Nuffnang Advertisment

Wednesday, 4 May 2016

SUMBANGAN AL-KHAWARIZMI DALAM BIDANG MATEMATIK

Pendahuluan

Nama sebenar al-Khwarizmi ialah  Abdullah Muhammad bin Musa al-Khwarizmi. Dikenali sebagai al-khawarizmi, al-Cowarizmi, al-Ahawizmi, al-Goritmi, al-Gorismi dan al-Karismi. Merupakan ahli sains Islam yang terulung dalam ilmu matematik. Tokoh Islam yang berpengetahuan luas dalam bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia. Dinobatkan sebagai ‘Ahli Falak Diraja, atas sumbangan dan kajian beliau. Beliau telah diiktiraf oleh pemerintah  Abbasiyah, iaitu Khalifah Harun ar-Rasyid yang telah melantik beliau  sebagai pakar matematik dan ahli akademi matematik di Baitul Hikmah. Turut mengemaskini  sistem perpustakaan dengan menambah indeks buku-buku di perpustakaan tersebut. Contohnya, di Baitul Hikmah, beliau turut mengetuai dan mengawasi kerja-kerja penterjemahan buku-buku matematik dalam bahasa Yunani yang diperoleh daripada kerajaan Byzantine. Dilantik sebagai pengarah arkib buku di perpustakaan istana khalifah pada zaman pemerintahan Khalifah al- Ma’mun.

Isi

1. Memperkenalkan sistem nombor

Al- Khwarizmi telah memperkenalkan sistem nombor yang digunakan sehingga kini, iaitu 0,1,2,3,4,5,6.7,8 dan 9.  Angka-angka tersebut menggunakan simbol-simbol tertentu yang mewakili  nilai-nilai tertentu. Beliau merupakan individu pertama yang memperkenalkan angka’sifar’ (kosong) dan perpuluhan dalam  matematik.  Melalui angka sifar muncul nombor yang mempunyai  ‘infiniti’. Malah ‘sifar’ yang diperkenalkan oleh beliau dipinjam oleh bahasa-bahasa Eropah dengan  sebutan cifre,chiffre dan zero. Pengenalan system angka yang sistematik oleh al-Kwarizmi bukan sahaja membolehkan operasi pengiraan matematik diperluaskan meliputi operasi kuasa, log, kosinus dan sebagainya, malah membolehkan ilmu sains dan teknologi berkembang dengan lebih pesat.

2. Mempelopori ilmu algebra

Al-Khwarizmi juga dikenali sebagai Bapa al-Jabar (algebra) berikutan sumbangan beliau dalam jurusan aritmetik iaitu   al-Jabar (satu bidang matematik yang dipanggil persamaan). Contoh, karya  teragungnya, al-Jabr  wa-al-Muqabilah juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada kurun ke-12 dan menjadi rujukan di universiti di Eropah. Kesannya, melalui kaedah penggunaan simbol  yang mewakili  nombor, nilai atau pemboleh ubah, banyak masalah pengiraan dapat diselesaikan.  Secara praktiknya, masalah-masalah pengiraan yang dihadapi oleh masyarakat Islam dapat diatasi.

3. Penyelesaian permasalahan harta pusaka

Al-Khwarizmi  dapat menyelesaikan masalah praktikal yang dihadapi oleh umat Islam khususnya   pengiraan. Contohnya, pembahagiaan harta pusaka dan  perniagaan. Penggunaan konsep pemboleh  ubah juga  membantu dalam pembahagian zakat yang dapat dikeluarkan dengan mudah. Kesannya, ilmu yang diperkenalkan telah  dapat membantu mengatasi masalah pengiraan yang lebih rumit dan kompleks.

4. Geometri dan trigonometri

Al-Khwarizmi juga memberi sumbangan dalam bidang geometri dan trigonometri.  Hal ini kerana kedua-dua bidang tersebut merupakan pecahan kepada bidang matematik yang  melibatkan pengiraan. Kedua-dua cabang ilmu matematik ini juga disentuh dalam karyanya Hisab   al-Jabr wa-al-Muqabalah. Contohnya, ilmu geometri berkaitan dengan ciri dan hubungan antara titik,  garis,  sudut, permukaan dan pepejal dalam ruang. Manakala trigonometri berkaitan dengan  pengiraan  segi  tiga, sukatan sisi dan sudutnya. Kesannya, ilmu yang diperkenalkan oleh beliau dapat  membantu  mengatasi masalah pengiraan yang lebih rumit.

5. Mencipta ilmu-ilmu baharu

Beliau mencipta ilmu baharu yang belum pernah dicipta oleh pakar matematik sebelum ini.    Dalam kitab yang dihasilkan, pelbagai istilah baharu tentang ilmu diperkenalkan dan digunakan sehingga kini iaitu pemboleh ubah (x), pemboleh ubah kuasa dua dan pemalar (c). Contohnya, Al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah juga mengandungi bab-bab yang meliputi pelbagai  topik iaitu pengiraan darab, campur, tolak dan bahagi, persamaan, timbangan dan ukuran, keluasan bulatan dan segi tiga  serta isipadu bentuk piramid dan kon. Kesannya, umat Islam dikatakan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam ilmu matematik.


Kesimpulan

Sumbangan al-Khwarizmi dalam bidang matematik telah mencerminkan kehebatan dan keunggulan tamadun Islam yang berkekalan sehingga ke hari ini dan sebagai  pemangkin kepada kemajuan orang Barat yang mendalami teori-teori yang dikemukakan oleh beliau. Selain daripada bidang matematik, al-Khwarizmi juga berjasa dalam bidang astronomi dan geografi.

(daripada skema trial terengganu 2016)


No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.