Nuffnang Ads

Tuesday, 27 August 2013

PERUBAHAN PENTADBIRAN DI SARAWAK (1841-1946)

1. Memperkenalkan Sistem Pemerintahan Secara Monarki

Pemerintahan keluarga Brooke di Sarawak berlangsung selama 105 tahun, iaitu dan tahun 1841 hingga 1946. Sepanjang tempoh itu, pemerintahan Sarawak dilakukan mengikut sistem monarki dengan raja berkuasa secara mutlak dalam semua urusan pentadbiran negeri. Ketua pentadbiran negeri menggunakan gelaran ‘raja’ dan pentadbiran keluarga Brooke dikenali sebagai pemerintahan ‘Raja Putih’.

Semasa pemerintahan Raja Putih yang pertama, James Brooke (1841-1868), beliau tidak merombak sistem pemerintahan yang ada tetapi memperkenalkan beberapa perubahan yang dianggap sesuai untuk memastikan setiap pembesar yang berkuasa di wilayah masing-masing memberi kesetiaan kepadanya.

James Brooke melantik beberapa orang pembesar tempatan sebagai penasihat kanan dalam pentadbiran negeri sebagai usaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan mereka. Antara pembesar tempatan yang dilantik ialah Datuk Patinggi, Datuk Temenggung, Datuk Bandar, dan Datuk Imam. Selain itu, beberapa orang Eropah turut dilantik untuk membantunya dalam pentadbiran negeri.

2. Memperkenalkan Sistem Perundangan

Bagi mengekalkan keamanan negeri, James Brooke mengadakan undang-undang dan mahkamah. Antaranya ialah undang-undang yang mengandungi lapan fasal untuk melindungi masyarakat tempatan dan menggalakkan kegiatan perdagangan di Sarawak. Hukuman berat seperti membunuh dan mencuri adalah berlandaskan undang-undang tradisional Brunei.

3. Memperkenalkan Majlis Tertinggi

Pada tahun 1855, James Brooke menubuhkan Majlis Tertinggi untuk membantunya menggubal dasar-dasar dalam pentadbiran negeri dan menasihati Brooke dalam pentadbiran. Majlis ini dianggotai oleh James Brooke, Charles Brooke dan 4 orang pembesar Melayu tempatan yang terkemuka seperti Datuk Patinggi, Datuk Temenggung, Datuk Bandar, dan Datuk Imam. Majlis ini bersidang setiap bulan.

4. Memperkenalkan Majlis Negeri

James Brooke meninggalkan Sarawak untuk pulang ke England pada tahun 1863. Beliau meninggal dunia di England pada tahun 1868 dan digantikan oleh anak saudaranya Charles Anthoni Johnson Brooke sebagai Raja Putih yang kedua. Charles Brooke (1868-1917) juga menggunakan gelaran Raja Brooke. Setelah mengambil alih pentadbiran negeri, Charles Brooke menubuhkan Majlis Negeri (Council Negeri) pada tahun 1868 untuk memberi peluang kepada ketua-ketua suku kaum terlibat dalam pentadbiran negeri.

Majlis ini berperanan sebagai penasihat kepada Raja Sarawak. Majlis ini dianggotai oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, pegawai-pegawai kanan Eropah, dan Melayu serta ketua­-ketua suku kaum dari pelbagai daerah dan Residen-residen Eropah.

Majlis Negeri bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun, tetapi tidak berkuasa untuk membuat undang-undang. Majlis ini bersidang untuk kali pertama di Bintulu dan diikuti di Sibu dan Kuching.

5. Membahagikan Sarawak Kepada Bahagian dan Daerah

Charles Brooke juga menyusun pentadbiran negeri dengan membahagikan Sarawak kepada lima bahagian. Setiap bahagian diketuai oleh seorang Residen dengan dibantu oleh seorang Penolong Residen yang dilantik danipada kalangan orang Eropah.

Residen dan Penolong Residen dibantu oleh para pegawai tempatan yang dikenali sebagai Pegawai Anak Negeri. Mereka ditugaskan untuk menasihati Residen, mengutip cukai, dan mengetuai ekspedisi ketenteraan.

Setiap bahagian mempunyai Majlis sendiri yang diketuai oleh Residen Eropah. Setiap bahagian ini dibahagikan kepada beberapa buah daerah yang ditadbir oleh Pegawai Daerah Eropah. Manakala di peringkat kampung, ketua-ketua kampung ditugaskan untuk mengekalkan keamanan, menyelesaikan pergaduhan, dan memungut cukai.

Bagi mengawal kegiatan orang Cina pula, seorang ketua Cina yang dikenali sebagai ”Kang Chu” atau ”Kepala” telah dilantik oleh Residen.

6. Meluluskan Kanun Jenayah Sarawak

Charles Brooke meninggal dunia pada tahun 1917 dan digantikan oleh anaknya, Charles Vyner Brooke sebagai Raja Putih yang ketiga. Pada tahun 1924, Charles Vyner Brooke meluluskan Kanun Jenayah Sarawak yang digubal berdasarkan Kanun Jenayah India sebagai langkah untuk mengekalkan keamanan.

Pada tahun 1923, Charles Vyner Brooke mewujudkan jawatan Ketua Setlausaha dalam pentadbiran negeri. Pada tahun 1928, seorang Pesuruhjaya Kehakiman telah dilantik dan jawatan itu kemudiannya dinaikkan taraf kepada Ketua Hakim pada tahun 1930.

7. Mengubal Perlembagaan Baharu

Pada bulan September 1941, Charles Vyner Brooke menggubal satu perlembagaan baharu bagi negeri Sarawak sebagai langkah untuk menyerahkan kuasa mutlaknya kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri.

Majlis Tertinggi dianggotai oleh lima orang ahli yang dilantik daripada kalangan para pegawai negeri dan ketua-ketua suku kaum. Manakala Majlis Negeri mengandungi 25 orang ahli, iaitu 14 orang ahli rasmi yang dilantik dalam kalangan para pegawai perkhidmatan awam Sarawak dan 11 orang ahli tidak rasmi yang dilantik untuk mewakili kepentingan penduduk Sarawak.


