Nuffnang Ads

Monday, 25 September 2017

HIERARKI DAN PERANAN PEMBESAR DI VIETNAM SEBELUM KEDATANGAN PERANCIS



Pembesar merupakan pegawai kerajaan yang dilantik oleh  maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dan melaksanakan tugas-tugas dalam bidang kuasa yang diberikan kepadanya sebelum kedatangan kuasa  Barat. Dari segi kedudukan, golongan pembesar berada di kedudukan kedua selepas maharaja dalam hierarki pemerintahan dan bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas pemerintahan kerana maharaja tidak berupaya untuk menanggung segala urusan pentadbiran secara sendirian. Pembesar di Vietnam mempunyai hierarki tersendiri dan peranan pembesar dapat dilihat pada peringkat pusat, daerah atau wilayah dan kampung sebelum kedatangan Perancis.
 

Hierarki Pembesar di Vietnam

Sistem pembesar di Vietnam mempunyai hierarki yang tersendiri. Hierarki bermaksud susun lapis atau pembahagian kepada beberapa peringkat atau bahagian serta bidang tugas tertentu.

Semasa pemerintahan Dinasti Nguyen, kedudukan pembesar di Vietnam lebih teratur dan mendapat taraf istimewa dalam pemerintahan dan pentadbiran.   Sistem pembesar di Vietnam dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat pusat, peringkat daerah dan peringkat kampung.

Pembesar pusat dikenali sebagai Mandarin yang merupakan golongan intelektual yang telah lulus peperiksaan awam.  Mereka akan mengetuai Quan atau kementeriaan.

Hierarki pembesar di Vietnam sebelum kedatangan Perancis dapat mewujudkan sistem  pentadbiran yang teratur dan sistematik seperti mana yang diamalkan zaman pemerintahan Maharaja Gia Long.


Pembesar Peringkat Pusat

Semasa pemerintahan Maharaja Gia Long juga golongan Mandarin merupakan pembesar di peringkat pusat yang membentuk birokrasi dan membantu maharaja dalam sistem pentadbiran. Mereka adalah golongan intelektual yang lulus dalam peperiksaan awam dan berkemahiran dalam bahasa, falsafah dan klasik Confucius.

Bertanggungjawab melaksanakan tugas yang diamanahkan untuk memastikan jawatannya dikekalkan. Jika gagal melaksanakan tugas, raja mempunyai kuasa untuk meluncutkan jawatannya dan digantikan dengan pembesar yang lain.

Oleh itu, golongan Mandarin akan mengetuai enam kementerian utama seperti perkhidmatan awam, kerja raya, kewangan, upacara, kehakiman dan peperangan. Quan yang penting ialah Quan Perkhidmatan Awam yang bertaraf tinggi.

Quan juga menganggotai badan tertinggi kerajaan yang dikenali sebagai Majlis Tertinggi atau Noi-Coc  yang dipengerusikan oleh Maharaja serta enam orang Menteri Kanan. Maljis ini berfungsi memberi pandangan kepada maharaja dalam semua hal berkaitan pemerintahan dan pentadbiran. Kebergantungan maharaja kepada pembesar atau golongan Mandarin dipantau dengan penubuhan Badan Penapis atau Do Sat Vien.

Badan ini menyediakan pegawai-pegawai yang tinggal di ibu negeri untuk melawat wilayah, memerhati kelakuan pegawai tauliah tetap dan mengenalpasti pegawai yang melanggar arahan maharaja dan bertindak mengeluarkan memorandum kepada istana akibat kelakuan pegawai terbabit.


Pembesar Peringkat Daerah  atau Wilayah

Pembesar pada peringkat kedua ialah pembesar daerah.   Mereka mentadbir daerah tertentu dan mempunyai kuasa di daerahnya. Bagaimanapun kuasa pembesar daerah adalah terhad mengikut peranan dan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada maharaja di pusat dan mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada sokongan maharaja. Hal ini kerana kedudukan mereka akan terjejas jika hilang sokongan maharaja.

