Nuffnang Ads

Monday, 12 August 2013

PENYATUAN JERMAN OLEH OTTO VON BISMARCK SEBELUM TAHUN 1871

PENGENALAN

Sebelum abad ke-19 M, Jerman terdiri daripada 360 negeri-negeri kecil yang mempunyai pemerintahan masing-masing. Menjelang awal abad ke-19 M, seluruh benua Eropah termasuk Jerman ditawan oleh tentera Perancis dibawah pimpinan Napoleon Bonaparte.

Semasa pemerintahannya, Napoleon melakukan beberapa perubahan di Eropah seperti menurunkan takhta raja-raja di Eropah dan mengubah sempadan negara-negara Eropah termasuklah melakukan pelbagai perubahan di negeri-negeri Jerman. 

Napoleon telah merombak semula struktur pemerintahan negeri Jerman dengan mengurangkan bilangan negeri-negeri di Jerman dengan mencantumkan negeri-negeri yang kecil. Pemerintahan Napoleon berakhir apabila pakatan tentera negara­-negara Eropah berjaya menewaskan Perancis pada tahun 1815.

Pada tahun 1815, pemimpin-pemimpin di Eropah mengadakan satu persidangan bagi menamatkan Perang Napoleon yang dikenali sebagai Kongres Vienna. Dalam persidangan tersebut, pemimpin-pemimpin Eropah membuat keputusan untuk membahagikan Jerman kepada 39 buah negeri dan gabungan ini dikenali sebagai Pergabungan Negara Jerman. Pergabungan ini termasuklah Austria, Prusia, Bavaria, Wurtemberg, Hanover dan Saxony. Pemimpin dari negeri Austria telah dilantik sebagai ketua Pergabungan Negara Jerman.


Otto von Bismarck
Latar Belakang Bismarck

Otto von Bismarck merupakan tokoh yang berjaya menyatukan negara Jerman. Bismarck dilahirkan dalam kalangan keluarga bangsawan di Brandenburg, Prusia pada 1 April 1815. Ayahnya merupakan seorang Junker (golongan bangsawan) yang memiliki tanah.

Ketika berusia 17 tahun, beliau pergi ke Berlin untuk menuntut dalam jurusan Undang-undang dan Sains Politik. Beliau telah berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Prusia, kemudian beliau meletakkan jawatan dalam perkhidmatan awam dan mula menguruskan ladang-ladang yang dimiliki oleh ayahnya.

Pada tahun 1847, Bismarck telah dipilih menjadi ahli parlimen Prusia yang dikenali sebagai Diet Bersatu. Beliau bertindak menentang golongan liberal yang menuntut penglibatan dalam pentadbiran negara kerana beliau merupakan seorang penyokong kuat pemenintahan monarki mutlak. Pada tahun 1849, beliau menentang Perlembagaan Frankfurt dalam parlimen Prusia.

Menjelang tahun 1851, beliau dilantik sebagai wakil kerajaan Prusia dalam Diet Bersekutu dan berjuang untuk mempertahankan Konfederasi Jerman yang wujud pada masa itu. Pada peringkat awal, beliau menyokong dasar kerjasama antara kerajaan Prusia dengan Austria. Namun kemudian, beliau mula mengamalkan sikap anti-Austria dan mula menjalankan dasar permusuhan dengan Austria ekoran daripada sikap angkuh Austria yang menerajui Diet Bersatu.

Pada tahun 1859, beliau disingkirkan daripada Diet Bersatu oleh kerajaan baru Prusia yang diperintah oleh golongan liberal. Beliau telah dilantik sebagai duta Prusia ke Rusia pada tahun 1859, kemudian sebagai Duta Prusia di Paris.

Penyatuan Jerman oleh Bismarck

Bismarck berusaha untuk menyatukan negara Jerman yang bersatu. Penyatuan ini terbahagi kepada 2 peringkat. Pada peringkat pertama, beliau melancarkan peperangan menentang negara-negara asing yang menguasai negeri-negeri Jerman. Manakala pada peringkat kedua, beliau bertindak mengukuhkan negeri-negeri yang dibebaskan daripada kuasa-kuasa asing dengan melakukan perubahan-perubahan dalam bidang ekonomi, politik dan sosial bagi menyatukan rakyat.


Penyatuan Jerman Tahap Pertama (1864-1870)

Pada tahap pertama, Bismarck telah melancarkan peperangan menentang Denmark, Austria dan Perancis. Sebelum melancarkan peperangan, Bismarck bertindak mengukuhkan pasukan tenteranya terlebih dahulu dengan memberikan latihan yang cukup bagi askar-askarnya menghadapi musuh dalam peperangan dan melengkapkan pasukan tenteranya dengan senjata-senjata yang termoden. Pasukan tentera Prusia merupakan pasukan tentera yang paling baik di Eropah pada masa itu.
Bismarck bertindak dengan bijak dan cekap ketika melancarkan peperangan dengan Denmark, Austria dan Perancis. Beliau tidak melancarkan peperangan dengan negeri-negeri tersebut pada masa yang sama. Apabila melancarkan peperangan dengan sesebuah negeri, beliau terlebih dahulu menentukan dengan cara diplomasi yang bijak bahawa negeri-negeri lain tidak bersatu menentangnya.

1. PEPERANGAN DENGAN DENMARK

Bismarck telah melancarkan peperangan terhadap Denmark pada tahun 1864 untuk menguasai dua buah negeri, iaitu Holstein dan Schleswig. Holstein dan Schleswig berada di bawah pemerintahan Raja Denmark sejak tahun 1490.

