Nuffnang Advertisment

Tuesday, 4 August 2015

PEMERINTAHAN RAJA MUTLAK DI EROPAH BARAT (PERANCIS)


PENGENALAN

Penubuhan monarki kebangsaan di Eropah pada abad ke-15 telah merintis jalan kepada kemunculan pemerintah mutlak pada abad ke-16 dan ke-17. Kemunculan negara bangsa pada abad ke-15, meletakkan asas bagi kemunculan sistem pemerintahan beraja mutlak di Perancis pada abad ke-16 dan 17.

Sistem pemerintahan beraja mutlak bermaksud sistem kerajaan di mana cara pemerintahan raja tidak dikawal oleh parlimen dan segala perintah raja akan menjadi undang-undang.

Menurut sistem pemerintahan beraja mutlak, raja dilantik atas kehendak Tuhan untuk memerintah rakyat. Oleh itu, menjadi tanggungjawab rakyat untuk membantu raja dalam menjalankan pentadbiran. Sekiranya raja bertindak kejam dan berlaku tidak adil, rakyat harus menerimanya dengan tenang sebagai hukuman atas dosa yang dilakukan mereka. Pandangan ini diterima oleh pihak gereja dan mendapat sokongan daripada raja-raja negara bangsa.


FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEMUNCULAN PEMERINTAHAN BERJA MUTLAK

Terdapat banyak faktor yang mendorong kemunculan pemerintahan beraja mutlak di Perancis. Salah satu faktor yang mendorong kemunculan pemerintahan beraja mutlak ialah muncul idea daripada pemikir-pemikir politik seperti Jean Bodin; Hugo Crotius; dan Cardinal Duc de Richelieu.


JEAN BODIN (1530-1596)

Bodin dilahirkan pada tahun 1530 di Angers dan meninggal dunia pada tahun 1596. Beliau mengesyorkan supaya Perancis diperintah oleh kerajaan pusat kerana kerajaan pusat yang kuat akan dapat mengawal wilayah dengan lebih baik dan berkesan.

Idea oleh Bodin ini muncul ekoran tindakan golongan Huguenot (Calvinis) mencabar dan mengancam undang-undang dan kekuasaan kerajaan pusat Perancis. Pemerintahan mutlak dimaksudkan oleh Bodin dalam bukunya berjudul The Six Books of Republic.

Bodin juga percaya bahawa kuasa berdaulat dalam negara wujud dalam bentuk kekuatan ketenteraan. Kuasa mutlak yang dianjurkan oleh Bodin juga mengambil kira hak rakyat.

Raja dikehendaki memerintah menurut hukum Tuhan dan jika memerintah sebaliknya dianggap raja yang zalim. Kerajaan juga dikehendaki memenuhi segala kehendak rakyat. Dalam pada itu, rakyat pula diminta supaya tidak mengumpul banyak kekayaan hingga menggugat kestabilan dan ketenteraman negara.

Menurut Bodin, ia akan mengelakkan revolusi, pemberontakan atau sebarang tindakan politik lain yang bakal menggugat kestabilan negara.


HUGO GROTIUS (1583-1645)

Grotius ialah tokoh dari Belanda dan karya beliau yang terkenal ialah De hire Belli ac Pacis. Menurut Grotius, kemunculan negara bangsa menyebabkan tidak wujud negara dunia Kristian seperti yang dilihat pada Zaman Pertengahan Awal. Kini tiada negara yang lebih kuat, lebih bebas atau lebih mampu daripada negara lain, dan muncul sistem politik berbilang negara atau sistem antarabangsa.

Oleh itu, negara-negara tersebut harus menjalinkan hubungan sesama mereka menurut garis-garis kelakuan yang disetujui. Bagi Grotius, negara berhak melakukan peperangan dalam mempertahankan diri serta membela hukum antarabangsa.

Grotius menambah, sesiapa yang mencabuli hukum alam atau antarabangsa dianggap sebagai penceroboh terhadap masyarakat antarabangsa kerana ia akan memusnahkan segala dasar yang diadakan untuk mewujudkan kebahagiaan dan keamanan dunia.

Grotius juga menegaskan peperangan yang dilakukan terhadap sesebuah negara yang mencabuli hukum antara negara adalah salah dan boleh dihukum. Idea yang dimajukan oleh Grotius adalah baik, tetapi ia disalah guna oleh negara mutlak. Idea Grotius telah dilaksanakan oleh Richelieu dalam sistem pentadbiran Perancis.


CARDINAL DUC DE RICHELIEU (1585-1642)

Richelieu ialah paderi besar gereja Katolik dan seorang bangsawan. Beliau telah memimpin Perancis ketika negara menghadapi pelbagai masalah pada abad ke-17. Richelieu memberatkan peranan kuasa sebagai unsur penting dalam amalan tatanegara.

Segala perhatian ditumpukan bagi mewujudkan sebuah kerajaan pusat yang kuat di Perancis. Richelieu mengambil langkah menghapuskan sentimen kewilayahan dan pergelutan dalam negara yang mengancam kestabilan politik di Perancis pada abad ke-17.

Richelieu juga percaya negara Perancis yang kuat akan menjadi lebih berkesan dan berpengaruh di dalam dan luar negeri. Oleh itu, beliau telah mewujudkan tentera laut yang lengkap dengan kapal-kapal perang dan peralatan baharu dan moden.

Richelieu juga telah menghapuskan kekacauan yang berlaku dalam gereja Katolik. Beliau menolak peranan gereja dalam politik dan kenegaraan. Pandangan Richelieu terkandung dalam bukunya berjudul Wasiat Politik.

Dalam buku ini, beliau mengemukakan pandangan tentang keperluan mengekalkan kekuasaan dan kemutlakan negara. Richelieu berpendapat kerajaan pusat yang kuat perlu untuk menghadapi ancaman sekiranya pentadbiran dijalankan oleh ramai pihak.

Ketika Richelieu menjadi Ketua Menteri, Perancis mempunyai sistem pemerintahan pusat yang kuat. Harus ditegaskan negara mutlak Richelieu ialah negara yang wujud menurut perintah Tuhan dan baginya kuasa mutlak adalah satu seni pemerintahan.

Richelieu juga menolak pendidikan diberikan kepada rakat jelata. Beliau bimbang golongan berpendidikan akan melahirkan masyarakat yang kritis dan akan menyoal dasar kerajaan. Perkembangan ini akan menyebabkan rakyat tidak setia kepada negara.

Kepentingan negara mutlak memerlukan kerajaan tidak menggalakkan pendidikan dalam kalangan rakyat jelata. Richelieu juga percaya bahawa pelajaran kesenian dan kesusasteraan harus dikawal oleh kerajaan untuk memajukan kepentingan negara mutlak.



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.