Nuffnang Advertisment

Sunday, 10 July 2016

PEMERINTAHAN TSAR NICHOLAS I (1825-1855)

PENGENALAN

Nama sebenar Tsar Nicholas I ialah Nicholas Pavlovich Romanov iaitu anak kepada Tsar Paul I serta adik kepada Tsar Alexander I dan Constantine Pavlovich. Baginda telah dilahirkan di Saint Petersburg pada 6 Julai 1796 dan mati pada 2 Mac 1855 ketika berumur 58 tahun. Baginda mati semasa Perang Crimean di Istana Musim Sejuk di St. Petersburg akibat penyakit radang paru-paru walaupun ada khabar angin menyatakan baginda mati kerana membunuh diri. Baginda telah menjadi Tsar Rusia pada 1 Dis. 1825 hingga 2 Mac 1855. Pemerintahan Tsar Nicholas I adalah secara autokratik dan mengamalkan agama Khatolik Orthodox. Baginda menganggap kedudukan pemerintah hampir sama dengan ’hak ketuhanan raja’. Oleh itu semua rakyat perlu mematuhi segala perintah raja.

Semasa pemerintahan Tsar Nicholas I, baginda mengambil tindakan tegas untuk menyekat perkembangan liberalisme di Rusia. Antara langkah atau dasar dalam negeri yang diambil untuk mengekang liberalisme seperti mengawal institusi pendidikan, mengadakan sekatan kepada golongan penulis, membuang negeri golongan intelek, dan memperkenal dasar terhadap penentang Slavophil. Manakala dasar luar negeri pula, baginda mengadakan hubungan dengan Poland dan bertindak meluaskan pengaruh serta wilayah Rusia.



DASAR DALAM NEGERI RUSIA

1. Kawalan terhadap Institusi Pendidikan

Tsar Nicholas I turut mengenakan kawalan terhadap sistem pendidikan di Rusia dengan mengehadkan kemasukan pelajar-pelajar ke sekolah-­sekolah menengah kecuali anak-anak bangsawan dan pegawai-pegawai kerajaan sahaja dibenarkan menuntut di sekolah-sekolah menengah.

Pelajar-pelajar yang menuntut di universiti sentiasa diawasi oleh polis rahsia. Manakala pengajaran mata pelajaran seperti Sejarah dan Falsafah diharamkan di universiti-universiti.

Pelajar-pelajar dan orang ramai tidak dibenarkan membaca karya-­karya yang diharamkan. Pelajar-pelajar yang didapati membaca karya-karya yang diharamkan akan dikenakan hukuman buang negeri ke Siberia.

2. Sekatan Terhadap Golongan Penulis

Semasa pemerintahan Tsar Nicholas I, pelbagai sekatan dikenakan terhadap golongan penulis di Rusia. Golongan penulis tidak diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menghasilkan karya yang berbau penentangan terhadap dirinya.  Mereka tidak dibenarkan menulis perkara-perkara yang mencabar kewibawaan pemerintah serta menentang dasar kerajaan.

Semua karya yang diterbitkan akan ditapis oleh kerajaan di mana Tsar Nicholas I turut terlibat dalam melakukan penapisan terhadap karya-karya yang dihasilkan oleh penulis-penulis Rusia. Penulis-penulis juga dikehendaki menghadap baginda untuk mendapat teguran berhubung dengan kelemahan mereka.

3. Membuang Negeri Golongan Intelek

Tsar Nicholas I menjalankan pemerintahan autokratik selepas beberapa percubaan memberontak dilakukan pada tahun 1848. Baginda mengambil tindakan keras terhadap golongan intelek yang menentang pemerintahannya. Ramai golongan intelek dibuang negeri ke Siberia untuk dijadikan buruh paksa seperti Dostoievsky yang merupakan seorang novelis terkenal di Rusia. Manakala Taras Shevchenko seorang penyair kebangsaan Ukraine telah dibuang ke Siberia selepas mengarang puisi yang mengejek Tsar, isterinya dan dasar domestiknya. Semasa pemerintahan Tsar Nicholas I, seramai 150 000 orang telah dibuang negeri ke Siberia.

