Nuffnang Ads

Sunday, 21 July 2013

PERJANJIAN INGGERIS-BELANDA 1824


Pengenalan

Selepas pendudukan Inggeris di Singapura pada tahun 1819, hubungan antara Belanda dan Inggeris terus renggang. Belanda mendakwa pendudukan Inggeris di Singapura adalah tidak sah kerana Singapura terletak di kawasan pengaruh mereka. Justeru itu, Belanda menggugut sanggup menggunakan kekerasan terhadap Inggeris sekiranya mereka enggan berpindah dari Singapura. Walau bagaimanapun, ketegangan hubungan ini berjaya diselesaikan melalui Perjanjian Inggeris-Belanda di London pada 17 Mac 1824. Perjanjian ini telah meninggalkan kesan ke atas Gugusan Kepulauan Melayu kerana telah memberi peluang kepada Inggeris dan Belanda menegakkan pengaruh masing-masing.


Faktor-faktor yang membawa kepada PerjanjiĆ n Inggeris-Belanda

Persaingan perdagangan di Timur

Hubungan permusuhan di antara Belanda dan Inggeris telah wujud sejak awal abad ke-17 lagi kerana masing-masing bersaing untuk menguasai perdagangan di timur. Persaingan berlaku akibat perbezaan dasar perdagangan yang diamalkan oleh kedua-dua belah pihak. Dasar monopoli perdagangan Belanda seringkali menimbulkan ketidakpuasan hati pihak Inggeris yang mengamalkan dasar perdagangan bebas atau laissez faire. Permusuhan mereka semakin memuncak apabila berlakunya Peristiwa Pembunuhan Beramai-ramai di Ambon pada tahun 1623. Dalam peristiwa itu, Belanda telah membunuh ramai saudagar Inggeris serta memusnahkan loji-loji Inggeris di kawasan berdekatan demi untuk mengukuhkan monopoli perdagangan mereka di Kepulauan Rempah. Ini telah menyebabkan Inggeris telah menutup semua loji mereka di Kepulauan Melayu kecuali Bengkulen atau Bangkahulu dan kembali menumpukan kegiatan perdagangan di India.

Dasar persahabatan Inggeris-Belanda di Eropah

Hubungan antara Inggeris dan Belanda di Eropah jauh berbeza berbanding di Timur. Hubungan yang baik terjalin di Eropah adalah disebabkan oleh keperluan hidup saling bergantungan dan saling membantu di antara satu sama lain dan Belanda ingin membalas budi baik Inggeris kerana kesediaan dan keikhlasan mereka menghulurkan bantuan kepada Belanda semasa tercetusnya Perang Napoleon 1795.

Ini terbukti melalui Surat-surat Kew 1795, Belanda bersetuju untuk menyerahkan Pulau Jawa dan Melaka kepada British. Apabila perang tamat, Inggeris akan memulangkan tanah jajahan Belanda di Hindia Timur semula seperti Pulau Jawa diserahkan pada tahun 1816 dan Melaka pada tahun 1818.

Bagi Inggeris pula, persahabatan dengan Belanda penting untuk faedah pertahanan kerana kedudukan geografi negara Belanda yang strategik membolehkan musuh-musuh Inggeris menggunakan negara Belanda sebagai pangkalan untuk menyerang Britain. Di samping itu, kejayaan Napoleon Bonaparte, pemerintah Perancis menawan negara Belanda pada tahun 1795 menambahkan kebimbangan Britain. Besar kemungkinan Perancis menjadikan Belanda sebagai tapak untuk meluaskan kekuasaannya ke Britain. Oleh itu, Inggeris bercadang untuk menjadikan Belanda sebagai rakan tentera, untuk membantu mempertahankan negara Britain dan ancaman musuh di Eropah. Tambahan pula hubungan Britain (Mazhab Protestant) dengan rakan-rakannya di Eropah seperti Prusia, Rusia, Austria (Mazhab Katolik) sudah mulai dingin kerana berlainan aliran agama dan ideologi. Justeru itu, persamaan pegangan agama mendorong Inggeris untuk bersahabat baik dengan Belanda. Inggeris berminat menjalinkan hubungan baik dengan Belanda bukan sahaja di Eropah, bahkan di Timur demi kepentingan pertahanan, keselamatan, ekonomi dan agama.

