Nuffnang Ads

Monday, 22 February 2016

SUMBANGAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA ISLAM MADINAH

PENDAHULUAN

Nama sebenar beliau ialah Umar bin al Khattab bin Naufal daripada keturunan Bani Adi. Dlahirkan pada 584 M dan meninggal dunia pada 644M. Beliau menjadi khalifah setelah dicalonkan oleh khalifah Abu Bakar dengan persetujuan para sahabat

Selama 10 tahun menjadi khalifah, pelbagai usaha telah dilakukan sama ada dalam bidang pentadbiran,ekonomi dan sosial sehingga pemerintahannya dianggap sebagai zaman kegemilangan kerajaan dan umat Islam.


ISI

USAHA-USAHA KHALIFAH UMAR DALAM ASPEK  PENTADBIRAN / POLITIK


1.   Pentadbiran wilayah

Wilayah islam  dibahagikan kepada beberapa bahagian  dan melantik pegawai yang bertugas, iaitu gabenor, setiausaha dan ketua-ketua jabatan. Pegawai yang dilantik  diperiksa  harta dan keperibadiannya untuk mengelakkan berlaku korupsi dan penyalahgunaan kuasa.   Setiap tahun, pegawai itu akan datang ke Makkah untuk membuat laporan.


2.   Pentadbiran Tanah

Tanah-tanah yang dikuasai oleh tentera islam  dibahagikan kepada dua jenis, iaitu :-

Tanah sawafi- tanah tidak bertuan yang ditadbir oleh pemegmg-pemegang amanah  yang dilantik daripada golongan  ahl al-Ayyam, iaitu golongan peneroka. Tanah ini tidak bolehdijual beli atau dimiliki sesiapa bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat islam.

Tanah dhimmah- tanah bertuan yang ditadbir oleh pemiliknya.


3.   Membentuk Majlis Syura

Majlis Syura ialah lembaga atau majlis perundangan Negara yang ditubuhkan oleh Khalifah Umar al Khattab. Tanggungjawab Majlis Syura ialah menentukan polisi negara yang berkaitan dengan hubungan luar dan pemerintahan negara.

Majlis Syura membincangkan masalah tentang politik, sosial dan keselamatan.

Majlis Syura terbahagi kepada dua bahagian iaitu majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura am. Majlis Syura Tertinggi dianggotai oleh  Uthman bin Affan, Abdul Rahman Auf, Ali Abi Talib .


4.   Mengasaskan al Diwan

Al Diwan merupakan daftar atau buku catatan untuk mencatatkan nama-nama tentera dan keluarga mereka serta jumlah sara hidup masing-masing. Bayaran sara hidup dibuat berdasarkan  jasa sesorang terhadap islam terutama semasa proses perluasan wilayah.

5.   Mengasaskan Takwin Hijrah.

Beliau menjadikan tahun Hijrah Rasulullah s.a.w  ke Yathrib (Madinah) sebagai tarikh permulaan perkiraan calendar bagi umat islam. Pengenalan takwin Hijrah memudahkan catatan peristiwa-peristiwa selepasnya. Takwin ini memudahkan umat islam mengingati sesuatu peristiwa dan membuat catatan mengenainya.


USAHA-USAHA UMAR AL KHATTAB DALAM ASPEK  EKONOMI

1.   Penubuhan Baitulmal

Badan yang  menguruskan harta kerajaan. Buku kira-kira turut disediakan untuk mengetahui jumlah kewangan Negara. Sumber kewangan Negara daripada pungutan zakat, jizyah, kharaj, ghanimah. Usyur disimpan dalam Baitulmal.


2.   Memajukan bidang pertanian

Membina terusan  dan tali air bagi meningkatkan hasil pertanian  seperti Empangan Abu Musa dan Terusan Amir al Mukminim di Mesir. Beliau juga mengubah system pungutan cukai yang dikenakan berdasarkan kesuburan tanah dan jenis tanaman.Peraturan yang tidak adil dan membebankan petani dimansuhkan.