Pada tahun 1863, kerajaan Denmark mengeluarkan perlembagaan baru untuk menyatukan negeri-negeri tersebut dengan Denmark. Tindakan raja Denmark bertentangan dengan rancangan Bismarck untuk menyatukan negeri-negeri tersebut dengan Jerman.

Bismarck menuntut supaya Denmark mengembalikan Schleswig dan Holstein kepada Jerman. Apabila Denmark enggan berbuat demikian, Bismarck mengisytiharkan perang. Sebelum memulakan peperangan, Bismarck menggunakan pendekatan diplomasi yang bijak untuk mengajak Austria membantu Prusia.

Dalam peperangan tersebut, Prusia berjaya menewaskan Denmark dengan mudah. Pada bulan Ogos 1865, Perjanjian Gastein ditandatangani. Menurut perjanjian ini, Schleswig diserahkan kepada Prusia dan Holstein diserahkan kepada Austria. Selepas berjaya menewaskan Denmark, Bismarck berpaling tadah untuk menentang sekutunya, iaitu Austria.

2. PEPERANGAN DENGAN AUSTRIA

Selepas berjaya mengalahkan Denmark, Bismarck mengalihkan tumpuannya kepada Austria. Bismarck melancarkan peperangan dengan Austria bagi mengurangkan kuasa dan pengaruh negara tersebut yang dianggap oleh Bismarck bahawa Austria merupakan penghalang kepada rancangannya untuk menyatukan negara Jerman.

Peperangan ini juga dilancarkan kerana banyak wilayah jajahan Jerman berada di bawah penguasaan Austria yang akan menggagalkan impian Bismarck untuk menyatukan Jerman. Sebelum melancarkan peperangan, Bismarck menggunakan kebijaksanaannya bagi memujuk Perancis, Itali dan Rusia agar menyokongnya.

Dengan menggunakan dasar diplomasi yang bijak, Bismarck berjaya memencilkan Austria dan mula mencari alasan untuk memulakan peperangan dengan Austria. Beliau menuduh Austria memberi layanan buruk kepada orang Jerman di negaranya untuk memulakan peperangan.

Pada bulan Jun 1886, tentera Prusia memasuki jajahan Holstein dan menguasainya. Perkembangan ini menyebabkan tercetus peperangan besar-besaran antara Prusia dengan Austria yang dikenali sebagai Perang Tujuh Minggu kerana ia berlangsung selama tujuh minggu.

Prusia berjaya mengalahkan tentera Austria dalam medan pertempuran di Sadowa. Peperangan ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Prague yang ditandatangani antara Prusia dan Austria pada tahun 1866. Menurut perjanjian ini, Austria menyerahkan Holstein kepada Prusia dan Austria menyerahkan Venetia kepada Itali. Bismarck seterusnya menyatukan negeri-negeni Jerman di utara dan menamakannya Pergabungan Jerman Utara.

3. PEPERANGAN DENGAN PERANCIS

Selepas pembentukan Pergabungan Jerman Utara, Bismarck mengatur langkah untuk melancarkan peperangan dengan Perancis pula. Perancis bimbang terhadap kebangkitan Prusia sebagai sebuah kuasa besar di benua Eropah. Dengan itu selepas Perang Prusia-Austria, Perancis menuntut agar negeri-­negeri Jerman Selatan diserahkan kepadanya.

Perancis mengemukakan tuntutan tersebut sebagai balasan kepada kerjasama yang diberikannya semasa Perang Prusia-Austria pada tahun 1866. Tindakan Perancis ini telah mendorong Bismarck bertindak segera menandatangani perjanjian dengan negeri-negeri Jerman Selatan.

Menerusi perjanjian tersebut, negeri-negeri Jerman Selatan bersetuju untuk bergabung dengan Prusia. Bismarck menggunakan tipu helah untuk menyatukan negeri­-negeri Jerman Selatan dengan Prusia dengan mendedahkan surat yang ditulis oleh Perancis mengenai tuntutan terhadap negeri-negeri Jerman Selatan kepada pemimpin negeri-negeri tersebut. Ini telah menyebabkan negeri-negeri Jerman Selatan membuat keputusan untuk bergabung dengan Prusia.

Selepas itu, Bismarck melancarkan peperangan ke atas Perancis pada bulan Julai 1870 bagi menyempurnakan penyatuan negeri­-negeri di Jerman. Bismarck telah membuat perjanjian-perjanjian sulit dengan negara-negara lain untuk memencilkan Perancis.

Prusia berjaya mengalahkan Perancis pada tahun 1871 dan Perjanjian Frankfurt telah ditandatangani. Menurut perjanjian ini, Perancis terpaksa menyerahkan wilayah Alsace dan Lorraine kepada Prusia dan Perancis terpaksa membayar ganti rugi lebih kurang 3 ribu juta kepada Prusia.


PENYATUAN JERMAN

Selepas menewaskan Perancis, Bismarck bertindak menyatukan negeri-negeri Jerman dan menubuhkan empayar Jerman iaitu gabungan 39 buah negeri kecuali Austria. Pada 18 Januari 1871, Raja William I telah dilantik sebagai Kaiser Empayar Jerman yang baru ditubuhkan. Dalam pada itu, Bismarck telah dilantik sebagai Canselor (Perdana Menteri) pertama Empayar Jerman. Selepas tahun 1871, Bismarck memulakan tahap kedua penyatuan Jerman dalam bidang perlembagaan, ekonomi, dan sosial. Pada tahap kedua, beliau hanya berminat dalam melaksanakan program pembangunan negara untuk menyatukan rakyat Jerman. 



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.