Nuffnang Advertisment

Tuesday, 12 July 2016

PEMERINTAHAN TSAR ALEXANDER II (1855-1881)

Pengenalan

Nama sebenar Tsar Alexander II ialah Alexander Nikolaevich Romanov. Baginda telah dilahirkan pada 17 April 1818 di Moscow Kremlin, Moscow dan mati pada 13 Mac 1881 ketika berumur 62 tahun di Winter Palace, St. Petersburg akibat dibunuh dengan bom. Baginda merupakan anak sulong kepada Tsar Nicholas I. Tsar Alexander II mula menjadi Tsar Rusia pada 2 Mac 1855 hingga 12 Mac 1881 selepas kematian bapanya. Semasa bermulanya pemerintahan Tsar Alexander II, negara mengalami zaman kemerosotan. Baginda telah melakukan perubahan dasar pentadbirannya dengan mengamalkan dasar bertolak ansur dalam sistem pemerintahan dan lebih memberi keutamaan kepada politik. Tindakan utama baginda selepas menaiki takhta ialah menamatkan Perang Crimea yang berlaku selama 3 tahun (1853-1856). Perang ini telah menyebabkan Rusia mengalami masalah kewangan dan perbendaharaan negara defisit. Kemudian barulah beralih perhatian kepada masalah negara. Pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan oleh baginda dalam pentadbiran. Antara pembaharuan tersebut ialah:


1. Mengisytiharkan Dikri Pembebasan Hamba

Baginda telah bertindak mengisytiharkan dikri pembebasan hamba (hamba dimiliki secara persendirian dan kerajaan pusat hendaklah dibebaskan). Golongan hamba dibebaskan untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh yang dihadapi oleh kilang-kilang kapas dan bulu di bandar-bandar besar. Alexander II telah mengeluarkan undang-undang yang dikenali sebagal Titah Perintah Emansipasi pada bulan 3 Mac 1861 dan mengikut rang undang-undang tersebut, semua hamba abdi dibebaskan.

Baginda telah membuat perubahan dalam dasar perhambaan disebabkan beberapa faktor seperti pertambahan bilangan golongan hamba dan kesan peningkatan pertanian. Golongan hamba ini terdiri daripada petani, tawanan perang dan individu bebas. Golongan petani yang tidak dapat membayar cukai dan kos sewa tanah kepada tuan tanah persendirian terpaksa mengerjakan tanah pertanian yang disewa untuk melangsaikan hutang mereka. Manakala tawanan perang pula merupakan tawanan semasa pemerintahan Ivan III, Ivan IV, Peter dan Catherine yang melaksanakan misi meluaskan empayar. Individu yang bebas akan digelar hamba sekiranya mereka berkahwin dengan keluarga hamba.

Golongan hamba merupakan aset penting kepada negara Rusia. Seramai 45 peratus penduduknya terdiri daripada hamba selain daripada petani. Peningkatan bilangan hamba yang tidak seiring dengan bidang pertanian menyebabkan berlaku penderitaan dalam hidup. Mereka terpaksa bekerja lebih masa untuk tuan tanah, membayar pelbagai cukai, melaksanakan sistem kerahan tenaga seperti membaiki istana, dan sebagainya.

Bagi petani yang bekerja di bandar, mereka terpaksa menyerahkan sebahagian gaji mereka kepada tuan tanah. Oleh kerana mereka buta huruf, maka mereka mengamalkan kaedah penanaman primitif dan tidak berdaya memajukan diri sendiri.

Ketidakpuasan layanan yang diterima daripada pemerintah telah menyebabkan berlakunya pemberontakan petani dan hamba antara 1820-an hingga 1860-an di beberapa wilayah seperti wilayah Vladimir, Riazan, Tambov, Saratov, Penza dan Vorotech. Alexander II telah mengarahkan tenteranya untuk mematahkan pemberontakan tersebut tetapi gagal. Justeru itu, baginda telah membuat perubahan dasar terhadap sistem perhambaan di Rusia.

Golongan pelajar yang menyokong idea librelisme juga memberi tekanan dan mereka mahukan perubahan yang mementingkan kebebasan individu, menghapuskan sistem perhambaan yang tidak sesuai dengan peradaban manusia dan membayar upah yang setimpal kepada hamba mengikut perkhidmatannya.


2. Meluluskan Undang-Undang Pada Tahun 1864

Alexander II telah meluluskan undang-undang pada tahun 1864 bagi melakukan perubahan dalam pentadbiran tempatan di Rusia untuk tujuan memperkukuhkan kuasanya dalam mengawal golongan bangsawan. Sebelum ini, golongan bangsawan menguasai Dewan Perhimpunan di peringkat wilayah. Baginda cuba untuk memecahkan monopoli golongan bangsawan di Dewan Perhimpunan.