Pembesar peringkat ini juga mempunyai tanggungjawab besar kepada pengikutnya. Keperluan pengikut membantu pembesar daerah melaksanakan tugas yang diarahkan oleh maharaja. Bilangan pengikut yang ramai melambangkan kedudukan, status, kekayaan serta kejayaan mengekploitasi sumber ekonomi. Perlantikan mereka adalah bergantung kepada pemilihan raja yang memerintah.

Antara tugas pembesar ialah mengutip cukai, mengurus soal kehakiman.,merekrut dan melatih anggota tentera dan menjalankan upacara keagamaan dan adat istiadat serta bertanggungjawab dalam soal keselamatan.


Pembesar Peringkat kampung

Pembesar yang paling bawah adalah pembesar peringkat kampung, komun atau xuan. Pembesar peringkat ini terdiri daripada Majlis Orang Tua yang bijak dan berpengalaman. Mereka akan mengendalikan urusan pentadbiran kampung dan berperanan dalam bidang kehakiman sebagai ketua hakim dan pentafsir undang-undang.

Antara tugas pembesar komun ialah menjalankan perintah dan arahan istana, mendamaikan perselisihan yang wujud secara rundingan atau tolak ansur dan mengutip cukai.

Pembesar peringkat kampung juga menjalankan tugas seperti menyelia projek awam, membahagikan tanah dan air untuk pertanian, membahagikan tanah kepada petani dan menentukan individu yang akan terlibat dalam memenuhi kerahan kerajaan


KESIMPULAN

Kesimpulannya sistem pembesar di Vietnam telah dipengaruhi oleh sistem sosial di China dari segi kedudukan Maharaja dan pembesar. Golongn pembesar di Vietnam menjalankan tugas dan mentadbir negara bagi pihak maharaja. Bagaimanapun kehadiran kuasa Perancis telah mengubah kedudukan dan peranan pembesar di negara Vietnam



Thursday, 21 September 2017

PEMBANGUNAN EKONOMI MYANMAR OLEH BRITISH PADA ABAD KE-19 HINGGA ABAD KE-20



British telah berjaya menguasai seluruh Myanmar mulai tahun 1886 setelah Myanmar mengalami kekalahan dalam Perang British-Myanmar 3. British telah mentadbir Myanmar mengikut corak pentadbiran Barat. Di bawah pentadbiran British inilah, British mula melaksanakan pembaharuan-pembaharuan ekonomi di Myanmar pada abad ke-20. Sektor-sektor ekonomi yang menjadi tumpuan British untuk dimajukan ialah pembalakan, perlombongan dan pertanian komersial


SEKTOR-SEKTOR YANG DIBANGUNKAN OLEH BRITISH


1.      Pembalakan

Pembalakan menjadi tumpuan utama British kerana Myanmar mempunyai hasil kayu jati yang berkualiti. Kayu jati merupakan eksport kedua terpenting di Myanmar. Pegu merupakan kawasan pembalakan utama di Myanmar.

Pada tahun 1856, Jabatan Perhutanan telah ditubuhkan di Myanmar. Jabatan ini bertanggungjawab untuk memastikan aktiviti pembalakan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan, mengawal aktiviti pembalakan secara haram dan  melebihi had serta mengawal aktiviti pembalakan di luar kawasan yang dibenarkan.

Terdapat empat buah syarikat yang menjalankan kegiatan pembalakan di Myanmar. Syarikat Perdagangan Bombay-Burma merupakan syarikat pembalakan yang terbesar.


2.      Pelombongan

Dalam sektor perlombongan di Myanmar, British telah memberi tumpuan kepada sektor perlombongan petroleum dan bijih timah disamping galian lain.

