Nuffnang Ads

Tuesday, 24 September 2013

MIGRASI ORANG CINA KE TANAH MELAYU

Asal-usul Dan Perkembangan Orang Cina.

Kehadiran orang Cina ke Tanah Melayu sudah bermula pada awal abad ke-15 iaitu zaman Kerajaan Melayu Melaka telah menjalinkan hubungan perdagangan dan persahabatan dengan negara China.

Penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu khususnya di Negeri-negeri Selat semakin pesat pada awal abad ke-19, berikutan dengan perkembangan perdagangan di Pulau Pinang dan Singapura. Penghijrahan orang Cina secara beramai-ramai ke Johor berlaku semasa pemerintahan Temenggung lbrahim (1825-1862). Orang Cina dibawa masuk melalui Sistem Kangchu untuk bekerja sebagai buruh di ladang lada hitam dan gambir.

Pada pertengahan abad ke-19, jumlah imigran Cina di Tanah Melayu semakin meningkat akibat perkembangan kegiatan perlombongan bijih timah terutamanya di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Akhir abad ke-19, pemerintah Inggeris telah memberikan galakan terhadap kemasukan imigran Cina ke Tanah Melayu kerana Inggeris memerlukan tenaga buruh yang ramai supaya dapat mengeluarkan bijih timah yang banyak untuk keperluan Revolusi Perindustrian di Britain.

Kebanyakan imigran Cina yang tiba di Tanah Melayu berasal dari Selatan China iaitu dari wilayah Kwangtung, Kwangsi, Hainan dan Fukien. Mereka terdiri dari orang Hakka, Kantonis, Teochew, Hailam dan Hokkien.

Sebelum Perang Dunia Kedua pada tahun 1941, orang Cina hanya menjadikan Tanah Melayu sebagai petempatan sementara untuk mencari kekayaan dan mereka pasti akan kembali ke negara asal. Namum, selepas Perang Dunia Kedua tamat keinginan orang Cina mulai berubah dan mereka mula ingin menetap di Tanah Melayu.

Cara kemasukan orang Cina

Sistem tiket kredit

Melalui sistem tiket kredit, kedatangan orang Cina dibiayai secara hutang oleh seorang ejen. Mereka akan bekerja dengan ejen tersebut dalam tempoh masa tertentu sehingga hutang mereka selesai. Selepas tempoh tersebut, mereka akan dibebaskan untuk memilih untuk mencari pekerjaan lain dengan majikan lain atau terus kekal dengan majikan asal. Buruh Cina ini dikenali sebagai “Singkheh”.

Sistem Kangchu

Melalui Sistem Kangchu, orang Cina digalakkan berpindah dari Singapura dan masuk menetap di Johor dan membuka ladang lada hitam dan gambir di bawah pengawasan seorang Kangchu iaitu ketua puak-puak orang Cina. Setiap Kangchu dipertanggungjawabkan mengawal, membayar sewa bagi kawasan yang dibuka serta menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh buruh Cina di bawah pengelolaannya. Pada tahun 1860-an, seramai 15,000 orang Cina telah dibawa masuk ke Johor melalui sistem Kangchu ini.

Cara Persendirian

Orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu bagi mengatasi kesempitan hidup di China melalui bantuan rakan, ahli keluarga ataupun dengan perbelanjaan sendiri.


Sebab-sebab Penghijrahan Orang Cina Ke Tanah Melayu.

FAKTOR PENOLAK

1. Masalah Kepadatan Penduduk

Negara China mempunyal kepadatan penduduk yang tinggi. Pertambahan penduduk China tidak seimbang dengan pengeluanan hasil pertanian menyebabkan bekalan makanan tidak mencukupi. Keadaan ini telah mewujudkan masalah kebuluran dan ini telah menjadikan kehidupan rakyat China sengsara. Antara tahun 1751 hingga 1851, penduduk China telah bertambah dari 182 juta orang kepada 432 juta orang, akan tetapi hasil pertanian semakin merosot.

2. Bencana Alam

Kesengsaraan hidup rakyat di China semakin bertambah apabila berlakunya bencana alam yang telah memusnahkan sebahagian besar kawasan pertanian di China. Sepanjang tahun 1840-an dan 1850-an, negara China mengalami banyak bencana alam, iaitu kemarau yang berpanjangan di Wilayah Hunan di Utara China dan masalah banjir di selatan China terutamanya di sekitar Lembah Sungai Yangtze dan Sungai Hwang Ho. Kejadian ini telah memusnahkan kawasan pertanian dan menyebabkan masalah kebuluran.

3. Masalah pengangguran

Kehidupan rakyat China semakin susah dan sengsara apabila negara China menerima kemasukan kuasa asing. Pembukaan perusahaan barat di China telah menyebabkan industri tempatan merosot. Tambahan pula, kemasukan barang-barang barat dengan banyak dan murah menyebabkan barangan tempatan tidak laku. Orang-orang Cina yang terlibat dengan sistem pengangkutan tradisional seperti tongkang dan kereta kuda hilang pekerjaan dengan pengenalan sistem pengangkutan moden. Justeru itu, kesengsaraan dan masalah kemiskinan telah mendorong orang Cina ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan yang lebih terjamin.

