Nuffnang Ads

Monday, 8 September 2014

SUMBANGAN TUN ABDUL RAZAK DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

LATAR BELAKANG TUN RAZAK

Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein atau Tun Abdul Razak lebih dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia oleh rakyat yang menyanjunginya kerana jasa dan sumbangan beliau untuk kemakmuran dan kemajuan rakyat serta negara Malaysia.

Beliau dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada tanggal 11 Mac 1922. Tun Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud.

Beliau telah dilantik untuk menggantikan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-2 pada tahun 1971. Sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota kerajaan, beliau telah banyak memberikan sumbangan khasnya dalam pembangunan negara dan luar bandar. Beliau meninggal dunia sewaktu masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada 14 Januari 1976.



Sumbangan dalam pendidikan

Sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah  banyak memberikan sumbangan antaranya dalam bidang pendidikan.  Pada tahun 1955, kerajaan perikatan telah membentuk sebuah Jawatankuasa Pelajaran yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak selaku Menteri Pelajaran ketika itu.

Tindakan awal Tun Razak apabila memegang jawatan tersebut adalah merombakkan sistem pelajaran penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Beliau mendapati sekolah-sekolah Melayu serta sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil tidak memberi sebarang keuntungan kepada pembentukan masyarakat yang bersatu padu sebaliknya mewujudkan perbezaan ras dalam masyarakat pelbagai kaum.

Hasil usaha Tun Razak, telah membawa kepada terhasilnya Penyata Razak pada tahun 1956, yang berjaya menyatupadukan sistem pelajaran untuk membina sebuah bangsa  yang bersatu padu dengan harapan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama.

Penyata Razak telah mengemukakan dua elemen penting dalam dasar pendidikan, iaitu sistem persekolahan yang sama untuk semua dan penyeragaman kurikulum yang bercorak kebangsaan. Beliau menganggap bahawa dasar tersebut mampu menyuburkan semangat perpaduan negara. Penyata Razak kemudiannya dijadikan Ordinan Pelajaran 1957.


Sumbangan dalam aspek pertahanan dan keselamatan negara

Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein  apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, juga turut memegang portfolio Menteri Pertahanan pada tahun 1957. Beliau telah membawa perubahan kepada angkatan tentera dengan melengkapkannya dengan senjata yang moden dan efisien. Sebagai bekas anggota askar wataniah, beliau mempunyai pengalaman dalam peperangan gerila dan mengenali taktik pengganas komunis telah melancarkan gerakan anti-komunis dengan jayanya sehingga 'darurat', iaitu satu tempoh 12 tahun memerangi pengganas komunis disytiharkan tamat pada tahun 1960.

Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga melancarkan Relawan Rakyat (RELA) dan skim Rukun Tetangga untuk menjamin keselamatan rakyat. Pada 13 Mei 1969, negara dikejutkan dengan rusuhan kaum tiga hari selepas pilihan raya umum. Perlembagaan negara digantung, Parlimen dibubarkan, dan darurat diisytiharkan seluruh negara.

Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Beliau telah dilantik oleh  Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj iaitu Perdana Menteri ketika itu  sebagai Pengarah MAGERAN. Di bawah MAGERAN ketenteraman awam berjaya dipulihkan.


Sumbangan dalam pembangunan masyarakat luar bandar

Pada tahun 1959 Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah ditubuhkan di bawah Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Kementerian ini telah ditugaskan untuk menyelaras, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan di kawasan luar bandar. Agensi seperti FELDA  dan  MARA (dahulunya RIDA)  telah diletakkan di bawah kementerian ini untuk menggerakkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.

Dalam Rancangan Malaya Pertama, kerajaan telah memperuntukkan 44.5% daripada bajet keseluruhan sebanyak RM1100 juta bagi pembangunan ekonomi. Selama 10 tahun memegang potfolio itu, Tun Razak telah berjaya membasmi buta huruf di kalangan tiga juta rakyat.

Tun Abdul Razak telah mengumumkan rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran di seluruh negara pada 24 Oktober 1960. Rancangan tersebut diadakan untuk menempatkan mereka yang tidak mempunyai tanah sekaligus memajukan tanah tersebut. Tanah-tanah rancangan adalah dibawah pengurusan pihak berkuasa FELDA. Pada permulaannya terdapat 40 tanah rancangan yang disertai oleh 400 buah keluarga. Pelan pembukaan tanah tersebut telah menjadi asas kepada kemakmuran rakyat di kawasan luar bandar.

Beliau juga mengumumkan penubuhan FELCRA atau Penubuhan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan pada 20 September 1964.  Penubuhan FELCRA adalah sejajar dengan hasrat DEB untuk meningkatkan taraf ekonomi kaum-kaum di  negara ini. Melalui dasar tersebut, hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan.

Beliau juga bertanggungjawab merangka program pembangunan luar bandar dengan menangani masalah kemiskinan apabila menitik beratkan penambahan prasarana asas luar bandar serta mempertingkatkan produktiviti pertanian. Sebanyak tiga juta ekar padi, kelapa dan pelbagai tanaman lain diberikan kemudahan tali air manakala 800 000 ekar  hutan telah dibuka untuk pembangunan. Kejayaan yang dicapainya termasuk merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap keperluan negara, yang dikenali sebagai 'Buku Merah'.

