Nuffnang Advertisment

Thursday, 13 November 2014

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI JERMAN


Pendahuluan

Sistem pendidikan di Jerman pada abad ke-18 dan 19, terdiri daripada beberapa peringkat. Menjelang awal abad ke-19, terdapat sistem pendidikan di peringkat rendah, menengah, dan teknikal.


Perkembangan institusi pendidikan Jerman


Pendidikan Rendah

Sekolah-sekolah rendah ditubuhkan pada akhir abad ke-18 di seluruh Prusia. Semasa pemerintahan Raja Frederick William I, lebih kurang 1000 buah sekolah rendah dibina dan 1800 sekolah baharu didirikan.

Sekolah rendah (volkschulen) terbuka kepada semua lapisan penduduk di Jerman. Pengajian di sekolah rendah meliputi agama, membaca, menulis, mengira, geografi, sejarah, dan gimnastik.

Kanak-kanak yang berumur 7 tahun dikehendaki mendaftar di sekolah-sekolah rendah dan berlanjutan sehingga kanak-kanak mencapai umur 14 tahun.

Dasar kerajaan mewajibkan kanak-kanak menerima sistem pendidikan menyebabkan kadar buta  huruf amat rendah di Jerman.


Pendidikan Menengah

Pendidikan menengah terdiri daripada dua aliran iaitu sekolah gymnasium dan sekolah awam. Pengajian di gynnasium mengutamakan pembelajaran bahasa Latin dan Greek.

Sekolah gimnasiun menyediakan pelajar-pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat  universiti.

Sekolah-sekolah awam pula menekankan pembelajaran matematik, sains dan bahasa ibunda dan  bahasa-bahasa moden.

Pelajar-pelajar sekoiah awam dilatih untuk menjalani kehidupan seharian dengan teratur. Pengajian di sekolah-sekolah menengah termasuk gimnasium dan sekolah awam meliputi jangka masa sembilan tahun.


Pendidikan Teknikal

Kerajaan Jerman memberi keutamaan kepada pendidikan dalam bidang teknologi. Penekanan diberikan kepada mata pelajaran teknikal di sekolah.

Sekolah-sekolah teknik seperti politeknik dan sekolah perdagangan telah ditubuhkan. Penekanan dalam bidang teknologi adalah selaras dengan usaha untuk membangunkan sektor perdagangan dan perindustrian di Jerman.

Perkembangan ini telah menyebabkan sistem pembelajaran tradisional telah diubah suai dengan  memberi penekanan kepada mata pelajarn teknikal.


Universiti

Institusi pengajian tinggi di Jerman ditubuhkan oleh kerajaan-kerajaan negeri. Kerajaan negeri memberikan dana dan bantuan kewangan kepada institusi pengajian tinggi.

Terdapat empat fakulti, iaitu Teologi, Undang-undang, Perubatan, dan Falsafah. Pendidikan di Fakulti Falsafah meliputi Matematik, Sejarah, Geografi, Kesusasteraan, Sains tabii dan Filologi.

Antara universiti yang tersohor ialah Universiti Berlin (1810)  dan terbesar di Jerman yang mempunyai 200 orang profesor dan 5000 orang pelajar.

Penubuhan universiti ini mendapat kelulusan daripada kabinet dan kerajaan memberikan geran kewangan untuk memulakan operasi yang menekankan pelbagai lapangan ilmu pengetahuan.

Ramai sarjana-sarjana tersohor dijemput berkhidmat di universiti ini dalam usaha melahirkan ramai tenaga kepakaran dalam bidang penyelidikan.

Antara unversiti lain yang ditubuhkan di Jerman ialah Universiti Munich (1826), Universiti Bonn (1818), dan Universiti Strasburg.


Kesimpulan

Menjelang abad ke-I8 dan I9 terdapat sistem pendidikan yang mempunyai peringkat yang teratur dan sistematik di Jerman yang mengadunkan ilmu sains, matematik dan sains social sejak di peringkat rendah lagi.

Kemunculan pelbagai institusi pendidikan melambangkan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat Jerman dalam lapangan pendidikan. Pendidikan teknikal turut diberi perhatian selaras dengan kehendak kerajaan untuk menjadi negara industri yang disegani di Eropah.


Friday, 24 October 2014

PERANAN GOLONGAN BERPENDIDIKAN AGAMA

BINCANGKAN PERANAN GOLONGAN BERPENDIDIKAN AGAMA DALAM GERAKAN NASIONALISME DI TANAH MELAYU PADA AWAL ABAD KE-20 MASEHI.

PENGENALAN

Gerakan kesedaran yang pertama digerakkan oleh mereka yang berpendidikan agama dari Timur Tengah. Mereka menerima pengaruh dan ilham dari gerakan Reformis Islam yang diketuai oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Mereka menggunakan majalah al-Manar sebagai alat untuk menyebarkan pembaharuan mereka.

Kaum Muda bermatlamat untuk memajukan bangsa Melayu berasaskan perjuangan agama Islam. Lidah rasmi yang pertama bagi Kaum Muda ialah al-Imam. Antara para pemimpin umatnya ialah Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Ahmad al-Hadi, Hj. Abbas bin Mohd Taha dan Syeikh Mohd. Salim al-Kalali.