USAHA-USAHA UMAR AL KHATTAB DALAM ASPEK SOSIAL

1.   Memperkembangkan pelajaran al-Quran

Menyediakan guru-guru untuk mengajarkan al quran. Guru-guru dihantar ke merata-rata tempat dengan ganjaran gaji lumayan. Di peringkat wilayah, sekolah-sekolah telah ditubuhkan di masjid-masjid untuk mengajarkan pelajaran al quran. Golongan yang menghafaz seluruh kandungan al qurqn akan diberi ganjaran. Umat islam juga diwajibkan menghafaz surah-surah yang tertentu.


2.   Memperbaharui taraf dan kedudukan golongan hamba

Dalam hal-hal tertentu, taraf golongan hamba akan disamakan dengan tuannya. Bagi menjaga kepentingan sosial, iaitu taraf dan kedudukan golongn hamba dalam masyarakat, satu perubahaan telah diadakan. Hamba tidak boleh ditindas manakala hamba yang mempunyai keluarga dilarang daripada dipisah-pisahkan.


KESIMPULAN

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh khalifah Umar Al Khattab sepanjang pemerintahannya selama 10 tahun. Kejayaan yang dicapai oleh Khalifah umar al Khattab ekoran kewujudan iklim politik yang stabil., terutamanya musuh-musuh kerajaan islam seperti Rom dan Parsi telah berjaya dilemahkan  disamping sokongan rakyat termasuk dalam kalangan bukan islam disebabkan keadilan dan prinsip terbuka dalam melaksanakan amanah yang diberikan.  




Tuesday, 16 February 2016

SUMBANGAN SALEHUDDIN al-AYUYUBI DALAM POLITIK DAN SOSIAL

PENGENALAN

Nama sebenarnya  Salah al-Din  Yusof  bin Najmuddin Ayyubi dan nama gelarannya ialah Al-Malik al-Nasir al-Sultan. Di Eropah, beliau digelar sebagai Saladin.

Dilahirkan pada tahun 1138 Masihi di Kota Tikrit dan berketurunan suku Kurdish. Bapanya bernama Najmuddin Ayyubi, gabenor di Tikrit dan Balbek.

Sejak kecil lagi, beliau mendapat pendidikan Islam yang sempurna daripada ayahnya. Hasilnya, beliau mahir dalam ilmu kalam dan perundangan Islam.

Beliau juga mendapat pendidikan ilmu ketenteraan dan pertahanan daripada bapa saudaranya, Asaddin Sirkuh (Asaddin Syirkuwah) seorang panglima tentera.

Salehuddin al-Ayyubi merupakan seorang panglima tentera, pemimpin dan pentadbir negara yang berbakat tinggi dan masyhur pada zaman Perang Salib.

Mempunyai keperibadian yang tinggi, mulia, tidak tamak harta dan kedudukan. Beliau terkenal dalam kalangan sejarawan Barat sebagai seorang panglima yang baik hati, pemurah kepada musuh, bertoleransi dan setia pada janji.

Beliau meninggal dunia pada 4 Mac 1193 Masihi di Damsyik pada usia 57 tahun dan meninggalkan jasa dan sumbangan yang cukup besar dalam bidang politik dan sosial.


ISI

POLITIK

1. Menentang tentera Salib

Mula menyertai peperangan pada tahun 1164 Masihi bersama bapa saudaranya, Sirkuh Ayyubi pada zaman khalifah Nur al-Din.

Berjaya menewaskan tentera Salib di bawah pimpinan Amaury I. Pada tahun 1169 Masihi, beliau telah menewaskan tentera Salib di Mesir kerana tentera salib melanggar perjanjian damai yang dimeterai.

Dilantik sebagai panglima angkatan tentera Syria selepas kematian Sirkuh Ayyubi. Perlantikan ini membawa kepada kegemilangan dan kemasyhurannya.

Dari tahun 1189 hingga 1192 Masihi, beliau  berjaya mengalahkan tentera Salib yang dipimpin oleh Raja Richard, Raja Frederick dan Raja Philip.

Beliau dianggap sebagai sultan yang mengembalikan keagungan empayar Islam kerana dengan kekuatan tentera Islam, beliau berjaya menghadapi tentera salib.