Sunday, 18 August 2013

SUMBANGAN MAZZINI DALAM MENYATUKAN ITALY

Mazzini merupakan tokoh nasionalis yang memperjuangkan penyatuan Itali menerusi pemberontakan yang dilihat bertentangan dengan pendekatan yang digunakan oleh kerajaan Piedmont.

Beliau tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Piedmont menyertai Peperangan Crimea. Malah, beliau tidak merestui perikatan antara kerajaan Piedmont dengan Perancis pada tahun 1859. Menurut Mazzini, usaha ke arah penyatuan Itali harus dilakukan oleh bangsa Itali sendiri tanpa melibatkan bantuan dan campur tangan bangsa lain.

Beliau berpendapat matlamat utama penyatuan Itali ialah penubuhan negara republik. Mazzini tidak bersetuju dengan pendekatan diplomatik yang digunakan oleh Cavour untuk menyatukan Itali antara tahun 1860-1861.

Terdapat beberapa sumbangan yang diberikan oleh Mazzini bagi menyatukan Itali antaranya ialah:

a. Idea penyatuan Itali oleh Mazzini

Selain seorang pejuang, beliau juga merupakan seorang penulis yang berkaliber dan merupakan tokoh nasionalis yang telah memberikan kesedaran serta galakan kepada rakyat Itali tentang penyatuan Itali.

Mazzini merupakan tokoh yang terawal menyebarkan kesedaran nasionalisme dalam kalangan rakyat Itali. Beliau juga bergiat secara aktif menerusi kegiatan politik untuk menyatukan Itali.

Beliau mempopularkan idea-idea seperti menyatukan Itali ke arah pembentukan sebuah negara republik, menggulingkan pemerintahan asing dari bumi Itali, menubuhkan pertubuhan-pertubuhan untuk mencapai matlamat mereka, dan usaha penyatuan harus dilakukan oleh rakyat Itali sendiri.

b. Menubuhkan pertubuhan

Kegagalan revolusi yang dilancarkan pada tahun 1820-1821 dan 1830 menyedarkan Mazzini tentang keperluan menubuhkan pertubuhan bersifat nasional yang mendapat sokongan meluas daripada rakyat.

Beliau menyebarkan masalah yang dihadapi oleh Itali untuk pengetahuan masyarakat antarabangsa. Mazzini juga meyakinkan rakyat tentang keperluan untuk menyelaraskan perjuangan menentang Austria. Pada tahun 1831, Mazzini menubuhkan pertubuhan “Young Italy”. Pertubuhan ini merupakan pertubuhan nasional yang mempunyai ahli-ahli dari seluruh Itali.

Pada tahun 1834, beliau mengasaskan pertubuhan “Young Europe” di England. Pertubuhan-pertubuhan ini memainkan peranan dalam membangkitkan kesedaran kebangsaan dalam kalangan rakyat Itali.

c. Melancarkan pemberontakan

Mazzini merupakan tokoh nasionalis yang merancang dan memimpin pemberontakan menentang kuasa-kuasa asing di bumi Itali. Pada tahun 1833, beliau merancang serangan terhadap wilayah Savoy dari Switzerland dan terlibat dalam pemberontakan di Coseuza pada tahun 1843.

Pada tahun 1857, Mazzini merancang pemberontakan di Genoa dan Leghorn dari England. Walaupun pemberontakan-pemberontakan tersebut menemui kegagalan, namun ia telah menyemai perpaduan dan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat.




Thursday, 15 August 2013

PERKEMBANGAN EKONOMI PERTANIAN DI ENGLAND

Menjelang akhir abad ke-17 M, tercetus revolusi yang dikenali sebagai Revolusi Pertanian di England. Revolusi Pertanian meletakkan asas bagi kemunculan Revolusi Perindustrian di England.

Perkembangan dalam Bidang PerTanian di England

1. Pengeluaran Makanan

Sebelum Revolusi Pertanian, pengeluaran makanan secara kecil-­kecilan sahaja. Selepas Revolusi Pertanian, pengeluaran makanan secara besar­-besaran berlaku kerana perubahan dalam sistem pemilikan tanah, penggunaan kaedah saintifik dalam penanaman, dan kaedah pemasaran produk yang berkesan.

2. Sistem Pemilikan Tanah

Sebelum Revolusi Pertanian, terdapat dua sistem pemilikan tanah iaitu sistem pemilikan tanah persendirian dan sistem pemilikan tanah awam. Tanah persendirian dimiliki oleh golongan tuan-tuan tanah yang kaya. Tanah awam merupakan tanah yang dimiliki oleh orang perseorangan. Rakyat biasa dibenarkan menggunakan tanah awam untuk bercucuk tanam, memelihara ternakan, memburu binatang, dan memancing.

3. Akta Pemagaran Tanah

Menjelang abad ke-18 M dan ke-19 M, berlaku pertambahan penduduk di England. Menjelang tahun 1801, bilangan penduduk di England dan Wales adalah 9 juta orang. Pada tahun 1831, bilangan penduduk meningkat secara mendadak sehingga mencapai 14 juta orang.

Pertambahan penduduk menyebabkan tuan-tuan tanah memanfaatkan tanah awam untuk menjalankan aktiviti pertanian secara besar-besaran. Tuan-tuan tanah mendapat kelulusan parlimen untuk memagari tanah awam. Antara tahun 1761 hingga 1792, hampir 500 000 ekar tanah dipagari.

Akta Pemagaran Tanah menyebabkan tuan-tuan tanah membeli tanah awam dan muncul ladang pertanian. Tuan-tuan tanah memiliki tanah yang luas untuk menjalankan penanaman secara besar-besaran.