Selain itu golongan berpendidikan pondok yang dikenali sebagai Kaum Tua juga berperanan dalam mencetuskan kesedaran sosial di Tanah Melayu pada awal abad ke-20


PERANAN GOLONGAN BERPENDIDIKAN AGAMA

Matamat perjuangan Kaum Muda ialah memajukan kaum Melayu berasaskan ajaran Islam yang sebenar iaitu berpandukan al-Quran dan hadis. Mereka bermatlamat untuk membebaskan orang Melayu dari amalan-amalan taklid buta serta amalan khurafat serta bidaah. Semua amalan inilah yang menghalang kemajuan orang Melayu. Pengamalan Islam yang sebenarnya merupakan jawapan kepada segala masalah sosial, ekonomi dan politik yang dihadapi oleh orang Melayu.

Kaum Muda menekankan kepentingan sistem pendidikan bagi kemajuan orang Melayu. Pendidikan adalah kunci kepada kemajuan. Kaum Muda melihat pendekatan pendidikan dari sudut yang lebih liberal. Pendidikan dalam kalangan kaum perempuan juga dipentingkan. Selain menekankan kepentingan pendidikan agama, pendidikan bercorak moden seperti penekanan bahasa Inggeris juga dititikberatkan.

Di dalam aspek politik Kaum Muda bersikap anti penjajah dan bersikap tidak mahu bekerjasama. Kaum Muda mengacak penjajah Inggeris kerana gagal memberikan pendidikan yang cukup dan seterusnya memajukan orang Melayu.

Kaum Muda juga bersifat anti birokrasi elit Melayu. Raja-raja dan para pembesar Melayu diingatkan supaya memelihara kepentingan orang Melayu. Mereka diseru agar melakukan sesuatu seperti menubuhkan persatuan bagi menggalakkan pendidikan dan pembangunan ekonomi. Kaum Muda turut menuntut orang Melayu menceburkan diri dalam bidang perniagaan, menubuhkan koperasi danmenggunakan sistem kemudahan di bank.

Kaum Muda menjadikan akhbar dan majalah sebagai saluran perjuangan mereka. Antaranya ialah Al-Imam. Al-Imam diterbitkan di Singapura bulan Julai 1906. Ia satu penerbitan bulanan dan dihentikan penerbitannya pada Disember 1908. Tujuan al-Imam ialah untuk mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan kepada mereka (orang Melayu ).

Selain itu tedapat juga akhbar dan majalah lain yang menjadi medan kepada idea dan penulisan Kaum Muda, Neraca (Singapura, 1911-1915), AI-Ikhwan (Pulau Pinang, 1926-1931), Saudara (Pulau Pinang, 1928-1941), dan Edaran Zaman (Pulau Pinang, 1925-30)

Selain akhbar dan majalah Kaum Muda juga menjadikan masjid dan surau sebagai saluran perjuangan mereka. Antaranya ialah Madrasah Al-lkbal yang dibuka pada 21 November 1907. Melalui madrasah ini, mata pelajaran yang bukan bersifat keagamaan seperti bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Matematik, Geografi, dan Sejarah telah diperkenalkan bersama mata pelajaran bersifat keagamaan.

Madrasah-madrasah lain yang turut diasaskan oleh Kaum Muda ialah seperti Madrasah AlHadi (Melaka 1917), Madrasah Muhammadiah (Kota Bahru 1917), dan Madrasah Al-Diniah (Kg Lalang Perak, 1924)

Idea perjuangan Kaum Muda mendapat tentangan daripada golongan yang berpendidikan pondok. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Tua. Kaum Tua kerap mengkritik Kaum Muda melalui akhbar Lidah Benar dan Suara Benar. Kaum Muda telah dianggap sebagai kurang ajar dan tidak bertata susila. Kaum Tua menentang Kaum Muda kerana kegiatan dan idea-idea Kaum Muda ini menggugat kedudukan mereka sebagai elit agama di dalam masyarakat Melayu sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat kampung-kampung.

Para mufti telah mengeluarkan fatwa yang mengutuk Kaum Muda sebagai kafir dan Qadiani. Kaum muda telah dilarang untuk. berkhutbah dan memberi syarahan di masjid. Terdapat beberapa penerbitan Kaum Muda yang diharamkan penyebarannya di beberapa negeri.


KESIMPULAN


Kesimpulannya, Kaum Muda memainkan peranan penting dalam mencetuskan kesedaran sosial dalam kalangan orang Melayu. Biarpun idea dan seruan Kaum Muda kerap dikritik oleh Kaum Tua, namun sumbangan kedua-dua golongan ini sebenarnya sangat bermakna.



Wednesday, 22 October 2014

PERKEMBANGAN PKM DI TANAH MELAYU DARI TAHUN 1930-1960 M

Pengenalan

Fahaman atau ideologi komunis mula tersebar di Tanah Melayu dalam tahun 1920-an melalui cawangan-cawangan Parti Kuomintang dan pihak komunis dari negara China. Fahaman ini mula menyusup masuk ke dalam pertubuhan-pertubuhan buruh, kesatuan-kesatuan sekerja, sekolah-sekolah malam dan orang perseorangan.

Akhirnya pada tahun 1927, pihak komunis telah menubuhkan Parti Komunis Nanyang dan kemudiannya ditukar kepada Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1930. PKM telah menjalankan kegiatannya berpusat di Singapura. Matlamat penubuhan PKM adalah untuk menggulingkan kerajaan British dan menubuhkan sebuah kerajaan Republik Komunis Malaya.

Perkembangan PKM di Tanah Melayu boleh dibahagi kepada  4 tahap perkembangan iaitu tahap 1 (1930-1941), tahap 2 (1941-1945), tahap 3 (1946-1948) dan tahap 4 (1948-1960). Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan British untuk menangani ancaman komunis di Tanah Melayu dari tahun 1930 hingga tahun 1960.


