Nuffnang Advertisment

Monday, 3 October 2016

PERANG CANDU 1839-1842 - FAKTOR-FAKTOR

PENGENALAN

Perang Candu Pertama (1839-1842) juga dikenali sebagai Peperangan Inggeris-China Pertama. Peperangan ini tercetus ekoran daripada pertembungan antara dua kebudayaan yang bertentangan. Pertembungan budaya ini boleh dilihat dari aspek  konsep perdagangan yang bertentangan, sekatan kerajaan China terhadap perdagangan asing, sistem hubungan antarabangsa yang bertentangan, pertentangan undang-undang, kekejaman undang-undang China, kemasukan candu dan tindakan Lin Tsu-Hse. Peperangan ini  menandakan dinasti Manchu telah mengalami kemerosotan dan  menyebabkan kuasa-kuasa Barat mula bertapak di negara China.


Faktor-faktor Perang Candu Pertama (1839-1842)

FAKTOR  POLITIK

1. Pertentangan Konsep Undang-Undang

Konsep undang-undang yang bertentangan juga merupakan faktor yang menyebabkan tercetus perang antara China dengan Inggeris. Mengikut konsep undang-undang China, seseorang itu dianggap bersalah sehingga ia dapat membuktikan bahawa ia tidak bersalah. Manakala konsep undang-undang Barat pula menekankan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga kesalahannya dapat dibuktikan. Pertentangan dalam konsep undang-undang China dan Barat menyebabkan hubungan antara China dengan Inggeris menjadi bertambah buruk.

2. Kekejaman Undang-Undang China

Orang Barat menganggap undang-undang China bersifat tidak adil dan amat kejam. Pada tahun 1784, seorang kelasi kapal Lady Hughes telah melepaskan tembakan hormat apabila sampai di Whampoa yang menyebabkan seorang Cina terbunuh. Kelasi berkenaan telah dicekik sehingga mati tanpa sebarang perbicaraan apabila diserahkan kepada kerajaan China. Pada bulan Julai 1839, kelasi-kelasi Inggeris yang mabuk telah membunuh seorang Cina bernama Lin Wei-hsi. Kerajaan China menuntut agar pesalah tersebut diserahkan kepadanya manakala pihak Inggeris enggan berbuat demikian. Perkembangan ini menyebabkan hubungan antara Inggeris dengan China menjadi semakin tegang.


FAKTOR  EKONOMI

3. Konsep Perdagangan Yang Bertentangan

Kerajaan China dan negara-negara Barat mengamalkan konsep perdagangan yang bertentangan. Kerajaan China tidak berminat untuk mengadakan hubungan perdagangan dengan negara-negara Barat kerana negara China mampu memenuhi keperluannya, sumber ekonomi utamanya berasaskan pertanian, tambahan pula, masyarakat China menganggap aktiviti perdagangan sebagai kegiatan yang hina. Sebaliknya, masyarakat Barat pula berpegang kepada dasar perdagangan bebas. Negara-negara Barat berlumba-lumba untuk mendapatkan pasaran dan bahan mentah untuk kilang-kilang yang muncul ekoran Revolusi Perindustrian. Terdapat permintaan yang tinggi bagi barangan China seperti teh dan sutera di Britain.

4. Sekatan Terhadap Perdagangan Asing

Faktor seterusnya yang menyebabkan tercetus Perang Candu Pertama ialah sekatan yang dikenakan oleh kerajaan China terhadap perdagangan asing. Pada tahun 1757, Maharaja Chien Lung mengeluarkan perintah bahawa pedagang-pedagang asing hanya dibenarkan berdagang di pelabuhan Canton. Tambahan pula, pedagang-pedagang asing tidak dibenarkan membawa anggota keluarga mereka ke pelabuhan Canton. Setelah selesai menjalankan urusan perniagaan di Canton, mereka dikehendaki kembali ke Macao. Di samping itu, pedagang-pedagang asing dibenarkan untuk menjalankan urusan perdagangan melalui kesatuan saudagar China yang dikenali sebagai Co-hong. Selain itu, tindakan kerajaan China mengenakan cukai-cukai yang tinggi menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pedagang-pedagang asing.