4. Kaedah Pertanian Baru

Revolusi pertanian menyebabkan kaedah baru diperkenalkan dalam bidang pertanian iaitu sistem penanaman bergilir yang diperkenalkan oleh Lord Townshend. Mengikut kaedah baru ini, tanah pertanian dapat digunakan secara berterusan sepanjang tahun.

Dalam sistem penggiliran tanaman pula, jenis tanaman yang berbeza akan ditanam mengikut musim. Melalui kaedah baru ini, kesuburan tanah tidak terjejas kerana tanaman yang berlainan menggunakan bahan mineral tanah yang berlainan.

Dalam pada itu, tidak ada tanah yang perlu ditinggalkan kosong dalam sistem pertanian ini. Pengenalan sistem penanaman bergilir menyebabkan beberapa tanaman baru diperkenalkan antaranya ialah turnip dan ubi kentang. Thomas William Cake telah memperbaik sistem penggiliran tanaman dan mendapati hasil pertanian meningkat berlipat kali ganda.

5. Kaedah Penternakan BARU

Robert Bakewell telah memperkenalkan kaedah baru dalam bidang penternakan terutama dalam penternakan biri-biri dan lembu. Melalui kaedah baru yang diperkenalkan, binatang ternakan boleh membesar dan matang dengan lebih cepat. Bekalan daging dan bulu binatang juga bertambah menerusi kaedah baru ini. Selain itu, binatang-binatang ternakan juga membekalkan baja kepada para petani untuk tanaman mereka.

6. Pengenalan Pertanian Campuran

Lord Townshend telah memperkenalkan sistem penggiliran tanaman iaitu petani dikehendaki menanam rumput. Rumput yang ditanam oleh petani digunakan sebagai sumber makanan kepada binatang ternakan seperti biri-biri dan lembu. Dengan demikian, petani mengamalkan sistem pertanian campuran yang melibatkan tanaman dan ternakan. Penglibatan petani dalam aktiviti pertanian dan penternakan menambahkan pendapatan mereka.

7. Ciptaan Baru

Revolusi Pertanian juga menyebabkan peralatan baru dicipta untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Jethro Tull telah mencipta alat yang digunakan untuk menggali dan menugal tanah pertanian. Penciptaan alat baru ini membolehkan penugalan dan penanaman biji benih dapat dilakukan dengan lebih pantas.

Menjelang tahun 1730-an, sejenis bajak berbentuk tiga segi yang dikenali sebagai Rotterham telah direka. Penciptaan alat tersebut membolehkan kerja membajak tanah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Selain itu, pelbagai peralatan untuk menjalankan kerja pertanian telah dicipta. Antara alat pertanian tersebut ialah alat mengetam, alat memukul dan alat menumbuk bijirin. Penciptaanperalatan-peralatan tersebut telah mengurangkan penggunaan tenaga manusia dalam menjalankan kerja-kerja pertanian. Dalam pada itu, penciptaan jentera berkuasa wap menyebabkan kerja dapat dijalankan dengan cepat dan berkesan.

8. Penggunaan Baja dan Sistem Saliran

Menjelang pertengahan abad ke-19 M, ahli-ahli sains berjaya menghasilkan baja tiruan. Di samping itu, baja asli juga digunakan secara meluas untuk rneningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Selain itu, mereka juga bertindak membina dan membaiki sistem saliran. Pembinaan sistem saliran menyebabkan berjuta-juta hektar tanah dapat disalirkan untuk tujuan pertanian.




Wednesday, 14 August 2013

LANGKAH-LANGKAH CAVOUR UNTUK MENYATUKAN ITALY

Camillo Benso de Cavour (1810-1861) merupakan seorang bangsawan Piedmont yang pernah mengembara dan mempelajari kehidupan politik di Britain dan Perancis. Pada tahun 1847, beliau telah mengasaskan akhbar Risorgimento dan telah dipilih menjadi ahli parlimen kerajaan Piedmont pada tahun 1848.

Beliau merupakan salah seorang yang memainkan peranan penting dalam merancang dan memperkenalkan Perlembagaan 1848 yang mengandungi Dewan Perundangan dan Kabinet. Pada tahun 1850, beliau dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Perdagangan dan kemudian telah dilantik sebagai Perdana Menteri Piedmont menggantikan Massimo d’Azeglio pada tahun 1852.

Selepas memegang jawatan Perdana Menteri, beliau mengambil langkah-langkah untuk menyatukan Itali di bawah kepimpinan Piedmont.

Antara langkah yang diambil oleh Cavour dalam usaha menyatukan Itali ialah;

i. Dasar Dalam Negeri Piedmont

Cavour mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan kerajaan Piedmont dalam bidang ekonomi dan politik bagi menghadapi peperangan dengan Austria. Antara langkah-langkah yang diambil oleh Cavour ialah mengadakan pembaharuan dalam bidang pentadbiran, perdagangan dan perindustrian, agama dan komunikasi.

Dalam bidang pentadbiran beliau telah menjalankan reformasi dalam bidang ketenteraan, pentadbiran dan perundangan. Beliau turut melaksanakan pembaharuan dalam bidang perdagangan dan perindustrian dengan mempelopori sistem pertanian secara saintifik, mengadakan perjanjian perdagangan, memperkenalkan industri-industri baru, menggalakkan pelabur dari luar negara melabur di Piedmont dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar-pakar ekonomi luar negara untuk pembangunan ekonomi Piedmont.

Bidang agama pula, beliau telah menggubal undang-undang Siccardi bagi menghadkan kuasa gereja dalam bidang perundangan pada tahun 1850. Manakala dalam bidang komunikasi pula, beliau berusaha untuk menjadikan Piedmont sebahagian daripada rangkaian antarabangsa dengan menjadikan Genoa sebagai pelabuhan perdagangan yang penting.

ii. Mendapatkan Bantuan Perancis

Penyatuan Itali tidak dapat dilakukan tanpa bantuan daripada negara lain. Oleh itu, Cavour telah  menjalinkan perikatan dengan Perancis dan dalam masa yang sama pemimpin Perancis iaitu Napoleon turut berminat dalam hal ehwal negara Itali.  Tujuan Cavour mengadakan perikatan dengan Perancis adalah untuk mengelakkan kewujudan perikatan antara Austria dan Perancis yang boleh mengancam kedudukan negaranya.