Perkembangan PKM di Tanah Melayu

Tahap 1 (1930-1941)

Pihak kerajaan Inggeris telah mengharamkan PKM pada tahun 1930 sebaik sahaja PKM ditubuhkan kerana ideologi perjuangan serta matlamat PKM yang bertentangan dasar kerajaan Inggeris. Pada tahun 1931, beberapa pemimpin komunis telah ditangkap oleh pihak polis Singapura termasuk ejen Comintern, Joseph Dacroux dan 14 pemimpin komunis yang lain.

Bergerak secara sulit dengan menyusup ke dalam kesatuan sekerja, sekolah persendirian dan pertubuhan belia dan menubuhkan kader-kader di kalangan kaum buruh.

Kemelesetan ekonomi pada 1930-an telah menyebabkan PKM mendapat sokongan rakyat. Ia berjaya rnenggembeling kesatua-kesatuan sekerja untuk melancarkan permogokan. Sepanjang 1936-1937, pemogokan paling hebat ialah di Batu Arang yang melibalkan 6 000 orang buruh. Ramai pemimpin komunis dibuang ke negara China dibawah ‘Banishment Ordinance Act’.

Sebelum tahun 1937, tidak ramai orang Cina yang memberi sambutan kepada PKM. Namun selepas kekalahan China dalam Perang China-Jepun (1937-1941), PKM berjaya menyebar perasaan anti-Jepun dalam kalangan orang Cina di Tanah Melayu untuk menyokong perjuangan mereka.

Pengaruh komunis menjadi kuat semula dengan memupuk perasaan anti-Jepun dan semangat kecinaan semasa perang Cina-Jepun 1937. PKM berjaya mengumpul $ 256 juta di antara 1937- 1942 membantu China rnenentang Jepun dan keahlian PKM pada 1939 telah meningkat seramai 37 000 orang.

Tahap 2 (1941-1945)

Tahap kedua merupakan zaman Perang Dunia Ke-2,  pihak komunis melarikan diri ke dalam hutan. Di zaman ini, PKM telah bekerjasama dengan pihak British dalam menentang Jepun. Kerajaan British telah bertindak membebaskan ramai pemimpin-pemimpin komunis yang dipenjara sebelum ini. Dasar PKM bekerjasama dengan British semasa Perang Dunia Kedua menjadikan pengaruhnya semakin meluas.

Hasil kerjasama ini telah membawa penubuhkan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang menentang Jepun secara gerila. MPAJA mendapat bantuan makanan, ubatan, bekalan alat senjata dan latihan ketenteraan dari ‘Force 136’ dan sekolah latihan khas 101 di Singapura untuk melatih tentera MPAJA.

Tahap 3 (1945-1948)

Selepas tamat Perang Dunia Kedua dan sebelum tentera British kembali semula ke Tanah Melayu, PKM dan MPAJA mengambil alih pemerintahan selama 14 hari. Dalam tempoh itu, tentera komunis yang dikenali sebagai ‘Bintang Tiga’ bertindak kejam untuk membalas dendam kepada penduduk tempatan yang dituduh bekerjasama atau bersubahat dengan tentera Jepun.

Setelah British kembali semula, Tanah Melayu ditadbir oleh Pentadbiran Tentera British (BMA). Pada bulan Disember 1945, BMA telah mengarahkan MPAJA menyerahkan semua senjata dan membubarkan pasukan gerila yang ditubuhkan semasa pendudukan Jepun.

Walaupun arahan itu dipatuhi tetapi tidak semua senjata yang diserahkan kerana sebahagian besar senjata dan bekalan makanan masih disembunyikan di hutan. Tindakan MPAJA meletakkan senjata itu lebih merupakan satu langkah simbolik untuk menggambarkan yang PKM berjuang di atas landasan perlembagaan.

Tahun 1945- 1948 merupakan tahun perjuangan PKM secara perlembagaan.  Pada 1945, PKM diiktiraf sebuah parti yang sah oleh kerajaan British dan menubuhkan cawangan-cawangan di beberapa buah bandar. Pada Disember 1945, kerajaan British membubarkan MPAJA dan diganti dengan ‘Old Comrades Association’.

Selain kesatuan sekerja, PKM juga menyusup ke dalam pergerakan politik berhaluan kiri. PKM menjadi tenaga penggerak dalam menyatukan golongan kiri dengan menubuhkan gabungan PUTERA-AMCJA untuk menentang Malayan Union. PUTERA mewakili parti politik orang Melayu yang berfahaman kiri dan AMCJA mewakili kaum bukan Melayu. Semua pertubuhan di bawah naungan PKM, kecuali MIC telah diresapi atau bersimpati dengan komunis dan menjadi pertubuhan barisan hadapan PKM.

Gabungan PUTERA-AMCJA rnengemukakan cadangan perlembagaan yang dinamakan ‘Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu’ pada tahun 1947. Cadangan itu digubal dalam persidangan yang dihadiri oleh wakil-wakil gabungan PUTERA-AMCJA, tetapi ditolak oleh British yang meneruskan usaha menubuhkan Persekutuan Tanah Melayun bagi menggantikan Malayan Union.

PKM juga meresap ke dalam kesatuan-kesatuan buruh dengan menubuhkan semula persatuan Buruh Am dan Persatuan Belia Demokratik Baru. Pada 1947, PKM melancarkan kira-kira 300 permogokan untuk melemahkan ekonomi Tanah Melayu. Sebanyak 291 mogok diadakan dan melibatkan seramai 69 000 pekerja.