Perlombongan petroleum di Myanmar telah bermula pada tahun 1886 apabila Syarikat Minyak Burma (Burma Oil Campany) telah ditubuhkan untuk menjalankan kerja mencari gali minyak serta melombong petroleum di Myanmar. Pusat pengeluaran minyak yang terpenting terdapat di Yenangyaung dan Chauk di Irrawaddy Tengah. Menjelang awal abad ke-20, Myanmar telah mengeluarkan minyak petroleum secara besar-besaran pada tahun 1908. Syarikat Minyak Burma merupakan syarikat pengeluran petroleum terbesar iaitu sebanyak 75% daripada pengeluaran minyak di Myanmar.  Sementara itu, bakinya sebanyak 25% dikeluarkan oleh Syarikat Petrol British-Burma dan Syarikat Minyak Nath Singh.

Perlombongan bijih timah turut mendapat perhatian British untuk dimajukan. Kawasan perlombongan bijih timah di Myanmar banyak dilombong di Mawchi, Tavoy, dan  Tennaserim. Pada tahun 1910, Myanmar  telah berjaya mengeluarkan bijih timah sebanyak 100 000 tan. Ini telah menjadikan negara Myanmar pengeluar bijih timah yang ke-4 terbesar di Asia Tenggara sebelum Perang Dunia Kedua.

Manakala sektor perlombongan galian-galian lain telah diusahakan di Myanmar ialah timah hitam yang terdapat di kawasan Badwin dan Namtu. Selain daripada itu, perlombongan zink, perak, tungsten, batu delima dan nilam juga telah diusahakan di Mogok, Utara Mandalay.


3.      Pertanian Komersil

Pada zaman British, ekonomi sara diri telah berkembang menjadi ekonomi perdagangan yang berdasarkan prinsip-prinsip ekonomi Barat.

Pengeluaran beras secara besar-besaran telah membolehkan Myanmar menjadi pengeluar beras yang utama di Asia Tenggara. British juga menggalakkan orang Myanmar membuka tanah baharu dengan meneroka hutan dikawasan delta untuk penanaman padi bagi meningkatkan pengeluaran padi Myanmar. Oleh itu, pada tahun 1881 kira-kira 4 juta ekar tanah telah ditanam dengan padi di Myanmar.

Rangoon merupakan pelabuhan  utama yang mengendalikan eksport beras di Myanmar. Pada tahun 1881, eksport beras Myanmar berjumlah 0.5 juta tan dan kemudian meningkat kepada 1.4 juta tan pada tahun 1901 dan terus meningkat kepada 2.5 juta tan pada tahun 1921.


KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, perkembangan ekonomi yang pesat dalam sektor pembalakan, perlombongan dan pertanian hantar dapat dinikmati oleh penjajah dan pemodal asing sahaja kerana kebanyakan ekonomi komersil dikuasai oleh orang-orang asing. Rakyat Myanmar masih lagi hidup miskin ekoran pengamalan ekonomi sara diri serta mereka tidak berupaya untuk bersaing dengan pedagang-pedagang asing terutama dari segi modal dan teknologi. Keadaan ini telah membawa kepada perasaan tidak puas hati rakyat Myanmar. 



Wednesday, 20 September 2017

PERANAN SAREKAT ISLAM DALAM PERKEMBANGAN NASIONALISME DI INDONESIA PADA ABAD KE-20


Kebangkitan golongan agama dalam menentang penjajahan bukanlah satu fenomena yang unik di Asia Tenggara. Semasa awal penjajahan Belanda di Indonesia, golongan ini sudah mula memainkan peranan rnereka untuk mempertahankan kesucian agama mereka dari diancam oleh agama Kristian yang disebarkan oleh pihak penjajah. Peranan mereka semakin menonjol apabila bermulanya kesedaran kebangsaan di kalangan penduduk pribumi di Indonesia yang dijajah oleh Belanda. Sarekat Islam telah ditubuhkan pada tahun 1912 di Pulau Jawa, dipimpin oleh Omar Said Tjokroaminoto, Agus Salim dan Abdul Muis. Tujuan perjuangan Sarekat Islam adalah untuk tujuan politik, ekonomi dan sosial.