Antara langkah di ambil untuk menjalinkan hubungan rapat antara Piedmont dengan Perancis adalah seperti mengadakan mesyuarat Plombiers pada 20 Julai 1858. Hasil mesyuarat tersebut, Napoleon mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan di bawah pemerintahan Victor Enimanuel di utara Itali, sebuah kerajaan ditubuhkan di bahagian tengah dan selatan Itali di bawah pimpinan Paus, Napoleon bersetuju untuk membantu Piedmont sekiranya terlibat dalam peperangan dengan Austria, dan wilayah Nice dan Savoy akan diserahkan kepada Perancis sebagai balasan kepada bantuan yang diberikan.

Bagi merapatkan hubungan, persetujuan telah dicapai untuk menguruskan perkahwinan antara puteri Raja Victor Emmanuel dan anak saudara Napolean III yang berlangsung pada bulan September 1858.

Satu pakatan tentera antara Perancis dan Piedmont telah ditandatangani pada tahun 1859 di mana Perancis akan mempertahankan Piedmont sekiranya diserang oleh Austria, Perancis akan membekalkan 200 000 tentera manakala Piedmont akan menyediakan 100 000 tentera, dan Piedmont akan mendapat Lombardy dan Venetia sekiranya Austria dapat ditewaskan dalam peperangan tersebut.

iii. Penyertaan Piedmont Dalam Perang Crimea

Cavour juga melibatkan Piedmont dalam hal ehwal yang berlaku di luar negara sebagai salah langkah penyatuan Itali. Cavour berpendapat kuasa-kuasa Eropah akan membantu Itali menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara tersebut jika negara tersebut memainkan peranan aktif dalam hal ehwal antarabangsa.

Pada bulan Disember 1855, Perancis dan Britain menjemput Piedmont untuk menyertai peperangan Crimea. Walaupun kabinet Piedmont menolak idea tersebut, namun Cavour inginkan penyertaan Piedmont dalam peperangan tersebut.

Pada tahun 1856, pasukan tentera Piedmont di bawah pimpinan La Marmora mencapai kejayaan dalam pertempuran di Tchernaya. Kejayaan ini memberi keyakinan kepada kerajaan Piedmont untuk menghadapi peperangan dengan Austria. Perkembangan ini menyebabkan hal ehwal Piedmont telah dibincangkan dalam Persidangan Damai Paris. Malah pemerintah Perancis, iaitu Napoleon turut menunjukkan minatnya terhadap hal ehwal dalam negara Itali.

iv. Pembentukan Persatuan Kebangsaan

Persatuan Nasional (Kebangsaan) ditubuhkan untuk menyatukan kumpulan-kumpulan yang berjuang menyatukan Itali. Persatuan ini menggunakan moto “Kemerdekaan, Perpaduan dan Kebebasan Perlembagaan di bawah pemerintahan Dinasti Savoy.” Persatuan ini dipimpin oleh Pallavincio, La Farina, Garibaldi dan Daniele Manin.

Golongan nasionalis ini sedar bahawa mereka memerlukan satu persatuan atau organisasi bagi menyelaraskan usaha penyatuan Itali. Tokoh-tokoh ini berpendapat Cavour merupakan rakan sekutu yang amat penting dalam usaha untuk menyelaraskan kegiatan pergerakan kebangsaan Itali dan mereka telah mengadakan rundingan sulit dengan Cavour.

Cavour telah mendapatkan bantuan La Farina bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk mencetuskan kebangkitan rakyat di wilayah-wilayah utara dan tengah Itali. Beliau mendapatkan kerjasama daripada Garibaldi untuk menubuhkan pasukan tentera sukarela daripada kalangan penduduk Lombardy. Pada masa yang sama, Persatuan Kebangsaan juga telah menubuhkan depot-depot tentera dan mengedarkan risalah-risalah yang menyokong kepimpinan Piedmont.

v. Provokasi Terhadap Austria

Selepas mesyuarat di Plombieres, Cavour membuat perancangan untuk mencetuskan ketegangan antara Piedmont dan Austria dengan mengambil beberapa tindakan yang ternyata bertentangan dengan kepentingan Austria.

Langkah-langkah yang berbentuk provokatif diambil oleh Cavour agar Austria memulakan peperangan ialah memutuskan hubungan diplomatik dengan Vienna pada bulan Februari 1857 setelah Vienna bertindak melucutkan jawatan seorang senator Sardinia daripada kerajaan Lombardy.

Beliau mengarahkan Menteri Kewangan, La Marmora mengumpul dana bagi menghadapi peperangan apabila Austria mula melakukan persediaan untuk melancarkan peperangan terhadap Piedmont pada awal tahun 1859. Tindakan Austria dijadikan alasan oleh Cavour untuk melakukan persediaan untuk menghadapi serangan Austria dan ini telah mendorong Austria untuk memulakan peperangan.

Pada bulan Januari 1859, Raja Victor Emmanuel membuat ucapan yang bersifat provokatif terhadap Austria. Raja Piedmont menyampaikan ucapan tersebut atas nasihat daripada Napoleon. Baginda menyatakan bahawa “ratapan rakyat” dari wilayah Itali yang berada di bawah pemerintahan kuasa asing kedengaran di Piedmont. Ucapan baginda membangkitkan kemarahan Austria terhadap Piedmont.

Covour telah mengadakan hubungan sulit dengan Persatuan Kebangsaan telah menimbulkan kemarahan Austria. Beliau mendapatkan bantuan daripada La Farina untuk mencetuskan kebangkitan di wilayah utara dan tengah Itali, Persatuan Kebangsaan membantu Cavour menubuhkan depot-depot tentera dan persatuan ini juga mengedarkan risalah-risalah menyeru rakyat menyokong kepimpinan Piedmont.