Pada tahun 1948, PKM berjaya mengawal 117 daripada 289 buah kesatuan sekerja yang berdaftar. Sebanyak 86 buah kesatuan sekerja lagi dilihat cenderung menyokong PKM. Keadaan ini membimbangkan Inggeris kerana PKM mempunyai harapan cerah untuk menguasai hampir semua kesatuan sekerja.

Perpecahan berlaku dalam PKM apabila Setiausaha PKM, Lai Teck disyaki ejen-ejen kerajaan Inggeris dan melarikan wang parti. Kemudian diambil-alih oleh Chin Peng yang menjalankan dasar militan untuk mengambil-alih  Tanah Melayu.

Tahap 4 (1948-1960)

Walaupun MPAJA dan PKM bekerjasama dengan British semasa pendudukan Jepun tetapi selepas perang, British enggan menerima PKM. Sejak itu bermulalah penentangan PKM terhadap British di Tanah Melayu yang membawa kepada pengisytiharan darurat pada bulan Jun 1948.

Darurat ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada keadaan huru-hara di Tanah Melayu akibat kebangkitan komunis antara tahun 1948-1960. Kekacauan itu dicetuskan oleh PKM yang berjuang untuk menubuhkan sebuah negara komunis secara kekerasan di Tanah Melayu.

Menjelang pertengahan tahun 1948, kegiatan PKM semakin ganas dan terlibat dalam banyak pembunuhan. Antara Oktober 1945 hingga Disember 1947, PKM melakukan sebanyak 191 pembunuhan. Dalam enam bulan pertama tahun 1948, sebanyak 107 pembunuhan lagi dilakukan.

Kemuncak keganasan telah berlaku pada 12 Jun 1948 apabila tiga orang pemimpin Parti Kuomintang dibunuh di Johor dan pembunuhan tiga orang peladang Eropah dalam masa satu hari di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948. Akibat penistiwa ini, Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Edward Gent bertindak dengan mengisytiharkan darurat di Sungai Siput dan beberapa buah tempat di Johor pada 18 Jun 1948. Kemudian diikuti dengan pengisytiharan darurat di seluruh Tanah Melayu dan di Singapura pada 23 Jun 1948.

British rnenguatkuasakan Undang-undang Darurat di seluruh Tanah Melayu serta mengharamkan PKM dan semua pertubuhan di bawah naungannya. PKM meneruskan kegiatannya secara gerila melalui gerakan ‘bawah tanah’.

PKM mempunyai dua pertubuhan iaitu ‘Bintang Tiga’ yang melancarkan perang gerila menentang Inggeris dan ‘Min Yuen’ merupakan pertubuhan awam yang menjalankan kerja propaganda untuk mendapat sokongan awam, sumber makanan, kewangan dan ubat-ubatan untuk membentuk Republik Komunis Tanah Melayu.

Perjuangan PKM ketika ini melalui tiga peringkat iaitu melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu, menawan kawasan terpencil dan akhir sekali perang terbuka dengan kerajaan Inggeris untuk menguasai Tanah Melayu.

Pada Oktober 1951, Sir Henry Gurney dibunuh di Bukit Fraser. Pada Jun 1953, PKM mengarahkan ahlinya supaya tidak lagi menggunakan kekerasan untuk mendapat sokongan rakyat. Pada 1954, 6 304 ahli komunis telah terbunuh, ramai yang ditangkap, menyerah diri dan berundur ke kawasan sempadan Tanah Melayu-Thailand.

Pada 1955, rundingan diadakan di Baling, Kedah yang dihadiri oleh Tengku Abdul Rahman, David Marshall dan Tan Cheng Lock bagi pihak kerajaan, manakala pihak PKM pula diwakili oleh Chin Peng dan Rashid Maidin tetapi rundingan ini gagal. Pengaruh komunis semakin berkurangan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957. Pada tahun 1960, ancaman komunis tidak lagi dirasai dan pada Julai 1960 kerajaan telah menarik balik darurat.


Kesimpulan


Walaupun beberapa taktik dan dasar telah digunakan oleh PKM untuk mendapat sokongan dan bantuan rakyat tempatan atau menguasai politik, ekonomi dan sosial Tanah Melayu tetapi gagal kerana tindakan-tindakan kerajaan Inggeris seperti Rancangan Templer dan Briggs dan kerjasama kaum yang melemahkan perjuangan komunis.



SUMBANGAN MACAPAGAL DI FILIPINA

Pengenalan

Presiden Diosdado Macapagal Pangan merupakan Presiden Filipina yang ke-9 (1961-1965). Beliau dilahirkan pada 28 September 1910 di Lubao, Pampanga dan meninggal dunia pada 21 April 1997 akibat kegagalan jantung, paru-panu, dan komplikasi buah pinggang di Makati Medical Center. Beliau dikebumikan di Libingan ng nada Bayani.

Beliau merupakan anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Bapa beliau bernama Urbano Macapagal dan ibunya Romana Pangan. Beliau dikenali sebagai ‘budak miskin’ dari Lubao, Pampanga dan menggunakan nama samaran ‘Tidak Rasuah’.

Beliau mendapat pendidikan awal di Elementary School Lubao dan memperoleh kelulusan valedictorian pada tahun 1925 serta lulus dengan kelas kedua tinggi di Sekolah Tinggi Pampanga pada tahun 1929.

Beliau telah melanjutkan pelajaran ke University of Santo Tohias dalam jurusan undang­-undang dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1936. Setelah itu, beliau mengajar dan memperoleh Ijazah Sarjana Doktor Undang-undang Sivil dan Ph.D. Ekonomi di universiti yang sama.

