Nuffnang Ads

Monday, 25 September 2017

HIERARKI DAN PERANAN PEMBESAR DI VIETNAM SEBELUM KEDATANGAN PERANCIS



Pembesar merupakan pegawai kerajaan yang dilantik oleh  maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dan melaksanakan tugas-tugas dalam bidang kuasa yang diberikan kepadanya sebelum kedatangan kuasa  Barat. Dari segi kedudukan, golongan pembesar berada di kedudukan kedua selepas maharaja dalam hierarki pemerintahan dan bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas pemerintahan kerana maharaja tidak berupaya untuk menanggung segala urusan pentadbiran secara sendirian. Pembesar di Vietnam mempunyai hierarki tersendiri dan peranan pembesar dapat dilihat pada peringkat pusat, daerah atau wilayah dan kampung sebelum kedatangan Perancis.
 

Hierarki Pembesar di Vietnam

Sistem pembesar di Vietnam mempunyai hierarki yang tersendiri. Hierarki bermaksud susun lapis atau pembahagian kepada beberapa peringkat atau bahagian serta bidang tugas tertentu.

Semasa pemerintahan Dinasti Nguyen, kedudukan pembesar di Vietnam lebih teratur dan mendapat taraf istimewa dalam pemerintahan dan pentadbiran.   Sistem pembesar di Vietnam dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat pusat, peringkat daerah dan peringkat kampung.

Pembesar pusat dikenali sebagai Mandarin yang merupakan golongan intelektual yang telah lulus peperiksaan awam.  Mereka akan mengetuai Quan atau kementeriaan.

Hierarki pembesar di Vietnam sebelum kedatangan Perancis dapat mewujudkan sistem  pentadbiran yang teratur dan sistematik seperti mana yang diamalkan zaman pemerintahan Maharaja Gia Long.


Pembesar Peringkat Pusat

Semasa pemerintahan Maharaja Gia Long juga golongan Mandarin merupakan pembesar di peringkat pusat yang membentuk birokrasi dan membantu maharaja dalam sistem pentadbiran. Mereka adalah golongan intelektual yang lulus dalam peperiksaan awam dan berkemahiran dalam bahasa, falsafah dan klasik Confucius.

Bertanggungjawab melaksanakan tugas yang diamanahkan untuk memastikan jawatannya dikekalkan. Jika gagal melaksanakan tugas, raja mempunyai kuasa untuk meluncutkan jawatannya dan digantikan dengan pembesar yang lain.

Oleh itu, golongan Mandarin akan mengetuai enam kementerian utama seperti perkhidmatan awam, kerja raya, kewangan, upacara, kehakiman dan peperangan. Quan yang penting ialah Quan Perkhidmatan Awam yang bertaraf tinggi.

Quan juga menganggotai badan tertinggi kerajaan yang dikenali sebagai Majlis Tertinggi atau Noi-Coc  yang dipengerusikan oleh Maharaja serta enam orang Menteri Kanan. Maljis ini berfungsi memberi pandangan kepada maharaja dalam semua hal berkaitan pemerintahan dan pentadbiran. Kebergantungan maharaja kepada pembesar atau golongan Mandarin dipantau dengan penubuhan Badan Penapis atau Do Sat Vien.

Badan ini menyediakan pegawai-pegawai yang tinggal di ibu negeri untuk melawat wilayah, memerhati kelakuan pegawai tauliah tetap dan mengenalpasti pegawai yang melanggar arahan maharaja dan bertindak mengeluarkan memorandum kepada istana akibat kelakuan pegawai terbabit.


Pembesar Peringkat Daerah  atau Wilayah

Pembesar pada peringkat kedua ialah pembesar daerah.   Mereka mentadbir daerah tertentu dan mempunyai kuasa di daerahnya. Bagaimanapun kuasa pembesar daerah adalah terhad mengikut peranan dan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada maharaja di pusat dan mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada sokongan maharaja. Hal ini kerana kedudukan mereka akan terjejas jika hilang sokongan maharaja.

Pembesar peringkat ini juga mempunyai tanggungjawab besar kepada pengikutnya. Keperluan pengikut membantu pembesar daerah melaksanakan tugas yang diarahkan oleh maharaja. Bilangan pengikut yang ramai melambangkan kedudukan, status, kekayaan serta kejayaan mengekploitasi sumber ekonomi. Perlantikan mereka adalah bergantung kepada pemilihan raja yang memerintah.

Antara tugas pembesar ialah mengutip cukai, mengurus soal kehakiman.,merekrut dan melatih anggota tentera dan menjalankan upacara keagamaan dan adat istiadat serta bertanggungjawab dalam soal keselamatan.


Pembesar Peringkat kampung

Pembesar yang paling bawah adalah pembesar peringkat kampung, komun atau xuan. Pembesar peringkat ini terdiri daripada Majlis Orang Tua yang bijak dan berpengalaman. Mereka akan mengendalikan urusan pentadbiran kampung dan berperanan dalam bidang kehakiman sebagai ketua hakim dan pentafsir undang-undang.

Antara tugas pembesar komun ialah menjalankan perintah dan arahan istana, mendamaikan perselisihan yang wujud secara rundingan atau tolak ansur dan mengutip cukai.

Pembesar peringkat kampung juga menjalankan tugas seperti menyelia projek awam, membahagikan tanah dan air untuk pertanian, membahagikan tanah kepada petani dan menentukan individu yang akan terlibat dalam memenuhi kerahan kerajaan


KESIMPULAN

Kesimpulannya sistem pembesar di Vietnam telah dipengaruhi oleh sistem sosial di China dari segi kedudukan Maharaja dan pembesar. Golongn pembesar di Vietnam menjalankan tugas dan mentadbir negara bagi pihak maharaja. Bagaimanapun kehadiran kuasa Perancis telah mengubah kedudukan dan peranan pembesar di negara Vietnam



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.