Nuffnang Ads

Sunday, 19 August 2018

DASAR PEMERINTAHAN BERAJA MUTLAK DI PERANCIS


Raja Louis XIV (1643-1715) adalah merupakan anak kepada Raja Louis XIII dan cucu kepada Raja Henry IV di Perancis. Baginda dilahirkan pada tahun 1638 dan telah menaiki takhta pada 13 Mei 1643 sehingga 1 September 1715. Raja Louis XIV yang dikenali sebagai 'Grand Monarch' (Louis Yang Agung)memerintah Perancis selama 72 tahun. Semasa pemerintahannya, wujud keamanan dan kemakmuran dalam negara.

Beliau mengukuhkan kedudukan dengan memperkenalkan sistem pentadbiran pusat yang kukuh dan teratur. Selain itu, beliau terlibat secara langsung dalam pelantikan pegawai-pegawai kerajaan. Raja Louis XIV berjaya mengawal pegawai-pegawai kerajaan dengan bantuan menteri-menteri.

Beliau mendapat sokongan padu daripada golongan bangsawan, Huguenot, dan institusi-institusi kerajaan. Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan Raja Louis XIV sebagai pemerintah monarki mutlak di Perancis.

Terdapat beberapa langkah yang diambil oleh Raja Louis XIV untuk mengukuhkan pemerintahannya, antaranya ialah pembaharuan dalam dasar dalam negara, dasar ekonomi merkantilisme, dasar ketenteraan, dasar agama dan dasar luar negara.


PEMBAHARUAN-PEMBAHARUAN OLEH LOUIS XIV


Dasar Dalam Negara

Louis XIV menyusun semula pentadbiran pusat negara kepada empat majlis utama seperti Majlis Negara (mengurus hal ehwal luar Negara), Majlis Despatches (mengurus hal ehwal tempatan), Majlis Kewangan (menguruskan masalah percukaian, tarif, perbelanjaan dan pendapatan) dan Majlis Privy (menguruskan pentadbiran keadilan).

Louis XIV juga telah melantik menteri-menteri yang berkebolehan untuk membantunya mentadbir, antaranya ialah Jean-Baptiste Colbert (Menteri Kewangan), Le Teller Menteri Hal Ehwal Luar), Louvois (Menteri Peperangan), dan Vauban (Menteri Ketenteraan).

Louis XIV juga menggunakan intendent, iaitu pegawai yang bertanggungjawab bagi melaksanakan dasar-dasar diraja di pelbagai provinsi Perancis. Intendent ditugaskan untuk menyelia pentadbiran, keadilan, pengutipan cukai, dan pentadbiran ketenteraan di peringkat daerah.

Louis XIV percaya sebagai pemerintah mutlak bagi seluruh Eropah, beliau harus hidup bergaya. Beliau mendirikan istana besar yang mempunyai reka bentuk menarik dan indah di Versailles dan di beberapa buah tempat lain. Raja menetap di Versailles yang dikelilingi oleh istana yang besar.

Golongan bangsawan Perancis bergantung hidup kepada pencen daripada raja atau kepada kerja-kerja yang memberikan gaji yang tinggi. Oleh itu, golongan bangsawan Perancis menghabiskan hidup mereka di istana Versailles untuk mendapat sokongan dan wang pencen.


Perkhidmatan awam terdiri daripada pegawai-pegawai yang berkebolehan. Kejayaan Louis juga dibantu oleh Menteri Kewangannya yang berkebolehan, iaitu Jean Baptiste Colbert (1619-1683). Melalui dasar-dasar Colbert, Perancis menjadi negara industri dan kuasa militer.

Zaman Louis XIV juga zaman keemasan bagi kesusasteraan Perancis. Antara tokoh seni yang terkenal ialah Racine dan Moliere.


