Nuffnang Advertisment

Tuesday, 24 September 2013

MIGRASI ORANG INDIA KE TANAH MELAYU

Asal-usul Dan Perkembangan Orang India.

Sejak dari awal lagi, Tanah Melayu telah dikunjungi oleh pedagang-­pedagang India dan golongan Brahmin. Selain berdagang, orang India mahu mengembangkan agama Hindu dan Buddha di Tanah Melayu. Jumlah orang India di Tanah Melayu semakin bertambah pada abad ke-15 pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Mereka mula mendirikan petempatan awal di Melaka yang dikenali sebagai “Kampung Keling”.

Pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light pada tahun 1786, menambahkan jumlah orang India di Tanah Melayu. Menjelang tahun 1870-an, Kerajaan Inggeris telah menggalakkan kemasukan buruh India secara beramai-ramai di Tanah Melayu akibat perkembangan pertanian dagangan seperti kopi dan getah.

Pada tahun 1891, jumlah penduduk India di Tanah Melayu ialah 75,000 orang dan meningkat kepada 622,000 orang pada tahun 1931. Sebahagian besar buruh India yang tiba di Tanah Melayu berasal dari India Selatan (Madras) dan India Utara (Punjab). Mereka terdiri daripada beberapa kumpulan etnik seperti Tamil, Malayali, Telugu, dan Sikh.

Seperti orang Cina, orang India juga mula menetap di Tanah Melayu selepas tamatnya Perang Dunia Ke-2. Kebanyakan orang India tinggal di kawasan ladang atau estet-estet getah dan kelapa sawit. Sebahagiannya menetap di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Pulau Pinang dan Singapura.

Cara kemasukan buruh India

Imigran India datang ke Tanah Melayu melalui dua cara, iaitu sistem buruh kontrak dan Sistem Kangani.

Sistem buruh kontrak

Pemilik ladang akan membuat pesanan jumlah tenaga buruh yang diperlukan kepada seorang ejen di India. Ejen tersebut akan pergi ke kampung-kampung bagi mendapatkan buruh-buruh India yang ingin datang bekerja di Tanah Melayu. Kos perjalanan akan ditanggung oleh pemilik ladang yang membuat pesanan. Di Tanah Melayu, mereka dikehendaki menandatangani satu kontrak untuk bekerja selama 5 tahun dengan gaji yang telah tetapkan oleh majikan masing-­masing. Di samping itu, sebahagian daripada gaji mereka akan diserahkan kepada majikan bagi menjelaskan tambang perjalanan.

Di bawah sistem ini, buruh India dipaksa bekerja keras di ladang iaitu antara 9 hingga 10 jam sehari dengan bayaran gaji yang rendah iaitu 6 sen sehingga 16 sen sehari. Sejak mula diperkenalkan pada tahun 1820 hingga dihapuskan pada tahun 1910, kira-kira 250,000 orang buruh India telah dibawa masuk ke Tanah Melayu melalui sistem ini.

Sistem Kangani

Sistem ini diperkenalkan pada tahun 1898 dan dihapuskan pada tahun 1938 kerana berlaku kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1929-1932. Menurut Sistem Kangani, majikan akan menghantar seorang Kangani atau mandur dari ladangnya ke India. Di India, Kangani itu akan kembali ke kampung halamannya. Di sana beliau akan berusaha mengumpulkan saudara mara, sahabat handai dan penduduk kampung yang ingin bekerja dan berhijrah ke Tanah Melayu dan semua perbelanjaan mereka ditanggung oleh Kangani. Melalui sistem ini seramai 300,000 orang buruh India telah dibawa masuk ke Tanah Melayu sehingga tahun 1938.


Sebab-sebab Penghijrahan Orang India Ke Tanah Melayu.