Pada akhir tahun 1858, Austria menguatkuasakan undang­-undang tentera di Lombardy dan Venetia. Ini telah menyebabkan ramai pemimpin­-pemimpin tempatan yang tidak berpuas hati melarikan diri ke Piedmont. Austria meminta untuk ekstradisi mereka telah ditolak oleh Piedmont. Perkembangan ini telah menyebabkan hubungan antara Piedmont dengan Austria menjadi tegang. Ini telah mendorong Piedmont dan Austria memperkukuhkan angkatan tentera masing-masing.

Dalam masa yang sama Perancis, Britain dan Rusia telah mengadakan rundingan bagi mengelakkan peperangan. Pada 19 April 1859, Ketua Menteri Austria iaitu Buol telah memberikan kata dua kepada Cavour untuk mengundurkan tenteranya dalam tempoh tiga hari. Buol memberikan amaran kepada Piedmont bahawa Austria akan melancarkan serangan sekiranya tuntutan tersebut tidak ditunaikan. Tindakan Cavour menolak tuntutan Austria menyebabkan tercetus peperangan.

Tentera Piedmont berjaya menawan Lombardy dengan bantuan dari Perancis. Perancis telah mengadakan rundingan dengan Austria untuk menamatkan peperangan tersebut menerusi Perjanjian Villafranca. Pada 24 Mac 1860, menerusi Perjanjian Turin, pungutan suara diadakan di wilayah-wilayah Parma, Modena, Tuscany dan Romagna.

Hasil daripada pungutan suara tersebut, penduduk di wilayah-wilayah tersebut memilih untuk bersatu di bawah pemerintahan Piedmont. Sebagai balasan kepada bantuan Perancis, wilayah Nice dan Savoy telah disatukan dengan Perancis.



Tuesday, 13 August 2013

FAKTOR-FAKTOR PERKEMBANGAN EKONOMI KAPITALISME DI AMERIKA SYARIKAT


Perkembangan ekonomi kapitalisme di Amerika Syarikat bermula selepas tamat Perang Amerika dengan Britain (1812) dan Perang Saudara (1861-1865). Kestabilan politik menyebabkan golongan kapitalis melaburkan modal dalam sektor perindustrian. Perkembangan ini menyebabkan bermula Revolusi Perindustrian di Amerika Syarikat mulai 1860-an hingga 1914.


Faktor-faktor Perkembangan Sistem Ekonomi Kapitalisme
di Amerika Syarikat

Menjelang pertengahan abad ke-19 M, sistem ekonomi kapitalisme berkembang pesat di Amerika Syarikat terutama dalam sektor perindustrian. Terdapat beberapa faktor yang mendorong pertumbuhan sistem ekonomi kapitalisme dan pertumbuhan sektor perindustrian di Amerika Syarikat. Antara faktor tersebut adalah seperti berikut:


1. Kekayaan sumber asli

Amerika Syarikat ialah negara yang luas dan mempunyai banyak sumber kekayaan seperti arang batu, besi, keluli, dan minyak. Menjelang tahun 1913, Amerika Syarikat menjadi pengeluar utama arang batu dunia. Sebahagian besar daripada pengeluaran arang batu di Amerika Syarikat disumbangkan oleh Pennsylvania. Kekayaan sumber asli merupakan faktor utama yang mendorong perkembangan kapitahisme di Amerika Syarikat.


2. Tenaga buruh yang ramai

Amerika Syarikat juga mempunyai bekalan tenaga buruh yang ramai. Tenaga buruh yang ramai merangsang pertumbuhan sektor perindustrian yang memerlukan pekerja yang ramai. Bekalan tenaga buruh yang ramai telah menyediakan permintaan untuk basil keluaran negara.


3. Imigrasi buruh dalam negara dan kehadiran buruh asing

Kehadiran buruh dan luar negara dan perpindahan buruh dalam negara menyediakan bekalan tenaga buruh yang mencukupi. Undang-undang Buruh Kontrak 1864 menggalakkan kedatangan buruh ke Amerika Syarikat. Undang-undang ini menyebabkan kemasukan ramai buruh dari China yang terlibat dalam pembinaan landasan kereta api.

Pertumbuhan bandar-bandar menyebabkan penduduk berpindah dan luar bandar ke kawasan bandar. Perkembangan ini menyebabkan berlaku pertambahan penduduk di bandar-bandar pelabuhan seperti New York, Chicago dan Boston.


4. Kemajuan teknologi

Kemajuan dalam bidang teknologi menyebabkan banyak ciptaan baru muncul di Amerika Syarikat oleh pencipta-­pencipta terkenal di Amerika Syarikat. Antara pencipta terkenal dan hasil ciptaan mereka adalah seperti Samuel F. B. Morse (telegraf), Graham Bell (telefon), Thomas Alva Edison (elektrik), Henry Ford (kereta) dan Wilbur dan Orville Wright (kapal terbang).

Pada tahun 1900, syarikat-syarikat di Amerika Syarikat telah mengeluarkan 40 000 buah kereta. Selain itu, muncul kaedah baru untuk menghasilkan besi dan keluli secara besar-besaran.


5. Teknik pemasaran

Di samping itu muncul teknik pemasaran baru iaitu barangan dihantar melalui pos yang diuruskan oleh syarikat penghantaran. Syarikat penghantaran yang terkenal ialah Roebuck and Company dan Montgomery Ward yang diasaskan pada tahun 1872.

Sistem ini boleh dimajukan kerana kemajuan dalam sistem pos dan jalan kereta api. Perkembangan ini menyebabkan barangan dapat dihantar dengan cepat dan diterima oleh penduduk di bandar dan luar bandar.

Selain itu, muncul gedung-gedung perniagaan besar dan terkenal di Amerika Syarikat yang menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan seperti Macy (New York), Filene (Boston), Marshall Field (Chicago) dan Wannamaker (Philadelphia).

