Nuffnang Advertisment

Followers

Sunday, 14 July 2013

SEBAB-SEBAB CAMPUR TANGAN INGGERIS SECARA RASMI DI TANAH MELAYU

Menjelang tahun 1870-an, dasar Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu mulai berubah. Kemajuan ekonomi dan perubahan politik di Britain telah mendorong perubahan sikap Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu daripada dasar tidak campur tangan kepada dasar campur tangan. Pada bulan September 1873, Lord Kimberley iaitu Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan telah mengambil keputusan untuk mengubah dasar campur tangan Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu.


Dasar campur tangan Inggeris telah bermula di Perak pada tahun 1874 dengan termenterinya Perjanjian Pangkor, diikuti oleh Selangor, Sungai Ujong dan Pahang. Dengan ini bermulalah perluasan pengaruh lnggeris di Tanah Melayu sekaligus telah menganggu gugat kepentingan tradisi masyarakat tempatan dan segi politik, ekonomi, dan sosial.


Faktor Ekonomi


Menurut Profesor Khoo Kay Kim, walaupun terdapat pelbagai alasan yang digunakan oleh pihak Inggeris untuk campur tangan di Negeri-negeri Melayu namum tujuan ingin menguasai sumber ekonomi telah menjadi faktor utama Inggeris memulakan dasar campur tangan secara rasminya.

Perkembangan Revolusi Perindustrian di Britain pada pertengahan abad ke-19 telah mendorong Inggenis untuk mencari tanah jajahan baru yang dapat membekalkan bahan mentah yang diperlukan oleh kilang-kilangnya dan mencari pasaran terhadap “barangan siap” yang dihasilkan oleh kilang-kilang di Britain.

Permintaan terhadap bijih timah semakin meningkat berikutan kemajuan dan perkembangan industri mengetin makanan di Eropah. BijIh timah diperlukan dengan banyak sekali sebagai bahan “anti karat” iaitu menyalur tin supaya tidak berkarat. Longgokan bijih timah di Cornwall England yang semakin berkurangan dan tidak bermutu telah meresahkan pihak Inggeris. Oleh sebab itulah Inggeris telah memulakan campur tangannya untuk menguasai negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan yang kaya dengan bijih timah yang berkualiti tinggi. Permintaan dan harga bijih timah yang tinggi di Eropah telah menambah minat Inggeris untuk campur tangan Inggeris di negeri-negeri tersebut.

Campur tangan Inggeris juga berlaku atas desakan oleh golongan saudagar-saudagar Cina dan Negeri-Negeri Selat yang meminta kerajaan campur tangan bagi memulihkan keamanan di Negeri-negeri Melayu akibat berlakunya anarki atau huru hara.  Akibat huru hara ini mereka gagal untuk rnengeksploitasi keuntungan kegiatan perdagangan dan pelaburan Inggeris di negeri-negeri Melayu.

Sebagai contoh, banyak pedagang dan syarikat milik British telah terlibat membuat pelaburan modal yang besar bagi memajukan kawasan perlombongan terutamanya di Larut, Sungai Ujong, Lukut dan Melaka. Mereka juga turut mendapatkan konsesi perlombongan dengan bayaran yang cukup tinggi. Buktinya pada tahun 1861, Syarikat Paterson, Simons and Company telah membayar sebanyak $33 500 bagi mendapatkan konsesi perlombongan di Kuantan, Pahang. Pada tahun 1872, Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong membayar sebanyak $30 000 kepada Datuk Kelana untuk mendapatkan konsesi perlombongan di Negeri Sembilan.
Pada September 1873, Lord Kimberley iaitu Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan telah mengarahkan Sir Andrew Clarke (Gabenor baru bagi Negeri-negeri Selat yang baru) untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai keadaan yang berlaku serta mencadangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan Inggeris untuk melindungi pelaburan dan perdagangan di Negeri­-negeri Melayu.


Kebimbangan Campur Tangan Kuasa Asing

Pertengahan abad ke-19, terdapat perlumbaan kuasa-kuasa barat untuk mencari tanah jajahan baru di Timur. Ekoran dan perkembangan Revolusi Perindustrian di Eropah membawa kepada wujudnya persaingan di antara kuasa-kuasa Eropah seperti Jerman, Perancis, Sepanyol, Amerika Syarikat, Itali dan Rusia bagi mendapatkan bahan mentah dan pasaran baru terhadap hasil pengeluaran industri mereka.

