Nuffnang Ads

Wednesday, 10 July 2013

PEMBAHARUAN TSAR PETER AGUNG


Nama sebenar Tsar Peter ialah Pyotr Alexeyevich Romanov iaitu anak anak yang ke-14 kepada Tsar Alexi dengan isteri keduanya iaitu Natalya Kirillovna Naryshkina. Tsar Peter telah dilahirkan pada 9 Jun 1672 M di Moscow dan telah meninggal dunia pada 8 Feb 1725 di St. Petersburg ketika berumur 52 tahun akibat masalah saluran dan pundi kencing. Tsar Peter Agung merupakan raja Rusia pada akhir abad ke-17M yang paling terkenal dengan pembaharuannya yang luas untuk tujuan menjadikan Rusia sebuah negara yang kuat. Pembaharuan yang dilakukan melibatkan bidang politik, sosial, ekonomi dan keagamaan. Pembaharuan yang dijalankan adalah didorong oleh pengalamannya ketika mengembara ke negara-negara Eropah Barat seperti Jerman, Belanda, Austria, Britain dan Perancis. Tsar Peter ingin menjadikan negara Rusia maju setanding dengan negara-negara Barat ini.


Bidang Politik

1. Menyusun Semula Sistem Pentadbiran Rusia

Semasa pemerintahan Tsar Peter Agung, sistem pentadbiran Rusia disusun semula dengan mewujudkan sistem pentadbiran pusat yang cekap dan teratur. Baginda melakukan rombakan dalam institusi-institusi pentadbiran seperti Duma, Zemskii Sabor dan Prikazi iaitu digantikan dengan Majlis Senat pada tahun 1711. Majlis Senat dianggotai oleh sembilan orang ahli. Sebuah badan yang dikenali sebagai Colleges ditubuhkan untuk mengurangkan beban tugas anggota Senat. Colleges akan diketuai oleh seorang presiden dengan dibantu naib presiden dan beberapa ahli majlis. Colleges ini bertanggungjawab dalam hal ehwal luar negeri, perang, angkatan laut, perbelanjaan, pendapatan, keadilan dan lain-lain.

2. Memindahkan Pusat Pemerintahan

Pada tahun 1712 M, Tsar Peter telah mewujudkan bandar St. Petersburg yang berada di tepi Sungai Neva. Bagi mewujudkan pentadbiran yang cekap dan sistematik serta mengukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah berkuasa mutlak di Rusia, baginda telah memindahkan pusat pentadbirannya dari Moscow ke St. Petersburg pada tahun 1721. St. Petersburg telah menjadi pintu keluar masuk utama Rusia ke negara-negara Eropah. Sistem pentadbiran yang cekap ini telah menyebabkan Tsar Peter Agung berjaya meluaskan kuasa dan menewaskan Turki dan Sweden.

3. Memperkukuhkan Bidang Ketenteraan

Tsar Peter telah memperkukuhkan dengan menyusun semula pasukan tentera Rusia mengikut piawaian atau acuan barat bagi tujuan menghadapi ancaman musuhnya. Oleh itu, baginda telah menambah peruntukan bidang ketenteraan pada abad ke-18 M dari 2.3 juta rouble (1701 M) kepada 32 juta rouble (1710 M). Baginda telah menggunakan sebahagian besar peruntukan negara untuk memperkukuhkan ketenteraannya.

4. Dasar Peluasan Kuasa

Tsar Peter Agung mengambil langkah-langkah untuk membina pasukan tentera yang kuat menangkis serangan musuh, mematahkan pemberontakan dalam negeri, dan meluaskan jajahan takluk Rusia. Pada tahun 1696 M, beliau melancarkan serangan kedua dan berjaya menguasai kubu tersebut daripada orang Tartar.

Selepas menguasai Azov, Tsar Peter Agung melancarkan serangan terhadap Sweden. Tsar Peter Agung berjaya menewaskan tentera Sweden dalam pertempuran di Poltova. Peperangan dengan Sweden ditamatkan melalui Perjanjian Nystadt yang dimeterai pada tahun 1721 M. Menerusi Perjanjian Nystadt, Tsar Peter Agung berjaya menguasai Livonia, Estonia, Ingria dan Karelia dan Sweden.

Kejayaan Tsar Peter Agung menyebabkan Rusia muncul sebagai sebuah empayar yang kuat di Eropah pada abad ke-18 M. Semasa pemerintahan Tsar Peter Agung, empayar Rusia telah mencapai zaman kegemilangan. Tsar Peter Agung meletakkan asas yang kukuh bagi Rusia mencapai kemajuan pada abad-abad seterusnya.


