Nuffnang Advertisment

Wednesday, 22 October 2014

PERKEMBANGAN PKM DI TANAH MELAYU DARI TAHUN 1930-1960 M

Pengenalan

Fahaman atau ideologi komunis mula tersebar di Tanah Melayu dalam tahun 1920-an melalui cawangan-cawangan Parti Kuomintang dan pihak komunis dari negara China. Fahaman ini mula menyusup masuk ke dalam pertubuhan-pertubuhan buruh, kesatuan-kesatuan sekerja, sekolah-sekolah malam dan orang perseorangan.

Akhirnya pada tahun 1927, pihak komunis telah menubuhkan Parti Komunis Nanyang dan kemudiannya ditukar kepada Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1930. PKM telah menjalankan kegiatannya berpusat di Singapura. Matlamat penubuhan PKM adalah untuk menggulingkan kerajaan British dan menubuhkan sebuah kerajaan Republik Komunis Malaya.

Perkembangan PKM di Tanah Melayu boleh dibahagi kepada  4 tahap perkembangan iaitu tahap 1 (1930-1941), tahap 2 (1941-1945), tahap 3 (1946-1948) dan tahap 4 (1948-1960). Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan British untuk menangani ancaman komunis di Tanah Melayu dari tahun 1930 hingga tahun 1960.


Perkembangan PKM di Tanah Melayu

Tahap 1 (1930-1941)

Pihak kerajaan Inggeris telah mengharamkan PKM pada tahun 1930 sebaik sahaja PKM ditubuhkan kerana ideologi perjuangan serta matlamat PKM yang bertentangan dasar kerajaan Inggeris. Pada tahun 1931, beberapa pemimpin komunis telah ditangkap oleh pihak polis Singapura termasuk ejen Comintern, Joseph Dacroux dan 14 pemimpin komunis yang lain.

Bergerak secara sulit dengan menyusup ke dalam kesatuan sekerja, sekolah persendirian dan pertubuhan belia dan menubuhkan kader-kader di kalangan kaum buruh.

Kemelesetan ekonomi pada 1930-an telah menyebabkan PKM mendapat sokongan rakyat. Ia berjaya rnenggembeling kesatua-kesatuan sekerja untuk melancarkan permogokan. Sepanjang 1936-1937, pemogokan paling hebat ialah di Batu Arang yang melibalkan 6 000 orang buruh. Ramai pemimpin komunis dibuang ke negara China dibawah ‘Banishment Ordinance Act’.

Sebelum tahun 1937, tidak ramai orang Cina yang memberi sambutan kepada PKM. Namun selepas kekalahan China dalam Perang China-Jepun (1937-1941), PKM berjaya menyebar perasaan anti-Jepun dalam kalangan orang Cina di Tanah Melayu untuk menyokong perjuangan mereka.

Pengaruh komunis menjadi kuat semula dengan memupuk perasaan anti-Jepun dan semangat kecinaan semasa perang Cina-Jepun 1937. PKM berjaya mengumpul $ 256 juta di antara 1937- 1942 membantu China rnenentang Jepun dan keahlian PKM pada 1939 telah meningkat seramai 37 000 orang.

Tahap 2 (1941-1945)

Tahap kedua merupakan zaman Perang Dunia Ke-2,  pihak komunis melarikan diri ke dalam hutan. Di zaman ini, PKM telah bekerjasama dengan pihak British dalam menentang Jepun. Kerajaan British telah bertindak membebaskan ramai pemimpin-pemimpin komunis yang dipenjara sebelum ini. Dasar PKM bekerjasama dengan British semasa Perang Dunia Kedua menjadikan pengaruhnya semakin meluas.

Hasil kerjasama ini telah membawa penubuhkan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang menentang Jepun secara gerila. MPAJA mendapat bantuan makanan, ubatan, bekalan alat senjata dan latihan ketenteraan dari ‘Force 136’ dan sekolah latihan khas 101 di Singapura untuk melatih tentera MPAJA.

Tahap 3 (1945-1948)

Selepas tamat Perang Dunia Kedua dan sebelum tentera British kembali semula ke Tanah Melayu, PKM dan MPAJA mengambil alih pemerintahan selama 14 hari. Dalam tempoh itu, tentera komunis yang dikenali sebagai ‘Bintang Tiga’ bertindak kejam untuk membalas dendam kepada penduduk tempatan yang dituduh bekerjasama atau bersubahat dengan tentera Jepun.

Setelah British kembali semula, Tanah Melayu ditadbir oleh Pentadbiran Tentera British (BMA). Pada bulan Disember 1945, BMA telah mengarahkan MPAJA menyerahkan semua senjata dan membubarkan pasukan gerila yang ditubuhkan semasa pendudukan Jepun.

Walaupun arahan itu dipatuhi tetapi tidak semua senjata yang diserahkan kerana sebahagian besar senjata dan bekalan makanan masih disembunyikan di hutan. Tindakan MPAJA meletakkan senjata itu lebih merupakan satu langkah simbolik untuk menggambarkan yang PKM berjuang di atas landasan perlembagaan.

Tahun 1945- 1948 merupakan tahun perjuangan PKM secara perlembagaan.  Pada 1945, PKM diiktiraf sebuah parti yang sah oleh kerajaan British dan menubuhkan cawangan-cawangan di beberapa buah bandar. Pada Disember 1945, kerajaan British membubarkan MPAJA dan diganti dengan ‘Old Comrades Association’.