Dasar Ekonomi Merkantilisme

Louis juga melaksanakan dasar ekonomi merkantilisme untuk memastikan negaranya muncul sebagai negara yang kuat dan agung. Menteri Kewangan, Colbert melaksanakan dasar merkantilisme dengan bersungguh-sungguh. Colbert juga mempunyai rancangan-rancangan yang meluas untuk mengukuhkan Perancis melalui perdagangan dan perniagaan. Usaha yang bersungguh-sungguh dalam membangunkan ekonomi merkantilisme ini sehingga beliau dipanggil Colbertisme di Perancis.

Colbert memulakan industri baharu, menggalakkan pengilang-pengilang dan pereka-pereka, memansuhkan tarif tempatan; tol, mengurangkan kadar bunga ke atas hutang kerajaan, mengawal upah, dan harga kebanyakan barangan. Colbert juga membuat penambahbaikan kepada tentera laut, perkapalan perdagangan, lebuh raya dan laluan air. Walaupun dasar Colbert telah meningkatkan pendapatan kerajaan, namun perbelanjaan untuk perang bertambah dengan pesat.


Ketenteraan

Louis mendapatkan bantuan Louvois, Menteri Perang untuk melakukan reformasi ketenteraan. Raja sekarang mempunyai kawalan penuh ke atas angkatan tentera. Louis menghapuskan dominasi golongan bangsawan ke atas bidang ketenteraan dan memulakan kawalan langsung ke atas ketenteraan.

Pelantikan pegawai-pegawai tentera dilakukan berasaskan merit. Kerajaan bertanggungjawab dalam merekrut tentera, menyediakan perumahan, dan bekalan makanan untuk mereka. Louis XIV menyediakan sepasukan bala tentera yang terdiri daripada 4000 tentera. Tentera Perancis muncul sebagai tentera yang terkuat di Eropah ketika itu.


Dasar Agama

Louis bertindak untuk memaksa golongan bukan Katolik untuk menerima agama Katolik, iaitu golongan Huguenot (gelaran yang diberikan kepada sebilangan rakyat Perancis yang memeluk agama Proteston). Pada akhir abad ke-18, mereka dipanggil Proteston Perancis atau Calvinis. Edict of Nantes yang ditandatangani pada tahun 1598 oleh Raja Henry VI yang memberi kebebasan kepada Huguenot untuk menganut agama pilihan mereka dan mempunyai peluang yang sama untuk memegang jawatan dalam kerajaan. Ia menandakan berakhirnya peperangan agama yang menimpa Perancis pada separuh kedua abad ke-16.

Di zaman Raja Louis XIV, Edict of Nantes ditafsirkan secara sempit untuk menafikan kebebasan kepada Huguenot. Oleh itu pada Oktober 1685, Louis XIV membatalkan Edict of Nantes. Tindakan Louis mendapat sokongan daripada rakyat tempatan.

Walaupun perang agama sudah tidak ada, penganiayaan terhadap Proteston telah berlaku. Semua menteri Protestan telah diberikan dua minggu untuk meninggalkan negara ini kecuali mereka memeluk agama Katolik dan semua Protestan lain dilarang meninggalkan negara. Tindakan Louis menyebabkan seramai 400 000 Huguenot meninggalkan Perancis dan berpindah ke England, Prusia, Holand, Switzerland, Afrika Selatan dan Benua Amerika Utara.

Pembatalan Edict of Nantes ini telah menjatuh reputasi Louis XIV di luar negeri dan menjadikan negara-negara yang mengamalkan Protestan bersempadan dengan Perancis telah memusuhi Louis XIV.


Dasar Luar Negara

Dasar luar negara Louis XIV adalah untuk meluaskan wilayah. Semasa pemerintahan Louis XIV, wilayah kekuasaan meluas ke Sungai Rhine dengan Perancis menguasai wilayah-wilayah yang diperintah oleh putera-putera Jerman, negara Spanish Netherlands (Belgium Moden) dan United Province (kerajaan Belanda hari ini).
 


