mereka yang mempunyai kemahiran seperti pertukangan kayu, logam, mencipta pelbagai jenis peralatan, senjata tradisional serta membuat perahu.

Kegiatan-kegiatan lain selalunya diceburi oleh kaum wanita seperti menenun kain dan menyulam seperti yang terdapat di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu. Mereka menghasilkan kain pua, songket dan hasil-hasil ini digunakan untuk diri sendiri atau pun ditukarkan dengan barangan lain.


Mencari hasil-hasil hutan

Mencari hasil hutan juga merupakan kegiatan ekonomi sara diri sekiranya masyarakat tempatan tidak terlibat dengan sistem ekonomi sara diri yang lain. Antara hasil hutan yang dicari seperti rotan, nipah, getah perca, damar, buah kabung, daun palas dan lain-lain. Di Sarawak, mereka mencari sarang-sarang burung dan kayu di gua-gua kawasan pedalaman.

Ada juga yang mencari akar-akar kayu dan herba. Walau bagaimanapun, kegiatan ini bukan merupakan kegiatan utama kerana ianya hanya merupakan kegiatan sampingan semata-mata sekiranya ada masa yang terluang.


Penternakan

Ternakan dijalankan secara kecil-kecilan seperti menternak lembu, kerbau, ayam, itik dan lain-lain. Dijalankan disekitar kediaman mereka.

Penternakan dijalankan sebagai sumber makanan dan juga untuk membantu membajak sawah, menarik kereta lembu dan lain-lain pekerjaan.


Memburu binatang

Kegiatan memburu binatang juga dijalankan untuk sumber makanan seperti pelanduk, kancil, rusa, landak dan ayam hutan. Peralatan yang digunakan untuk menangkap ialah tali, jerat, perangkap dan sebagainya. Kegiatan ini banyak diamalkan oleh masyarakat negeri Pahang.

Kegiatan ini merupakan kegiatan sampingan sahaja. Kegiatan ini dijalankan menggunakan kaedah meramu iaitu mencari dan menangkap. Binatang yang diburu akan dijadikan makanan mereka.


Sistem barter

Merupakan kegiatan perdagangan peringkat awal iaitu kegiatan bertukar-tukar barangan sama ada secara formal di pasar-pasar atau pelabuhan-pelabuhan. Pertukaran secara informal pula dijalankan dalam kalangan ahli kampung atau kalangan jiran sahaja.

Barangan-barangan yang ditukarkan meliputi semua sumber seperti beras, makanan laut, sayur-sayuran dan lain-lain.


KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan kita dapati, sistem ekonomi masyarakat tempatan pada peringkat awal lebih mirip kepada ekonomi sara diri dan separa sara diri.

Walau bagaimanapun, keadaan ekonomi mula berubah dengan kemasukan kuasa British kerana hasil-hasil ekonomi dan keuntungan ekonomi telah dibolot oleh mereka sehingga menyebabkan sultan-sultan Melayu dan pembesar-pembesar tempatan mula hilang kuasa. Keadaan ini mula membawa kepada rasa tidak puas hati dan mula membawa penentangan terhadap British





No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.