Nuffnang Ads

Tuesday, 11 October 2016

SISTEM PEMERINTAHAN PERSEKUTUAN AMERIKA SYARIKAT PADA ABAD KE 18 HINGGA 19

Pengenalan

Istilah persekutuan berasal dari perkataan Greek iaitu foedus  yang membawa maksud perjanjian. Persekutuan merupakan gabungan beberapa buah negeri atau wilayah yang dahulunya bebas tetapi kemudian menjadi negara bersekutu di bawah satu perlembagaan pusat.

Pemerintahan Persekutuan merupakan satu bentuk pemerintahan yang membahagikan kuasa antara kerajaan pusat dengan negeri (tempatan). Setiap peringkat pentadbiran diberi kebebasan untuk mentadbir mengikut kuasa yang diperuntukkan.

Selepas mencapai kemerdekaan, perlembagaan baharu untuk Amerika Syarikat telah digubal pada tahun 1789. Perlembagaan ini memperuntukkan penubuhan sebuah kerajaan persekutuan.

Kerajaan Persekutuan AS yang terbentuk daripada 13 buah negeri yang pernah menjadi koloni British. Menjelang abad ke-19, Persekutuan AS telah mempunyai 50 buah negeri yang mempunyai penduduk berbilang kaum serta hidup dalam perpaduan yang utuh.

Pentadbiran kerajaan persekutuan terbahagi kepada 3 badan utama iaitu badan Eksekutif, badan perundangan dan badan Kehakiman. Pusat pemerintahan kerajaan persekutuan AS terletak di Washington dan diketuai oleh Presiden


CIRI-CIRI KERAJAAN PERSEKUTUAN

Wujud Pembahagian Kuasa Yang Jelas

Sistem pentadbiran Persekutuan Amerika Syarikat menekankan pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan negeri. Setiap peringkat pentadbiran diberi kebebasan untuk menguruskan pentadbiran mengikut kuasa yang diperuntukkan. Kerajaan pusat berkuasa dalam perkara yang penting seperti pertahanan, percukaian, mata wang, dan dasar luar negara. Kerajaan negeri berkuasa dalam menguruskan hal ehwal tempatan  di negeri masing-masing.

Mengamalkan Pemerintahan Demokrasi

Perlembagaan Persekutuan Amerika Syarikat 1789 menetapkan pembentukan kerajaan persekutuan menerusi amalan demokrasi. Pemilihan presiden dan anggota kongres dilakukan menerusi sistem  pilihanraya. Wakil-wakil dari Parti Federalis dan Parti Republikan bertanding untuk memilih Presiden. Pilihanraya untuk memilih presiden dan anggota kongres pernah diadakan pada tahun 1796 dan 1800. Amalan demokrasi yang dilaksanakan memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang bakal mentadbir negara. Amalan demokrasi juga membolehkan pemindahan kuasa dilakukan secara aman.

Mempunyai Badan Eksekutif

Badan eksekutif diketuai oleh Presiden yang dipilih melalui pilihanraya. Presiden    Amerika Syarikat dipilih untuk tempoh 4 tahun dan selepas tamat tempoh boleh dilantik semula untuk penggal kedua selama empat tahun. Segala urusan pentadbiran negara Amerika dipusatkan kepada Presiden dan ini bermakna Presiden memegang kuasa yang begitu tinggi dan unggul. Tempat Presiden akan diambil alih oleh Timbalan Presiden jika Presiden meninggal dunia atau meletak jawatan sehingga cukup tempoh untuk diadakan pilihanraya semula.

Kuasa seorang Presiden cukup besar termasuklah menjadi ketua turus angkatan tentera Amerika Syarikat, merunding perjanjian, menerima duta asing, mencalonkan pegawai tinggi persekutuan termasuklah hakim persekutuan, mempunyai kuasa pembatal undang-undang, mentadbir undang-undang persekutuan, memberi pengampunan dan mentadbir kongres.

Semua undang-undang yang diluluskan oleh Kongres (terdiri drp Dewan Senat dan Dewan Perwakilan) mesti ditandatangani oleh Presiden. Namun begitu, Presiden boleh menolak daripada menandatangani sesuatu undang-undang.

