Nuffnang Advertisment

Monday, 15 July 2013

RAJA BERKUASA MUTLAK DI PERANCIS (RAJA LOUIS XIV)


Latar Belakang Kemunculan Sistem Pemerintahan Beraja Mutlak

Kemunculan negara bangsa pada abad ke-15 M, membawa kepada kemunculan sistem pemerintahan beraja mutlak di Eropah pada abad ke-16 dan 17 M. Sistem pemerintahan beraja mutlak bermaksud sistem kerajaan di mana cara pemerintahan raja tidak dikawal oleh parlimen. Segala kata pemerintah akan merupakan undang-undang. Menurut sistem pemerintahan beraja mutlak, raja dilantik atas kehendak Tuhan untuk memerintah rakyat dan rakyat bertanggungjawab untuk membantu raja dalam menjalankan pentadbiran. Sekiranya raja bertindak kejam dan berlaku tidak adil, rakyat harus menerimanya dengan tenang sebagai hukuman atas dosa yang dilakukan mereka. Kemunculan sistem ini dapat dikesan di Perancis dan England pada abad ke-16 dan 17 M.


Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kemunculan Pemerintahan Beraja Mutlak Di Perancis

Kemunculan pemerintahan raja berkuasa mutlak di Perancis didorong  oleh kemunculan idea daripada pemikir-pemikir politik seperti Jean Bodin, Hugo Crotius dan Cardinal Duc de Richelieu.


Jean Bodin (1530-1596)

Jean Bodin dilahirkan pada tahun 1530 M di Angers dan meninggal dunia pada tahun 1596 M. Beliau mengesyorkan supaya Perancis diperintah oleh kerajaan pusat  yang kuat supaya dapat mengawal wilayah dengan lebih baik dan berkesan. Idea beliau ini muncul ekoran tindakan golongan Huguenot (Calvinis) yang mencabar dan mengancam undang-undang dan kekuasaan kerajaan pusat Perancis.

Pemerintahan mutlak yang diutarakan Bodin terdapat dalam bukunya berjudul The Six Books of Republic. Bodin juga percaya bahawa kuasa berdaulat dalam negara wujud dalam bentuk kekuatan ketenteraan. Pemerintahan mutlak ini juga mengambil kira hak rakyat. Seseorang raja hendaklah memerintah menurut hukum Tuhan dan jika sebaliknya dianggap raja yang zalim.

Kerajaan juga dikehendaki memenuhi segala kehendak rakyat dan rakyat pula diminta supaya tidak mengumpul banyak kekayaan hingga boleh menggugat kestabilan dan ketenteraman negara. Menurut Bodin, jika perkara ini berlaku akan membawa kepada revolusi, pemberontakan atau sebarang tindakan politik lain yang bakal menggugat kestabilan negara.


Hugo Grotius (1583-1645)

Grotius ialah tokoh dari Belanda dan karya beliau yang terkenal ialah De Jure Belli ac Pacis. Menurut Grotius, kemunculan negara bangsa menyebabkan tidak wujud negara dunia Kristian seperti yang dilihat pada Zaman Pertengahan Awal. Kini tiada negara yang lebih kuat, lebih bebas atau lebih mampu daripada negara lain. Negara-negara tersebut harus menjalinkan hubungan sesama mereka menurut garis-garis kelakuan yang disetujui.

Menurut Grotius lagi, negara berhak melakukan peperangan dalam mempertahankan diri serta membela hukum antarabangsa. Tambah beliau, sesiapa yang mencabuli hukum alam atau antarabangsa dianggap sebagai penceroboh terhadap masyarakat antarabangsa kerana ia akan memusnahkan segala dasar yang diadakan untuk mewujudkan kebahagiaan dan keamanan dunia.

Grotius juga menegaskan peperangan yang dilakukan terhadap sesebuah negara yang mencabuli hukum antara negara adalah salah dan boleh dihukum. Idea yang diutarakan oleh Grotius adalah baik, tetapi ia disalah guna oleh negara mutlak. Idea Grotius telah dilaksanakan oleh Richelieu dalam sistem pentadbiran Perancis.


