Nuffnang Ads

Wednesday, 14 August 2013

LANGKAH-LANGKAH CAVOUR UNTUK MENYATUKAN ITALY

Camillo Benso de Cavour (1810-1861) merupakan seorang bangsawan Piedmont yang pernah mengembara dan mempelajari kehidupan politik di Britain dan Perancis. Pada tahun 1847, beliau telah mengasaskan akhbar Risorgimento dan telah dipilih menjadi ahli parlimen kerajaan Piedmont pada tahun 1848.

Beliau merupakan salah seorang yang memainkan peranan penting dalam merancang dan memperkenalkan Perlembagaan 1848 yang mengandungi Dewan Perundangan dan Kabinet. Pada tahun 1850, beliau dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Perdagangan dan kemudian telah dilantik sebagai Perdana Menteri Piedmont menggantikan Massimo d’Azeglio pada tahun 1852.

Selepas memegang jawatan Perdana Menteri, beliau mengambil langkah-langkah untuk menyatukan Itali di bawah kepimpinan Piedmont.

Antara langkah yang diambil oleh Cavour dalam usaha menyatukan Itali ialah;

i. Dasar Dalam Negeri Piedmont

Cavour mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan kerajaan Piedmont dalam bidang ekonomi dan politik bagi menghadapi peperangan dengan Austria. Antara langkah-langkah yang diambil oleh Cavour ialah mengadakan pembaharuan dalam bidang pentadbiran, perdagangan dan perindustrian, agama dan komunikasi.

Dalam bidang pentadbiran beliau telah menjalankan reformasi dalam bidang ketenteraan, pentadbiran dan perundangan. Beliau turut melaksanakan pembaharuan dalam bidang perdagangan dan perindustrian dengan mempelopori sistem pertanian secara saintifik, mengadakan perjanjian perdagangan, memperkenalkan industri-industri baru, menggalakkan pelabur dari luar negara melabur di Piedmont dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar-pakar ekonomi luar negara untuk pembangunan ekonomi Piedmont.

Bidang agama pula, beliau telah menggubal undang-undang Siccardi bagi menghadkan kuasa gereja dalam bidang perundangan pada tahun 1850. Manakala dalam bidang komunikasi pula, beliau berusaha untuk menjadikan Piedmont sebahagian daripada rangkaian antarabangsa dengan menjadikan Genoa sebagai pelabuhan perdagangan yang penting.

ii. Mendapatkan Bantuan Perancis

Penyatuan Itali tidak dapat dilakukan tanpa bantuan daripada negara lain. Oleh itu, Cavour telah  menjalinkan perikatan dengan Perancis dan dalam masa yang sama pemimpin Perancis iaitu Napoleon turut berminat dalam hal ehwal negara Itali.  Tujuan Cavour mengadakan perikatan dengan Perancis adalah untuk mengelakkan kewujudan perikatan antara Austria dan Perancis yang boleh mengancam kedudukan negaranya.

Antara langkah di ambil untuk menjalinkan hubungan rapat antara Piedmont dengan Perancis adalah seperti mengadakan mesyuarat Plombiers pada 20 Julai 1858. Hasil mesyuarat tersebut, Napoleon mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan di bawah pemerintahan Victor Enimanuel di utara Itali, sebuah kerajaan ditubuhkan di bahagian tengah dan selatan Itali di bawah pimpinan Paus, Napoleon bersetuju untuk membantu Piedmont sekiranya terlibat dalam peperangan dengan Austria, dan wilayah Nice dan Savoy akan diserahkan kepada Perancis sebagai balasan kepada bantuan yang diberikan.

Bagi merapatkan hubungan, persetujuan telah dicapai untuk menguruskan perkahwinan antara puteri Raja Victor Emmanuel dan anak saudara Napolean III yang berlangsung pada bulan September 1858.

Satu pakatan tentera antara Perancis dan Piedmont telah ditandatangani pada tahun 1859 di mana Perancis akan mempertahankan Piedmont sekiranya diserang oleh Austria, Perancis akan membekalkan 200 000 tentera manakala Piedmont akan menyediakan 100 000 tentera, dan Piedmont akan mendapat Lombardy dan Venetia sekiranya Austria dapat ditewaskan dalam peperangan tersebut.

iii. Penyertaan Piedmont Dalam Perang Crimea

Cavour juga melibatkan Piedmont dalam hal ehwal yang berlaku di luar negara sebagai salah langkah penyatuan Itali. Cavour berpendapat kuasa-kuasa Eropah akan membantu Itali menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara tersebut jika negara tersebut memainkan peranan aktif dalam hal ehwal antarabangsa.

Pada bulan Disember 1855, Perancis dan Britain menjemput Piedmont untuk menyertai peperangan Crimea. Walaupun kabinet Piedmont menolak idea tersebut, namun Cavour inginkan penyertaan Piedmont dalam peperangan tersebut.