Dalam pada itu muncul sistem pengiklanan untuk mempromosikan barangan yang dihasilkan oleh industri. Agensi pengiklanan yang terawal yang terawal ditubuhkan oleh Francis Wayland Oyer.

Ekspo perdagangan juga diadakan untuk memasarkan barangan yang dihasilkan oleh kilang. Sebagai contoh Ekspo Antarabangsa Columbia yang diadakan di Chicago pada tahun 1893 menarik 27 juta pengunjung. Dalam ekspo perdagangan tersebut banyak barangan baru telah diperkenalkan kepada pengguna.


6. Pengangkutan jalan air

Sungai merupakan jalan pengangkutan utama untuk menggerakkan barangan. Pengenalan kapal wap telah merancakkan perkembangan ekonomi Amerika Syarikat. Pada tahun 1807, kapal wap Robert Fulton yang dinamakan Clermont melakukan pelayaran pertama di Sungai Hudson. Kapal wap boleh mengangkut barangan dan manusia dengan cepat dan cekap.


7. Pembinaan terusan

Terusan telah muncul sebagai kaedah pengangkutan utama kepada penduduk Amerika Syarikat. Terusan didapati lebih cekap untuk menggerakkan barangan berat berbanding dengan jalan raya. Antara terusan yang terkemuka di Amerika Syarikat ialah Terusan Erie di New York.

Terusan ini dibina pada tahun 1825 yang berkeluasan 40 kaki dan 360 batu panjang. Terusan ini mengurangkan kos untuk menggerakkan barangan dan mengurangkan jarak perjalanan daripada 20 hari kepada 6 hari. Terusan ini menjadikan kota New York sebagai pelabuhan terkemuka di Amerika Syarikat. Negeri-negeri lain seperti Pennsylvania, Ohio dan Indiana juga melabur dalam pembinaan terusan.

Kerajaan berperanan mengambil langkah-langkah untuk memajukan sektor perindustrian seperti melindungi industri tempatan dengan mengenakan duti yang tinggi bagi barangan import, menstabilkan mata wang, memperkenalkan sistem tarif yang sesuai, mengamalkan dasar imigrasi yang Ionggar untuk menggalakkan penghijrahan penduduk, mengadakan sistem bank kebangsaan, meluluskan beberapa akta untuk menggalakkan penggunaan tanah awam oleh syarikat-syarikat, dan memperuntukkan sumber kewangan yang besar untuk memajukan sistem pengangkutan.




SISTEM EKONOMI FEUDALISME DI JEPUN


Kegiatan pertanian

Menjelang zaman Kamakura, kegiatan pertanian mengalami perkembangan pesat dan telah mendorong meningkatnya pengeluaran hasil pertanian. Petani-petani Jepun menanam pelbagai jenis tanaman seperti padi, buah-buahan, gandum, barli, teh dan sayur-sayuran. Tanaman yang paling popular di Jepun pada zaman ini ialah teh.

Di zaman pemerintahan Keshogunan Ashikaga, kegiatan pertanian semakin mengalami perkembangan pesat. Kegiatan penanaman dua tanaman setiap tahun mula dilaksanakan iaitu selepas penanaman padi, petani-petani menanam tanaman seperti gandum dan barli.

Sistem pengairan juga telah diperkenalkan untuk meningkatkan pengeluaran basil pertanian. Selain itu, tanaman komersial seperti kapas dan teh juga ditanam secara meluas pada zaman ini.


Perkembangan perniagaan

Kegiatan perniagaan juga mengalami perkembangan pesat di Jepun pada zaman Kamakura. Peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian telah menyebabkan petani-petani menjual lebihan hasil pertanian di pasar dan kedai. Petani-petani yang tinggal di pekan atau bandar-bandar besar menjual hasil untuk mendapatkan wang.


Perdagangan

Di zaman Kamakura, kegiatan perdagangan berkembang dengan pesat yang telah mendorong kepada berlakunya pertumbuhan ekonomi wang di negara Jepun. Mata wang syiling tembaga digunakan dalam urusan perniagaan dan pembayaran cukai. Selain itu, muncul golongan pedagang yang menubuhkan persatuan-persatuan dagang.

Pertumbuhan ekonomi di zaman Ashikaga telah menyebabkan kegiatan perdagangan semakin berkembang dengan pesat. Di samping perdagangan dalam negara, wujud hubungan perdagangan dengan negara luar seperti China dan Portugis pada abad ke-16 M.

Kemajuan yang dicapai dalam bidang perdagangan telah menyebabkan muncul sistem ekonomi wang di Jepun. Ini telah mendorong kepada wujudnya kesatuan-­kesatuan pedagang (guilds). Kesatuan ini memonopoli pengeluaran dan pemasaran barangan yang di keluarkan.

Di zaman Senggoku Jidai, kegiatan perdagangan menjadi bertambah pesat di mana pedagang-pedagang Jepun telah mengembara ke seluruh Jepun untuk menjalankan kegiatan perdagangan. Perkembangan pesat dalam perdagangan menyebabkan mata wang syiling yang diperbuat daripada tembaga digunakan secara meluas.

Semasa pemerintahan Nobunaga, kegiatan perdagangan terus berkembang dengan pesat. Beliau mengambil langkah untuk memecahkan monopoli persatuan-persatuan pedagang pada tahun 1568. Semasa pemerintahan Hideyoshi, mata wang syiling yang diperbuat daripada emas, perak, dan tembaga dikeluarkan.


Pertukangan

Perkembangan perdagangan menyebabkan permintaan untuk hasil pertukangan meningkat. Ini telah menyebabkan munculnya golongan tukang-­tukang mahir yang menghasilkan kraf tangan yang bermutu seperti barang perak, tembaga, barang tembikar, lukisan, dan ukiran.


Perindustrian

Dalam bidang perindustrian, pengeluaran barang-barang tembikar telah meningkat dengan pesat terutama di zaman Ashikaga. Bandar Seto yang terletak di wilayah Owari menjadi pusat pengeluaran barang-barang tembikar di Jepun. Di samping itu, industri perlombongan emas, perak, dan tembaga juga berkembang dengan pesat.