Cardinal Duc de Richelieu (1585-1642)

Richelieu ialah seorang paderi besar gereja Katolik dan seorang bangsawan. Beliau menjadi pemimpin Perancis pada waktu negara menghadapi pelbagai dugaan pada abad ke-17 M. Richelieu lebih mengutamakan peranan kuasa sebagai unsur penting dalam amalan tatanegara.

Beliau telah memberikan tumpuan bagi mewujudkan sebuah kerajaan pusat yang kuat di Perancis dengan mengambil langkah menghapuskan sentimen kewilayahan dan pergelutan dalam negara yang mengancam kestabilan politik di Perancis pada abad ke- 17 M. Richelieu juga berpendapat negara Perancis yang kuat akan menjadi lebih berkesan dan berpengaruh di dalam dan luar negeri.

Oleh itu, beliau telah mewujudkan tentera laut yang lengkap dengan kapal-kapal perang dan peralatan baru dan moden. Di samping itu juga, telah menghapuskan kekacauan yang berlaku dalam gereja Katolik dan menolak peranan gereja dalam politik dan kenegaraan.

Pandangan Richelieu terkandung dalam bukunya berjudul “Wasiat Politik” yang mengandungi pandangan beliau tentang keperluan mengekalkan kekuasaan dan kemutlakan negara. Richelieu berpendapat kerajaan pusat yang kuat perlu untuk menghadapi ancaman sekiranya pentadbiran dijalankan oleh ramai pihak. Oleh sebab itulah ketika Richelieu menjadi Ketua Menteri, beliau telah berjaya mewujudkan sistem pemerintahan pusat yang kuat di Perancis.

Richelieu juga menolak pendidikan diberikan kepada rakyat jelata kerana bimbang golongan berpendidikan akan melahirkan masyarakat yang kritis dan akan menyoal dasar kerajaan. Ini akan menjadikan rakyat tidak setia kepada negara. Richelieu juga percaya bahawa pelajaran kesenian dan kesusasteraan harus dikawal oleh kerajaan untuk memajukan kepentingan negara mutlak.


Sistem Pemerintahan Beraja Mutlak di Perancis

Latar Belakang Perancis Abad ke-17 M

Menjelang abad ke-17 M, Perancis muncul sebagai sebuah negara yang terkuat di Eropah menggantikan Sepanyol. Perancis juga muncul sebagai pemimpin dalam seni halus, seni bina, drama, pakaian, kelakuan, pertuturan dan bahasa di Benua Eropah. Perancis memajukan teknik-teknik baru dalam organisasi ketenteraan, kerajaan dan kaedah diplomatik. Sistem pemerintahan beraja mutlak di Perancis boleh dilihat semasa Louis XIV.


Dasar Pemerintahan Beraja Mutlak Perancis di bawah Louis XIV (1643-1715)

Raja Louis XIV ditabalkan sebagai pemerintah Perancis pada tahun 1643 M dan dikenali sebagai “Grand Monarch” yang memerintah Perancis selama 72 tahun. Semasa pemerintahannya, beliau mengukuhkan kedudukan dengan memperkenalkan sistem pentadbiran pusat yang kukuh dan teratur. Hasinya telah wujud keamanan dan kemakmuran dalam negara Perancis.

Selain itu, beliau terlibat secara langsung dalam pelantikan pegawai-pegawai kerajaan. Dengan itu, Raja Louis XIV berjaya mengawal pegawai-pegawai kerajaan dengan bantuan menteri-menteri. Semasa pemerintahannya, baginda mendapat sokongan padu daripada golongan bangsawan, Huguenot dan institusi-institusi kerajaan. Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan Raja Louis XIV sebagai pemerintah monarki mutlak di Perancis.

Terdapat beberapa langkah yang diambil oleh Raja Louis XIV untuk mengukuhkan pemerintahannya. Antaranya ialah dasar dalam negara, dasar ekonomi merkantilisme, dasar ketenteraan, dasar agama dan dasar luar negara.


Dasar Dalam Negara

Louis XIV menyusun semula pentadbiran pusat negara kepada empat majlis utama seperti Majlis Negara yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal luar negara, Majlis Despatches menguruskan hal ehwal tempatan kecuali kewangan, Majlis Kewangan pula menguruskan masalah percukaian, tarif, perbelanjaan dan pendapatan; dan Majlis Privy menguruskan pentadbiran keadilan.