Sumbangan  Tun Abdul Razak  yang paling penting adalah ke arah pembangunan Malaysia. Tujuan beliau adalah untuk menghapuskan kemiskinan, kejahilan dan penyakit. Dengan itu, Tun Abdul Razak  melancarkan Dasar Ekonomi Baru yang mencartakan pembangunan negara secara berperingkat melalui Rancangan-Rancangan Malaysia dari 1970 hingga 1990. Beliau sedar masyarakat Melayu jauh ketinggalan dalam kemajuan sosio-ekonomi. Oleh itu Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein berupaya meningkatkan taraf hidup golongan luar bandar melalui Rancangan Buku Hijau (1974) serta pembukaan tanah melalui FELDA dan FELCRA. Rancangan-rancangan ini benar-benar membantu masyarakat Melayu memutuskan rantaian kemiskinan.

'Dasar Ekonomi Baru' (DEB) yang dilancarkan pada 21 Jun 1970 adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi dengan menjadikan matlamat utamanya untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan mennghapuskan identifikasi kegiatan ekonomi          berdasarkan kaum.

Di era Tun Abdul Razaklah bermulanya pelan pembangunan yang menyeluruh dan sistematik yang dikenali dengan 'Rancangan Pembangunan Malaysia' lima tahun yang bermula dengan Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua. Meskipun telah wujud rancangan sebegini sebelum era Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein namun matlamat dan perlaksanaannya tidak secara kolektif dan pragmatik. Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua merupakan pemangkin Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB mempunyai kerangka waktu 20 tahun dari 1970-1990 merumuskan bahawa ekuiti bumiputera dalam negara harus mencapai 30% di akhir tempoh itu.

Antara institiusi yang paling penting hasil dari DEB ialah ' Federal Land Develoment Authority' (FELDA), suatu badan yang membuka tanah dan mengagihkannya kepada rakyat untuk tujuan pembagunan. Program ini sehingga hari ini dikenali sebagai program reformasi tanah yang paling besar dan berjaya di dunia dan seterusnya menjadikan Malaysia pengeluar terbesar getah dan minyak kelapa sawit. Selain itu terdapat beberapa agensi lain yang ditubuhkan untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar ialah Lembaga Beras dan Padi Negara (LPN), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Justeru bagi memastikan matlamat pembangunan masyarakat luar bandar dapat dilaksanakan, Tun Abdul Razak telah melancarkan Rancangan Buku Hijau pada 20 Disember 1974. Tujuan utama rancangan tersebut ialah untuk menambahkan hasil makanan. Rancangan ini menghendaki rakyat mengambil bahagian yang lebih cergas dalam sektor ekonomi pertanian. Antara program yang diatur ialah menggalakkan tanaman jangka pendek, iaitu tanaman selingan dan bukan tanaman seperti kacang tanah, sekoi, jagung, ikan air tawar, memelihara kerbau, lembu dan sebagainya.


Sumbangan dalam perpaduan masyarakat

Tun Abdul Razak Dato' Hussein adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Beliau gemar melawat ke kampung-kampung dan meninjau sendiri permasalahan yang rakyat alami. Di bawah kepemimpinan beliau, Tun Abdul Razak berjaya menghidupkan semangat bergotong-royong dan mengurangkan budaya kolonial di kalangan pentadbir Melayu.

Dalam memupuk perpaduan antara kaum, Tun Abdul Razak telah melancarkan 'Rukunegara' pada 31 Ogos 1970. Rukunegara merupakan ideologi kebangsaan yang mengandungi hasrat murni ke arah membentuk sebuah masyarakat dan negara Malaysia yang demokratik, adil, saksama, liberal dan progresif.


Sumbangan dalam arena politik antarabangsa

Di arena antarabangsa, Tun Abdul Razak bin  Dato' Hussein juga adalah orangnya yang bertanggungjawab berunding dengan Indonesia untuk menamatkan 'konfrantasi' yang dilancarkan oleh negara itu ke atas Malaysia yang didalangi oleh Parti Komunis Indonesia (PKI). Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga mewakili Malaysia ke Rundingan Bangkok 1966 dan Rundingan Manila 1963. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga telah mengadakan beberapa lawatan keamanan ke negara-negara Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Demi keselamatan negara dan kestabilan serantau, Tun Abdul Razak telah mengubah dasar luar yang bersifat probarat dan antikomunis kepada dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi. Hasrat Tun Abdul Razak menjadi kenyataan apabila semua negara ASEAN bersetuju untuk menjadikan rantau ini sebagai zon aman, bebas dan berkecuali atau ZOPFAN melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Tun Abdul Razak juga mengiktiraf kewujudan negara China bagi mendapatkan sokongan kuasa besar tersebut terhadap ZOPFAN. Untuk itu, Tun Abdul Razak telah menghantar Tengku Razaleigh Hamzah  mengetuai rombongan perdagangan ke China pada bulan  Mei 1971. Kejayaan dalam bidang perdagangan telah memberi impak kepada hubungan diplomatik antara kedua-dua negara apabila China menyokong cadangan mewujudkan ZOPFAN.



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.