Nuffnang Advertisment

Wednesday, 19 August 2015

DAHAGI DI INDIA: FAKTOR-FAKTOR TERCETUS DAHAGI


Perasaan tidak puas hati penduduk India telah lahir terhadap pemerintahan British sejak awal abad ke-19.

Perasaan ini semakin memuncak apabila Lord William Bentinck (1828-1835), Gabenor Jeneral British di India menjalankan beberapa pembaharuan politik, sosial dan kebudayaan walaupun pembahruan ini dianggap untuk menjaga kebajikan penduduk India tetapi penduduk India menganggap ianya melanggar adat serta menyinggung hati orang India.

Perasaan tidak puas hati ini semakin memuncak sewaktu Lord Dalhousie menjadi Gabenor Jeneral British di India. Tindakan beliau melaksanakan dasar pengilhakan wilayah India merupakan faktor yang mempercepatkan Dahagi di India pada tahun 1857. Dahagi merupakan rusuhan sepoi menentang pemerintahan British di India.


Faktor-faktor tercetusnya Dahagi 1857


Perasaan dendam sepoi-sepoi

Tentera Benggala yang mencetuskan Dahagi sebahagian besarnya terdiri daripada kaum Brahmin dan Rajput yang berkasta tinggi. Mereka tidak suka bekerja berat dan bimbang kasta mereka akan tercemar sekiranya mereka berkhidmat di luar India.

Perasaan tidak puas hati semakin meningkat apabila Lord Canning meluluskan Akta Pengambilan Tentera Am yang memberi pihak Inggeris hak untuk menghantar sepoi-sepoi India ke mana-mana sahaja mereka diperlukan. Akta ini juga dikehendaki berkhidmat di wilayah yang jauh tanpa diberi elaun yang lebih.

Amalan diskriminasi dalam gaji dan layanan di antara sepoi-sepoi dan tentera Inggeris serta sistem kenaikkan pangkat mengikut jangka perkhidmatan bukan berdasarkan kebolehan telah menimbulkan perasaan kekecewaan di kalangan sepoi India.

Masalah disiplin yang berlaku dalam tentera akibat pemindahan pegawai-pegawai tentera yang berkebolehan untuk mengisi jawatan-jawatan awam.

Pengenalan senapang Rifle Royal Enfield menyemarakkan lagi perasaan tidak puas hati di kalangan sepoi India kerana tersebarnya khabar angin peluru-peluru yang hujungnya terpaksa digigit sebelum diisi ke dalam senapang telah disapu dengan minyak Iembu dan babi. Sepoi-sepoi India dan Muslim menganggap ini sebagai satu muslihat pihak Inggeris untuk menentang kebudayaan tradisional mereka.

Walaupun peluru-peluru itu ditarik balik tetapi perasaan tidak puas hati terhadap pihak Inggeris telah memuncak sehingga mereka percaya bahawa perbuatan tersebut adalan percubaan untuk mengkristiankan mereka.


Perubahan-perubahan sosial

Pengenalan perubahan sosial ala barat telah menjejaskan cara hidup penduduk tempatan. General William Bentick telah menghapuskan adat resam orang India seperti suttee, iaitu amalan pengorbanan diri sendiri oleh balu-balu Hindu di atas timbunan kayu mayat suami-­suami mereka semasa upacara pengebumian. Mereka dipaksa oleh sanak saudara yang inginkan harta bendanya. Amalan ini dianggap sebagai jenayah.

Amalan Thuggee iaitu sistem rompakan dan pembunuhan di jalan raya juga dihapuskan. Amalan ini dijalankan oleh kumpulan-kumpulan agama yang bersenjata dan menyamar diri lalu mencekik pengembara sehingga mati atas nama Dewi Kali.

Amalan pembunuhan bayi perempuan turut dihapuskan.

Lord Dalhousie pula meluluskan undang-undang mengesahkan perkahwinan balu-balu Hindu.

Tujuan sebenar pihak Inggeris ialah memperbaiki kehidupan orang India tetapi mereka tidak bersedia untuk menerima idea-idea Barat yang radikal ini secara mendadak.

Penyebaran pendidikan Inggeris dianggap percubaan British untuk mengkristiankan mereka.

Pengenalan teknologi barat seperti jalan keretapi dan telegraf mengancam kedudukan sistem kasta dan dianggap sebagai satu langkah mencemarkan agama Hindu.

Di wilayah-wilayah yang ditawan oleh Syarikat Hindia Timur, ramai keluarga yang telah kehilangan tanah dan menjadi miskin akibat kegagalan mereka membuktikan hak milik secara sah.

Perasaan tidak puas hati semakin memuncak akibat pembubaran tentera asli selepas sesuatu wilayah diambil alih oleh pihak Inggeris.


Politik

Dasar pengilhakan Lord Dalhousie merupakan faktor yang terpenting. Beliau mengilhakan wilayah-wilayah tanpa menghiraukan perasaan orang India.

Dasar pengilhakan berlandaskan kepada tiga kaedah iaitu hak menakluk kuasa agung; undang-undang warisan; dan melanjutkan faedah-faedah pemerintahan Inggeris ke atas wiiayah-wilayah yang salah tadbir oleh pemerintah India.

Beberapa wilayah telah diilhakan melalui doktrin ini. Antaranya ialah Punjab, Karnatik, Oudh dan Tanjor serta Satera, Jhani, Baghat, Jaipur dan Sambalpur.

Doktrin ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pemerintah India. Sesetengah putera raja dan pemerintah India seperti seperti Nawab dari Karnatik, Raja Tanjor dan Nana Sahib mengambil bahagian dalam Dahagi ini akibat dari syak wasangka yang ditimbulkan oleh doktrin tersebut.

Pembatalan bayaran pencen Nana Sahib, seorang anak angkat Baji Rao telah menyebabkan beliau menyertai dahagi.

Golongan pemerintah yang tidak berpuas hati dengan Pemerintahan Inggeris telah menyokong Dahagi. Contohnya, Nana Sahib telah mengetuai dahagi di Kanpur dan dikatakan bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai orang Inggeris di situ.


KESIMPULAN

Dahagi India meletus pada 10 Mei 1857 di Meerut apabila sepoi-sepoi India yang enggan menggunakan peluru senapang Royal Enfield dikenakan hukuman penjara. Dua orang Sepoi bertindak balas menembak seorang pegawai British. Dahagi India telah gagal dan tamat pada tahun 1858.



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.