Nuffnang Advertisment

Sunday, 6 October 2013

PELUASAN KUASA INGGERIS DI NEGERI-NEGERI MELAYU UTARA: CARA PERJANJIAN

Siam menganggap penghantaran bunga emas oleh Negeri-negeri Melayu Utara (NNMU) kepadanya menandakan negeri-negeri berkenaan adalah negeri naungannya. British pula mahu menjaga hubungan baiknya dengan Siam demi melindungi kepentingan perdagangannya di Siam di samping mengharapkan Siam membantunya yang sedang berperang dengan Burma iaitu Perang Inggeris-Burma Pertama (1824). British juga mahu menjadikan Siam sebagai negara penampan di Indo-China. British berhati-hati dalam usahanya untuk menguasai negeri-negeri Utara Tanah Melayu yang melibatkan rundingan demi rundingan sehinggalah termenterainya Perjanjian Bangkok 1909 yang menyaksikan NNMU menjadi negeri naungan British.

Langkah British untuk menguasai negeri Utara

1. Perjanjian Sulit 1897

Perjanjian Sulit 1897 ditandatangani pada 6 April 1897 dan ia merupakan Perjanjian Rahsia British dengan Siam.

Perjanjian ini ditandatangani ekoran kebimbangan British terhadap sikap berlumba-­lumba kuasa-kuasa barat yang lain untuk menguasai negara-negara di Asia Tenggara. Keadaan ini jika dibiarkan boleh menjejaskan kepentingan British khususnya di Negeri-negeri Melayu.

Melalui perjanjian ini British dapat mempastikan tiada kuasa barat yang lain terutamanya Jerman dapat menguasai NNMU

Syarat Perjanjian Sulit 1897:
  • Siam bersetuju tidak akan menyerahkan sebarang kawasan ke selatan garis lintang 11°U  kepada mana-mana kuasa lain tanpa keizinan British.
  • British pula berjanji membantu Siam mempertahankan wilayah berkenaan jika diserang.
  • Perjanjian ini merupakan tahap permulaan dasar aktif British ke atas NNMU.
  • Perjanjian ini tidak menunjukkan pengakui secara jelas British terhadap kekuasaan Siam ke atas NNMU.
2. Perjanjian Sempadan Inggeris-Siam 1899

Sebab-sebab:
  • Perjanjian sulit ini bertujuan untuk mengukuhkan syarat-syarat Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897.
  • Menetapkan sempadan bagi Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah
  • Isi-isi Perjanjian: Inggeris mengiktiraf Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan sebagai negeri naungan Siam.
Kepentingan Perjanjian
  • Menentukan kawasan British boleh campur tangan pada masa hadapan.
  • Menetapkan sempadan bagi Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.
  • Dapat meyelesaikan masalah sempadan di antara Perak (Inggeris) dan Reman (Siam).
3. Pengisytiharan Inggeris-Siam 1902.

Perjanjian ini ditandatangani pada 6 Oktober 1902.

Sebab pengisytiharan ini dimenterai:

a. Kebimbangan terhadap kuasa barat yang lain.

Pada tahun 1901, Jerman menunjukkan minat untuk membantu Petani dan Kelantan membebaskan diri dari kekuasaan Siam. Jerman juga telah beberapa kali cuba mendapatkan Pulau Langkawi;

Rusia pula bercita-cita mendapatkan Ujong Salang (Pulau Phuket);

Manakala Amerika Syarikat pula berminat terhadap pulau-pulau di perairan Terengganu. British perlu bertindak bagi mengelakkan wilayah-wilayah ini jatuh kepada kuasa barat yang lain.

b. Kegiatan R.W. Duff di Kelantan.
     
Tindakan Sultan Kelantan memajakkan kawasan seluas 7770 km persegi kepada R.W Duff pada tahun 1900 tanpa persetujuan oleh Siam. Duff mengugut akan memohon bantuan British untuk menentang bantahan Siam dan sekiranya permintaannya tidak dilayan oleh Inggeris maka Duff mengugut akan meminta bantuan kuasa barat yang lain seperti Perancis atau Jerman.

Atas kepentingan Inggeris maka Frank Swettenham telah dihantar untuk mendesak Siam supaya mengesahkan permintaan R.W. Duff.

c.   Rusuhan di Negeri-negeri Melayu Utara.

