Nuffnang Ads

Tuesday, 2 July 2013

KEDUDUKAN DAN PERANAN PENGHULU DALAM SISTEM PEMERINTAHAN DI TANAH MELAYU


PENGENALAN.

Mukim merupakan unit politik terkecil, ditadbir oleh seorang penghulu atau penggawa kecuali Negeri Sembilan. Dalam masyarakat Melayu tradisional, penghulu memainkan peranan sebagai orang perantaraan antara pembesar daerah dengan penduduk di kawasannya.

Penghulu dilantik oleh raja dan mempunyai kuasa mutlak di peringkat mukim. Jawatan penghulu dipegang oleh seseorang yang memiliki sifat gagah, berani, berharta, serta berasal daripada kerabat atau keturunan pegawai istana. Sebelum kedatangan British, penghulu tidak diberi gaji atau elaun tertentu. Pendapatannya bergantung kepada hasil cukai yang dikutip daripada penduduk kampungnya, selain hasil daripada kebun atau ladang penghulu itu sendiri.

Selepas kedatangan British, peranan penghulu tertakiuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Residen British.


Peranan institusi penghulu dalam masyarakat Melayu sebelum campur tangan British.

Seseorang penghulu yang dilantik mempunyai tugas dan tanggungjawab seperti menentu dan mengutip hasil cukai, mengurus dan mentadbir tanah, ketua adat dan agama Islam, Penghulu diberi kuasa mengadili perbalahan serta menjatuhkan hukuman atas kesalahan jenayah tertentu dan mengawal perjalanan keluar masuk di setiap jurusan perhubungan.

Penghulu berkuasa penuh kepada anak buahnya. Kadangkala, penghulu diarah untuk membekal dan menyedia tenaga buruh kepada pembesar atau sultan bagi mengendalikan kerja-kerja membuat istana, membina jalan, mengerjakan sawah dan lain-lain.

Penghulu juga bertanggungjawab untuk mengerah dan mengumpul rakyat bagi tujuan peperangan.

Penghulu juga berperanan memastikan seluruh penduduk kampung di bawah jagaannya memberi taat setia kepada sultan, di samping menjaga keselamatan kampung.

Sebelum campur tangan British, penghulu berasal daripada kampungnya sendiri dan beliau dikenali ramai kerana bertugas di kalangan anggota keluarganya. Perlantikan penghulu secara turun temurun.


Peranan institusi penghulu selepas campur tangan British.

Pentadbiran British masih mengekalkan institusi penghulu. Penghulu menjadi wakil kerajaan di kampung-kampung mereka. Penghulu menjadi penghubung di antara pentadbiran British dengan rakyat.

Penghulu yang dilantik akan diberi surat kuasa yang dikeluarkan oleh sultan atas nasihat Residen British.

Pada tahun 1882, Hugh Low selaku Residen British di Perak menerangkan tugas-­tugas penghulu yang penting iaitu;


  • Menjalankan semua undang-undang kerajaan di dalam mukim.
  • Mengutip cukai dengan menyimpan 10% untuk penggunaan sendiri.
  • Memberikan tanah mati kepada pemohon.
  • Mendamaikan perkelahian antara anak buahnya.
  • Menjaga keselamatan.
  • Mengadili kesalahan-kesalahan yang kurang penting dan mendenda yang salah.


Selepas tahun 1890, bidang kuasa penghulu adalah mengikut yang terdapat pada surat kuasa dan juga yang dibenarkan oleh undang-undang. Surat kuasa Perak dalam tahun 1890-an terbahagi kepada sembilan bahagian. Penghulu diberi kuasa mengutip segala hasil, menahan orang yang bersalah, menyelesaikan aduan kecil, mendaftar penduduk di kawasannya dan memberi nasihat kepada anak buahnya.

Selepas tahun 1874, penghulu menerima gaji tetapi masih ada beberapa sumber yang dahulu seperti sistem cabut. Mengikut Perak Order in Counsel, Penghulu boleh menerima 10% daripada cukai yang diterima oleh pejabat kastam atas bijih timah dan daerahnya.

Penghulu ditempatkan mengikut kepentingan mukim. Jika Penghulu itu dinaikkan ke pangkat yang lebih tinggi, beliau mesti dipindahkan ke mukim yang lebih tinggi kedudukannya. Selepas tahun 1900, Penghulu telah dihantar ke daerah yang bukan daerah asalnya, namun begitu dasar ini tidak berjalan dengan lancar.

Tugas-tugas penghulu diperluaskan lagi selepas tahun 1897, iaitu mengikut Undang-Undang Tanah 1903. Penghulu dirujuk sebagai saksi yang rasmi kepada semua tanda tangan.

Penghulu juga menjalankan tugas tidak rasmi. Contohnya jika pegawai daripada luar datang ke kawasannya, penghulu bertanggungjawab mengurus dan melayan pegawai berkenaan sehingga selesai.

Mahkamah Penghulu dibentuk bagi tujuan membicarakan kes-kes kecil yang dilakukan oleh rakyat di kawasannya.


KESIMPULAN.

Kedudukan institusi penghulu telah mengalami perubahan yang jelas selepas campur tangan British. Sumber kuasa penghulu datangnya dan tangan pegawai­-pegawai British. Penghulu adalah kakitangan kerajaan yang bergaji tetap dan tertakluk di bawah undang-undang negeri.




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.