Bidang Ekonomi

5. Memajukan Sektor Perindustrian

Untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara dan meningkatkan perbendaharaan negara, baginda telah membangunkan sektor perindustrian iaitu memberi penekanan kepada sektor industri berat dan industri pembuatan. Sektor perindustrian diletakkan di bawah penyeliaan kerajaan pusat di mana kerajaan pusat telah memberi pelbagai insentif dan subsidi untuk membangunkan sektor perindustrian.

Sektor pembuatan barangan seperti tekstil, kaca dan barangan kulit turut dimajukan. Manakala industri berat seperti industri besi dan keluli juga telah dimajukan di Ural. Kilang membuat senjata dan peralatan perang didirikan oleh kerajaan untuk  menyediakan peralatan perang yang mencukupi.

Penekanan yang diberikan oleh Tsar Peter Agung telah berjaya menarik pemodal-pemodal asing untuk mendirikan kilang di Rusia dan hasilnya banyak kilang didirikan di Rusia. Sebagai contoh, pada tahun 1682 terdapat 21 buah kilang  dan bertambah kepada 200 buah kilang pada tahun 1725. Menjelang abad ke-18 M, Rusia menjadi pembekal besi utama untuk pasaran di Eropah.

6. Memantapkan sistem percukaian

Tsar Peter Agung turut memperkenalkan pelbagai cukai baharu dan kaedah banci untuk menambahkan perbendaharaan negara, membiayai peperangan dan melancarkan kutipan cukai. Baginda memperkenalkan cukai tidak langsung bagi barangan keperluan harian dan cukai kepala pada tahun 1718. Cukai kepala dibayar mengikut jumlah individu dalam sesebuah isi rumah dan dibayar dalam bentuk wang tunai. Hasilnya, perbendaharaan negara meningkat dua kali ganda pada tahun 1724 M berbanding tahun 1680 M.


Bidang Sosial

7. Memajukan Bidang Pendidikan

Tsar Peter Agung turut memberikan penekanan kepada kemajuan dalam bidang pendidikan. Oleh itu, baginda telah mengeluarkan satu dekri yang mewajibkan pendidikan awal terutama dalam bidang sains pada 28 Feb 1714 M. Baginda mewajibkan semua anak bangsawan, pegawai kerajaan, pegawai rendah yang berumur 10–15 tahun belajar matematik dan geometri. Baginda juga menghantar ramai golongan muda ke Barat untuk menuntut ilmu dan mempelajari kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

Selain itu, baginda juga telah menubuhkan lebih banyak sekolah di Rusia antaranya sekolah The Navigator School, Naval Academy, Engineering Academy, dan Artillery Academy. Mata pelajaran yang diberikan penekanan ialah bidang aritmatik, geometri, geografi dan pelayaran. Menjelang tahun 1722 M, terdapat 42 buah sekolah di Rusia dengan bilangan pelajarnya mencecah 4 000 orang. Baginda juga telah menubuhkan sebuah universiti yang dikenali sebagai The Imperial Academy of Science untuk belajar ilmu fizik, matematik dan sejarah.

8. Penerbitan Akhbar dab Pengubahsuaian Kalender

Baginda juga memperkenalkan penerbitan surat khabar yang pertama di Rusia. Baginda juga mengubah sistem kalender Rusia yang sebelum ini tahun baharu disambut pada bulan September dengan memperkenalkan sistem kalender Julius yang menyambut tahun baharu pada bulan Januari. Baginda turut menggalakkan penterjemahan bahan-bahan bacaan dari luar negara ke dalam bahasa Rusia.

9. Menyusun Semula Pentadbiran Gereja

Dalam bidang keagamaan, Tsar Peter Agung mengambil langkah untuk menyusun semula pentadbiran gereja bagi mengurangkan kuasa dan keistimewaan yang dimiliki oleh gereja. Baginda bertindak meletakkan pentadbiran gereja di bawah bidang kuasanya.

Selepas kematian ketua Gereja Kristian Ortodoks pada tahun 1700, baginda tidak melantik penggantinya. Malah memperkenalkan badan yang dikenali sebagai Holy Synod untuk mengambil alih peranan ketua Gereja Kristian Ortodoks. Badan ini dipengerusikan sendiri oleh baginda dengan dibantu oleh biskop-biskop yang dilantik oleh kerajaan pusat sebagai anggotanya.




1 comment:

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.