Selain kesatuan sekerja, PKM juga menyusup ke dalam pergerakan politik berhaluan kiri. PKM menjadi tenaga penggerak dalam menyatukan golongan kiri dengan menubuhkan gabungan PUTERA-AMCJA untuk menentang Malayan Union. PUTERA mewakili parti politik orang Melayu yang berfahaman kiri dan AMCJA mewakili kaum bukan Melayu. Semua pertubuhan di bawah naungan PKM, kecuali MIC telah diresapi atau bersimpati dengan komunis dan menjadi pertubuhan barisan hadapan PKM.

Gabungan PUTERA-AMCJA rnengemukakan cadangan perlembagaan yang dinamakan ‘Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu’ pada tahun 1947. Cadangan itu digubal dalam persidangan yang dihadiri oleh wakil-wakil gabungan PUTERA-AMCJA, tetapi ditolak oleh British yang meneruskan usaha menubuhkan Persekutuan Tanah Melayun bagi menggantikan Malayan Union.

PKM juga meresap ke dalam kesatuan-kesatuan buruh dengan menubuhkan semula persatuan Buruh Am dan Persatuan Belia Demokratik Baru. Pada 1947, PKM melancarkan kira-kira 300 permogokan untuk melemahkan ekonomi Tanah Melayu. Sebanyak 291 mogok diadakan dan melibatkan seramai 69 000 pekerja.

Pada tahun 1948, PKM berjaya mengawal 117 daripada 289 buah kesatuan sekerja yang berdaftar. Sebanyak 86 buah kesatuan sekerja lagi dilihat cenderung menyokong PKM. Keadaan ini membimbangkan Inggeris kerana PKM mempunyai harapan cerah untuk menguasai hampir semua kesatuan sekerja.

Perpecahan berlaku dalam PKM apabila Setiausaha PKM, Lai Teck disyaki ejen-ejen kerajaan Inggeris dan melarikan wang parti. Kemudian diambil-alih oleh Chin Peng yang menjalankan dasar militan untuk mengambil-alih  Tanah Melayu.

Tahap 4 (1948-1960)

Walaupun MPAJA dan PKM bekerjasama dengan British semasa pendudukan Jepun tetapi selepas perang, British enggan menerima PKM. Sejak itu bermulalah penentangan PKM terhadap British di Tanah Melayu yang membawa kepada pengisytiharan darurat pada bulan Jun 1948.

Darurat ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada keadaan huru-hara di Tanah Melayu akibat kebangkitan komunis antara tahun 1948-1960. Kekacauan itu dicetuskan oleh PKM yang berjuang untuk menubuhkan sebuah negara komunis secara kekerasan di Tanah Melayu.

Menjelang pertengahan tahun 1948, kegiatan PKM semakin ganas dan terlibat dalam banyak pembunuhan. Antara Oktober 1945 hingga Disember 1947, PKM melakukan sebanyak 191 pembunuhan. Dalam enam bulan pertama tahun 1948, sebanyak 107 pembunuhan lagi dilakukan.

Kemuncak keganasan telah berlaku pada 12 Jun 1948 apabila tiga orang pemimpin Parti Kuomintang dibunuh di Johor dan pembunuhan tiga orang peladang Eropah dalam masa satu hari di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948. Akibat penistiwa ini, Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Edward Gent bertindak dengan mengisytiharkan darurat di Sungai Siput dan beberapa buah tempat di Johor pada 18 Jun 1948. Kemudian diikuti dengan pengisytiharan darurat di seluruh Tanah Melayu dan di Singapura pada 23 Jun 1948.

British rnenguatkuasakan Undang-undang Darurat di seluruh Tanah Melayu serta mengharamkan PKM dan semua pertubuhan di bawah naungannya. PKM meneruskan kegiatannya secara gerila melalui gerakan ‘bawah tanah’.

PKM mempunyai dua pertubuhan iaitu ‘Bintang Tiga’ yang melancarkan perang gerila menentang Inggeris dan ‘Min Yuen’ merupakan pertubuhan awam yang menjalankan kerja propaganda untuk mendapat sokongan awam, sumber makanan, kewangan dan ubat-ubatan untuk membentuk Republik Komunis Tanah Melayu.

Perjuangan PKM ketika ini melalui tiga peringkat iaitu melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu, menawan kawasan terpencil dan akhir sekali perang terbuka dengan kerajaan Inggeris untuk menguasai Tanah Melayu.

Pada Oktober 1951, Sir Henry Gurney dibunuh di Bukit Fraser. Pada Jun 1953, PKM mengarahkan ahlinya supaya tidak lagi menggunakan kekerasan untuk mendapat sokongan rakyat. Pada 1954, 6 304 ahli komunis telah terbunuh, ramai yang ditangkap, menyerah diri dan berundur ke kawasan sempadan Tanah Melayu-Thailand.

Pada 1955, rundingan diadakan di Baling, Kedah yang dihadiri oleh Tengku Abdul Rahman, David Marshall dan Tan Cheng Lock bagi pihak kerajaan, manakala pihak PKM pula diwakili oleh Chin Peng dan Rashid Maidin tetapi rundingan ini gagal. Pengaruh komunis semakin berkurangan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957. Pada tahun 1960, ancaman komunis tidak lagi dirasai dan pada Julai 1960 kerajaan telah menarik balik darurat.


Kesimpulan


Walaupun beberapa taktik dan dasar telah digunakan oleh PKM untuk mendapat sokongan dan bantuan rakyat tempatan atau menguasai politik, ekonomi dan sosial Tanah Melayu tetapi gagal kerana tindakan-tindakan kerajaan Inggeris seperti Rancangan Templer dan Briggs dan kerjasama kaum yang melemahkan perjuangan komunis.



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.