Peranan Sarekat Islam

Kemunculan Sarekat Islam pada tahun 1912 di bawah pimpinan Omar Said Tjakroaminoto menandakan bermulanya gerakan politik massa untuk menuntut kemerdekaan dari pihak penjajah.

Sarekat Islam mendapat sokongan kuat dari golongan Santri dan golongan reformis Islam yang terpengaruh dengan gerakan pembaharuan Islam di Timur Tengah. Golongan ini menganggap Islam dapat menjadi alat bagi memperbaiki nasib bangsa Indonesia dan juga menjadi landasan kepada perjuangan menegakkan sebuah negara yang merdeka. Pegangan ini membolehkan Islam muncul sebagai lambang kepada penyatuan bangsa Indonesia dalam menentang orang-orang asing dan penjajahan Belanda.

Pada pemulaannya, Sarekat Islam memperjuang prinsip pemerintahan sendiri melalui cara-cara perlembagaan. Tetapi pada tahun 1919, Sarekat Islam mula membuat tuntutan untuk mencapai kemerdekaan penuh bagi Indonesia (dengan menggunakan kekerasan sekiranya perlu).

Kelantangan Sarekat Islam dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membela nasib penduduk pribumi telah menarik sokongan yang ramai. Keahliannya bertambah dari 36.000 pada tahun l9l6 kepada lebih 2.5 iuta orang pada tahun I919. Cawangan-cawangan Sarekat Islam ditubuhkan di hampir semua kawasan di Indonesia. Sehingga awal tahun 1920-an, Sarekat Islam muncul sebagai satu kuasa politik yang dominan di Indonesia. Golongan reformis Islam menguasai kepimpinan pusat Sarekat lslam telah menerapkan  prinsip-prinsip perjuangan yang berlandaskan al-Quran dalam program-program parti itu.

Perkembangan pesat Sarekat Islam telah menarik sokongan bukan sahaja dari kalangan yang berminat dengan perjuangan Islam, tetapi telah berlaku penyusupan golongan kiri,  khususnya komunis ke dalam cawangan-cawangannya. Golongan komunis mahu menguasai Sarekat Islam yang ketika itu muncul sebagai organisasi politik massa yang besar dan berpengaruh. Mereka menggunakan Sarekat lslam melancarkan siri permogokan dan pemberontakan di Jawa dan juga di Sumatera.

Selain golongan kiri itu, terdapat juga sebilangan golongan sekular yang turut sama berjuang dalam Sarekat Islam. Manakala di kalangan golongan agama pula, berlaku perpecahan di antara golongan reformis dan golongan ortodoks. Munculnya pelbagai golongan dengan pelbagai aliran perjuangan telah menyebabkan Sarekat Islam mengalami pergolakan dan akhirnya melemahkan organisasi politik masa itu.


Berikutan dengan pergeseran ideologi di kalangan pemimpin Sarekat Islam yang berlaku secara berterusan, maka pada tahun 1921 Sarekat Islam berpecah kepada 2 iaitu Sarekat Islam Puteh dan Sarekat Islam Merah. Golongan komunis telah keluar dari Sarekat Islam dan menubuhkan Parti Komunis Indonesia pada tahun 1921. Sarekat Islam telah melarang ahli-ahlinya menyertai parti politik yang lain. Berikutan dengan itu, ramai ahli yang condong kepada komunis keluar Sarekat lslam.

Pada tahun 1923, pemimpin utama Sarekat Islam, Agus Salim membersihkan Sarekat Islam dari pengaruh komunis dan mengukuhkan perjuangan Sarekat Islam berlandaskan kepada prinsip memperjuangkan kemerdekaan Indonesia dengan berlandaskan perlembagaan yang berasaskan Undang-undang Islam.

Setelah berjaya menyingkirkan pengaruh golongan komunis dan juga golongan sekular yang lain, Sarekat Islam mengalami krisis antara golongan refomis dan ortodoks. Ini menyebabkan ramai ahli dan pemimpin Sarekat Islam yang keluar parti dan menyertai Persatuan Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama. Kedua-dua persatuan ini tidak begitu cenderung kepada perjuangan politik. Sebaliknya memberikan tumpuan kepada perjuangan meningkatkan kedudukan sosial masyarakat Islam di Indonesia.


Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, mulai pertengahan tahun 1920-an. peranan dan pengaruh politik Sarekat Islam merosot. Ini menyebabkan kedudukan golongan agama dalam gerakan kebangsaan di Indonesia juga semakin terpinggir, terutamanya apabila tertubuhnya Parti Nasional Indonesia pada tahun I927. Parti yang dipimpin oleh Soekarno ini berjaya rnenarik ramai penyokong. Perjuangannya yang bersifat sekular telah dapat menarik sokongan dari pelbagai golongan masyarakat. Setelah tertubuhnya parti ini, kepimpinan dalam gerakan kebangsaan Indonesia mula dikuasai sepenuhnya oleh golongan sekular.



Tuesday, 19 September 2017

RAJA THIBAW: PENGLIBATANNYA DI BURMA DARI TAHUN 1878 - 1885 SEHINGGA KEJATUHAN BURMA



Raja Thibaw  memerintah dari tahun 1878 hingga 1885  merupakan raja terakhir Dinasti Konbaung dalam sejarah Burma. Pemerintahan baginda berakhir apabila Burma dikalahkan oleh tentera British dalam Perang British-Burma III pada 29 November 1885. Baginda ialah anak Raja Mindon dengan Puteri Laungshe. Sejak kecil, baginda mendalami ilmu ajaran agama Buddha. Baginda lulus peperiksaan Pahtamabyan, satu peperiksaan agama Buddha yang sangat tinggi. Raja Thibaw seorang yang lemah dan kurang agresif serta dipengaruhi oleh permaisuri Supayalat dalam pentadbirannya. Raja Thibaw dianggap penyebab kepada kejatuhan kerajaan Burma kepada British dan berakhirnya pemertintahan beraja di Burma. Antara peranan  Raja Thibaw di Burma  dapat dilihat melalui dasar dalam negeri, hubungan dengan Perancis dan hubungan dengan British.


Peranan Raja Thibaw di Burma

Dasar dalam negeri

Raja Thibaw sangat dikuasai oleh Permasuri Supayalat dan Taingda Mingyi (hamba kesayangan Permaisuri Supayalat) sehingga Hluttaw, sebuah badan yang berpengaruh dalam sistem pemerintahan pusat merasa terancam lalu terpaksa mengikut sahaja dasar Raja Thibaw dan permaisurinya.

Raja Thibaw mengamalkan pemerintahan yang keras, menekan, dan menindas berbanding dengan pemerintahan ayahandanya yang bertolak ansur dengan istana, rakyat dan kuasa asing.   Sikap Raja Thibaw menyebabkan saudagar-saudagar British merasa tidak berpuas hati lalu mendesak kerajaan British di India supaya menguasai Burma Hulu.

Pada zaman pemerintahan Raja Thibaw, pembendaharaan Burma Hulu mengalami masalah kekurangan sumber pendapatan.   Sebagai menyelesaikan masalah tersebut, Raja Thibaw meningkatkan cukai terhadap rakyat.

Dari segi pentadbiran, Raja Thibaw menambahkan jumlah jabatan dalam Hluttaw daripada empat menjadi empat belas.  Satu unit pentadbiran baharu daerah iaitu, Khayaing dibentuk mengikut model pentadbiran British di India.  Tujuannya adalah untuk memusatkan pentadbiran di istana Burma Hulu.  Burma Hulu dibahagikan kepada sepuluh daerah di bawah Menteri Daerah.

Raja Thibaw memperkenalkan jawatan Myo-ok mengikut sistem pentadbiran yang diamalkan oleh British di Burma Hilir.

Raja Thibaw tunduk kepada permintaan isterinya yang memaksa baginda melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap 80 orang ahli keluarganya atas alasan mereka akan membangkitkan rampasan kuasa.  Malah isterinya juga memberi Taingda Mingyi memegang jawatan penting dalam kerajaan Burma.