Persatuan kewangan

Pertumbuban pesat dalam bidang ekonomi menyebabkan muncul persatuan-persatuan kewangan yang dikenali sebagai Tanomoshiko atau Mujinko.           Pusat-pusat pertukaran wang ditubuhkan di bandar-bandar di Kuwana, Sakai, Ise, Hakata dan lain-lain.


Sistem cukai tanah

Semasa pemenintahan Oda Nobunaga sistem pendaftaran tanah baru telah diperkenalkan. Sistem pendaftaran tanah diperkenalkan untuk memudahkan pemungutan cukai. Selain itu, sistem cukai tanah yang teratur berasaskan pendaftaran tanah diperkenalkan.






Monday, 12 August 2013

PENYATUAN JERMAN OLEH OTTO VON BISMARCK SEBELUM TAHUN 1871

PENGENALAN

Sebelum abad ke-19 M, Jerman terdiri daripada 360 negeri-negeri kecil yang mempunyai pemerintahan masing-masing. Menjelang awal abad ke-19 M, seluruh benua Eropah termasuk Jerman ditawan oleh tentera Perancis dibawah pimpinan Napoleon Bonaparte.

Semasa pemerintahannya, Napoleon melakukan beberapa perubahan di Eropah seperti menurunkan takhta raja-raja di Eropah dan mengubah sempadan negara-negara Eropah termasuklah melakukan pelbagai perubahan di negeri-negeri Jerman. 

Napoleon telah merombak semula struktur pemerintahan negeri Jerman dengan mengurangkan bilangan negeri-negeri di Jerman dengan mencantumkan negeri-negeri yang kecil. Pemerintahan Napoleon berakhir apabila pakatan tentera negara­-negara Eropah berjaya menewaskan Perancis pada tahun 1815.

Pada tahun 1815, pemimpin-pemimpin di Eropah mengadakan satu persidangan bagi menamatkan Perang Napoleon yang dikenali sebagai Kongres Vienna. Dalam persidangan tersebut, pemimpin-pemimpin Eropah membuat keputusan untuk membahagikan Jerman kepada 39 buah negeri dan gabungan ini dikenali sebagai Pergabungan Negara Jerman. Pergabungan ini termasuklah Austria, Prusia, Bavaria, Wurtemberg, Hanover dan Saxony. Pemimpin dari negeri Austria telah dilantik sebagai ketua Pergabungan Negara Jerman.


Otto von Bismarck
Latar Belakang Bismarck

Otto von Bismarck merupakan tokoh yang berjaya menyatukan negara Jerman. Bismarck dilahirkan dalam kalangan keluarga bangsawan di Brandenburg, Prusia pada 1 April 1815. Ayahnya merupakan seorang Junker (golongan bangsawan) yang memiliki tanah.

Ketika berusia 17 tahun, beliau pergi ke Berlin untuk menuntut dalam jurusan Undang-undang dan Sains Politik. Beliau telah berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Prusia, kemudian beliau meletakkan jawatan dalam perkhidmatan awam dan mula menguruskan ladang-ladang yang dimiliki oleh ayahnya.

Pada tahun 1847, Bismarck telah dipilih menjadi ahli parlimen Prusia yang dikenali sebagai Diet Bersatu. Beliau bertindak menentang golongan liberal yang menuntut penglibatan dalam pentadbiran negara kerana beliau merupakan seorang penyokong kuat pemenintahan monarki mutlak. Pada tahun 1849, beliau menentang Perlembagaan Frankfurt dalam parlimen Prusia.

Menjelang tahun 1851, beliau dilantik sebagai wakil kerajaan Prusia dalam Diet Bersekutu dan berjuang untuk mempertahankan Konfederasi Jerman yang wujud pada masa itu. Pada peringkat awal, beliau menyokong dasar kerjasama antara kerajaan Prusia dengan Austria. Namun kemudian, beliau mula mengamalkan sikap anti-Austria dan mula menjalankan dasar permusuhan dengan Austria ekoran daripada sikap angkuh Austria yang menerajui Diet Bersatu.

Pada tahun 1859, beliau disingkirkan daripada Diet Bersatu oleh kerajaan baru Prusia yang diperintah oleh golongan liberal. Beliau telah dilantik sebagai duta Prusia ke Rusia pada tahun 1859, kemudian sebagai Duta Prusia di Paris.

Penyatuan Jerman oleh Bismarck

Bismarck berusaha untuk menyatukan negara Jerman yang bersatu. Penyatuan ini terbahagi kepada 2 peringkat. Pada peringkat pertama, beliau melancarkan peperangan menentang negara-negara asing yang menguasai negeri-negeri Jerman. Manakala pada peringkat kedua, beliau bertindak mengukuhkan negeri-negeri yang dibebaskan daripada kuasa-kuasa asing dengan melakukan perubahan-perubahan dalam bidang ekonomi, politik dan sosial bagi menyatukan rakyat.


Penyatuan Jerman Tahap Pertama (1864-1870)

Pada tahap pertama, Bismarck telah melancarkan peperangan menentang Denmark, Austria dan Perancis. Sebelum melancarkan peperangan, Bismarck bertindak mengukuhkan pasukan tenteranya terlebih dahulu dengan memberikan latihan yang cukup bagi askar-askarnya menghadapi musuh dalam peperangan dan melengkapkan pasukan tenteranya dengan senjata-senjata yang termoden. Pasukan tentera Prusia merupakan pasukan tentera yang paling baik di Eropah pada masa itu.
Bismarck bertindak dengan bijak dan cekap ketika melancarkan peperangan dengan Denmark, Austria dan Perancis. Beliau tidak melancarkan peperangan dengan negeri-negeri tersebut pada masa yang sama. Apabila melancarkan peperangan dengan sesebuah negeri, beliau terlebih dahulu menentukan dengan cara diplomasi yang bijak bahawa negeri-negeri lain tidak bersatu menentangnya.

