Nuffnang Ads

Wednesday, 11 September 2013

GERAKAN MENGUATKAN DIRI (1861-1895)

Selepas kekalahan yang dialami oleh kerajaan China dalam 2 siri peperangan dengan Barat telah menyedarkan China betapa lemahnya mereka. Pada masa yang sama, China juga menghadapi beberapa pemberontakan dalam negeri seperti Pemberontakan Taiping (1851-1864) dan Pemberontakan Nien (1853-1868).

Keadaan ini telah memberi kesedaran kepada pemimpin-pemimpin China diperingkat pusat dan wilayah seperti Putera Kung (1833-1898), Tseng Kuo-fan (1811-1872), Li Hung-­chang (1823-1901) dan Tso Tsung-tang (1812-1885) mengenai keperluan untuk memodenkan negara China.

Oleh sebab itulah, mereka telah melancarkan Gerakan Menguatkan Diri (GMD) sebagai langkah untuk memodenkan China dengan mendapatkan ilmu daripada negara-negara Barat. GMD telah dilaksanakan mulai tahun 1861 dan berlanjutan hingga tahun 1895. Langkah-langkah yang diambil untuk menguatkan diri meliputi bidang ketenteraan, ekonomi, diplomatik, pendidikan, pentadbiran serta sistem perhubungan dan pengangkutan.


PEMBAHARUAN YANG DILAKSANAKAN DALAM GMD

1. KETENTERAAN

Kerajaan China mengambil langkah-langkah untuk memodenkan bidang ketenteraan supaya setanding dengan kuasa Barat. Putera Kung dan Wen-hsiang sedar bahawa kekurangan senjata moden merupakan punca kekalahan negara China dalam peperangan dengan kuasa-kuasa Barat.

Kerajaan China mengambil tindakan untuk memodenkan tentera mengikut sistem ketenteraan Barat. Tanggungjawab ini telah diberikan kepada Tseng Kuo-fan, Li Hung-chang dan Tso Tsung-tang. Antara langkah-langkah yang diambil untuk memodenkan tentera adalah seperti membina kilang membuat senjata seperti senapang, meriam, peluru dan kapal perang di Shanghai pada tahun 1865. Pada tahun 1866 dan 1867, kilang membuat senjata api didirikan di Foochow  dan Nanking oleh Li Hung-chang.

Kerajaan China juga telah menubuhkan sekolah dan biro penterjemahan di Kiangnan, Shanghai pada tahun 1868 untuk melatih pekerja-pekerja membuat kapal dan senjata serta menterjemahkan buku-buku dalam bidang kejuruteraan dan ketenteraan ke dalam bahasa Cina. Pada tahun 1880 dan 1885 sebuah maktab tentera laut dan darat telah didirikan.

Kerajaan China juga telah membina limbungan kapal di Foochow pada tahun 1866. Limbungan ini menggunakan kepakaran jurutera Perancis dan telah berjaya menghasilkan 10 buah kapal dan 5 buah bot peronda. Kerajaan China juga menubuhkan angkatan tentera laut Nanyang, Peiyang dan Hokkien.

Kerajaan China juga turut menghantar pegawai dan pelajar keluar negara seperti menghantar tentera China dihantar ke Jerman untuk mempelajari sains ketenteraan pada tahun 1872. Pada tahun 1875, pelajar-pelajar China dihantar ke Britain dan Perancis untuk menjalani latihan.

2. Pelaksanaan projek ekonomi

Setelah tamat 2 siri peperangan dengan kuasa Barat, Kerajaan China telah menghadapi masalah kewangan yang teruk akibat terpaksa membelanjakan wang yang banyak bagi menampung kos peperangan dan terpaksa membayar ganti rugi perang kepada kuasa-kuasa Barat. Masalah kewangan semakin teruk apabila  sistem ekonomi sara diri merosot selepas kedatangan kuasa-­kuasa Barat.  

