Nuffnang Ads

Tuesday, 19 September 2017

RAJA THIBAW: PENGLIBATANNYA DI BURMA DARI TAHUN 1878 - 1885 SEHINGGA KEJATUHAN BURMA



Raja Thibaw  memerintah dari tahun 1878 hingga 1885  merupakan raja terakhir Dinasti Konbaung dalam sejarah Burma. Pemerintahan baginda berakhir apabila Burma dikalahkan oleh tentera British dalam Perang British-Burma III pada 29 November 1885. Baginda ialah anak Raja Mindon dengan Puteri Laungshe. Sejak kecil, baginda mendalami ilmu ajaran agama Buddha. Baginda lulus peperiksaan Pahtamabyan, satu peperiksaan agama Buddha yang sangat tinggi. Raja Thibaw seorang yang lemah dan kurang agresif serta dipengaruhi oleh permaisuri Supayalat dalam pentadbirannya. Raja Thibaw dianggap penyebab kepada kejatuhan kerajaan Burma kepada British dan berakhirnya pemertintahan beraja di Burma. Antara peranan  Raja Thibaw di Burma  dapat dilihat melalui dasar dalam negeri, hubungan dengan Perancis dan hubungan dengan British.


Peranan Raja Thibaw di Burma

Dasar dalam negeri

Raja Thibaw sangat dikuasai oleh Permasuri Supayalat dan Taingda Mingyi (hamba kesayangan Permaisuri Supayalat) sehingga Hluttaw, sebuah badan yang berpengaruh dalam sistem pemerintahan pusat merasa terancam lalu terpaksa mengikut sahaja dasar Raja Thibaw dan permaisurinya.

Raja Thibaw mengamalkan pemerintahan yang keras, menekan, dan menindas berbanding dengan pemerintahan ayahandanya yang bertolak ansur dengan istana, rakyat dan kuasa asing.   Sikap Raja Thibaw menyebabkan saudagar-saudagar British merasa tidak berpuas hati lalu mendesak kerajaan British di India supaya menguasai Burma Hulu.

Pada zaman pemerintahan Raja Thibaw, pembendaharaan Burma Hulu mengalami masalah kekurangan sumber pendapatan.   Sebagai menyelesaikan masalah tersebut, Raja Thibaw meningkatkan cukai terhadap rakyat.

Dari segi pentadbiran, Raja Thibaw menambahkan jumlah jabatan dalam Hluttaw daripada empat menjadi empat belas.  Satu unit pentadbiran baharu daerah iaitu, Khayaing dibentuk mengikut model pentadbiran British di India.  Tujuannya adalah untuk memusatkan pentadbiran di istana Burma Hulu.  Burma Hulu dibahagikan kepada sepuluh daerah di bawah Menteri Daerah.

Raja Thibaw memperkenalkan jawatan Myo-ok mengikut sistem pentadbiran yang diamalkan oleh British di Burma Hilir.

Raja Thibaw tunduk kepada permintaan isterinya yang memaksa baginda melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap 80 orang ahli keluarganya atas alasan mereka akan membangkitkan rampasan kuasa.  Malah isterinya juga memberi Taingda Mingyi memegang jawatan penting dalam kerajaan Burma.

Dasar-dasar dalam negeri Thibaw sangat lemah dan boleh menggugat kedaulatan Burma sehingga membawa kejatuhan system pemerintahan beraja di Burma pada tahun 1886.


Hubungan dengan Perancis

Kemaraan kuasa British di Burma telah mencetuskan gerakan mempertahankan kemaraan dan perjuangan menentang  British. Dalam Perang Inggeris-Burma I dan Perang Inggeris-Burma II, banyak wilayah penting Burma dapat dikuasai oleh British.

Berikutan itu, sebelum tercetusnya Perang Inggeris-Burma III, Raja Thibaw telah mengisytiharkan kepada rakyat bahawa baginda akan menghalau British bersama angkatan tenteranya.

Dalam usaha baginda untuk menyekat kemaraan British, baginda berusaha mendapatkan bantuan Perancis untuk menentang British.   Baginda mengamalkan dasar berbaik-baik dengan kuasa Perancis untuk menangani ancaman dan kemaraan British.

