Nuffnang Ads

Tuesday, 19 September 2017

PENGLIBATAN MALAYSIA DALAM PERTUBUHAN KOMANWEL



Pertubuhan Komanwel merupakan satu persatuan secara sukarela yang melibatkan negara-negara berdaulat yang pernah menjadi tanah jajahan British, manakala mana-mana negara yang masih dijajah menjadi ahli bersekutu. Komanwel telah ditubuhkan pada tahun 1931 dan mempunyai 54 buah negara anggota yang terdiri daripada negara maju dan negara membangun. Matlamat penubuhannya adalah untuk membina semangat setia kawan di kalangan negara anggota serta mewujudkan kerjasama dalam semua bidang. Malaysia telah menjadi anggota Komanwel selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Penglibatan Malaysia dalam Komanwel adalah demi menjamin keharmonian dan membangunkan ekonomi negara.
 

Penglibatan Malaysia dalam Komanwel

Perjanjian Pertahanan Anglo-Malaya (AMDA)

Malaysia mempunyai hubungan yang rapat dengan Komanwel, terutama dengan negara bekas penjajah iaitu British kerana Malaysia masih bergantung kepada kuasa Barat itu dari segi pertahanan. Oleh itu, Perjanjian Pertahanan antara Malaysia dengan Britain, Australia, dan New Zealand telah ditanda tangani pada tahun 1957 kemudian diperbaharui pada tahun 1971  yang dikenali sebagai Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa.

Tindakan Malaysia menanda tangani Perjanjian AMDA didorong oleh kedudukan pertahanan negara yang tidak kuat. Malaysia ketika itu hanya mempunyai satu pasukan Rejimen Melayu Diraja dan tidak mempunyai angkatan tentera laut dan udara. Sebarang ancaman dan serangan dari luar tidak mungkin mampu dihadapi oleh Malaysia secara bersendirian.

Perjanjian ini menjanjikan bantuan daripada mereka sekiranya Malaysia diserang oleh mana-mana pihak terutama semasa Malaysia berkonfrontasi dengan Indonesia dari tahun 1963-1966. Semasa darurat, Malaysia mendapat bantuan tentera daripada negara Komanwel seperti Fiji dan Nepal untuk memerangi kegiatan pengganas komunis.

Penglibatan dalam Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM)

Malaysia sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam penglibatan sebagai anggota Komanwel terutama menjelang akhir tahun 1980-an. Mesyuarat CHOGM diadakan dua tahun  sekali bagi membincangkan isu-isu semasa antarabangsa yang berkaitan dengan negara-negara anggota. Pada bulan Oktober 1989, Malaysia telah dipilih menjadi tuan rumah Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang diadakan di Kuala Lumpur.

Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia membangkitkan isu pemeliharaan alam sekitar dan membawa kepada Deklarasi Langkawi yang mendorong negara anggota yang miskin turut memberi perhatian kepada isu alam sekitar ketika negara anggota sibuk membangunkan ekonomi negara masing-masing.

Kemampuan Malaysia dalam mengendalikan persidangan CHOGM di Kuala Lumpur telah mendapat pujian daripada negara-negara Komanwel. Kejayaan itu menandakan satu lagi sumbangan negara dalam arena politik antarabangsa.

Menentang dasar Apartheid

Malaysia juga dengan lantang bersuara menentang dasar Apartheid di Afrika Selatan yang menyalahgunakan hak asasi manusia. Dasar Apartheid merupakan dasar yang membezakan hak dan kedudukan kaum mengikut warna kulit. Mengikut dasar ini, orang kulit putih di Afrika Selatan dianggap sebagai golongan istimewa manakala orang kulit hitam dianggap golongan bawahan yang tidak mempunyai sebarang hak asas dari segi politik.

Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama diberi kebebasan sepenuhnya untuk mengamalkan budaya hidup dan agama masing-masing. Amalan konsep perpaduan dan sikap komited terhadap hak asasi manusia menyebabkan Malaysia menentang keras dasar Apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan.

Malaysia turut menyokong sekatan ekonomi terhadap Afrika Selatan, ketika dasar ini dilaksanakan oleh orang kulit putih. Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Afrika Selatan sehinggalah dasar itu dihapuskan. Bantahan negara Komanwel terhadap dasar ini, akhirnya Afrika Selatan disingkirkan daripada pertubuhan Komanwel.

Kerjasama ekonomi

Peringkat awal kemerdekaan Malaysia, negara sangat bergantung kepada Britain dalam bidang ekonomi. Malaysia mengharapkan permintaan dari Britain dalam mengeksport dua komoditi utamanya iaitu bijih timah dan getah. Pelabur Britain masih menguasai peratus yang besar dalam ekonomi Malaysia terutama dalam bidang perladangan dan perindustrian.

Begitu juga dari segi perdagangan, eksport Malaysia ke negara-negara Komanwel dikenakan cukai yang rendah. Pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, hubungan Malaysia dengan Komanwel menjadi renggang akibat dasar perdagangan yang memihak kepada negara maju. Beliau mengambil tindakan dasar ekonomi “Buy British Last”.

Rancangan Colombo

Rancangan Colombo ditubuhkan atas usaha negara-negara Komanwel untuk memerangi kemiskinan dan wabak penyakit serta bantuan kewangan dan kemahiran teknik kepada negara-negara yang memerlukan. Malaysia mendapat manfaat seperti bantuan kepakaran, teknikal dan biasiswa dalam bidang pendidikan.

Melalui rancangan ini pelajar Malaysia mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke Britain, Australia dan New Zealand. Selain itu, Malaysia mendapat bantuan bagi pembinaan Lebuh Raya Timur Barat serta pembinaan jalan raya dan jambatan di Sabah dan Sarawak.

Sukan Komanwel

Sukan Komanwel adalah acara pelbagai jenis sukan yang berlangsung setiap empat tahun sekali yang melibatkan atlet dari negara anggota. Malaysia telah berjaya menjadi tuan rumah dan menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan stadium utama yang dijadikan tempat berlangsungnya acara pembukaan dan penutupan rasmi. Stadium tersebut boleh menempatkan sehingga 100,000 penonton dan mempunyai trek balapan.


Kesimpulan

Banyak faedah yang diperolehi Malaysia dalam Komanwel. Malaysia dapat menyuarakan pendapat secara terbuka dalam membincangkan isu-isu antarabangsa. Sumbangan Malaysia amat banyak dalam keanggotaan Komanwel.




No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.