Bagi mengatasi maslah ini, kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk membangunkan ekonomi negara dengan menubuhkan pelbagai jenis industri kecil-kecilan dan melaksanakan beberapa projek untuk menambahkan pendapatan negara. Antara projek-projek yang dilaksanakan ialah Merchants Steam Navigation Company ditubuhkan oleh Li Hung-chang untuk membina kapal laut (1872), Syarikat perlombongan arang batu ditubuhkan di Kaiping (1877), Kilang tekstil yang pertama didirikan di Shanghai (1878) dan Hupeh (1894), dan sebuah kilang besi didirikan di Kweichow (1894).

Selain itu, kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah untuk meluaskan kawasan pertanian dan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Antara langkah yang diambil untuk meluaskan kawasan pertanian adalah menggalakkan petani mengusahakan tanah pertanian yang terbiar, meneroka kawasan-kawasan baru untuk tujuan pertanian dan menjual tanah kepada petani dengan harga yang murah. Seterusnya untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, kerajaan telah membina sistem saliran dan pengairan serta mengurangkan cukai pertanian.

3. DIPLOMATIK

Kerajaan China mengambil langkah-langkah untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Barat bertujuan untuk untuk menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi daripada Barat. Oleh itu, sebuah jabatan yang dikenali sebagai Tsungli Yamen ditubuhkan bagi menguruskan hubungan diplomatik kerajaan China dengan negara-negara Barat pada tahun 1861. Jabatan ini diketuai oleh Putera Kung dan dibantu oleh seorang pegawai British, iaitu Horatio Nelson.

Selain itu,  pejabat perwakilan juga ditubuhkan untuk merapatkan lagi hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa Barat. Pada tahun 1866, kerajaan China juga turut menghantar perwakilannya ke negara-negara Barat seperti Britain, Perancis, Amerika Syarikat, Belgium, Denmark, Sweden dan Belanda. Hasilnya kedutaan China telah ditubuhkan di negara-negara Barat seperti London (1877), Berlin (1877), Paris (1878), Washington (1878) dan St. Petersburg (1879).

Kerajaan China turut melantik Pesuruhjaya Perdagangan bagi mengendalikan hal ehwal perdagangan dengan orang Barat terutama di pelabuhan Nanking dan Tientsin.

4. PENDIDIKAN

Kerajaan China juga turut memodenkan dalam pendidikan dengan menubuhkan Maktab Bahasa pada tahun 1862 yang dikenali sebagai Tung-wen Kuan di Peking. W.A.P. Martin telah dilantik sebagai presiden Tung-wen kuan. Maktab ini ditubuhkan untuk mengajar bahasa-bahasa asing seperti bahasa Inggeris, Rusia, Perancis, Jerman dan Jepun serta ilmu pengetahuan Barat kepada pegawai-pegawai kerajaan China. Selain bahasa asing, mata pelajaran Barat seperti sains, astronomi, ekonomi, politik, matematik dan undang-undang juga diajar. Maktab ini juga memainkan peranan sebagai pusat penterjemahan ilmu pengetahuan Barat di negara China.

Selain itu, kerajaan China turut menghantar pelajar-pelajar ke luar negara untuk belajar ilmu-ilmu Barat sebagai langkah untuk memodenkan negara China. Pada tahun 1877, seramai 30 orang pelajar telah dihantar ke Britain dan Perancis. Manakala pada tahun 1872-1881, seramai 120 orang pula dihantar ke Amerika Syarikat.

5. sistem perhubungan dan pengangkutan

Langkah-langkah diambil untuk membangunkan sistem perhubungan dan pengangkutan melalui pembinaan landasan kereta api, talian telegraf dan perkhidmatan pos. Pembinaan landasan kereta api di negara China adalah seperti membina landasan kereta api menghubungkan Shanghai dan Tientsin oleh kerajaan dengan kerjasama Syarikat Jardine dan Matheson (1876), landasan kereta api menghubungkan Kaiping dan Tientsin (1888) dan Landasan kereta api dipanjangkan ke pinggir bandar Peking (1896)

Kerajaan turut membangunkan sistem telegraf dengan menubuhkan Jabatan Pentadbiran Telegraf Diraja untuk membangunkan perkhidmatan telegraf (1881), membina talian telegraf yang menghubungkan Tientsin dan Shanghai (1881) dan pada tahun 1900 perkhidmatan telegraf di China telah meliputi 14 000 batu menghubungkan bandar-bandar utama.




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.