Setelah tamat pengajian, Macapagal menjadi peguam, menjadi ahli Kongres, menjadi ahli Dewan Rakyat pada tahun 1948, beliau berkhidmat sebagai setiausaha kedua di Kedutaan Filipina di Washington, D.C.  Beliau juga merupakan wakil Filipina ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebanyak tiga kali.


Sumbangan

Politik

Presiden Macapagal telah memainkan peranannya dalam pembentukan MAPHILINDO. Melalui MAPHILINDO, Filipina telah menjalin hubungan yang lebih rapat dengan Negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia. MAPH1LINDO ialah pergabungan bukan politik yang dicadangkan dan ia merupakan pencapaian yang penting sebagai pembuka jalan untuk mewujudkan Persatuàn Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). MAPHILINDO telah digambarkan sebagai persatuan serantau yang akan mendekati isu-isu kepentingan bersama dalam semangat persaudaraan.

Presiden Macapagal telah memfailkan tuntutan Filipina ke atas Sabah (Borneo Utara) sebagai sebahagian dan wilayah Filipina kerana ia telah diberikan sebagai hadiah kepada sultan Sulu oleh sultan Brunei. Tuntutan ini telah dikemukakan oleh Macapagal pada 22 Jun 1962.

Presiden Macapagal juga telah memujuk Kongres agar rnenghantar tentera ke Vietnam Selatan pada akhir tahun 1965. Walau bagaimanapun, cadangan ini telah disekat oleh pembangkang yang dipimpin oleh Presiden Senat, iaitu Ferdinand Marcos.

Ekonomi

Beliau telah memperkenalkan pembaharuan dalam undang-undang tanah negara, menghapuskan kawalan pertukaran mata wang asing, mengawal keuntungan yang keluar, dan memperkenalkan kawalan harga serta mengurangkan pengangguran. Tujuannya ialah untuk menyekat rasuah, meningkatkan pengeluaran makanan, dan melaksanakan sosioekonomi yang berani. Namum, tujuan beliau banyak dihalang oleh Kongras Filipina yang dikuasai oleh parti saingan beliau, iaitu Parti Nasional.

Beliau juga telah memperkenalkan Kanun Tanah Pertanian Pembaharuan 1963. Melalui kanun ini, beliau telah melakukan pemansuhan penyewaan dan program reformasi tanah sebagai usaha untuk memerangi kemiskinan secara besar-­besaran. Beliau menandatangani pemansuhan tersebut pada 8 Ogos 1963, bertujuan untuk menghapuskan perhambaan terhadap penyewa tanah kepada kebebasan dan keselamatan petani di tanah milik mereka. Walau bagaimanapun, beliau gagal dalam melaksanakan reformasi tanah.

Beliau juga telah menghapuskan kawalan pertukaran mata wang dan membenarkan peso Filipina diapungkan di pasaran pertukaran mata wang percuma. Pada 21 Januari 1962, selepas bekerja selama 20 jam berturut­-turut akhirnya Presiden Macapagal berjaya menandatangani dekri Bank Negara yang memansuhkan kawalan pertukaran dan mengembalikan negara kepada perusahaan bebas.

Presiden Macapagal juga mewujudkan Pentadbiran Pekerjaan Asas (EEA) sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang juga merupakan salah satu masalah utama semasa pentadbirannya. Kerajaan telah memberi bantuan dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk Filipina bagi membolehkan mereka mengatasi masalah kemiskinan dan meningkatkan ekonomi negara.

Presiden Macapagal juga memperkenalkan program sosioekonomi yang berlandaskan ‘kembali kepada perusahaan bebas dan swasta’ akan meletakkan pembangunan ekonomi Filipina di tangan usahawan swasta dengan campur tangan kerajaan yang minimum. Oleh itu, Undang-undang Perdagangan Runcit Kebangsaan telah diwujudkan untuk memecahkan monopoli oleh perniagaan asing yang menguasai perdagangan runcit Filipina.

Presiden Macapagal turut memperkenalkan program Pembangunan Bersepadu Lima Tahun yang bertujuan untuk pemulihan segera kestabilan ekonomi; membela nasib golongan rakyat biasa; dan mewujudkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan. Dengan itu, beliau telah berjaya mencatat kemajuan ekonomi yang stabil dan pertumbuhan KDNK tahunan purata pada 5.15% bagi tahun 1962-1965.

Sosial

Presiden Macapagal juga telah menukar tarikh kemerdekaan Filipina dari 4 Julai kepada 12 Jun. Ini kerana 4 Julai ialah tarikh Amerika Syarikat memberikan kemerdekaan kepada rakyat Filipina sedangkan 12 Jun ialah tarikh Filipina mengisytiharkan kemerdekaan mereka sendiri daripada penjajah Sepanyol pada tahun 1898.

Pada 12 Mei 1962, Presiden Macapagal telah menandatangani proklamasi yang mengisytiharkan 12 Jun setiap tahun sebagai cuti umum khas untuk memperingati pengisytiharan kemerdekaan daripada Sepanyol, iaitu pada 12 Jun 1898. Walaupun pada 12 Jun 1898, Filipina belum lagi bebas sepenuhnya kerana kemudian dijajah pula oleh Amerika Syarikat yang ketika itu berjaya mengalahkan Sepanyol, tetapi bagi rakyat Filipina mereka sudah mendapat kemerdekaan.


Presiden Macapagal juga telah memulakan penggunaan bahasa Filipina dalam semua urusan rasmi kerajaan, kelayakan diplomatik, diploma, sijil dan dokumen lain yang masih diteruskan sehingga kini. Beliau juga menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan mereka sebagai bahasa rasmi yang digunakan dalam semua acara cara komunikasi dan untuk semua dokumen.