Pertelingkahan tentang Singapura

Selepas Perang Napoleon tamat, Belanda kembali semula ke Hindia Timur dan memulakan semula perdagangan monopoli di Hindia Timur. Sir Stamford Raffles telah nekad membuka petempatan Inggeris di Singapura pada tahun 1819 sebagai tindakbalas terhadap kesombongan Belanda. Tujuan Inggeris menduduki Singapura adalah untuk melumpuhkan ekonomi Belanda dengan menjadikan Singapura saingan utama Pelabuhan Betawi.

Di bawah pentadbiran Inggeris, Singapura telah berkembang dengan cepat. Pada tahun 1820, nilai perdagangannya telah melebihi $4 juta dan meningkat kepada $13.2 juta pada tahun 1823. Penduduk Singapura dianggarkan melebihi 10000 orang ketika itu. Dalam masa empat tahun, Singapura telah mampu menjadi pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu. Kejayaan Singapura telah melumpuhkan kemasyhuran Pelabuhan Betawi dan melemahkan ekonomi Belanda di Hindia Timur.

Perkembangan Singapura telah mencetuskan rasa tidak puas hati Belanda dan mendakwa Singapura berada di kawasan pengaruh mereka yang merupakan sebahagian daripada Empayar Johor-Riau di bawah pemerintahan Sultan Abdul Rahman. Oleh itu, Belanda mengugut untuk menggunakan kekerasan sekiranya Inggeris enggan meninggalkan Singapura.

Masalah kewangan negara Belanda

Selepas tamatnya Perang Napoleon 1815, Belanda menghadapi krisis kewangan yang teruk sehingga meletakkan Belanda dalam keadaan muflis. Ditambah pula berlakunya  Pemberontakan Belgium. Akibatnya, Belanda telah kehilangan perusahaan perkapalan dan perdagangannya kepada Britain.

Pada tahun 1815, hutang Belanda dianggarkan berjumlah 600 juta florin. Hutang Belanda dengan Britain adalah sahaja sebanyak £144 juta. Justeru itu, hubungan baik dengan Inggeris amat perlu bagi menyelesaikan hutang mereka.

Demi memelihara kepentingan kedua-dua belah pihak, maka satu perjanjian telah ditandatangani antara pihak Inggeris dan Belanda pada 17 Mac 1824 di London yang dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda atau Konvensyen London. Oleh itu, perang dingin antara Inggeris dan Belanda dapat dipulihkan.


Syarat-syarat perjanjian

Syarat-syarat kewilayahan

Belanda mengakui pendudukan Inggeris di Singapura adalah sah

Belanda bersetuju menyerahkan Melaka kepada Inggeris. Sebagai balasan, pihak Inggeris bersetuju menyerahkan Bengkulen atau Bangkahulu secara rasminya kepada Belanda dan semua loji Belanda di India diserahkan kepada Inggeris.

Belanda juga berjanji tidak akan membuka sebarang petempatan atau menjalinkan hubungan dengan mana-mana pemerintah tempatan di Tanah Melayu atau di utara Selat Singapura. Inggeris juga mengakui tidak akan membuka petempatan atau membuat sebarang perjanjian dengan pemerintah tempatan di wilayah yang terletak di selatan Selat Singapura termasuklah Kepulauan Riau-Lingga, Kepulauan Karimon dan Sumatera yang menjadi milik Belanda.

Kedua-dua kuasa juga bersetuju tidak akan membuka petempatan baru tanpa keizinan dan pengetahuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya Inggeris atau Belanda ingin meninggalkan sesuatu petempatan, maka hendaklah mereka memberikan keizinan kepada salah satu kuasa untuk menduduki wilayah tersebut.