2. Membebaskan Kota Baitulmuqqadis

Perang bermula sebagai tindak balas terhadap tentera Perancis yang kejam terhadap pedagang (kafilah) Islam.

Berlaku pertempuran dengan tentera Salib di Hittin dan kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Seramai 10000 orang tentera Salib terbunuh.

Beliau menyerang raja Baitulmuqqadis yang hanya dikawal 150 orang pahlawan. Raja Baitulmuqqadis berjaya ditawan dan dihantar ke Damsyik.

Beliau mengarahkan Raja Baitulmuqqadis iaitu Guy of Lusignan dan pemerintah Karak iaitu Raynald supaya mengadapnya. Beliau kemudian memancung kepala Raynald kerana sikap biadapnya menghina Nabi Muhammad SAW dan umat Islam.

Tentera Islam menguasai wilayah tentera Salib seperti Akka, Tabnin, Saida, Beirut, Asqalan, al-Ramlah, al-Darum, Ghazzah, Baitul Laham, al-Natrun dan Baitulmuqqadis.

Akhirnya perjanjian damai ditandatangani, tentera Salib dikehendaki keluar dari Baitulmuqqadis dalam tempoh 40 hari dan beliau mendapat hak menduduki seluruh wilayah Palestin.


3. Membangun dan memulihkan Negara.

Sebagai pengasas Dinasti  Ayyubiyyah, beliau memindahkan pusat pemerintahan ke Mesir yang kekal selama 350 tahun.

Memulih benteng kota Kaherah dengan diawasi oleh al-Tawasy Bahauddin untuk mempertahankannya daripada serangan musuh. Kubu turut dibina di Sinai.

Membangunkan Pulau al-Raudah dan al-Gizah. Petempatan disediakan dengan kemudahan yang lengkap. Terdapat pasar minggu pada setiap hari Ahad.

Menubuhkan Diwan Armada untuk menyelia urusan pembinaan kapal-kapal perang dan armada perang yang besar.

Memperkukuhkan Kota Iskandariah bagi mengelakkan serangan tentera Salib dari Perancis.


SOSIAL

1. Kesihatan

Membina sebuah hospital iaitu Bimaristan al-Atiq yang diubah suai daripada dewan istana yang dibina oleh Al-Aziz bin al-Muiz. Sebuah gedung ubatan disediakan bagi membolehkan ubat diagihkan mengikut gred yang ditetapkan kepada para pesakit.

Hospital tersebut juga mempunyai ruang khas untuk pesakit wanita. Wad pesakit mental disediakan jaring besi bagi mengelakkan pesakit lain terganggu.


2. Pendidikan

Membina banyak sekolah dan menjemput ulama/cerdik pandai. Memperkenalkan system pendidikan pra-sekolah yang dikenali sebagai al-Khatib. Pelajar diajar al-Quran, seni khat, asas matematik, syair dan solat.

Mengutamakan pendidikan berasaskan mazhab Sunni dan menghapuskan kepercayaan karut.

Mewakafkan sebanyak 32 buah kedai untuk dijadikan sekolah. Turut membiayai gaji guru.


3. Agama

Beliau banyak berusaha menyebarkan agama Islam. Oleh itu beliau mengambil berat tentang keutuhan dan kesucian agama Islam.

Beliau mendirikan masjid di merata-rata tempat. Masjid dijadikan pusat pembelajaran khususnya ilmu keagamaan seperti ilmu tafsir. Contohnya masjid Amru al- As.

Beliau juga melaksanakan undang-undang Islam dan mengembalikan semula pengaruh mazhab Sunni di Mesir.


KESIMPULAN


Jasa dan sumbangan Salehuddin al-Ayubbi dihargai oleh masyarakat Islam. Kejayaan beliau membebaskan semula Baitulmuqqadis merupakan bukti paling ketara yang beliau sentiasa berusaha untuk memartabatkan agama dan negara Islam. Rentetan daripada kejayaan tersebut, beliau telah berjaya melaksanakan pelbagai perancangan yang meliputi bidang poltik dan sosial.



