Nuffnang Advertisment

Wednesday, 23 October 2013

MALAYAN UNION: PERUBAHAN PERLEMBAGAAN DI TANAH MELAYU

Setelah British kembali semula pada bulan September 1945, Tanah Melayu diletakkan di bawah Pentadbiran Tentera British (BMA). Sementara itu, kerajaan di Britain sedang merangka satu perlembagaan baharu untuk Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malayan Union.         

Malayan Union merupakan satu bentuk pentadbiran baharu yang diperkenalkan di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Ke-2. Mengikut perlembagaan baharu itu, Tanah Melayu menjadi sebuah kesatuan (union). Ini bermakna semua kuasa pemerintahan disatukan dan diletakkan di bawah kerajaan pusat di Kuala Lumpur yang akan diketuai oleh seorang Gabenor secara rasmi pada 1 April 1946.

Raja-raja Melayu kehilangan kuasa sebagai pemerintah berdaulat di negeri masing-masing dan kuasa kerajaan negeri diambil alih oleh kerajaan pusat. Sir Harold MacMichael dihantar ke Tanah Melayu pada bulan Oktober 1945 untuk mendapatkan persetujuan raja-raja Melayu terhadap rancangan Malayan Union itu.

MacMichael telah menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan persetujuan daripada raja-raja Melayu termasuklah ugutan. Akibat ugutan itu, raja-­raja Melayu terpaksa memberi persetujuan.

Syarat-syarat Perlembagaan Malayan Union

Perlembagaan Malayan Union mengandungi ciri-ciri berikut:
  • semua negeri-negeri Melayu dan negeri-negeri Selat kecuali Singapura disatukan di bawah satu kerajaan pusat. Singapura kekal sebagai tanah jajahan berasingan yang mempunyai Gabenor dan Majlis Mesyuarat tersendiri.
  • Malayan Union diketuai oleh seorang Gabenor yang berkuasa penuh ke atas perkhidmatan awam. Beliau dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan. Tiap-tiap negeri mempunyai seorang Pesuruhjaya Negeri yang menjadi ketua pentadbir di peringkat negeri.
  • Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan untuk menguruskan hal ehwal kerajaan tempatan dan berada di bawah kawalan kerajaan pusat. Semua ahli majlis ini terdiri daripada para pegawai British.
  • Majlis Undangan mengandungi bilangan ahli rasmi yang sama banyak dengan bilangan ahli yang tidak rasmi. Gabenor diberi kuasa untuk meluluskan atau membatalkan sesuatu undang­-undang.

Perlembagaan Malayan Union memberi hak kewarganegaraan yang sama bagi semua orang, tanpa mengira bangsa dan asal keturunan. Hak-hak ini termasuklah peluang untuk memasuki perkhidmatan awam dan mengundi dalam pilihan raya.

Malayan Union memberi hak kewanganegaraan yang longgar kepada kaum bukan Melayu melalui prinsip jus soli. Terdapat dua ciri utama dalam kerakyatan secara prinsip jus soli, iaitu melalui kuatkuasa undang-undang dan secara permohonan.

Dari segi kerakyatan secara kuatkuasa undang-undang, Malayan Union memberi kewarganegaraan kepada:
  • mereka yang dilahirkan di negeri-negeri Malayan Union atau Singapura, serta bermastautin sebelum perintah itu dikuatkuasakan;
  • mereka yang berumur sekurang-kurangnya 18 tahun ke atas dan bermastautin selama 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februani 1942 dan mengangkat sumpah taat setia kepada Malayan Union;
  • mereka yang dilahirkan pada atau selepas perintah itu dikuatkuasakan. Sesiapa yang dilahirkan di luar Malayan Union atau Singapura selepas perintah itu dikuatkuasakan diberi kerakyatan dengan syarat bapanya merupakan warga Malayan Union.

Kerakyatan secara permohonan pula diberikan kepada:
  • mereka yang bermastautin selama 5 tahun daripada 8 tahun terdahulu semasa permohonan dibuat;
  • mempunyai tingkah laku yang baik, berpengetahuan dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu;
  • mengangkat sumpah taat setia dan berjanji untuk kekal bermastautin di Malayan Union atau Singapura.