Menjelang tahun 1870-an, kebanyakan negara di Asia Tenggara telah dikuasai oleh kuasa-kuasa barat kecuali Siam dan Tanah Melayu. Ini telah menyebabkan negara Jerman, Rusia, Itali dan Amerika menunggu peluang yang sesuai untuk bertapak di Tanah Melayu kerana kekayaan hasil yang dimiliki. Kemungkinan kuasa-kuasa barat menjadikan masalah anarki di Negeri-negeri Melayu sebagai alasan untuk campur tangan.

Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 oleh Ferdinand de Lessep menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Merah telah memendekkan jarak dan menjimatkan masa perjalanan di antara Eropah dan Asia. Ini telah menggalakkan lagi kedatangan kuasa-kuasa barat ke Timur untuk mendapatkan tanah jajahan.

Kebimbangan Inggeris semakin memuncak dengan kemunculan kuasa Jerman sebagai satu kuasa Eropah yang kuat selepas penyatuan Jerman oleh Otto Von Bismarck pada tahun 1871. Kekuatan Jerman telah terbukti selepas berjaya menewaskan Perancis pada tahun 1872. Tambahan pula, minat dan peluang Jerman untuk meluaskan kuasa di Tanah Melayu telah mula kelihatan seperti Jerman telah mengadakan rundingan dengan Sultan Kedah untuk mendapatkan Pulau Langkawi untuk dijadikan pangkalan tentera laut. Sementara Tengku Kudin di Selangor pula cuba mendapatkan bantuan Jerman untuk menamatkan Perang Kelang seandainya Inggeris enggan membantu. Pedagang-pedagang Jerman di Singapura turut berminat untuk menanam modal di Negeri-negeri Melayu. Kepentingan ekonomi Inggeris di Negeri-negeri Melayu akan terancam sekiranya Jerman bertapak di Tanah Melayu.

Kebimbangan ini memaksa Seymour Clarke menghantar sepucuk surat kepada Lord Kimberley (Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan di London) pada 18 Julai 1873 memberitahu keadaan di Tanah Melayu dan mendesak campur tangan Inggeris di Negeri-negeri Melayu dengan segera. Sememangnya kebimbangan campur tangan kuasa-kuasa asing telah menjadi sebab yang mempercepatkan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu. Pendapat ini disokong oleh C.D. Cowan, Profesor John F. Cady, Emily Sadka, Harry Miller, J.M. Gullick dan K.G. Tregonning. Mereka sependapat menyatakan sebab terpenting campur tangan Inggeris di Tanah Melayu adalah berkaitan kebimbangan campur tangan kuasa-kuasa asing.


Masalah Anarki di Negeri-Negeri Melayu

Menjelang tahun 1860-an dan 1870-an, negeri-negeri seperti Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan berada dalam keadaan tidak stabil kerana berlakunya masalah anarki atau huru hara seperti perebutan takhta kerajaan, pergaduhan Kongsi Gelap Cina, masalah perlanunan dan perang saudara yang tidak terkawal.

Di Perak telah berlaku kekacauan akibat perebutan takhta di antara Raja Abdullah dan Sultan Ismail selepas kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Keadaan bertambah rumit apabila berlakunya pergaduhan Kongsi Gelap Cina Ghee Hin dan Hai San yang telah membawa kepada berlakunya Perang Larut I, II dan III (1861-1874).

Di Selangor pula berlakunya pertelingkahan di antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi (1867-1873) kerana merebut Daerah Kelang yang kaya dengan bijih timah. Sementara itu, di Sungai Ujong telah tercetus pergaduhan antara Datuk Kelana dan Datuk Bandar berkaitan hak memunggut cukai di Sungai Linggi, Sungai Ujong.