Menurut undang-undang tersebut, setiap daerah daripada 34 buah wilayah akan mempunyai Majlis Perundangan Tempatan atau Majlis Daerah yang dikenali sebagai Zemstvo. Penduduk bandar dan kaum petani diberi hak untuk memilih ahli Majlis Daerah (Zemstvo). Zemstvo Daerah pula berhak memilih ahli anggota Zemstvo Wilayah. Antara peranan Majils Daerah dan Zemstvo Wilayah ialah mengutip cukai, membaiki jalan raya dan jambatan menguruskan pendidikan dan kesihatan awam, serta memilih Pegawai Undang-undang.


3. Pembaharuan Dalam Sistem Pentadbiran Undang-Undang

Alexander II telah membuat pembaharuan dalam sistem pentadbiran undang-undang di Rusia dengan menggunakan prinsip-prinsip perundangan Barat. Pentadbiran hakim dan majistret diasingkan daripada jabatan kerajaan lain. Semua rakyat menerima undang­-undang yang sama tanpa mengira taraf sosial bagi menjamin keadilan. Perbicaraan dijalankan secara terbuka clan sistem juri telah diperkenalkan. Perbicaraan kesalahan awam dan jenayah akan dipindahkan dari tangan pegawai-pegawai pentadbir kepada kuasa mahkamah.


4. Pembaharuan Dalam Bidang Ekonomi

Manakala dalam bidang ekonomi, baginda memberikan tumpuan kepada pembinaan landasan keretapi yang membantu perkembangan industri. Kesannya, ramai penduduk desa telah berhijrah ke bandar dan muncul kelas pekerja di bandar.


5. Hubungan Diplomatik

Rusia telah menjalin hubungan diplomatik yang baik dengan Perancis, lalu Perancis telah memberikan pinjaman kewangan kepada Rusia untuk membangunkan industri. Pada tahun 1914, terdapat lebih tiga juta pekerja kilang di Rusia. Oleh itu, Rusia telah berada di kedudukan kelima dalam kalangan negara industri.


6. Bidang Ketenteraan

Baginda juga memperkenalkan perubahan dalam bidang ketenteraan pada tahun 1874. Beliau mewajibkan semua kelas daripada rakyatnya berkhidmat dalam ketenteraan. Mereka akan berkhidmat dalam tentera selama 15 tahun berbanding sebelumnya selama 25 tahun. Dalam tempoh tersebut, mereka akan berkhidmat selama enam tahun sebagai tentera tetap dan lima tahun pula sebagai tentera simpanan atau sukarela.


7. Bidang Penerbitan

Dalam bidang penerbitan akhbar dan majalah, Alexander II memberikan sedikit kebebasan dan kelonggaran. Baginda telah melonggarkan penapisan terhadap akhbar-akhbar di Rusia. Kesannya, bilangan akhbar yang diterbitkan bertambah iaitu terdapat 16 buah akhbar dan 156 buah majalah bulanan berbanding di zaman Tsar Nicholas I iaitu hanya terdapat 6 buah akhbar dan 19 buah majalah sahaja. Namun begitu, pembaharuan yang dilakukan menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Rusia.


Kesimpulan

Walaupun pelbagai perubahan dilakukan oleh Tsar Alexander II, namun baginda masih mengamalkan pemerintahan secara autokrasi. Akibatnya keseluruhan rakyat Rusia tidak menerima dasar baginda dan wujud penentangan oleh golongan pelajar yang inginkan demokrasi tulen di Rusia. Selain itu, tuan tanah yang degil dan sebahagian golongan Parlimen terutamanya pegawai-pegawai yang veteran tidak memberi sokongan kepada Tsar. Gabenor Wilayah masih mempunyai kuasa pembatalan dalam Zemstvo. Bagi ahil politik pula, mereka berasa tidak puas hati apabila pesalah tidak dibicarakan mengikut sistem juri yang baharu dan golongan petani dibicarakan di mahkamah khas. Manakala Dikri pembebasan hamba tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya seperti yang dijanjikan menyebabkan kehidupan mereka masih dalam kesusahan. Keadaan ini menimbulkan pemberontakan dan terdapat cubaan untuk membunuh Alexander II pada tahun 1866 tetapi berjaya dipatahkan. Alexander II telah mengambil tindakan tegas menangkap mereka yang mengkhianati baginda lalu dibuang ke Siberia.



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.