Reaksi dan Bantahan Orang Melayu

Orang Melayu menentang cadangan British untuk menubuhkan Malayan Union. Penentangan itu dibuat dalam pelbagai bentuk, iaitu secara individu dan secara kolektif atau melalui persatuan.

Secara Individu

Penentangan secara individu dilakukan dengan menulis rencana mengenai Malayan Union melalui akhbar-akhbar Melayu seperti Majlis, Utusan Melayu, dan Warta Negara, menulis surat bantahan atau bertindak menghantar kawat kepada kerajaan Britain di London.

Sebaik sahaja MU diumumkan, orang-orang Melayu telah menyatakan bantahannya dan melahirkan rasa tidak puas hati mereka melalui rencana dalam akhbar Utusan Melayu di Singapura, akhbar Majlis di Kuala Lumpur dan Warta Malaya di Pulau Pinang.

Mereka telah menyeru dan membangkitkan semangat orang-orang Melayu untuk menentang MU dengan menulis rencana tentang keburukan MU, mempertikaikan cara sultan-sultan Melayu menandatangani persetujuan dan menyeru orang-orang Melayu bersatu untuk menubuhkan sebuah pertubuhan kebangsaan bagi menentang MU.

Secara Kolektif

Penentangan seterusnya dilakukan dengan cara yang lebih teratur dan bersifat bersama, iaitu melalui persatuan Melayu di peringkat negeri. Persatuan-persatuan Melayu ini mengadakan perarakan dan tunjuk perasaan atau demonstrasi di seluruh Tanah Melayu untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap British.

Pada 15 Disember 1945, Persatuan Melayu Kelantan menganjurkan satu tunjuk perasaan dan perarakan yang disertai oleh 10 000 orang semasa ketibaan MacMichael di Kelantan untuk mendapatkan persetujuan sultan Kelantan. Persatuan ini telah mengadakan satu lagi demontrasi bantahan pada 1 Februari 1946 di Kota Bharu, Kelantan. 

Pada 19 Januari 1946, Persatuan Melayu Kedah (PMK) telah berdemontrasi dan perarakan raksaksa diadakan di Alor Setar yang melibatkan 50 000 orang. Pada 10 Februari 1946, seramai 15 000 orang Melayu termasuk 450 orang wanita telah menganjurkan demontrasi bantahan di Johor.

Selain daripada tunjuk perasaan, Dato’ Onn Jaafar dan Persatuan Melayu Selangor mengambil daya usaha untuk menganjurkan satu Kongres Melayu Se-Malaya pada awal bulan Mac 1946 yang dihadiri oleh 42 buah pertubuhan Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Kongres itu bersetuju untuk menyatukan seluruh Persatuan Melayu bagi menentang Malayan Union secara berkumpulan.

Pada 29 dan 30 Mac 1946, Kongres Melayu Se-Malaya telah mengadakan mesyuarat tergempar. Dalam mesyuarat ini kongres telah menyeru orang-orang Melayu supaya:
  • Bersatu padu menetang MU
  • Memulaukan upacara berhubung dengan penubuhan MU
  • Memulaukan sebarang upacara berhubung dengan pelantikan Gabenor MU
  • Ahli MMN hendaklah memulaukan majlis tersebut dan menarik diri dari sebarang pelantikan jawatan kuasa
  • Berkabung selama 7 hari sebagai tanda bantahan terhadap MU dengan melilitkan kain putih pada songkok 

Walau bagaimanapun, Inggeris tidak menghiraukan bantahan yang dibuat oleh orang Melayu. Pada 1 April 1946, Malayan Union diisytiharkan secara rasmi dengan Sir Edward Gent menjadi Gabenor yang pertama. Orang Melayu memulaukan upacara pelantikan Gabenor Malayan Union dan semua majlis lain yang dianjurkan oleh Inggeris. Sebagai tanda bantahan, orang Melayu berkabung selama tujuh hari dengan melilit kain putih pada songkok.

Kongres Melayu Se-Malaya kedua pada 11 Mei 1946 di Johor Baharu membuat keputusan untuk menubuhkan UMNO, iaitu sebuah organisasi yang bertanggungjawab untuk menentang Malayan Union secara bersepadu. Dato’ Onn Jaafar dipilih menjadi Presiden UMNO yang pertama. UMNO mendapat sokongan padu daripada orang Melayu dan raja-raja Melayu.