Dasar-dasar dalam negeri Thibaw sangat lemah dan boleh menggugat kedaulatan Burma sehingga membawa kejatuhan system pemerintahan beraja di Burma pada tahun 1886.


Hubungan dengan Perancis

Kemaraan kuasa British di Burma telah mencetuskan gerakan mempertahankan kemaraan dan perjuangan menentang  British. Dalam Perang Inggeris-Burma I dan Perang Inggeris-Burma II, banyak wilayah penting Burma dapat dikuasai oleh British.

Berikutan itu, sebelum tercetusnya Perang Inggeris-Burma III, Raja Thibaw telah mengisytiharkan kepada rakyat bahawa baginda akan menghalau British bersama angkatan tenteranya.

Dalam usaha baginda untuk menyekat kemaraan British, baginda berusaha mendapatkan bantuan Perancis untuk menentang British.   Baginda mengamalkan dasar berbaik-baik dengan kuasa Perancis untuk menangani ancaman dan kemaraan British.

Baginda memahami bahawa British tidak senang dengan kehadiran Perancis di Annam dan Tongking. Sehubungan dengan itu, pada tahun 1883, Raja Thibaw bertindak dengan menghantar wakilnya, Atwinwun ke Paris untuk membuat perjanjian yang ditandatangani pada 1 Januari 1885.   Sebenarnya, Raja Thibaw ingin membeli senjata dari Perancis.

British mendapat tahu tentang usaha Raja Thibaw tersebut. Duta British telah menemui dengan wakil Perancis, Jules Ferry dan menyatakan British akan menggunakan kekerasan ke atas  Burma sekiranya pihak Perancis masih lagi terlibat dalam perkara senjata ini.

Perancis melalui wakilnya, Fredric Haas pernah menasihati Raja Thibaw supaya mengeratkan hubungan dengan dengan British. Namun begitu, Raja Thibaw tetap tegas dengan pendiriannya tidak mahu menerima semula Residen British.

Raja Thibaw berpendapat bahawa baginda boleh menangani kekuasaan British dengan bantuan Perancis. Oleh itu, baginda telah memberi banyak keistimewaan kepada Perancis.

Konsul Perancis telah dilantik untuk membina sebuah pejabat konsul di Mandalay. Selain itu, syarikat Perancis juga dibenarkan membuka bank, membina landasan kereta api serta mengendalikan beberapa perkhidmatan seperti pos, kapal-kapal di Sungai Irrwady dan mengambil alih monopoli diraja.

Hubungan Burma dengan Perancis merupakan laluan bagi British untuk bertindak dan seterusnya menguasai Burma.


Hubungan dengan British
                  
Tindakan Raja Thibaw yang menjalinkan kerjasama dengan Perancis menyebabkan hubungan antara Raja Thibaw dengan British menjadi semakin renggang.

Raja Thibaw juga mendakwa Syarikat Perdagangan Bombay-Burma mengeluarkan kayu jati melebihi peruntukan yang diberikan selain menjalankan operasi di luar kawasan yang telah ditetapkan. Syarikat ini juga didakwa memberi rasuah kepada Pegawai Burma dan tidak membayar gaji kepada pekerja-pekerja Burma seperti yang ditetapkan.

Syarikat milik British ini dibicarakan dan didapati bersalah sehingga didenda sebanyak 23 juta rupee dan hak pembalakan mereka dirampas. Tindakan ini mendapat bantahan daripada British dan pihak British mendesak Raja Thibaw mengadakan rundingan tetapi tidak dilayan oleh baginda. Desakan British seterusnya ialah memberi arahan kepada Raja Thibaw mencari orang tengah bagi menyelesaikan isu Syarikat Perdagangan Bombay-Burma dan mahu dasar luar Burma ditentukan oleh pihak British.