4. Dasar Terhadap Penentang Slavophil

Dasar Tsar Nicholas I adalag disokong oleh golongan Slavophil. Golongan ini merupakan golongan pemikir-pemikir yang mempertahankan kebudayaan dan institusi tradisional orang Rusia. Golongan ini menentang liberalisme Barat dan mempertahankan pemerintahan Tsar. Mereka juga percaya bahawa ajaran Kristian Ortodoks Rusia sebagai kepercayaan terbaik dan yakin bahawa pemerintahan Tsar berkuasa mutlak adalah merupakan sistem politik terbaik.

Namum, muncul pula golongan yang menentang golongan Slavophil yang diketuai oleh Alexander Herzen. Golongan ini mahukan rakyat Rusia menggulingkan pemerintahan Tsar dan mendirikan sebuah negara sosialis. Selepas revolusi 1848 gagal, beliau dibuang negeri dan menetap di England. Semasa berada di England, Herzen menerbitkan sebuah akhbar berjudul Kolokol dan menulis rencana-rencana bercorak propaganda bagi mengecam pemerintahan Tsar.

5. Pemberontakan Petani

Semasa pemerintahan Tsar Nicholas I, timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan golongan petani terhadap terhadap layanan buruk dan ketidak perkemanusiaan yang dilakukan oleh tuan-tuan tanah terhadap golongan petani seperti tindakan memenjarakan dan merantai petani-petani. Perkara ini telah membangkitkan kemarahan golongan petani dan mereka melancarkan pemberontakan terhadap tuan-tuan tanah.

Menjelang zaman pemerintahan Tsar Nicholas I, rasa tidak puas hati terhadap tuan-tuan tanah tersebar secara meluas dalam kalangan petani sehingga membawa 400 pemberontakan dilancarkan.



DASAR LUAR NEGERI TSAR NICHOLAS I

6. Dasar Meluaskan Pengaruh dan Wilayah Rusia

Dasar luar Tsar Nicholas I bertujuan untuk meluaskan pengaruh dan wilayah Rusia. Untuk itu, baginda telah melancarkan peperangan terhadap Parsi (1826-1828); menguasai kawasan-kawasan strategik sepanjang Sungai Amur dari China; baginda mendapat hak bagi kapal-kapal Rusia belayar di Selat Dardanella dan Bosporus menerusi Perjanjian Adrianople (1829); menerusi Perjanjian Unkiar Skelessi, Rusia mengawal lain lintas di Laut Hitam; baginda mengambil langkah-langkah untuk memecahkan Empayar Turki dengan persetujuan dari Britain; kegagalan mencapai persetujuan dengan Britain menyebabkan tercetus Perang Crimea (1854-1856).

7. Hubungan Dengan Poland

Tsar Nicholas I mengambil langkah-langkah yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk Poland iaitu segala tindakan baginda amat bertentangan dengan Perlembagaan Liberal yang diperkenalkan oleh Tsar Alexander I.

Antara tindakan Tsar Nicholas I yang membangkitkan kemarahan penduduk Poland ialah pegawai-pegawai Rusia menggantikan pegawai-pegawai Poland dalam perkhidmatan awam; memperhebatkan langkah-langkah penapisan buku-buku yang diterbitkan; Tsar Nicholas I tidak memanggil Persidangan Parlimen Poland pada tahun 1826; dan baginda membatalkan rancangan memasukkan Lithuania dalam kawasan Poland.

Pada tahum 1830, tentera Poland melancarkan pemberontakan terhadap Rusia dan berjaya menguasai kota Warsaw. Tsar Nicholas I menghantar angkatan tentera seramai 120 000 orang untuk melancarkan peperangan dengan Poland.

Tentera Rusia berjaya mengalahkan Poland pada bulan September 1831. Selepas menewaskan Poland, Tsar Nicholas I bertindak menghukum Poland menerusi langkah-langkah seperti memansuhkan Perlembagaan 1815; mengharamkan perjumpaan awam dan politik di seluruh Poland; Universiti Warsaw ditutup; semua jawatan penting dalam kerajaan diambil alih oleh orang Rusia; dan lebih kurang 80 000 orang Poland dibuang negeri ke Siberia.




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.