Beberapa orang pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, R. 0. Winstedt, George Maxwell, dan Ronald Braddell turut menyuarakan bantahan terhadap Malayan Union. Mereka menganggap Malayan Union sebagai satu sistem pemerintahan yang hendak merampas hak dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Sebab-sebab Orang Melayu Menentang Malayan Union

1.    Kedaulatan dan kuasa Sultan terancam

MU ditentang hebat oleh orang-orang Melayu kerana rancangan MU akan menghapuskan kedaulatan raja-­raja Melayu yang hanya kekal sebagai ‘pemerintah atas nama’ dengan kuasa baginda dibataskan kepada agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagi orang Melayu, kehilangan kedaulatan dan kuasa politik bermakna raja-raja tidak lagi mampu melindungi hak dan kepentingan orang Melayu pada masa depan.

Perlembagaan Malayan Union digubal tanpa mengambil kira pandangan orang Melayu. Raja-raja Melayu tidak diberi peluang meneliti kandungan perjanjian itu dan berbincang dengan Majlis Mesyuarat Negeri atau pembesar masing-masing.

UMNO menganggap persetujuan raja-raja Melayu itu sebagai tidak sah kerana tidak mematuhi perlembagaan negeri-negeri Melayu. Mengikut perlembagaan di negeri-negeri Melayu, raja­-raja hendaklah berunding dengan pembesar terlebih dahulu sebelum menandatangani sebarang perjanjian dengan kuasa asing.

Paling menyedihkan orang-orang Melayu apabila Gabenor MU dilantik sebagai pengerusi Majlis Agama Islam. Ini telah menjatuhkan maruah dan kesucian Islam. Kehilangan kuasa Sultan telah mencetuskan kemimbangan orang-orang Melayu tentang masa depan mereka dalam menghadapi persaingan dengan kaum-kaum lain terutamanya dalam bidang ekonomi.

2.    Pemberian taraf kerakyatan

Perlembagaan Malayan Union menawankan syarat kewarganegaraan yang longgar kepada kaum bukan Melayu mengikut prinsip jus soil. Penerimaan kaum bukan Melayu menjadi warganegara boleh mengancam kedudukan politik orang Melayu, apabila bilangan orang asing melebihi bilangan orang Melayu. Pada tahun 1947, jumlah orang Melayu hanya 49.46% sahaja daripada jumlah penduduk di Tanah Melayu. Ini bermakna orang Cina dan India akan mengancam kedudukan politik dan ekonomi orang-orang Melayu.

Persamaan hak kepada semua rakyat di Tanah Melayu, tanpa mengira kaum boleh mengancam hak dan kedudukan istimewa orang Melayu kerana orang asing akan mempunyai hak yang sama dengan orang Melayu.

3.    Cara MacMichael mendapatkan persetujuan Sultan

Orang-orang Melayu juga membantah cara Sir Harold MacMicheal memperdayakan Sultan-Sultan Melayu bagi mendapatkan persetujuan. MacMichael telah menggunakan cara paksaan dan ugutan untuk menyingkirkan raja-raja yang tidak bersetuju dengan perjanjian Malayan Union. Sebagai bukti, Sultan Kedah telah diberi kata dua bahawa baginda akan kehilangan takhta sekiranya enggan menurunkan tandatangan dalam tempoh yang ditetapkan. Sultan Perak pula tidak diberi masa yang cukup untuk berbincang dengan pembesar-pembesar Melayu terlebih dahulu.

Beliau juga tidak ada pengalaman langsung tentang Tanah Melayu, tidak mengetahui adat resam dan bahasa Melayu serta mempunyai tingkah laku yang kasar.

4.    Mendapat sokongan bekas pegawai-pegawai Inggeris

Penentangan orang-orang Melayu terhadap MU juga mendapat sokongan oleh pegawai-pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu seperti Sir Cecil Clementi Smith, Sir Frank Swettenham, Sir George Maxwell, Richard Winsteadt dan Ronald Bradell.

Mereka melahirkan rasa tidak puas hati terhadap perlaksanaan MU yang dianggap tidak adil bagi orang-orang Melayu. Mereka juga tidak bersetuju dengan cara yang dibuat oleh MacMichael bagi mendapatkan persetujuan sultan Melayu. Atas sebab ini jugalah kerajaan Inggeris akhirnya terpaksa menggantikan MU dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.