Nuffnang Advertisment

Followers

Tuesday, 30 July 2013

PERANG KEMERDEKAAN AMERIKA


Perang kemerdekaan Amerika merupakan perang pembebasan koloni-koloni daripada cengkaman kerajaan British. Perang tercetus adalah didorong oleh beberapa faktor yang telah menyebabkan tercetus Perang Kemerdekaan, antaranya ialah:

Peperangan Tujuh Tahun (1756-1763)

Menjelang pertengahan abad ke-18 M, orang Inggeris mempunyai koloni di sepanjang pantai timur Amerika Utara dan Perancis mempunyai koloni di Amerika Utara di kawasan pedalaman yang menganjur dan Teluk Mexico di Selatan hingga Kanada di bahagian Utara. Pada tahun 1756, tercetus peperangan antara Perancis dengan Britain di Eropah.

Peperangan ini juga dikenali sebagai Peperangan Tujuh Tahun (1756-1763). Peperangan ini bukan sahaja berlangsung di Eropah tetapi tersebar ke bahagian-bahagian lain di dunia seperti di Amerika Utara dan India. Pada tahun 1763, orang Perancis telah dikalahkan oleh Britain dalam Perang Tujuh Tahun. Ekoran kekalahan tersebut, Perancis terpaksa menandatangani Perjanjian Paris pada tahun 1763. 

Menerusi Perjanjian Paris, Perancis menyerahkan Kanada dan wilayah pedalaman Mississippi-Ohio kepada Inggeris. Peperangan ini menelan perbelanjaan yang besar bagi kerajaan Britain. Britain menuntut koloni-koloni di Amerika membayar sebahagian daripada perbelanjaan peperangan tersebut. Namun demikian, penduduk-penduduk di 13 buah koloni tidak bersetuju dengan tindakan Britain. Perkembangan ini telah mencetuskan peperangan antara koloni­-koloni tersebut dengan Britain.


Pengenalan Akta-akta Baharu

Sejak awal abad ke-17 M, raja-raja di England mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal koloni-koloni mereka di Amerika Syarikat. Dalam konteks ini, koloni-koloni tersebut diberikan kebebasan untuk menguruskan hal ehwal mereka sendiri. Namun demikian, perubahan besar berlaku apabila Raja George III ditabalkan menjadi Raja England pada tahun 1760. Baginda mula mengamalkan dasar campur tangan dalam hal ehwal penduduk koloni-koloni di Amerika Syarikat.

Ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati penduduk di koloni-koloni dengan dasar baru itu. Mereka membantah tindakan kerajaan Britain apabila menuntut koloni­-koloni membayar sebahagian daripada perbelanjaan Perang Tujuh Tahun. Raja George III tidak menghiraukan bantahan malah baginda mengambil langkah-langkah yang lebih tegas untuk mendapatkan wang daripada penduduk koloni-koloni tersebut.

Baginda menguatkuasakan empat akta untuk memungut cukai daripada penduduk-penduduk di koloni-koloni tersebut. Akta-akta tersebut adalah seperti Akta Pelayaran, Akta Gula, Akta Setem, dan Akta Teh. Selain itu, undang-undang yang memerlukan penduduk koloni­-koloni membayar perbelanjaan tentera-tentera Britain yang berkhidmat di Amerika Syarikat diluluskan.


Bantahan Koloni-koloni

Penduduk-penduduk koloni membantah akta-akta yang diluluskan oleh parlimen di London. Mereka berpendapat adalah tidak sah bagi parlimen di London meluluskan cukai-cukai baru bagi koloni-koloni mereka. Mereka mengemukakan hujah bahawa parlimen tidak berhak untuk mengenakan cukai kerana koloni-koloni tersebut tidak diwakili di parlimen. Slogan yang dilaungkan oleh mereka ialah “Tiada cukai tanpa perwakilan”. Bantahan daripada penduduk-penduduk koloni menyebabkan kerajaan Britain bimbang kekacauan akan berlaku. Perkembangan ini menyebabkan kerajaan Britain menarik balik semua akta kecuali Akta Teh.


Peristiwa Pembuangan Teh Boston

Pada tahun 1773, menteri Lord North  kerajaan Britain telah meluluskan Akta Teh. Mengikut akta ini, Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) boleh menjual teh kepada penduduk di koloni-koloni Amerika tanpa membayar cukai, penduduk di koloni-koloni Amerika Syarikat dipaksa membeli teh daripada Britain melalui SHTI, dan tidak membenarkan penduduk-penduduk di koloni­-koloni tersebut daripada mengimport teh. Perkembangan ini menimbulkan kemarahan penduduk-penduduk di koloni-koloni terhadap kerajaan Britain.

Pada bulan Disember 1773, beberapa orang penduduk koloni yang memakai pakaian Red Indian menaiki sebuah kapal Syarikat Hindia Timur Inggeris di pelabuhan Boston. Mereka bertindak membuang kotak-kotak yang berisi teh ke dalam laut. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Pembuangan Teh Boston.

Kerajaan Britain telah bertindak menutup Pelabuhan Boston pada tahun 1774. Penduduk koloni-koloni jajahan mengambil keputusan untuk memperjuangkan kemerdekaan negara mereka daripada Britain.


Perang Kemerdekaan

Pada bulan September 1774, pemimpin-pemimpin daripada 13 koloni mengadakan pertemuan di Philadelphia dan mereka mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah Kongres (Parlimen Bersatu). Pada pertengahan tahun 1775, George Washington telah dilantik untuk memimpin tentera Amerika Syarikat.

Pada 6 Julai 1775, Kongres membuat keputusan untuk mengisytiharkan peperangan terhadap Britain. Pada bulan April 1776, pasukan tentera koloni bertempur dengan tentera Inggeris di Lexington. Pada 4 Julai 1776, Kongres dalam persidangan yang diadakan di Philadelphia meluluskan Pengisytiharan Kemerdekaan. Pengisytiharan Kemerdekaan ini telah ditulis oleh Thomas Jefferson. Mengikut pengisytiharan ini, 13 buah koloni digabungkan menjadi Amerika Syarikat yang merdeka.

Pada tahun 1777, angkatan tentera Britain yang dipimpin oleh Jeneral Burgoyne mengalami kekalahan di Saratoga. Pada tahun 1781, askar-askar Britain di bawah pimpinan Jeneral Cornwallis dikalahkan di Yorktown.

Pada tahun 1783, Perang Kemerdekaan Amerika berakhir dengan termeterainya Perjanjian Versailles. Antara syarat Perjanjian Versailles ialah Britain menyerahkan kesemua 13 tanah jajahan dan mengakui kemerdekaan Amerika Syarikat.




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...