SUMBANGAN PHIBUN SONGKRAM DI THAILAND

Pengenalan

Phibun Songkram dilahirkan di Bangkok pada 14 Julai 1897. Nama sebenar beliau ialah Plaek. Beliau mula mendapat pendidikan awal di sebuah kuil Buddha sebelum berjaya memasuki Akademi Tentera Diraja di Bangkok pada tahun 1909 hingga 1914 dengan tempat pertama dalam kor meriam.

Pada tahun 1924, beliau dihantar ke Perancis untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ketenteraan. Beliau bertemu dengan pelajar Thailand lain seperti Pridi Panomyong dan Khuang Aphaiwong. Pada tahun 1927, Phibun telah berkhidmat di Jabatan Arah Operasi. Karier beliau bermula sebagai seorang kakitangan tentera biasa sahaja sebelum berjaya menyandang jawatan pangkat utama.


Phibun merupakan salah seorang penganjur Revolusi pada 24 Jun 1932 yang berjaya menamatkan sistem beraja berkuasa mutlak di Thailand. Pada tahun 1933, Phibun Songkram telah bergabung dengan Phraya Phahon untuk menggulingkan kerajaan awam dan mewujudkan peranan dominan tentera dalam politik Thailand.

Pada tahun 1934, Phibun menjadi Menteri Pertahanan. Pada tahun 1948, Phibun Songkram untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand buat kali kedua. Pada bulan September 1957, telah berlaku satu rampasan kuasa oleh golongan tentera yang dipimpin oleh Sarit Thannarat dengan mendapat sokongan orang ramai. Ini Ini menyebabkan Phibun bersara dan hidup dalam buangan di Jepun hingga beliau meninggal dunia pada 11 Jun 1964.


Sumbangan-Sumbangan Phibun Songkram

Politik

Phibun Songkram pernah menjadi Perdana Menteri Thailand sebanyak dua kali pada tahun 1938 dan 1947. Beliau antara tokoh nasionalis yang terlibat dalam Revolusi Thai 1932 bagi mewujudkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan di Thailand.

Semasa Perang Dunia Kedua, Phibun Songkram telah men­jalankan dasar bekerjasama dengan Jepun untuk mengelakkan Thailand daripada diserang dan dijajah oleh tentera Jepun. Thailand telah menggunakan peluang bekerjasama dengan Jepun untuk mendapatkan sama hak kekuasaan ke atas wilayah yang pernah dikuasainya seperti di IndoChina, Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Pada tahun 1947, apabila berjaya menjadi Perdana Menteri Thailand buat kali kedua, Phibun telah menghidupkan kembali sistem demokrasi dengan membentuk perlembagaan baharu pada tahun 1949. Perlembagaan ini membolehkan pilihan raya diadakan bagi Dewan Rendah dan pelantikan oleh raja dalam Dewan Tinggi.

Pada bulan November 1951, Phibun telah memansuhkan Perlembagaan 1949 kerana  perlembagaan tersebut tidak dapat mengekalkan kekuasaan beliau dan telah mengembalikan Perlembagaan 1932. Perlembagaan ini membenarkan penubuhan sebuah dewan yang mana separuh kerusi daripada dewan tersebut boleh dilantik oleh pihak eksekutif. Dalam Parlimen baharu ini, pegawai tentera telah dilantik dan ini membolehkan Phibun berkuasa.

Phibun juga bertanggungjawab mengambil langkah-langkah tertentu untuk menghapuskan pengaruh komunis di Thailand. Beliau tidak mengiktiraf Republik Rakyat China dan penghapusan aktiviti orang Cina di Thailand seperti mengawasi orang Cina yang disyaki terlibat dengan anasir komunis di bawah akta Un-Thai-Activities, menutup sekolah, dan surat khabar Cina. Usaha beliau telah mendapat pengiktirafan daripada Amerika Syarikat.

Dasar luar Thailand semasa Phibun Songkram dilihat terlalu pro-Amerika Syarikat dan Britain. Ini bukan sahaja tidak disenangi oleh rakyat Thailand malah juga oleh pihak tentera yang menyebabkan Phibun tewas dalam pilihan raya pada tahun 1957.

Ekonomi

Phibun mementingkan pencapaian ekonomi masyarakat tempatan. Pengenalan Akta Perkapalan dan Kanun Hasil Negara berjaya mengurangkan penglibatan dan penguasaan orang asing terutama orang Cina dan British terhadap ekonomi negara.

Pada Mac 1939, Kanun Hasil Negara diperkenalkan adalah untuk membebaskan kaum petani Thailand daripada cengkaman pemimjam wang, mengurang cukai ke atas petani dan mengenakan cukai yang tinggi ke atas pelabur dan syarikat asing.

Di bawah Akta Perkapalan pula, menetapakan syarikat perkapalan mengupah sekurang-kurangnya 75% orang Thai dan setiap pelaburan modal mesti meliputi 70% modal Thai.

Semasa Phibun juga, kerajaan telah menggalakkan perkembangan industri moden dengan mengambil bahagian aktif dalam bidang ini seperti membina kilang di bawah kawalan dan tajaan kerajaan. Antara kilang yang dibina ilah kilang kapas di Bangkok, kilang gula di Lampang, kilang mengetin di Pak Chang dan kilang kertas di Kanburi.

Sumbangan dalam bidang ekonomi Phibun agak berjaya kerana pada tahun 1941 orang Thai telah Berjaya mengambil alih industri tembakau melalui penubuhan Syarikat Monopoli Tembakau Negara. 

