Nuffnang Advertisment

Wednesday, 31 July 2013

PEMBANGUNAN EKONOMI AMERIKA SYARIKAT SELEPAS 1865


Menjelang abad ke-19 M dan ke-20 M, Amerika Syarikat telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang amat pesat. Perkembangan dalam bidang ekonomi didorong oleh kemajuan dalam bidang perindustrian, pertanian dan sistem pengangkutan.

Perindustrian

Selepas tamat Perang Saudara, berlaku perkembangan yang pesat dalam bidang perindustrian. Perkembangan ini menyebabkan Amerika Syarikat muncul sebagai negara pengeluar hasil pertanian dan perindustrian dunia.

Perkembangan ini menyebabkan muncul industri-industri baru seperti industri kereta api, besi keluli, perlombongan dan pemprosesan makanan. Antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan bidang perindustrian adalah:

1. Kekayaan sumber asli negara

Pertumbuhan pesat dalam perindustrian di Amerika Syarikat disebabkan oleh kekayaan sumber asli negara seperti arang batu, besi keluli dan minyak. Menjelang tahun 1913, Amerika Syarikat telah menjadi pengeluar arang batu yang utama. Kekayaan sumber asli meletakkan asas bagi pertumbuhan perindustrian di Amerika Syarikat.

2. Perkembangan sistem pengangkutan

Perkembangan sistem pengangkutan juga menjadi salah satu faktor yang merangsang pertumbuhan industri di Amerika Syarikat. Kerajaan memperuntukkan dana bagi membina rangkaian jalan kereta api bagi memajukan sektor perindustrian. Selain itu, terdapat juga syarikat-syarikat swasta yang melabur modal dalam industri kereta api. Antara tokoh yang terlibat dalam pembinaan landasan kereta api ialah James J. Hill, Collis P. Huntington dan Jay Gould.  Pembinaan rangkaian jalan kereta api menyebabkan sektor perindustrian berkembang dengan pesat.

3. Penawaran buruh yang tinggi

Salah satu lagi faktor yang mendorong pertumbuhan industri di Amerika Syarikat adalah penawaran buruh yang tinggi. Kemasukan imigran dari dalam dan luar negara menyebabkan terdapat bekalan buruh yang mencukupi. Selepas Perang Saudara berakhir, Amerika Syarikat menggalakkan kemasukan golongan imigran ke negara tersebut. Malah, undang-undang yang menggalakkan kedatangan buruh ke Amerika Syarikat telah digubal. Pada tahun 1864, “Undang-Undang Buruh Kontrak” telah diwartakan bagi menggalakkan kemasukan buruh ke negara tersebut. Kemasukan buruh menyebabkan sektor perindustrian mengalami perkembangan pesat.

4. Penciptaan teknologi baru

Perkembangan dalam bidang perindustrian juga disebabkan oleh penciptaan teknologi baru. Antara ciptaan baru yang telah mengubah cara hidup manusia adalah telefon (1876) oleh Alexander Graham Bell, cahaya elektrik (1879) oleh Thomas Alva Edison, kereta (1893) oleh Henry Ford, telegraf (1844) oleh Samuel F.B. Morse dan kapal terbang (1903) oleh Wilbur dan Orville Wright. Selain itu, penciptaan teknik pengeluaran besi keluli merangsang pertumbuhan sektor pembinaan dan pengangkutan. Penggunaan jentera-jentera baru juga menyebabkan berlaku peningkatan dalam pengeluaran barangan.

5. Organisasi industri yang cekap dan teratur

Satu lagi faktor yang menggalakkan pertumbuhan industri ialah kemuncuhan teknik baru dalam pemasaran. Selepas Perang Saudara berakhir, sistem pemasaran yang dikenali sebagai “Mail Order House” diperkenalkan. Menernsi sistem pasaran ini, barangan akan dihantar melalui pos. Antara syarikat yang mempelopori sistem pemasaran ini ialah Roebuck and Company dan Montgomery Ward. Selain itu, muncul juga gedung-gedung jualan yang menjual pelbagai jenis barangan. Antara gedung jualan yang terkenal termasuklah Marshall Field (Chicago), Macy (New York) dan Filene (Boston).