PERUBAHAN KEPADA MASYARAKAT ARAB JAHILIYAH SELEPAS KEDATANGAN ISLAM

Pengenalan 

Latar belakang masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam
Masyarakat Arab terdiri daripada dua kelompok masyarakat iaitu masyarakat Hadari dan  masyarakat Badwi. Terdiri daripada pelbagai suku seperti Bani Hasyim, Bani ‘Adi, Bani Ta’im, Bani Umayyah.

Masyarakat Arab selepas Islam
Terdiri daripada golongan Muhajirin, Ansar dan Mawali. Golongan Muhajirin  iaitu masyarakat Islam yang berhijrah dari Makkah ke Madinah dan golongan Ansar iaitu penduduk asal Madinah yang terdiri daripada suku Aus dan Khazraj yang telah dipersaudarakan. 


Perubahan – perubahan dalam masyarakat Arab selepas kedatangan Islam

1. Agama dan kepercayaan

Zaman Jahiliah
Agama dan kepercayaan mereka dipenuhi dengan tahyul.
Agama penyembahan berhala paling dominan kerana sebahagian besar masyarakat Jahiliyah menganut agama ini.
Terdapat agama langit iaitu Nasrani dan Yahudi tetapi telah diselewengkan oleh paderi mereka untuk kepentingan diri sendiri.
Selain itu, terdapat agama Majusi iaitu pengaruh daripada Parsi.
Antara kepercayaan yang diamalkan adalah tilik nasib, sangka baik dan sangka buruk, animisme dan sihir.

Zaman Islam
Kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa iaitu mentauhidkan Allah dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi yang terakhir.
Melakukan perkara-perkara yang yang disuruh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang.Mengamalkan prinsip-prinsip rukun Iman dan rukun Islam


2. Akhlak

Zaman Jahiliah 
Mengamalkan moral dan akhlak yang sangat buruk dan tiada batas kesopanan dan kemanusiaan.
Suka melakukan perbuatan seperti zina, minum arak, bunuh anak perempuan.
Namun begitu masyarakat Arab jahiliyah juga mempunyai amalan baik seperti menghormati tetamu, taat kepada ketua dan tidak mungkir janji.

Zaman Islam
Kedatangan Islam telah mengubah akhlak masyarakat Arab kepada perkara-perkara yang baik dan mengamalkan akhlak Islam seperti  hormat menghormati, bekerjasama, bertolak ansur dan lain-lain dan melarang perbuatan seperti zina dan minum arak.


3.  Politik

Zaman Jahiliah
Kebanyakan kerajaan yang wujud pada zaman Arab Jahiliyah adalah tidak bersatu dan tidak sistematik kecuali Makkah. Di Makkah struktur politiknya agak jelas, seperti terdapat Darul Nadwah yang merupakan jabatan pentadbiran yang dipimpin oleh syeikh.
Hal ini kerana kebanyakan wilayah-wilayah Arab sering dijajah dan diganggu gugat oleh kuasa asing seperti Rom dan Parsi di wilayah di sebelah utara.
Masyarakat arab Jahiliyah mengamalkan sistem berkabilah dan  setiap kabilah diketuai oleh  seorang syeikh kabilah.  Semangat assabiyah dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyah sering mencetuskan peperangan antara suku walaupun berpunca daripada masalah kecil.

Zaman Islam
Mengamalkan sistem pemerintahan sistem pemerintahan yang teratur dengan berlandaskan al Quran dan Hadis.
Dengan adanya Piagam madinah ia menjadi teras bagi pembinaan sebuah negara Islam madinah
Dari segi politik kemasyarakatan, Islam menekankan konsep ummah tanpa merujuk kepada kaum dan kelas.


4.  Ekonomi

Zaman Jahiliah
Mengamalkan eksploitasi perdagangan satu hala dengan   mengenakan tekanan terhadap kaum Badwi.
Aktiviti ekonomi banyak yang bertentangan dengan syariat Islamiah seperti menjual berhala, amalan riba, menipu dan menjadikan aktiviti merompak sebagai sumber ekonomi mereka.
Selepas keruntuhan empangan Maarib ekonomi masyarakt jahiliyah sangat meruncing.  Kegiatan pertanian merosot kerana mereka tiada pengetahuan untuk membangunkan semula empangan tersebut.