Sosial

Dan segi sosial, Phibun juga telah melakukan pembaharuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat seperti peluang pendidikan dan menjadikan agama Buddha sebagai agama rasmi negara.

Phibun berusaha untuk memperkukuhkan semangat dan cinta akan negara dalam kalangan rakyat. Antaranya ialah dengan menjadikan agama Buddha sebagai syarat kenaikan pangkat kerana penganutan agama Buddha disamakan dengan semngat patriotisme.

Beliau juga telah bertindak menukarkan perkataan Siam kepada Thai yang bermaksud “Tanah Bebas” untuk tujuan menaikkan semangat dan kebanggaan orang Thai terhadap negara mereka.



Monday, 8 September 2014

SUMBANGAN TUN ABDUL RAZAK DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

LATAR BELAKANG TUN RAZAK

Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein atau Tun Abdul Razak lebih dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia oleh rakyat yang menyanjunginya kerana jasa dan sumbangan beliau untuk kemakmuran dan kemajuan rakyat serta negara Malaysia.

Beliau dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada tanggal 11 Mac 1922. Tun Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud.

Beliau telah dilantik untuk menggantikan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-2 pada tahun 1971. Sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota kerajaan, beliau telah banyak memberikan sumbangan khasnya dalam pembangunan negara dan luar bandar. Beliau meninggal dunia sewaktu masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada 14 Januari 1976.



Sumbangan dalam pendidikan

Sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah  banyak memberikan sumbangan antaranya dalam bidang pendidikan.  Pada tahun 1955, kerajaan perikatan telah membentuk sebuah Jawatankuasa Pelajaran yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak selaku Menteri Pelajaran ketika itu.

Tindakan awal Tun Razak apabila memegang jawatan tersebut adalah merombakkan sistem pelajaran penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Beliau mendapati sekolah-sekolah Melayu serta sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil tidak memberi sebarang keuntungan kepada pembentukan masyarakat yang bersatu padu sebaliknya mewujudkan perbezaan ras dalam masyarakat pelbagai kaum.

Hasil usaha Tun Razak, telah membawa kepada terhasilnya Penyata Razak pada tahun 1956, yang berjaya menyatupadukan sistem pelajaran untuk membina sebuah bangsa  yang bersatu padu dengan harapan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama.

Penyata Razak telah mengemukakan dua elemen penting dalam dasar pendidikan, iaitu sistem persekolahan yang sama untuk semua dan penyeragaman kurikulum yang bercorak kebangsaan. Beliau menganggap bahawa dasar tersebut mampu menyuburkan semangat perpaduan negara. Penyata Razak kemudiannya dijadikan Ordinan Pelajaran 1957.


Sumbangan dalam aspek pertahanan dan keselamatan negara

Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein  apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, juga turut memegang portfolio Menteri Pertahanan pada tahun 1957. Beliau telah membawa perubahan kepada angkatan tentera dengan melengkapkannya dengan senjata yang moden dan efisien. Sebagai bekas anggota askar wataniah, beliau mempunyai pengalaman dalam peperangan gerila dan mengenali taktik pengganas komunis telah melancarkan gerakan anti-komunis dengan jayanya sehingga 'darurat', iaitu satu tempoh 12 tahun memerangi pengganas komunis disytiharkan tamat pada tahun 1960.

Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga melancarkan Relawan Rakyat (RELA) dan skim Rukun Tetangga untuk menjamin keselamatan rakyat. Pada 13 Mei 1969, negara dikejutkan dengan rusuhan kaum tiga hari selepas pilihan raya umum. Perlembagaan negara digantung, Parlimen dibubarkan, dan darurat diisytiharkan seluruh negara.

Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Beliau telah dilantik oleh  Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj iaitu Perdana Menteri ketika itu  sebagai Pengarah MAGERAN. Di bawah MAGERAN ketenteraman awam berjaya dipulihkan.


Sumbangan dalam pembangunan masyarakat luar bandar

Pada tahun 1959 Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah ditubuhkan di bawah Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Kementerian ini telah ditugaskan untuk menyelaras, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan di kawasan luar bandar. Agensi seperti FELDA  dan  MARA (dahulunya RIDA)  telah diletakkan di bawah kementerian ini untuk menggerakkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.

Dalam Rancangan Malaya Pertama, kerajaan telah memperuntukkan 44.5% daripada bajet keseluruhan sebanyak RM1100 juta bagi pembangunan ekonomi. Selama 10 tahun memegang potfolio itu, Tun Razak telah berjaya membasmi buta huruf di kalangan tiga juta rakyat.

Tun Abdul Razak telah mengumumkan rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran di seluruh negara pada 24 Oktober 1960. Rancangan tersebut diadakan untuk menempatkan mereka yang tidak mempunyai tanah sekaligus memajukan tanah tersebut. Tanah-tanah rancangan adalah dibawah pengurusan pihak berkuasa FELDA. Pada permulaannya terdapat 40 tanah rancangan yang disertai oleh 400 buah keluarga. Pelan pembukaan tanah tersebut telah menjadi asas kepada kemakmuran rakyat di kawasan luar bandar.

Beliau juga mengumumkan penubuhan FELCRA atau Penubuhan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan pada 20 September 1964.  Penubuhan FELCRA adalah sejajar dengan hasrat DEB untuk meningkatkan taraf ekonomi kaum-kaum di  negara ini. Melalui dasar tersebut, hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan.