Baginda memahami bahawa British tidak senang dengan kehadiran Perancis di Annam dan Tongking. Sehubungan dengan itu, pada tahun 1883, Raja Thibaw bertindak dengan menghantar wakilnya, Atwinwun ke Paris untuk membuat perjanjian yang ditandatangani pada 1 Januari 1885.   Sebenarnya, Raja Thibaw ingin membeli senjata dari Perancis.

British mendapat tahu tentang usaha Raja Thibaw tersebut. Duta British telah menemui dengan wakil Perancis, Jules Ferry dan menyatakan British akan menggunakan kekerasan ke atas  Burma sekiranya pihak Perancis masih lagi terlibat dalam perkara senjata ini.

Perancis melalui wakilnya, Fredric Haas pernah menasihati Raja Thibaw supaya mengeratkan hubungan dengan dengan British. Namun begitu, Raja Thibaw tetap tegas dengan pendiriannya tidak mahu menerima semula Residen British.

Raja Thibaw berpendapat bahawa baginda boleh menangani kekuasaan British dengan bantuan Perancis. Oleh itu, baginda telah memberi banyak keistimewaan kepada Perancis.

Konsul Perancis telah dilantik untuk membina sebuah pejabat konsul di Mandalay. Selain itu, syarikat Perancis juga dibenarkan membuka bank, membina landasan kereta api serta mengendalikan beberapa perkhidmatan seperti pos, kapal-kapal di Sungai Irrwady dan mengambil alih monopoli diraja.

Hubungan Burma dengan Perancis merupakan laluan bagi British untuk bertindak dan seterusnya menguasai Burma.


Hubungan dengan British
                  
Tindakan Raja Thibaw yang menjalinkan kerjasama dengan Perancis menyebabkan hubungan antara Raja Thibaw dengan British menjadi semakin renggang.

Raja Thibaw juga mendakwa Syarikat Perdagangan Bombay-Burma mengeluarkan kayu jati melebihi peruntukan yang diberikan selain menjalankan operasi di luar kawasan yang telah ditetapkan. Syarikat ini juga didakwa memberi rasuah kepada Pegawai Burma dan tidak membayar gaji kepada pekerja-pekerja Burma seperti yang ditetapkan.

Syarikat milik British ini dibicarakan dan didapati bersalah sehingga didenda sebanyak 23 juta rupee dan hak pembalakan mereka dirampas. Tindakan ini mendapat bantahan daripada British dan pihak British mendesak Raja Thibaw mengadakan rundingan tetapi tidak dilayan oleh baginda. Desakan British seterusnya ialah memberi arahan kepada Raja Thibaw mencari orang tengah bagi menyelesaikan isu Syarikat Perdagangan Bombay-Burma dan mahu dasar luar Burma ditentukan oleh pihak British.

Semasa menunggu jawapan lebih kurang sebulan, pihak British menghantar 10 ribu orang tentera sebagai amaran kepada Raja Thibaw. Raja Thibaw bersetuju membatalkan denda sekiranya ada rayuan, menerima wakil British dan dasar luar ditentukan oleh Burma, semua kuasa Barat akan diberikan hak perdagangan yang sama dan Raja Thibaw mahu meneruskan hubungan dengan Perancis dan kuasa-kuasa Barat lain.

British tidak berpuas hati dan menyerang Burma pada bulan November 1885. Angkatan tentera British berjaya menguasai        Hulu Burma yang dikenali sebagai Perang Inggeris-Burma III.   Kejayaan ini menyebabkan Burma menjadi tanah jajahan British sepenuhnya.  


KESIMPULAN

Kesimpulannya Raja Thibaw gagal  memainkan peranan untuk mengekalkan kedaulatan negaranya. Raja Thibaw juga menghadapi masalah dalam negeri. Permaisurinya Supalayat terbukti seorang yang kejam dan Raja Thibaw terpaksa tunduk kepadanya. Beliau juga terpaksa menghadapi beberapa penentangan untuk menggulingkannya. Tidak dinafikan bahawa Raja Thibaw berusaha mempertahankan kedaulatan Burma Hulu. Demi menebus maruah negara, beliau menjalin hubungan dengan Perancis. Namun, beliau gagal memelihara kedaulatan Burma Hulu sehingga berakhirnya Dinasti Konbaung. Raja Thibaw dan keluarganya dibuang negeri ke India dan baginda mangkat di sana pada tahun 1916.



No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan comment anda"

Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.