Tindakan Siam mengetatkan kekuasaannya ke atas NNMU juga menyumbang kepada berlakunya rusuhan terutama di Petani dan Kelantan yang anti-Siam. Tindakan Siam yang memenjarakan Raja Abdul Kadir dari Pattani pada tahun 1902 menyebabkan Sultan Muhammad IV dari Kelantan bimbang kedudukan baginda dan meminta bantuan British untuk menentang ancaman Siam.

Baginda Sultan mengugut akan meminta bantuan kuasa barat yang lain jika British enggan memberi bantuan.

d.   Peranan Frank Swettenham.

Frank Swenttenham (Gab. NNS) memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan Kerajaan British untuk melaksanakan dasar yang aktif terhadap NNMU. Beliau memberitahu Pejabat Luar Negeri British bahawa Siam tidak mampu mengurus hal-ehwal dan masalah NNMU.

Keadaan ini boleh menyebabkan negeri berkenaan akan meminta bantuan kuasa barat yang lain. Frank Swettenham juga berpendapat British harus memperluaskan pengaruhnya ke atas Kelantan dan Terengganu yang kaya dengan sumber galian. Beliau juga mencadangkan kepada kerajaan British supaya dilantik pegawai British yang berkhidmat di Bangkok untuk menguruskan hal-ehwal Kelantan dan Terengganu. Frank Swenttenhem juga mengugut Siam untuk mengiktiraf Kelantan dan Terengganu sebagai negeri bebas jika Siam enggan berunding dengan British. Siam yang terancam bersetuju mementerai perjanjian baru dengan British pada 6 Oktober 1902.

Syarat-syarat perjanjian:
  • Hubungan luar Kelantan dan Terengganu akan diletakkan di bawah kawalan Siam.
  • Penasihat British akan dilantik oleh Siam di Kelantan dan Terengganu untuk menasihati sultan dalam pentadbiran kecuali dalam hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat nesam Melayu
  • Sebarang pemberian konsesi kepada orang asing di Kelantan dan Terengganu hendaklah atas persetujuan Siam.
Tahun 1903, W.A Graham dilantik sebagai penasihat Siam di Kelantan dan Meadows Frost dilantik sebagai Penasihat Kewangan di Kedah.

Terengganu enggan mengesahkan perjanjian Inggeris-Siam 1902 dan enggan menerima Penasihat Siam

Walaupun perjanjian ini dimenterai, namun British masih bmmbang apabila Jerman menawarkan bantuan kepada Siam untuk membina landasan keretapi ke selatan Siam.

4. Perjanjian Bangkok 1909

Perjanjian Bangkok dimenterai pada 9 Julai 1909. Perjanjian ini telah membawa kepada penguasaan sepenuhnya British ke atas NNMU melalui Sistem Penasihat British.

Sebab Perjanjian Bangkok ditandatangani:

Pakatan Inggeris-Perancis 1904; melalui pakatan ini British merasakan campur tangan di NNMU tidak akan membahayakan kepentingannya di Siam.

Kebimbangan terhadap campur tangan Jerman. British bimbang dengan tindakan Siam membina jalan keretapi dari Bangkok ke Kedah dengan bantuan modal dan buruh Jerman akan memberi kesempatan kepada Jerman untuk campur tangan di Kedah.

NNMU tidak menguntungkan Siam; Siam sedar Negeri Utara tidak menguntungkan dan menyedari penduduk tempatan tidak dapat menerimanya. Tahun 1904, Kedah menghadapi masalah kewangan selepas mengadakan perayaan perkahwinan diraja dan Siam terpaksa memberi pinjaman sebanyak Sp.$2juta

Perdagangan dan pelaburan British; British bersedia mengambil alih Negeri­-negeri Melayu Utara kerana merasakan negeri berkenaan berpotensi bagi perkembangan dan pelaburan British.

Syarat perjanjian:
  NNMU akan diserahkan kepada British.
  Hak Wilayah Asingan British akan diserahkan kembali kepada Siam.
  British akan memberi pinjaman untuk membina jalan keretapi dari Bangkok ke Utana Tanah Melayu.
  British akan menanggung semua hutang keempat-empat Negeri Melayu berkenaan.


Kesimpulan

Dengan termenterainya Perjanjian Bangkok maka NNMU akan diletakkan di bawah pengaruh British. Perjanjian ini menjadi sejarah penting bagi penetapan sempadan Tanah Melayu dengan Siam. Pada tahun 1915 British menggabungkan Negeri-negeri ini dengan Johor dan diletakkan di bawah pentadbiran yang dikenali Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.





No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.