Zaman Islam
Memperkenal dasar ekonomi mengikut syariat Islam sebagai contoh menghapuskan riba, menggalakkan perdagangan tanpa penipuan dan penindasan.
Nabi Muhammad s.a.w menggalakkan umat Islam menceburi bidang pertanian dan  perniagaan. Hal ini menyebabkan ekonomi umat Islam meningkat maju sehingga dapat mengatasi   kegiatan monopoli orang Yahudi dalam ekonomi.


5. Ilmu Pengetahuan

Zaman Jahiliah
Majoriti masyarakat Arab Jahiliyah  buta huruf, hanya 17 orang sahaja yang celik huruf.
Mewarisi pengetahuan tentang ilmu bintang, ilmu tilik dan ilmu keturunan. Pemerolehan ilmu adalah terhad dan menyebabkan perkembangan ilmu pengetahuan hanya bersifat hafalan dari satu generasi ke satu generasi.

Zaman Islam
Terdapat pembahagian ilmu seperti Al-Quran dan ilmu tafsir.
Terdapat ilmu pengetahuan berkaitan dengan Islam dengan wujudnya cabang-cabang ilmu seperti fiqah, tauhid, sirah dan hadis.
Masjid dijadikan sebagai tempat mengembangkan ilmu pengetahuan, sebagai contoh masjid Nabawi di Madinah.


6. Kesusasteraan

Zaman Jahiliah
Masyarakat Arab Jahiliyah mempunyai kemahitran dalam bersyair dan berkhutbah.
Terdapat hasil-hasil karya mereka berbentuk sastera kreatif tetapi kandungan isi adalah  berbeza dengan  zaman Islam seperti memuja kecantikan wanita, keseronokan minum arak dan sebagainya.

Zaman Islam
Kebanyakan hasil sastera Islam adalah bertunjangkan kitab al Quran dan hadis Nabi Muhammad dengan mentauhidkan Allah yang esa. Hasil-hasil karya bebas dari unsur pemujaan dan berbentuk kesucian dan kebesaran Allah s.w.t.


7. Kelas masyarakat

Zaman Jahiliah
Iaitu mengamalkan sistem perhambaan, semangat assabiyah, mementingkan kedudukan dalam masyarakat, wanita dan hamba dianggap paling hina.

Zaman Islam
Mengamalkan perpaduan ummah, menganjurkan persamaan taraf  dan semua manusia dianggap sama taraf di sisi Allah kecuali mereka yang bertakwa.


8. Maruah wanita

Zaman Jahiliah
Kedudukan wanita sangat rendah dalam masyarakat, fungsi wanita hanyalah sebagai pemuas hawa nafsu lelaki dan kegemaran mereka hanyalah menghiasi diri agar dikehendaki oleh lelaki.
Menganggap amalan membunuh bayi perempuan sebagai amalan yang mulia, contohnya, Bani Tamim

Zaman Islam
Memuliakan kedudukan wanita, maruah dan kebajikan wanita perlu dipelihara dan dijaga. Wanita juga boleh mewarisi harta mengikut hukum dan syariat yang digariskan Islam.


9. Peperangan

Zaman Jahiliah
Mengamalkan bentuk peperangan yang malampaui batas seperti dalam perang Al Basus.
Mengamalkan sifat balas dendam dan suka berperang walaupun melibatkan perkara perkara yang kecil

Zaman Islam
Peperangan adalah merupakan satu bentuk jihad bertujuan mempertahankan agama, maruah diri, bangsa dan Negara
Mementingkan konsep persaudaraan berbanding peperangan, sebagai contoh Islam telah berjaya menamatkan permusuhan dalam kalangan golongan Ansar   iaitu suku Aus dan Khazraj melalui rundingan


Kesimpulan  

Islam telah menukar cara hidup masyarkat Jahiliah daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah, daripada berakhlak buruk kepada akhlak  yang mulia dan berperikemanusiaan. Islam telah membawa masyarakat Jahiliah kepada sebuah masyarakat yang bertamadun.



Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.