1. PEPERANGAN DENGAN DENMARK

Bismarck telah melancarkan peperangan terhadap Denmark pada tahun 1864 untuk menguasai dua buah negeri, iaitu Holstein dan Schleswig. Holstein dan Schleswig berada di bawah pemerintahan Raja Denmark sejak tahun 1490.

Pada tahun 1863, kerajaan Denmark mengeluarkan perlembagaan baru untuk menyatukan negeri-negeri tersebut dengan Denmark. Tindakan raja Denmark bertentangan dengan rancangan Bismarck untuk menyatukan negeri-negeri tersebut dengan Jerman.

Bismarck menuntut supaya Denmark mengembalikan Schleswig dan Holstein kepada Jerman. Apabila Denmark enggan berbuat demikian, Bismarck mengisytiharkan perang. Sebelum memulakan peperangan, Bismarck menggunakan pendekatan diplomasi yang bijak untuk mengajak Austria membantu Prusia.

Dalam peperangan tersebut, Prusia berjaya menewaskan Denmark dengan mudah. Pada bulan Ogos 1865, Perjanjian Gastein ditandatangani. Menurut perjanjian ini, Schleswig diserahkan kepada Prusia dan Holstein diserahkan kepada Austria. Selepas berjaya menewaskan Denmark, Bismarck berpaling tadah untuk menentang sekutunya, iaitu Austria.

2. PEPERANGAN DENGAN AUSTRIA

Selepas berjaya mengalahkan Denmark, Bismarck mengalihkan tumpuannya kepada Austria. Bismarck melancarkan peperangan dengan Austria bagi mengurangkan kuasa dan pengaruh negara tersebut yang dianggap oleh Bismarck bahawa Austria merupakan penghalang kepada rancangannya untuk menyatukan negara Jerman.

Peperangan ini juga dilancarkan kerana banyak wilayah jajahan Jerman berada di bawah penguasaan Austria yang akan menggagalkan impian Bismarck untuk menyatukan Jerman. Sebelum melancarkan peperangan, Bismarck menggunakan kebijaksanaannya bagi memujuk Perancis, Itali dan Rusia agar menyokongnya.

Dengan menggunakan dasar diplomasi yang bijak, Bismarck berjaya memencilkan Austria dan mula mencari alasan untuk memulakan peperangan dengan Austria. Beliau menuduh Austria memberi layanan buruk kepada orang Jerman di negaranya untuk memulakan peperangan.

Pada bulan Jun 1886, tentera Prusia memasuki jajahan Holstein dan menguasainya. Perkembangan ini menyebabkan tercetus peperangan besar-besaran antara Prusia dengan Austria yang dikenali sebagai Perang Tujuh Minggu kerana ia berlangsung selama tujuh minggu.

Prusia berjaya mengalahkan tentera Austria dalam medan pertempuran di Sadowa. Peperangan ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Prague yang ditandatangani antara Prusia dan Austria pada tahun 1866. Menurut perjanjian ini, Austria menyerahkan Holstein kepada Prusia dan Austria menyerahkan Venetia kepada Itali. Bismarck seterusnya menyatukan negeri-negeni Jerman di utara dan menamakannya Pergabungan Jerman Utara.

3. PEPERANGAN DENGAN PERANCIS

Selepas pembentukan Pergabungan Jerman Utara, Bismarck mengatur langkah untuk melancarkan peperangan dengan Perancis pula. Perancis bimbang terhadap kebangkitan Prusia sebagai sebuah kuasa besar di benua Eropah. Dengan itu selepas Perang Prusia-Austria, Perancis menuntut agar negeri-­negeri Jerman Selatan diserahkan kepadanya.

Perancis mengemukakan tuntutan tersebut sebagai balasan kepada kerjasama yang diberikannya semasa Perang Prusia-Austria pada tahun 1866. Tindakan Perancis ini telah mendorong Bismarck bertindak segera menandatangani perjanjian dengan negeri-negeri Jerman Selatan.

Menerusi perjanjian tersebut, negeri-negeri Jerman Selatan bersetuju untuk bergabung dengan Prusia. Bismarck menggunakan tipu helah untuk menyatukan negeri­-negeri Jerman Selatan dengan Prusia dengan mendedahkan surat yang ditulis oleh Perancis mengenai tuntutan terhadap negeri-negeri Jerman Selatan kepada pemimpin negeri-negeri tersebut. Ini telah menyebabkan negeri-negeri Jerman Selatan membuat keputusan untuk bergabung dengan Prusia.

Selepas itu, Bismarck melancarkan peperangan ke atas Perancis pada bulan Julai 1870 bagi menyempurnakan penyatuan negeri­-negeri di Jerman. Bismarck telah membuat perjanjian-perjanjian sulit dengan negara-negara lain untuk memencilkan Perancis.

Prusia berjaya mengalahkan Perancis pada tahun 1871 dan Perjanjian Frankfurt telah ditandatangani. Menurut perjanjian ini, Perancis terpaksa menyerahkan wilayah Alsace dan Lorraine kepada Prusia dan Perancis terpaksa membayar ganti rugi lebih kurang 3 ribu juta kepada Prusia.


PENYATUAN JERMAN

Selepas menewaskan Perancis, Bismarck bertindak menyatukan negeri-negeri Jerman dan menubuhkan empayar Jerman iaitu gabungan 39 buah negeri kecuali Austria. Pada 18 Januari 1871, Raja William I telah dilantik sebagai Kaiser Empayar Jerman yang baru ditubuhkan. Dalam pada itu, Bismarck telah dilantik sebagai Canselor (Perdana Menteri) pertama Empayar Jerman. Selepas tahun 1871, Bismarck memulakan tahap kedua penyatuan Jerman dalam bidang perlembagaan, ekonomi, dan sosial. Pada tahap kedua, beliau hanya berminat dalam melaksanakan program pembangunan negara untuk menyatukan rakyat Jerman. 



Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.