Wednesday, 2 May 2018

SUMBANGAN IBN MAJID DALAM BIDANG PELAYARAN

Pendahuluan

Ibn Majid atau nama sebenarnya Shihab al-Din bin Majid al-Najdi. Dilahirkan di Julphar (Oman). Beliau merupakan seorang ahli pelayaran Arab yang terkemuka pada abad ke-9 H/15 M. Beliau adalah daripada keturunan ahli pelayaran dan digelar “Singa Laut” kerana kemahirannya belayar di Lautan Hindi. Beliau telah menghasilkan 25 buah kitab sama ada berbentuk prosa atau pun puisi yang merangkumi bidang pelayaran, perjalanan bintang, angin, ombak dan lain-lain yang menggambarkan penguasaannya dalam bidang pelayaran dan geografi.


Sumbangan Ibn Majid

1.  Menghasilkan penulisan kitab-kitab pengembaraan yang memberi sumbangan dalam bidang pelayaran.

Kitab al-Fawaid fi Usul ‘Ilm al-Bahar wa al-Qawaid (mengenai kaedah-kaedah dan faedah-faedah ilmu laut). Hasil karya dalam bentuk prosa yang dibahagikan kepada 12 buah bab. Kandungan kitab ini mengenai permulaan pelayaran, jarum magnet, bulan, bintang, kompas, laluan Lautan Hindi, 10 buah pulau yang paling terkenal termasuklah Pulau Jawa, Sumatera dan Ceylon, monsun yang sesuai bagi 8 pelayaran dengan tarikh mengikut perkiraan bangsa Parsi dan tentang Lautan Merah. Tujuan beliau menghasilkan karya yang pertama ini disebabkan hasratnya ingin memperbaiki dan memperbetulkan kesilapan catatan-catatan yang telah dilakukan oleh pelayar-pelayar sebelumya.

Menghasilkan kitab Hawiyat al Ikhtisar fi Usul ‘Ilm al-Bihar. Kita ini dihasilkan pada tahun 866 H. Kandungan buku ini mengenai ilmu tarikh (falak), ilmu bahasa dan ilmu bintang. Juga berkaitan dengan laut di pantai Laut Arab, Hijaz, Syam dan Afrika. Beliau juga menjelaskan laluan di Teluk Parsi, Lautan Hindi, Laut China, pantai, pelabuhan, garis lintang dan ilmu astronomi (falak).

Menghasilkan kitab al-Urjuzah al-Mu’arrabah pada tahun 890 H membicarakan pelayaran di Teluk Aden secara terperinci. Karya ini telah berjaya menarik perhatian bukan sahaja khalayak pembaca malahan juga dapat memberikan tarikan yang tersendiri kepada penjelajah-penjelajah lain.
Menghasilkan karya Qadimah Makkiyah yang merupakan sebuah karya yang memberi huraian lengkap tentang laluan di Laut Merah dari Jeddah ke Tanjung Fartak (Selatan Semenanjung Tanah Arab), Calicut, Daibul, Kokan, Gujerat dan Hormuz.

Karya Aribah al-Dara’ib dan Urjuzah al-Maimiyah pula pula merupakan huraian yang lengkap mengenai penggunaan bintang sebagai panduan dalam pelayaran. Beliau juga telah menghasilkan karya mengenai bintang-bintang di kutub utara berjudul Urjuzah al-Maimiyah.


2.    Jurupandu

Beliau telah memandu Vasco da Gama yang belayar dari Malindi iaitu pantai timur Afrika hingga ke Calicut (Kerala). Sumbangan Ibn Majid ini diikhtiraf oleh Portugis sehingga beliau digelar Malemo Canaqua.


3.    Mengatasi masalah pelayaran

Beliau menyelesaikan kekeliruan yang dialami oleh pelawat tentang nama-nama laut.
Beliau memberi gambaran yang jelas tentang laluan dari Teluk Parsi ke Laut China Selatan dan laluan melalui Laut Hindi.