Louis XIV juga telah melantik menteri-menteri yang berkebolehan untuk membantunya mentadbir antaranya ialah Colbert (Menteri Kewangan), Le Tellier (Menteri Hal Ehwal Luar), Louvois (Menteri Peperangan) dan Vauban (Menteri Ketenteraan).

Louis XIV juga melantik pegawai yang bertanggungjawab bagi melaksanakan dasar-dasar diraja di pelbagai provinsi Perancis. Penyelia pula ditugaskan untuk menyelia pentadbiran, keadilan, pengutipan cukai dan pentadbiran ketenteraan di peringkat daerah.

Louis XIV percaya sebagai pemerintah mutlak bagi seluruh Eropah, beliau harus hidup bergaya. Oleh itu, beliau telah mendirikan istana besar di Versailles dan di beberapa buah tempat lain. Beliau telah mengambil arkitek-arkitek terkemuka untuk mereka bangunan dan pelukis-pelukis terkemuka mengindahkannya. Raja menetap di Versailles yang dikelilingi oleh istana yang besar. Manakala golongan bangsawan Perancis pula bergantung hidup kepada pencen daripada raja atau daripada kerja-kerja yang bergaji tinggi.

Dalam Perkhidmatan Awam pula, Louis XIV mengambil pegawai-pegawai yang berkebolehan. Kejayaan Louis XIV juga dibantu oleh menteri kewangannya yang berkebolehan, iaitu Jean Baptiste Colbert (1619-1683). Melalui dasar-dasar Colbert, Perancis telah menjadi negara industri dan kuasa militer. Zaman Louis XIV juga zaman keemasan bagi kesusasteraan Perancis, antara tokoh seni yang terkenal ialah Racine dan Moliere.


Dasar Ekonomi Merkantilisme

Louis XIV juga melaksanakan dasar ekonomi merkantilisme untuk memastikan negaranya muncul sebagai negara yang kuat dan agung. Menteri kewangan Louis, Colbert melaksanakan dasar merkantilisme dengan bersungguh-sungguh. Colbert memulakan industri baru, memansuhkan tariff tempatan, tol, mengurangkan kadar bunga ke atas hutang kerajaan, mengawal upah dan harga kebanyakan barangan. Dasar Colbert ini telah meningkatkan pendapatan kerajaan.


Dasar Ketenteraan

Louis bertindak mengawal penuh ke atas angkatan tentera dengan di bantuan oleh Louvois sebagai Menteri Perang. Louvois telah melakukan reformasi ketenteraan. Louis menghapuskan dominasi golongan bangsawan ke atas bidang ketenteraan dan memulakan kawalan langsung ke atas ketenteraan.

Pelantikan pegawai-pegawai tentera dilakukan berasaskan merit dan kerajaan bertanggungjawab dalam merekrut tentera, menyediakan perumahan dan bekalan makanan untuk mereka. Louis XIV menyediakan sepasukan bala tentera yang terdiri daripada 4 000 tentera. Dasar Louis ini telah menjadi tentera Perancis muncul sebagai tentera yang terkuat di Eropah ketika itu.


Dasar Agama

Louis bertindak untuk memaksa golongan bukan Katolik, iaitu golongan Huguenot (Calvinis Perancis) untuk menerima agama Katolik. Edict of Nantes yang ditandatangani pada tahun 1598 yang memberi kebebasan kepada golongan Hugenot untuk menganut agama pilihan mereka. Disamping itu, mereka juga mempunyai peluang yang sama untuk memegang jawatan dalam kerajaan.

Pada tahun 1685 M, Louis XIV bertindak membatalkan Edict of Nantes dan mendapat sokongan rakyat.  Tindakan Louis menyebabkan seramai 200 000 Hugenot meninggalkan Perancis ke England, Holand dan Amerika.


Dasar Luar Negara

Dasar Louis XIV adalah untuk meluaskan wilayah. Oleh itu, semasa pemerintahan Louis XIV wilayah kekuasaan Perancis meluas ke Sungai Rhine dengan menguasai wilayah-wilayah yang diperintah oleh putera-putera Jeiman, negara Spanish Netherlands (Belgium Moden) dan United Province (kerajaan Belanda hari ini).




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.