Nuffnang Ads

Wednesday, 24 July 2013

PERANG NANING (1831-1832)

Semasa Belanda menjajah Naning pada 1641, Naning dikehendaki membayar ufti tahunan sebanyak 400 gantang beras iaitu 1/10 daripada hasil tuaian padi. Selepas British mengambil alih Melaka dari pihak Belanda, British juga telah memasukkan Naning di bawah pentadbiran Melaka. Oleh itu British juga memaksa Naning supaya membayar cukai 1/10 daripada hasil Naning. Ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Naning dan terutamanya Penghulunya iaitu Abdul Said (Dol Said).

Dol Said enggan membayar cukai dan cuba menyelesaikan semua perkara yang berlaku di Naning seperti kes-kes jenayah. Dol Said juga telah bertindak menghalang kerja-kerja membanci di Naning serta menolak cadangan Robert Fullerton dan W.T. Lewis (Penguasa Tanah di Melaka) untuk melantik para pembesar Naning sebagai pengutip cukai atau memberi bayaran pencen sebagai ganti rugi. Tindakan Dol Said ini membimbangkan British kerana takut orang lain juga terpengaruh dengan tindakan Dol Said.

Perang Naning meletus pada Julai 1831, apabila sepasukan tentera British seramai 150 orang di bawah pimpinan Kapt. Wyllie menyerang Naning untuk memaksa Dol Said menerima cadangan-cadangan British dan menandatangani satu perjanjian yang telah disediakan oleh British. Tentera British telah mendapat tantangan yang hebat dari pasukan Dol Said dan British telah mengalami kekalahan teruk kerana kurang pengalaman berperang di hutan. British telah berundur semula ke Melaka. Kemenangan Dol Said ini adalah kerana mempunyai strategik perang yang berkesan iaitu teknik menebang pokok, menanam ranjau dan serang hendap. Kemenangan ini juga kerana mendapat bantuan daripada Penghulu Remai dan Recat, Penghulu Gemencheh serta pemerintah Rembau iaitu Syed Shaaban.

Selepas berjaya mempengaruhi pembesar di Rembau melalui perjanjian, British telah melancarkan serangannya yang kedua dengan pasukan yang lebih besar seramai 1200 orang di bawah pimpinan Kol. Herbert. Dol Said tidak lagi dibantu oleh Syed Shaaban kerana telah diugut oleh British. Akibat tiada bantuan, dikhianati oleh pengikutnya yang berpaling tadah serta jumlah tentera British yang lebih besar maka Dol Said gagal mempertahankan Naning. Kubu kuat Dol Said di Tabuh berjaya ditawan pada 15 Jun 1832. Dol Said telah melarikan diri kemudiannya menyerah diri pada Feb. 1833.

Naning telah diletakkan di bawah kawalan Melaka dengan diketuai oleh seorang Superintenden. Dol Said telah dilucutkan jawatannya dan dibuang negeri ke Melaka dengan bayaran pencen sebanyak 60 rupi kemudian ditambah menjadi 100 rupi sebulan serta diberi satu tapak rumah di Melaka. Kemudian Dol Said meninggal dunia pada 1849.

Dalam perang Naning, British telah memperuntukkan perbelanjaan lebih kurang £10 000. Peruntukkan yang besar ini adalah semata-mata untuk mempertahankan maruah dan martabat British yang dicabar oleh seorang pemimpin tempatan.



 

No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.