Keistimewaan presiden ialah boleh membatalkan undang-undang dengan kuasa veto dan boleh mengawasi kongres melalui dua pertiga undi Kongres. Kuasa Presiden juga kadang kala mengatasi kuasa Kongres apabila berupaya mengisytiharkan peperangan terhadap negara luar, sedangkan tugas ini berada di bawah Kongres. Namum, Presiden juga boleh dipecat melalui sokongan 2/3 dewan jika terlibat dalam rasuah, pengkhianatan atau jenayah besar.

Wujudnya Badan Perundangan

Badan perundangan Amerika Syarikat dikenali sebagai Kongres dan ahlinya     turut dipilih melalui pilihan raya oleh rakyat.
Ahli Kongres terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Senat. Tiap-tiap negeri akan memilih dua ahli bagi Dewan Senat manakala ahli Dewan Rakyat dipilih mengikut jumlah penduduknya.

Berperanan utama Kongres ialah menggubal undang-undang. Keistimewaan Kongres dapat mengatasi kuasa veto Presiden. Berlaku check and balance iaitu kuasa mengawasi kuasa yang lain. Setiap negeri akan memilih dua ahli Dewan Senat dan memilih ahli Dewan Rakyat mengikut jumlah penduduknya.

Dewan Rakyat (Perwakilan) mempunyai ahli empat lebih ramai daripada Dewan Senat. Ahli Dewan Rakyat berjumlah 435 orang dan setiap ahli akan mewakili 30, 000 orang rakyat bagi tiap-tiap dua tahun. Anggota dewan berhak membawa usul ke Kongres, berkuasa menggubal undang-undang biasa, meminda perlembagaan dan memberi kebenaran kepada sebuah negeri baharu yang mahu menyertai persekutuan. Dewan ini juga turut berkuasa menentukan Presiden jika timbul kekurangan majoriti undi calon Presiden dalam pilihanraya.

Dewan Senat pula mempunyai keahlian seramai 100 orang iaitu dua orang akan mewakili setiap negeri. Mereka ini dipanggil Senator. Ahli Dewan Senat yang dipilih mesti berumur 30 tahun serta bermastautin di kawasan yang diwakili dan menjadi warganegara sekurang-kurangnya 9 tahun. Mereka akan berkhidmat sebagai ahli dewan selama 6 tahun. Dewan Senat diketuai oleh Timbalan Presiden Amerika.

Dewan Senat mempunyai kuasa pemutus undang-undang kewangan dan berupaya untuk menolak atau menerima rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Dewan ini juga berperanan dalam pemilihan Presiden.

Wujudnya Badan Kehakiman

Badan Kehakiman Amerika Syarikat terdiri daripada Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Negeri. Badan ini merupakan badan yang bebas dan tidak menerima campur tangan politik sama ada daripada Presiden atau ahli-ahli kongres.

Bukti kebebasan dan ketelusan badan ini ialah jika Presiden dan ahli kongres melanggar perlembagaan, mahkamah boleh mengambil tindakan terhadap beliau dan ahli kongres.

Mahkamah Negeri mempunyai kuasa kehakiman bagi semua kes yang melibatkan undang-undang  negeri kecuali terdapat percanggahan antara undang-undang negeri dengan persekutuan. Mahkamah Negeri berfungsi untuk menghakimi perkara yang bersangkutan dengan penetapan hak-hak di bawah perlembagaan negeri.

Badan Kehakiman Amerika mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan tindakan-tindakan kongres, keputusan Presiden, tindakan diplomasi ataupun syarat-syarat perjanjian mahupun dokumen undang-undang di sesetengah perundangan negeri sebagai melanggar perlembagaan.

Kesimpulan

Perlembagaan Persekutuan Amerika Syarikat telah menggariskan secara terperinci badan-badan yang memerintah Amerika Syarikat. Pembahagian kuasa telah memastikan pentadbiran dijalankan dengan teratur. Sistem pentadbiran kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat telah turut mempengaruhi negara-negara lain di dunia.




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.