Keadaan anarki yang berlaku ini telah  menjejaskan aktiviti perdagangan di Negeri-negeri Selat, mengancam keselamatan nyawa dan harta benda serta membantutkan pengeluaran bijih timah. Syarikat-­syarikat Inggeris di Negeri-negeri Melayu menanggung kerugian kerana mereka telah banyak melabur modal sedangkan perniagaan tidak dapat dijalankan. Justeru itu, saudagar-saudagar Inggeris di Negeri-negeri Melayu telah menghantar surat rayuan ke London, mendesak Kerajaan Inggeris supaya meluaskan kekuasaannya di Negeri-negeri Melayu agar kepentingan mereka terus terpelihara.


Perubahan Kepimpinan di England

Sebelum tahun 1871, Parti Liberal menguasai pemerintahan di England dan bersikap “anti imperialisme”. Dasar ini penting bagi memelihara hubungan baik dengan pemerintah tempatan serta mengelakkan terjadinya peperangan yang akan menelan belanja yang besar.

Selepas tahun 1871, kepimpinan baru di England telah mencetuskan “idea imperialisme” bagi mengembangkan Empayar Inggeris terutamanya di Negeri-negeri Melayu. Mereka. terdiri daripada Lord Kimberley (Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan) Edward Knatchbull Hugessen (Setiausaha Rendah Parlimen) dan Sir Robert Herbert (Setiausaha Rendah Tetap Pejabat Tanah Jajahan).

Parti Konservatif telah menguasai parlimen Britain pada tahun 1873 menggantikan Parti Liberal. Disraeli sebagai Perdana Menteri baru Britain sememangnya menyokong kuat dasar imperialisme serta memberikan galakan positif ke arah campur tangan Inggeris di Negeri-negeri Melayu demi memelihara kepentingàn mereka.

Pada bulan September 1873, Sir Andrew Clarke, iaitu Gabenor baru Negeri-negeri Selat yang dilantik untuk menggantikan Sir Harry Ord telah diarahkan oleh Lord Kimberley untuk campur tangan di Negeri-negeri Melayu bagi menamatkan kekacauan dan memulihkan keamanan.


Peranan Sir Andrew Clarke

Sebagai Gabenor baru Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke telah ditugaskan untuk menyiasat masalah sebenar yang berlaku di Negeri-negeri Melayu pada November 1873. Beliau juga dikehendaki menyediakan satu laporan lengkap tentang situasi Negeri-negeri Melayu dan mencadangkan langkah-langkah yang seharusnya diambil oleh Kerajaan Inggeris bagi memulihkan keamanan serta memelihara kepentingan Inggeris di Negeri-negeri tersebut.

Walau bagaimanapun, Sir Andrew Clarke telah bertindak melebihi arahan yang diberikan oleh Lord Kimberley. Atas inisiatif atau daya usaha sendiri, Clarke telah campur tangan di Perak pada Januari 1874 untuk menyelesaikan pertelingkahan politik yang berlaku tanpa mempedulikan arahan Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London. Dengan itu, bermulalah campur tangan Inggeris secara rasmi di Perak dengan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Selepas itu Inggeris terlibat campur tangan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.


Faktor Kemanusiaan

Frank Swettenham menggunakan alasan “tanggungjawab kemanusiaan” untuk campur tangan di Negeri-negeri Melayu bagi menamatkan kekacauan sebagai jaminan keselamatan nyawa dan harta benda. Kerajaan Inggeris harus bertanggungjawab terhadap masalah di Negeri-negeri Melayu selaras dengan dasar Pax Britannica iaitu mewujudkan keamanan dalam Empayar Inggeris mulai tahun 1860-an. Justeru itu, kerajaan perlu bertindak membantu negeri-negeri yang disalahtadbirkan.

Walau bagaimanapun, faktor ini menimbulkan banyak keraguan dari pelbagai pihak. Kemungkinan besar ianya hanya “helah” Inggeris untuk campur tangan di Negeri-negeri Melayu.

Faktor-faktor lain yang boleh dihuraikan ialah sebab penyebaran tamadun barat, penyebaran agama Kristian dan pembukaan terusan Suez.



 

No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

"Segala kandungan dalam blog ini adalah untuk panduan kepada pelajar sejarah dan guru mengajar sejarah STPM. Tidak dibenarkan ada unsur plagiat atau dipindah ke blog lain. Thank You atas perhatian dan sokongan semua....."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...