Nuffnang Advertisment

Tuesday, 27 August 2013

PERUBAHAN PENTADBIRAN DI SARAWAK (1841-1946)

1. Memperkenalkan Sistem Pemerintahan Secara Monarki

Pemerintahan keluarga Brooke di Sarawak berlangsung selama 105 tahun, iaitu dan tahun 1841 hingga 1946. Sepanjang tempoh itu, pemerintahan Sarawak dilakukan mengikut sistem monarki dengan raja berkuasa secara mutlak dalam semua urusan pentadbiran negeri. Ketua pentadbiran negeri menggunakan gelaran ‘raja’ dan pentadbiran keluarga Brooke dikenali sebagai pemerintahan ‘Raja Putih’.

Semasa pemerintahan Raja Putih yang pertama, James Brooke (1841-1868), beliau tidak merombak sistem pemerintahan yang ada tetapi memperkenalkan beberapa perubahan yang dianggap sesuai untuk memastikan setiap pembesar yang berkuasa di wilayah masing-masing memberi kesetiaan kepadanya.

James Brooke melantik beberapa orang pembesar tempatan sebagai penasihat kanan dalam pentadbiran negeri sebagai usaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan mereka. Antara pembesar tempatan yang dilantik ialah Datuk Patinggi, Datuk Temenggung, Datuk Bandar, dan Datuk Imam. Selain itu, beberapa orang Eropah turut dilantik untuk membantunya dalam pentadbiran negeri.

2. Memperkenalkan Sistem Perundangan

Bagi mengekalkan keamanan negeri, James Brooke mengadakan undang-undang dan mahkamah. Antaranya ialah undang-undang yang mengandungi lapan fasal untuk melindungi masyarakat tempatan dan menggalakkan kegiatan perdagangan di Sarawak. Hukuman berat seperti membunuh dan mencuri adalah berlandaskan undang-undang tradisional Brunei.

3. Memperkenalkan Majlis Tertinggi

Pada tahun 1855, James Brooke menubuhkan Majlis Tertinggi untuk membantunya menggubal dasar-dasar dalam pentadbiran negeri dan menasihati Brooke dalam pentadbiran. Majlis ini dianggotai oleh James Brooke, Charles Brooke dan 4 orang pembesar Melayu tempatan yang terkemuka seperti Datuk Patinggi, Datuk Temenggung, Datuk Bandar, dan Datuk Imam. Majlis ini bersidang setiap bulan.

4. Memperkenalkan Majlis Negeri

James Brooke meninggalkan Sarawak untuk pulang ke England pada tahun 1863. Beliau meninggal dunia di England pada tahun 1868 dan digantikan oleh anak saudaranya Charles Anthoni Johnson Brooke sebagai Raja Putih yang kedua. Charles Brooke (1868-1917) juga menggunakan gelaran Raja Brooke. Setelah mengambil alih pentadbiran negeri, Charles Brooke menubuhkan Majlis Negeri (Council Negeri) pada tahun 1868 untuk memberi peluang kepada ketua-ketua suku kaum terlibat dalam pentadbiran negeri.

Majlis ini berperanan sebagai penasihat kepada Raja Sarawak. Majlis ini dianggotai oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, pegawai-pegawai kanan Eropah, dan Melayu serta ketua­-ketua suku kaum dari pelbagai daerah dan Residen-residen Eropah.

Majlis Negeri bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun, tetapi tidak berkuasa untuk membuat undang-undang. Majlis ini bersidang untuk kali pertama di Bintulu dan diikuti di Sibu dan Kuching.

5. Membahagikan Sarawak Kepada Bahagian dan Daerah

Charles Brooke juga menyusun pentadbiran negeri dengan membahagikan Sarawak kepada lima bahagian. Setiap bahagian diketuai oleh seorang Residen dengan dibantu oleh seorang Penolong Residen yang dilantik danipada kalangan orang Eropah.

Residen dan Penolong Residen dibantu oleh para pegawai tempatan yang dikenali sebagai Pegawai Anak Negeri. Mereka ditugaskan untuk menasihati Residen, mengutip cukai, dan mengetuai ekspedisi ketenteraan.

Setiap bahagian mempunyai Majlis sendiri yang diketuai oleh Residen Eropah. Setiap bahagian ini dibahagikan kepada beberapa buah daerah yang ditadbir oleh Pegawai Daerah Eropah. Manakala di peringkat kampung, ketua-ketua kampung ditugaskan untuk mengekalkan keamanan, menyelesaikan pergaduhan, dan memungut cukai.

Bagi mengawal kegiatan orang Cina pula, seorang ketua Cina yang dikenali sebagai ”Kang Chu” atau ”Kepala” telah dilantik oleh Residen.

6. Meluluskan Kanun Jenayah Sarawak

Charles Brooke meninggal dunia pada tahun 1917 dan digantikan oleh anaknya, Charles Vyner Brooke sebagai Raja Putih yang ketiga. Pada tahun 1924, Charles Vyner Brooke meluluskan Kanun Jenayah Sarawak yang digubal berdasarkan Kanun Jenayah India sebagai langkah untuk mengekalkan keamanan.

Pada tahun 1923, Charles Vyner Brooke mewujudkan jawatan Ketua Setlausaha dalam pentadbiran negeri. Pada tahun 1928, seorang Pesuruhjaya Kehakiman telah dilantik dan jawatan itu kemudiannya dinaikkan taraf kepada Ketua Hakim pada tahun 1930.

7. Mengubal Perlembagaan Baharu

Pada bulan September 1941, Charles Vyner Brooke menggubal satu perlembagaan baharu bagi negeri Sarawak sebagai langkah untuk menyerahkan kuasa mutlaknya kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri.

Majlis Tertinggi dianggotai oleh lima orang ahli yang dilantik daripada kalangan para pegawai negeri dan ketua-ketua suku kaum. Manakala Majlis Negeri mengandungi 25 orang ahli, iaitu 14 orang ahli rasmi yang dilantik dalam kalangan para pegawai perkhidmatan awam Sarawak dan 11 orang ahli tidak rasmi yang dilantik untuk mewakili kepentingan penduduk Sarawak.


No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.