4. Dasar Kerajaan Manchu

Dasar kerajaan Manchu mengenakan cukai yang tinggi untuk menanggung kos pentadbiran yang semakin bertambah turut menambah beban rakyat Cina. Akibatnya, tidak mampu membayar cukai yang tinggi ditambah dengan kemusnahan tanaman akibat bencana alam telah mengakibatkan petani terpaksa menjual tanah bagi membayar cukai tersebut. Atas desakan hidup inilah telah mendorong orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu.

5. Kekacauan politik pemerintahan Manchu

Menjelang pertengahan abad ke-19, keadaan politik negara China di bawah pemerintahan Dinasti Manchu menjadi tidak stabil akibat tercetusnya Perang Candu I (1839-1842) dan Perang Candu II (1856-1860). Kekalahan China dalam Perang Candu membuktikan kelemahan Dinasti Manchu. Justeru itu orang Cina terutamanya dari wilayah Kwangtung dan Kwangsi bangun memberontak untuk menggulingkan Dinasti Manchu.

Pada tahun 1850-1864, telah berlaku Pemberontakan Taiping dipimpin oleh Hung Hsiu-Chuan, bertujuan menggulingkan pemerintahan Manchu, tetapi gagal. Mereka yang terlibat dalam pemberontakan tersebut telah diburu oleh kerajaan. Ini telah menyebabkan golongan pemberontak terpaksa melarikan diri ke negara lain untuk mengelakkan hukuman dari Kerajaan Manchu.

Sentimen anti-Manchu semakin berleluasa akibat amalan rasuah atau korupsi di kalangan pegawai-pegawai Manchu. Masyarakat Cina ditindas dengan dikenakan kadar cukai yang tinggi. Tambahan pula, orang Cina beranggapan Dinasti Manchu sebagai dinasti asing. Kebencian orang Cina terhadap pemerintahan Dinasti Manchu mendorong penghijrahan mereka ke Tanah Melayu.


FAKTOR DALAMAN

6. Perkembangan ekonomi di Tanah Melayu

Tanah Melayu mula mengalami perkembangan ekonomi mulai pertengahan abad ke-­19 yang telah mendorong kedatangan orang Cina. Tanah Melayu mempunyai daya tarikan yang cukup tinggi kerana peluang pekerjaan yang banyak terutamanya di kawasan perlombongan bijih timah, di ladang lada hitam dan kopi.

Antara tahun 1899-1900, terdapat sejumlah 100 ribu orang Cina telah menetap di Tanah Melayu akibat penghijrahan orang Cina secara beramai-ramai ekoran kenaikan harga bijih timah.

Kemajuan perusahaan getah turut menarik kedatangan imigran Cina. Pada tahun 1931, hampir separuh daripada penduduk yang terlibat dalam penanaman getah adalah merupakan orang Cina.

7. Dasar Inggeris di Tanah Melayu

Kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan dan perusahaan bijih timah menyebabkan Inggeris rnenggalakkan kedatangan imigran Cina. Ini kerana orang Melayu lebih tertumpu dalam aktiviti sara diri terutamanya tanaman padi. Tambahan pula, Inggeris tidak begitu berminat memajukan orang Melayu kerana Inggeris bimbang orang Melayu akan bangun menentang mereka.

Bagi menarik minat orang-orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu, Inggeris telah mewujudkan kestabilan politik bagi menjamin keselamatan nyawa dan harta benda orang Cina di Tanah Melayu. Buktinya, Inggeris telah berjaya menamatkan Perang Larut, Perang Kelang serta membanteras kegiatan perlanunan.

Kerajaan Inggeris juga tidak mengenakan sebarang sekatan, malah orang Cina digalakkan datang ke Tanah Melayu tanpa had sehingga tahun 1929. Kehadiran imigran Cina mampu mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh terutamanya di sektor perlombongan. Hasrat Inggeris untuk mengeksploitasi hasil kekayaan di Tanah Melayu tercapai.

8. Faktor lain

Kemajuan teknologi dalam sistem perhubungan turut menjadi sebab kedatangan imigran Cina. Terciptanya kapal wap (stim) bagi menggantikan “kapal layar” telah menghidupkan minat orang Cina untuk datang ke Tanah Melayu dengan cepat dan murah. Orang Cina dari wilayah Selatan China seperti Kwangtung dan Fukien terkenal dengan sifat-sifat keberanian, gemar mengembara serta berdaya usaha yang tinggi. Tanpa mengenal erti kecewa dan putus asa, mereka nekad membina kehidupan baru yang lebih baik dan selesa meskipun terpaksa meninggalkan tanah air sendiri. Berbekalkan semangat kental, orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu. 



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.