Pada tahun 1856, pasukan tentera Piedmont di bawah pimpinan La Marmora mencapai kejayaan dalam pertempuran di Tchernaya. Kejayaan ini memberi keyakinan kepada kerajaan Piedmont untuk menghadapi peperangan dengan Austria. Perkembangan ini menyebabkan hal ehwal Piedmont telah dibincangkan dalam Persidangan Damai Paris. Malah pemerintah Perancis, iaitu Napoleon turut menunjukkan minatnya terhadap hal ehwal dalam negara Itali.

iv. Pembentukan Persatuan Kebangsaan

Persatuan Nasional (Kebangsaan) ditubuhkan untuk menyatukan kumpulan-kumpulan yang berjuang menyatukan Itali. Persatuan ini menggunakan moto “Kemerdekaan, Perpaduan dan Kebebasan Perlembagaan di bawah pemerintahan Dinasti Savoy.” Persatuan ini dipimpin oleh Pallavincio, La Farina, Garibaldi dan Daniele Manin.

Golongan nasionalis ini sedar bahawa mereka memerlukan satu persatuan atau organisasi bagi menyelaraskan usaha penyatuan Itali. Tokoh-tokoh ini berpendapat Cavour merupakan rakan sekutu yang amat penting dalam usaha untuk menyelaraskan kegiatan pergerakan kebangsaan Itali dan mereka telah mengadakan rundingan sulit dengan Cavour.

Cavour telah mendapatkan bantuan La Farina bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk mencetuskan kebangkitan rakyat di wilayah-wilayah utara dan tengah Itali. Beliau mendapatkan kerjasama daripada Garibaldi untuk menubuhkan pasukan tentera sukarela daripada kalangan penduduk Lombardy. Pada masa yang sama, Persatuan Kebangsaan juga telah menubuhkan depot-depot tentera dan mengedarkan risalah-risalah yang menyokong kepimpinan Piedmont.

v. Provokasi Terhadap Austria

Selepas mesyuarat di Plombieres, Cavour membuat perancangan untuk mencetuskan ketegangan antara Piedmont dan Austria dengan mengambil beberapa tindakan yang ternyata bertentangan dengan kepentingan Austria.

Langkah-langkah yang berbentuk provokatif diambil oleh Cavour agar Austria memulakan peperangan ialah memutuskan hubungan diplomatik dengan Vienna pada bulan Februari 1857 setelah Vienna bertindak melucutkan jawatan seorang senator Sardinia daripada kerajaan Lombardy.

Beliau mengarahkan Menteri Kewangan, La Marmora mengumpul dana bagi menghadapi peperangan apabila Austria mula melakukan persediaan untuk melancarkan peperangan terhadap Piedmont pada awal tahun 1859. Tindakan Austria dijadikan alasan oleh Cavour untuk melakukan persediaan untuk menghadapi serangan Austria dan ini telah mendorong Austria untuk memulakan peperangan.

Pada bulan Januari 1859, Raja Victor Emmanuel membuat ucapan yang bersifat provokatif terhadap Austria. Raja Piedmont menyampaikan ucapan tersebut atas nasihat daripada Napoleon. Baginda menyatakan bahawa “ratapan rakyat” dari wilayah Itali yang berada di bawah pemerintahan kuasa asing kedengaran di Piedmont. Ucapan baginda membangkitkan kemarahan Austria terhadap Piedmont.

Covour telah mengadakan hubungan sulit dengan Persatuan Kebangsaan telah menimbulkan kemarahan Austria. Beliau mendapatkan bantuan daripada La Farina untuk mencetuskan kebangkitan di wilayah utara dan tengah Itali, Persatuan Kebangsaan membantu Cavour menubuhkan depot-depot tentera dan persatuan ini juga mengedarkan risalah-risalah menyeru rakyat menyokong kepimpinan Piedmont.

Pada akhir tahun 1858, Austria menguatkuasakan undang­-undang tentera di Lombardy dan Venetia. Ini telah menyebabkan ramai pemimpin­-pemimpin tempatan yang tidak berpuas hati melarikan diri ke Piedmont. Austria meminta untuk ekstradisi mereka telah ditolak oleh Piedmont. Perkembangan ini telah menyebabkan hubungan antara Piedmont dengan Austria menjadi tegang. Ini telah mendorong Piedmont dan Austria memperkukuhkan angkatan tentera masing-masing.

Dalam masa yang sama Perancis, Britain dan Rusia telah mengadakan rundingan bagi mengelakkan peperangan. Pada 19 April 1859, Ketua Menteri Austria iaitu Buol telah memberikan kata dua kepada Cavour untuk mengundurkan tenteranya dalam tempoh tiga hari. Buol memberikan amaran kepada Piedmont bahawa Austria akan melancarkan serangan sekiranya tuntutan tersebut tidak ditunaikan. Tindakan Cavour menolak tuntutan Austria menyebabkan tercetus peperangan.

Tentera Piedmont berjaya menawan Lombardy dengan bantuan dari Perancis. Perancis telah mengadakan rundingan dengan Austria untuk menamatkan peperangan tersebut menerusi Perjanjian Villafranca. Pada 24 Mac 1860, menerusi Perjanjian Turin, pungutan suara diadakan di wilayah-wilayah Parma, Modena, Tuscany dan Romagna.

Hasil daripada pungutan suara tersebut, penduduk di wilayah-wilayah tersebut memilih untuk bersatu di bawah pemerintahan Piedmont. Sebagai balasan kepada bantuan Perancis, wilayah Nice dan Savoy telah disatukan dengan Perancis.



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.