Malahan beliau juga memberi panduan kepada pelayar untuk menggunakan peralatan pelayaran seperti kompas.


4.    Meninggalkan legasi dalam bidang pelayaran

Sumbangannya dalam bidang pelayaran telah dimanfaatkan oleh pelayar Eropah seperti Vasco Da Gama.

Beliau juga telah menghasilkan lakaran peta laluan laut antara Eropah dengan India yang telah digunakan oleh pelayar Eropah.

Sejarawan Eropah pula beranggapan bahawa Ibn Majid telah berjasa kepada dunia pelayaran Eropah. Buktinya, ada pandangan sejarawan yang mengatakan misi pelayaran Vasco Da Gama tidak menjadi realiti tanpa ilmu pelayaran yang dirintis oleh Ibn Majid.


5.    Menghasilkan Ensiklopedia Ilmu Pelayaran

Melalui ensiklopedia ini, Ibn Majid telah mengemukakan prinsip-prinsip asas pelayaran, rumah agam lunar, perbezaan pelayaran antara pantai dan laut lepas, lokasi bandar-bandar di Afrika Timur hingga Indonesia, kedudukan bintang, kisah mengenai monsun dan angin bermusim.


Kesimpulan

Sumbangan Ibn Majid dalam bidang pelayaran dan geografi telah merangsang pelayaran tokoh-tokoh Islam lain dan memberi maklumat serta gambaran kepada masyarakat sejagat.

Jelas bahawa Ibn Majid merupakan tokoh pelayaran Islam yang berjaya mengembangkan atau merintis ilmu pelayaran moden dan ilmu pelayaran ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Barat untuk menjelajah dan neneroka dunia Timur. 



PERLAKSANAAN SISTEM PERCUKAIAN DI ZAMAN KERAJAAN BANI ABBASIYAH

Pendahuluan

Pada zaman Khalifah Abbasiyah, wujud dua buah diwan (jabatan) utama iaitu Diwan al-Jund (Jabatan ketenteraan) dan Diwan al- Kharaj (Jabatan Percukaian). Selain itu, wujud juga pelbagai diwan lain seperti Diwan al-Rasa’il, al-Khatam, al-Barid, al-Azimmah, as-Sawafi, al-Sirrdan lain-lain.

Setiap diwan diketuai seorang pegawai tadbir yang bertanggung jawab menjalankan urusan tertentu mengikut keperluan negara.

Pelaksanaan cukai pada zaman kerajaan Abbasiyah meliputi sumber utama iaitu kharaj, jizyah dan usyur. Kharaj merupakan cukai yang dikenakan oleh pemerintah Islam terhadap pemilik tanah yang ditakluki oleh tentera Islam. Jizyah adalah cukai perlindungan yang dikenakan terhadap golongan bukan Islam (zimmi) sebagai balasan kepada jaminan perlindungan daripada negara Islam ke atas nyawa, harta dan amalan agama mereka. Usyur merupakan cukai perniagaan yang dikenakan kepada semua peniaga Islam dan bukan Islam apabila mereka menjalankan perniagaan dalam negara Islam.

Pelaksanaan sistem percukaian zaman Khalifah Abbasiyah adalah dengan

1.    Penubuhan Diwan al-Kharaj

Diwan al-Kharaj merupakan Jabatan Percukaian Negara yang mengendalikan semua perkara yang berkaitan dengan pentadbiran cukai tanah yang mengeluarkan hasil pertanian.

Jabatan ini diketuai oleh seorang pegawai yang berkuasa melantik wakil-wakil pemungut cukai dan menentukan jumlah cukai mengikut keadaan dan kawasan tertentu. Pegawai ini juga bertanggung jawab memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan pelaksanaan kutipan cukai berkenaan.