Beliau juga bertanggungjawab merangka program pembangunan luar bandar dengan menangani masalah kemiskinan apabila menitik beratkan penambahan prasarana asas luar bandar serta mempertingkatkan produktiviti pertanian. Sebanyak tiga juta ekar padi, kelapa dan pelbagai tanaman lain diberikan kemudahan tali air manakala 800 000 ekar  hutan telah dibuka untuk pembangunan. Kejayaan yang dicapainya termasuk merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap keperluan negara, yang dikenali sebagai 'Buku Merah'.

Sumbangan  Tun Abdul Razak  yang paling penting adalah ke arah pembangunan Malaysia. Tujuan beliau adalah untuk menghapuskan kemiskinan, kejahilan dan penyakit. Dengan itu, Tun Abdul Razak  melancarkan Dasar Ekonomi Baru yang mencartakan pembangunan negara secara berperingkat melalui Rancangan-Rancangan Malaysia dari 1970 hingga 1990. Beliau sedar masyarakat Melayu jauh ketinggalan dalam kemajuan sosio-ekonomi. Oleh itu Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein berupaya meningkatkan taraf hidup golongan luar bandar melalui Rancangan Buku Hijau (1974) serta pembukaan tanah melalui FELDA dan FELCRA. Rancangan-rancangan ini benar-benar membantu masyarakat Melayu memutuskan rantaian kemiskinan.

'Dasar Ekonomi Baru' (DEB) yang dilancarkan pada 21 Jun 1970 adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi dengan menjadikan matlamat utamanya untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan mennghapuskan identifikasi kegiatan ekonomi          berdasarkan kaum.

Di era Tun Abdul Razaklah bermulanya pelan pembangunan yang menyeluruh dan sistematik yang dikenali dengan 'Rancangan Pembangunan Malaysia' lima tahun yang bermula dengan Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua. Meskipun telah wujud rancangan sebegini sebelum era Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein namun matlamat dan perlaksanaannya tidak secara kolektif dan pragmatik. Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua merupakan pemangkin Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB mempunyai kerangka waktu 20 tahun dari 1970-1990 merumuskan bahawa ekuiti bumiputera dalam negara harus mencapai 30% di akhir tempoh itu.

Antara institiusi yang paling penting hasil dari DEB ialah ' Federal Land Develoment Authority' (FELDA), suatu badan yang membuka tanah dan mengagihkannya kepada rakyat untuk tujuan pembagunan. Program ini sehingga hari ini dikenali sebagai program reformasi tanah yang paling besar dan berjaya di dunia dan seterusnya menjadikan Malaysia pengeluar terbesar getah dan minyak kelapa sawit. Selain itu terdapat beberapa agensi lain yang ditubuhkan untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar ialah Lembaga Beras dan Padi Negara (LPN), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Justeru bagi memastikan matlamat pembangunan masyarakat luar bandar dapat dilaksanakan, Tun Abdul Razak telah melancarkan Rancangan Buku Hijau pada 20 Disember 1974. Tujuan utama rancangan tersebut ialah untuk menambahkan hasil makanan. Rancangan ini menghendaki rakyat mengambil bahagian yang lebih cergas dalam sektor ekonomi pertanian. Antara program yang diatur ialah menggalakkan tanaman jangka pendek, iaitu tanaman selingan dan bukan tanaman seperti kacang tanah, sekoi, jagung, ikan air tawar, memelihara kerbau, lembu dan sebagainya.


Sumbangan dalam perpaduan masyarakat

Tun Abdul Razak Dato' Hussein adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Beliau gemar melawat ke kampung-kampung dan meninjau sendiri permasalahan yang rakyat alami. Di bawah kepemimpinan beliau, Tun Abdul Razak berjaya menghidupkan semangat bergotong-royong dan mengurangkan budaya kolonial di kalangan pentadbir Melayu.

Dalam memupuk perpaduan antara kaum, Tun Abdul Razak telah melancarkan 'Rukunegara' pada 31 Ogos 1970. Rukunegara merupakan ideologi kebangsaan yang mengandungi hasrat murni ke arah membentuk sebuah masyarakat dan negara Malaysia yang demokratik, adil, saksama, liberal dan progresif.


Sumbangan dalam arena politik antarabangsa

Di arena antarabangsa, Tun Abdul Razak bin  Dato' Hussein juga adalah orangnya yang bertanggungjawab berunding dengan Indonesia untuk menamatkan 'konfrantasi' yang dilancarkan oleh negara itu ke atas Malaysia yang didalangi oleh Parti Komunis Indonesia (PKI). Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga mewakili Malaysia ke Rundingan Bangkok 1966 dan Rundingan Manila 1963. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga telah mengadakan beberapa lawatan keamanan ke negara-negara Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Demi keselamatan negara dan kestabilan serantau, Tun Abdul Razak telah mengubah dasar luar yang bersifat probarat dan antikomunis kepada dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi. Hasrat Tun Abdul Razak menjadi kenyataan apabila semua negara ASEAN bersetuju untuk menjadikan rantau ini sebagai zon aman, bebas dan berkecuali atau ZOPFAN melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Tun Abdul Razak juga mengiktiraf kewujudan negara China bagi mendapatkan sokongan kuasa besar tersebut terhadap ZOPFAN. Untuk itu, Tun Abdul Razak telah menghantar Tengku Razaleigh Hamzah  mengetuai rombongan perdagangan ke China pada bulan  Mei 1971. Kejayaan dalam bidang perdagangan telah memberi impak kepada hubungan diplomatik antara kedua-dua negara apabila China menyokong cadangan mewujudkan ZOPFAN.



Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.