Syarat perdagangan

Belanda bersetuju tidak akan menjalankan monopoli perdagangan di Kepulauan Melayu dan akan memberi layanan yang sama adil terhadap saudagar-saudagar Inggeris yang berdagang di Hindia Timur.

Inggeris mengiktiraf monopoli perdagangan Belanda di Kepulauan Rempah dan berjanji tidak akan mengkhianati perdagangan Belanda.

Kedua-dua pihak bersetuju memberikan kebebasan kepada pedagang luar untuk memilih mana-mana pelabuhan perdagangan yang disukai tanpa dthalang oleh mana-mana kuasa sama ada Inggeris atau Belanda.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama bagi membanteras masalah perlanunan di Kepulauan Melayu.

Syarat kewangan

Belanda hanya diminta membayar kepada kerajaan Britain berjumlah £ 100 000 sterling secara beransur-ansur.


Kesan perjanjian Inggeris-Belanda 1824

Kepulauan Melayu dibahagikan kepada dua lingkungan pengaruh

Kepulauan Melayu dipisahkan kepada dua lingkungan pengaruh iaitu Singapura dan negeri-negeri di utara Selat Singapura menjadi hak Inggeris sementara Sumatera dan wilayah ke selatan Selat Singapura menjadi hak miik Belanda.

Akibat perjanjian ini, kuasa Inggeris dan Belanda telah berjaya meluaskan pengaruh masing-masing tanpa gangguan mana-mana pihak.

Perpecahan Empayar Johor

Melalui perjanjian ini Ernpayar Johor telah mengalami keruntuhan dan berpecah kepada dua bahagian. Singapura dan Tanah Besar Johor diperintah oleh Sultan Hussein dan diletakkan di bawah pengaruh Jnggeris. Sementara Kepulauan Riau-Lingga diperintah oleh Sultan Abdul Rahman dan berada di bawah pengaruh Belanda. Pahang pula telah membebaskan diri dari Empayar Johor dan diperintah oleh keluarga Bendahara.

Kebangkitan keluarga Temenggung di Johor bermula pada tahun 1855 apabila Sultan Ali telah menyerahkan takhta kerajaan kepada Temenggung Ibrahim. Sebagai ganti rugi di atas kehilangan kuasa, Sultan All dibayar pencen dan sebidang tanah yang terletak di antara Sungai Muar dan Sungai Kesang.

Sementara itu, pada bulan Ogos 1824, Singapura telah dipisahkan dan Johor dan dijadikan tanah jajahan Inggeris.

Hubungan Inggeris-BeIanda di Timur

Pertelingkahan di antara Inggeris dan Belanda di Timur masih berterusan kerana Belanda tidak mematuhi perjanjian kerana Belanda masih terus mengamalkan monopoli rempahnya di Hindia Timur dan masih mengenakan cukai yang tinggi kepada pedagang-pedagang Inggeris yang berlabuh di Betawi.

Perselisihan antara Inggeris dan Belanda juga berpunca daripada masalah Labuan yang telah diserahkan oleh Sultan Brunei kepada SHTI pada tahun 1846. Belanda membantah tindakan itu kerana menganggap Labuan berada di bawah pengaruh mereka iaitu di selatan Selat Singapura. Perbalahan ini diselesaikan apabila Inggeris dapat membuktikan kedudukan Labuan.

Inggeris juga tidak berpuashati di atas keengganan pihak Belanda membanteras kegiatan perlanunan di perairan Kepulauan Melayu. Belanda hanya bertindak menghapuskan kegiatan lanun di perairan Hindia Timur sahaja. Hanya pihak Inggeris sahaja yang berusaha keras untuk menghapuskan laun di Selat Melaka dan selat Sunda. Keadaan ini telah menyebabkan Inggeris terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menghapuskan kegiatan lanun ini.




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.