1. Masalah Kepadatan Penduduk

Kepincangan dan kesengsaraan hidup telah mendorong penghijrahan orang India ke Tanah Melayu         bagi memulakan penghidupan baru.          India menghadapi masalah kepadatan penduduk yang tinggi, sedangkan keluasan kawasan pertanian tidak bertambah. Ini telah menyebabkan bekalan makanan tidak mencukupi akibat kekurangan kawasan pertanian. Akibatnya wujud masalah kemiskinan dan kebuluran di kalangan penduduk India. Pada tahun 1845, jumlah penduduk India ialah 130 juta orang dan meningkat kepada 390 juta orang pada tahun 1941.

2. Bencana Alam

Kejadian bencana alam seperti banjir dan kemarau turut merumitkan keadaan. Pada tahun 1840-an, kawasan di Selatan India mengalami masalah kemarau yang berpanjangan. Keadaan ini telah menjejaskan pengeluaran makanan. Kadar kematian meningkat akibat masalah kebuluran dan merebaknya wabak penyakit. Di samping itu, ramai petani di India menghadapi masalah kehilangan tanah pertanian kerana terpaksa menggadaikan tanah untuk membayar cukai kepada Kerajaan Inggeris yang tinggi dan menjelaskan hutang kepada peminjam wang.

3. Amalan sistem kasta

Amalan sistem kasta yang membezakan darjat seseorang individu turut menjejaskan mobiliti sosial dan ekonomi. Orang India dari kasta bawahan dipandang hina dan tersisih dari masyarakat. Oleh itu, mereka telah memulakan penghijrahan ke Tanah Melayu bagi memperbaiki maruah diri. Pada tahun 1931, satu per tiga daripada jumlah buruh India yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah terdiri dari kasta rendah.

4. Perkembangan tanaman dagangan iaitu perusahaan getah

Perkembangan Revolusi Perindustrian di Eropah telah membawa kepada perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Di Eropah, getah diperlukan dengan banyak dalam perusahaan automobil bagi menghasilkan tayar kereta dan getah juga dijadikan bahan penebat elektrik dalam perusahaan elektronik. Pada awal abad ke-20, keperluan tenaga buruh dalam sektor perladangan getah adalah tinggi kerana orang Melayu tidak berminat bekerja di estet-estet getah. Sebaliknya, mereka menumpukan perhatian terhadap tanaman padi.

Penghijrahan orang India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu berlaku antara tahun 1911 hingga tahun 1921. Pada masa itu, harga getah melambung tinggi. Oleh itu, kawasan tanaman getah telah ditambah dengan banyaknya. Pada tahun 1900, kawasan tanaman getah ialah seluas 20,250 hektar. Jumlahnya meningkat melebihi lima kali ganda pada tahun 1938 iaitu seluas 1.3 hektar. Justeru itu, tenaga buruh India diperlukan dengan banyak selaras dengan pertambahan keluasan ladang atau estet getah. Pada tahun 1911, imigran India di Tanah Melayu berjumlah 270 ribu orang. Jumlahnya meningkat kepada 470 ribu orang pada tahun 1921.

5. Dasar Kerajaan Inggeris

Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu menggalakkan kedatangan imigran India ke Tanah Melayu. Buruh-buruh dari India bersedia untuk bekerja di ladang-ladang getah dengan bayaran gaji yang rendah. Di samping itu, mereka juga diperlukan untuk menjadi buruh bagi membina jalan raya dan jalan kereta api sebagai langkah memantapkan penguasaan ekonomi pemerintah Inggeris di Tanah Melayu.

Sementara itu, orang Punjabi (Sikh) telah dibawa masuk oleh Inggeris untuk berkhidmat dalam pasukan polis dan tentera. Golongan yang berpendidikan tinggi digalakkan datang untuk berkhidmat dengan kerja-kerja pengkeranian dan teknikal. Bagi menggalakkan kedatangan orang-orang India, Kerajaan Inggeris telah menyediakan bantuan bagi membiayai kos perjalanan mereka ke Tanah Melayu. Antara tahun 1887 hingga tahun 1892, sejumlah $30 ribu dikeluarkan bagi menanggung kos perjalanan buruh India menggunakan kapal stim.




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.