5. Kemasukan Candu

Faktor serta-merta yang menyebabkan tercetus Perang Candu Pertama ialah tindakan orang Inggeris membawa masuk bekalan candu ke negara China. Orang Inggeris menjual candu bagi mengimbangkan perdagangan teh dengan negara China. Antara tahun 1821 hingga 1839, jumlah candu yang diimport telah meningkat daripada 4244 buah peti kepada 40 200 buah peti. Perkembangan ini telah mengakibatkan imbangan perdagangan yang tidak menguntungkan negara China. Tambahan pula pengimportan candu menyebabkan pengaliran keluar wang perak yang telah menjejaskan ekonomi negara China. Kerajaan China menentang pengimportan candu kerana menjejaskan kesihatan dan menimbulkan masalah sosial dalam kalangan penduduk negara China.


FAKTOR  SOSIAL

6. Pertentangan Budaya

Pertentangan budaya  antara negara China dengan negara-negara Barat juga merupakan faktor yang menyebabkan Perang Candu Pertama. Negara China menganggap dirinya sebagai 'Chung Kao' atau pusat dunia yang bertamadun. Maharaja China menganggap dirinya sebagai anak syurga dan pemerintah sejagat. Orang Cina menganggap orang Barat sebagai orang gasar yang tidak bertamadun. Negara China juga menganggap negara-negara Barat bertaraf rendah dan tidak mahu menjalinkan hubungan diplomatik atas dasar persamaan taraf. Dalam pada itu, negara China menganggap semua duta Barat sebagai pembawa ufti yang harus Kowtow, iaitu melutut tanda hormat dihadapan Maharaja. Percubaan British menghantar utusan yang diketuai oleh George Macartney (1793) dan Lord Amherst (1816) ke Peking untuk menuntut perwakilan diplomatik dan syarat-syarat perdagangan yang liberal menemui kegagalan. Pertentangan budaya dan keengganan negara China untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Britain atas dasar sama taraf telah memaksa Britain menggunakan kekerasan.


FAKTOR SERTA MERTA

7. Tindakan Lin Tsu-Hse

Tindakan drastik yang diambil oleh Lin Tsu-Hse bagi menghapuskan perdagangan candu telah menyebabkan tercetus perang antara kerajaan China dengan Inggeris. Pada tahun 1839, Maharaja China telah melantik Lin Tsu-Hse sebagai pesuruhjaya imperial untuk menghapuskan perdagangan candu. Pada 18 Mac 1839, Lin Tse-hsu telah mengeluarkan titah perintah meminta orang asing supaya,menyerahkan semua candu kepada kerajaan China dan memberi akuan untuk tidak membawa masuk candu ke negara China. Ekoran daripada titah perintah tersebut, Kapten Charles Elliot menyerahkan 20 283 buah peti candu kepada kerajaan China untuk dimusnahkan. Namun demikian, Inggeris enggan memberi surat akuan untuk tidak membawa masuk candu ke negara China. Perkembangan ini telah menyebabkan Kapten Elliot bertindak menyerang Chuenpi pada bulan November 1839. Kerajaan Britain menjadikan peristiwa candu sebagai alasan untuk mengisytiharkan perang ke atas negara China.


KESIMPULAN


Pertembungan budaya yang bertentangan memang merupakan   faktor utama yang menyebabkan tercetus Perang Candu 1839-1842.      Namun isu candu menjadi faktor semerta yang mencetuskan perang candu  Pertama   ini. Perang ini menyebabkan kuasa-kuasa Barat mula bertapak dan meluaskan pengaruh di China. Perang ini juga telah menjejaskan maruah dan kedaulatan China kerana telah dipaksa menandatangani perjanjian dengan kuasa-kuasa Barat.



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.