Semasa menunggu jawapan lebih kurang sebulan, pihak British menghantar 10 ribu orang tentera sebagai amaran kepada Raja Thibaw. Raja Thibaw bersetuju membatalkan denda sekiranya ada rayuan, menerima wakil British dan dasar luar ditentukan oleh Burma, semua kuasa Barat akan diberikan hak perdagangan yang sama dan Raja Thibaw mahu meneruskan hubungan dengan Perancis dan kuasa-kuasa Barat lain.

British tidak berpuas hati dan menyerang Burma pada bulan November 1885. Angkatan tentera British berjaya menguasai        Hulu Burma yang dikenali sebagai Perang Inggeris-Burma III.   Kejayaan ini menyebabkan Burma menjadi tanah jajahan British sepenuhnya.  


KESIMPULAN

Kesimpulannya Raja Thibaw gagal  memainkan peranan untuk mengekalkan kedaulatan negaranya. Raja Thibaw juga menghadapi masalah dalam negeri. Permaisurinya Supalayat terbukti seorang yang kejam dan Raja Thibaw terpaksa tunduk kepadanya. Beliau juga terpaksa menghadapi beberapa penentangan untuk menggulingkannya. Tidak dinafikan bahawa Raja Thibaw berusaha mempertahankan kedaulatan Burma Hulu. Demi menebus maruah negara, beliau menjalin hubungan dengan Perancis. Namun, beliau gagal memelihara kedaulatan Burma Hulu sehingga berakhirnya Dinasti Konbaung. Raja Thibaw dan keluarganya dibuang negeri ke India dan baginda mangkat di sana pada tahun 1916.



PENGLIBATAN MALAYSIA DALAM PERTUBUHAN KOMANWEL



Pertubuhan Komanwel merupakan satu persatuan secara sukarela yang melibatkan negara-negara berdaulat yang pernah menjadi tanah jajahan British, manakala mana-mana negara yang masih dijajah menjadi ahli bersekutu. Komanwel telah ditubuhkan pada tahun 1931 dan mempunyai 54 buah negara anggota yang terdiri daripada negara maju dan negara membangun. Matlamat penubuhannya adalah untuk membina semangat setia kawan di kalangan negara anggota serta mewujudkan kerjasama dalam semua bidang. Malaysia telah menjadi anggota Komanwel selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Penglibatan Malaysia dalam Komanwel adalah demi menjamin keharmonian dan membangunkan ekonomi negara.
 

Penglibatan Malaysia dalam Komanwel

Perjanjian Pertahanan Anglo-Malaya (AMDA)

Malaysia mempunyai hubungan yang rapat dengan Komanwel, terutama dengan negara bekas penjajah iaitu British kerana Malaysia masih bergantung kepada kuasa Barat itu dari segi pertahanan. Oleh itu, Perjanjian Pertahanan antara Malaysia dengan Britain, Australia, dan New Zealand telah ditanda tangani pada tahun 1957 kemudian diperbaharui pada tahun 1971  yang dikenali sebagai Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa.

Tindakan Malaysia menanda tangani Perjanjian AMDA didorong oleh kedudukan pertahanan negara yang tidak kuat. Malaysia ketika itu hanya mempunyai satu pasukan Rejimen Melayu Diraja dan tidak mempunyai angkatan tentera laut dan udara. Sebarang ancaman dan serangan dari luar tidak mungkin mampu dihadapi oleh Malaysia secara bersendirian.

Perjanjian ini menjanjikan bantuan daripada mereka sekiranya Malaysia diserang oleh mana-mana pihak terutama semasa Malaysia berkonfrontasi dengan Indonesia dari tahun 1963-1966. Semasa darurat, Malaysia mendapat bantuan tentera daripada negara Komanwel seperti Fiji dan Nepal untuk memerangi kegiatan pengganas komunis.

Penglibatan dalam Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM)

Malaysia sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam penglibatan sebagai anggota Komanwel terutama menjelang akhir tahun 1980-an. Mesyuarat CHOGM diadakan dua tahun  sekali bagi membincangkan isu-isu semasa antarabangsa yang berkaitan dengan negara-negara anggota. Pada bulan Oktober 1989, Malaysia telah dipilih menjadi tuan rumah Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang diadakan di Kuala Lumpur.

Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia membangkitkan isu pemeliharaan alam sekitar dan membawa kepada Deklarasi Langkawi yang mendorong negara anggota yang miskin turut memberi perhatian kepada isu alam sekitar ketika negara anggota sibuk membangunkan ekonomi negara masing-masing.

Kemampuan Malaysia dalam mengendalikan persidangan CHOGM di Kuala Lumpur telah mendapat pujian daripada negara-negara Komanwel. Kejayaan itu menandakan satu lagi sumbangan negara dalam arena politik antarabangsa.

Menentang dasar Apartheid

Malaysia juga dengan lantang bersuara menentang dasar Apartheid di Afrika Selatan yang menyalahgunakan hak asasi manusia. Dasar Apartheid merupakan dasar yang membezakan hak dan kedudukan kaum mengikut warna kulit. Mengikut dasar ini, orang kulit putih di Afrika Selatan dianggap sebagai golongan istimewa manakala orang kulit hitam dianggap golongan bawahan yang tidak mempunyai sebarang hak asas dari segi politik.

Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama diberi kebebasan sepenuhnya untuk mengamalkan budaya hidup dan agama masing-masing. Amalan konsep perpaduan dan sikap komited terhadap hak asasi manusia menyebabkan Malaysia menentang keras dasar Apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan.

Malaysia turut menyokong sekatan ekonomi terhadap Afrika Selatan, ketika dasar ini dilaksanakan oleh orang kulit putih. Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Afrika Selatan sehinggalah dasar itu dihapuskan. Bantahan negara Komanwel terhadap dasar ini, akhirnya Afrika Selatan disingkirkan daripada pertubuhan Komanwel.

Kerjasama ekonomi

Peringkat awal kemerdekaan Malaysia, negara sangat bergantung kepada Britain dalam bidang ekonomi. Malaysia mengharapkan permintaan dari Britain dalam mengeksport dua komoditi utamanya iaitu bijih timah dan getah. Pelabur Britain masih menguasai peratus yang besar dalam ekonomi Malaysia terutama dalam bidang perladangan dan perindustrian.

Begitu juga dari segi perdagangan, eksport Malaysia ke negara-negara Komanwel dikenakan cukai yang rendah. Pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, hubungan Malaysia dengan Komanwel menjadi renggang akibat dasar perdagangan yang memihak kepada negara maju. Beliau mengambil tindakan dasar ekonomi “Buy British Last”.

Rancangan Colombo

Rancangan Colombo ditubuhkan atas usaha negara-negara Komanwel untuk memerangi kemiskinan dan wabak penyakit serta bantuan kewangan dan kemahiran teknik kepada negara-negara yang memerlukan. Malaysia mendapat manfaat seperti bantuan kepakaran, teknikal dan biasiswa dalam bidang pendidikan.

Melalui rancangan ini pelajar Malaysia mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke Britain, Australia dan New Zealand. Selain itu, Malaysia mendapat bantuan bagi pembinaan Lebuh Raya Timur Barat serta pembinaan jalan raya dan jambatan di Sabah dan Sarawak.

Sukan Komanwel

Sukan Komanwel adalah acara pelbagai jenis sukan yang berlangsung setiap empat tahun sekali yang melibatkan atlet dari negara anggota. Malaysia telah berjaya menjadi tuan rumah dan menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan stadium utama yang dijadikan tempat berlangsungnya acara pembukaan dan penutupan rasmi. Stadium tersebut boleh menempatkan sehingga 100,000 penonton dan mempunyai trek balapan.


Kesimpulan

Banyak faedah yang diperolehi Malaysia dalam Komanwel. Malaysia dapat menyuarakan pendapat secara terbuka dalam membincangkan isu-isu antarabangsa. Sumbangan Malaysia amat banyak dalam keanggotaan Komanwel.




Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.