6. Peranan kerajaan

Kerajaan juga memainkan peranan penting dalam perkembangan sektor perindustrian. Antara langkah yang diambil oleh kerajaan untuk merangsang pertumbuhan perindustrian ialah mengenakan kadar cukai yang rendah, mewujudkan sistem perbankan kebangsaan, memperkenalkan dasar imigrasi yang longgar, mewujudkan kestabilan mata wang, membenarkan penggunaan sumber semula jadi dan memperkenalkan kadar tarif yang bersesuaian.

Pada tahun 1862, kerajaan juga meluluskan beberapa akta yang menggalakkan penggunaan tanah awam seperti Akta Landasan Kereta Api Pasifik, Akta Ladang dan Akta Majlis Anugerah Tanah.

Menerusi “Akta Landasan Kereta Api Pasifik”, kerajaan menyumbangkan tanah-tanah awam kepada syarikat swasta untuk pembinaan landasan kereta api, memberikan bayaran $48 ribu dolar bagi setiap batu jalan kereta api yang dibina di kawasan pergunungan dan memberi pinjaman subsidi selama 30 tahun serta dikenakan kadar faedahyang rendah kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam pembinaan landasan kereta api.


Pertanian

Amerika Syarikat juga mencapai kemajuan yang pesat dalam bidang pertanian. Penggunaan teknologi moden telah menyebabkan berlaku peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian. Perkembangan ini telah menyebabkan Amerika Syarikat mula mengeksport hasil pertanian ke seluruh dunia. Pada tahun 1834, Cyrus McCormick telah mencipta mesin menuai tanaman. Penemuan ini membolehkan tanaman gandum dapat ditanam di kawasan yang lebih luas. Dalam pada itu, usaha juga dilakukan untuk memajukan industri penternakan lembu melalui kajian dan penyelidikan telah dilakukan untuk membaiki baka­-baka lembu. Perkembangan ini telah menyebabkan Amerika Syarikat menjadi kawasan perladangan yang kaya.



Pengangkutan

Selepas Perang Saudara, Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang terbentang luas telah disatukan menerusi pembinaan landasan kereta api. Perkembangan pesat dalam pembinaan landasan kereta api berlaku pada pertengahan abad ke-19 M terutama selepas kerajaan meluluskan “Akta Landasan Kereta Api Pasifik” pada tahun 1862 dan 1864.

Menjelang tahun 1860-an, terdapat lebih kurang 53 000 batu landasan kereta api di Amerika Syarikat dan telah meningkat sehingga mencecah 166 000 batu menjelang tahun 1880-an. Ini telah menggalakkan kepada penerokaan  kawasan-kawasan baru untuk membina petempatan dan perkembangan ekonomi.

Dalam pada itu, usaha dilakukan untuk mencantumkan laluan kereta api yang pendek iaitu dimulakan oleh Cornelius Vanderbilt yang telah mencantumkan landasan kereta api di bahagian tengah New York. Beliau turut terlibat dalam usaha memanjangkan landasan kereta api dari New York ke Chicago. Dalam pada itu, J. Edgar Thomas pula memanjangkan landasan kereta api dari Philadelphia ke Chicago dan St. Louis.

Sementara itu, landasan kereta api merentas benua yang pertama menghubungkan pantai Atlantik dengan pantai Pasifik siap dibina pada tahun 1869. Landasan kereta api di sebelah barat Sungai Missouri telah dibina oleh Syarikat Union Pacific. Manakala landasan kereta api di sebelah timur Sacramento, California pula dibina oleh Syarikat Central Pacific.

Kejayaan menyiapkan landasan kereta api merentas benua mendorong pihak lain untuk melibatkan diri dalam pembinaan rangkaian jalan kereta api. Pembinaan landasan-landasan kereta api menyebabkan petempatan-­petempatan baru dibuka di sepanjang laluan kereta api.

Pembinaan sistem kereta api juga membawa perubahan dalam bidang ekonomi dan juga politik. Syarikat-syarikat kereta api juga merupakan perniagaan awal yang amat menguntungkan. Industri kereta api juga melahirkan ramai jutawan terkenal seperti Cornelius Vanderbilt, Daniel Drew, Jay Gould, James J. Hill dan J. Pierpont Morgan. Menjelang tahun 1860-an, sistem kereta api merangsang pertumbuhan industri asas seperti besi, keluhi, pembinaan dan pembuatan mesin.


No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.