Penubuhan jabatan ini bertepatan dengan situasi semasa memandangkan sektor pertanian merupakan bidang yang diceburi oleh majoriti penduduk. Hasil pungutan kharaj yang diperolehi begitu besar dan dianggap penyumbang utama baitumal negara.
Dengan kata lain, sektor pertanian menjadi nadi jentera pentadbiran kerajaan Abbasiyah. Pada zaman khalifah al-Mahdi, beliau menubuhkan Jabatan Akauntan Negara untuk mengawal selia akaun setiap jabatan khasnya mengenai hasil pungutan dan perbelanjaannya.

Pada zaman Khalifah Harun al-Rasyid, beliau telah mengarahkan Abu Yusuf bin Yaaqub. Qadhi Besar Baghdad supaya menyusun segala peraturan mengenai pecukaian untuk dijadikan panduan dalam pentadbiran negara.

Abu Yusuf berjaya menghasilkan Kitab al-Kharaj yang menjelaskan secara terperinci berkenaan peraturan-peraturan yang berkaitan percukaian termasuk kadar-kadar yang harus dibayar oleh individu terbabit. Kitab ini dihasilkan agar para amil yang bertugas memungut cukai dapat memahami kaedah percukaian dengan cara lebih jelas dan menghindarkan unsure penindasan.

2.    Pelaksanaan Kharaj

Kadar kharaj yang dikenakan tidak sama antara kawasan.

Faktor yang menentukan kadar kharaj termasuk lokasi kawasan, kualiti tanah, penggunaan alat siraman dan kualiti benih tanaman. Lazimnya, minima 10 dirham dikenakan bagi setiap unit tanah pertanian.

Bayaran kharaj dibayar dalam bentuk mata wang dan 6 harta benda yang bernilai seperti haiwan ternakan dan hasil tanaman.

Syarat-syarat tanah yang dikenakan kharaj antaranya pemilik tanah merupakan penduduk zimmi, tanah kediaman yang dijadikan kawasan pertanian, tanah kharaj yang disewakan atau dipajak (kharaj yang dikenakan ke atas pemilik tanah bukan penyewa) dan pengecualian kharaj jika hasil pertanian musnah akibat bencana alam.

Pada zaman Khalifah al-Mahdi, beliau memperkenalkan sistem percukaian Muqasamah iaitu cukai dikenakan ke atas sebahagian daripada hasil keluaran pertanian.

Kharaj juga merupakan salah satu sumber terpenting baitumal berikutan kemajuan pesat dalam bidang pertanian dan pembangunan negara.

Pada zaman khalifah al-Makmun, cukai kharaj yang dipungut di wilayah Iraq berjumlah 27.8 juta dirham manakala di wilayah Khurasan sebanyak 28 juta dirham.

3.    Pelaksanaan Jizyah

Khalifah Abbasiyah telah mengembalikan sistem pungutan jizyah seperti mana zaman khulafa al-Rasyidin di mana kadar tahunan jizyah ialah 48 dirham ke atas golongan kaya, 24 dirham ke atas golongan pertengahan dan 12 dirham ke atas golongan miskin yang mampu menyara hidup mereka.

Pelaksanaan pungutan cukai jizyah dipantau oleh gabenor-gabenor wilayah yang diantik oleh khalifah.

Golongan yang dikecualikan jizyah termasuk orang perempuan, kanak-kanak, orang tua, fakir miskin, golongan cacat dan lemah hamba dan golongan sakit berpanjangan.

Pada zaman kerajaan Abbasiyah, tiada diskriminasi dalam pelaksanaan jizyah, berbeza dengan zaman Umayyah dimana orang Islam bukan Arab (Mawali) turut dikenakan jizyah. Situasi ini mungkin disebabkan pada zaman Abbasiyah yang menguasai pentadbiran adalah bangsa Parsi dan Turki. Hasil pungutan jizyah disimpan di bawah baitulmal.

4.    Pelaksanaan Usyur

Kadar usyur berbeza terhadap jenis pedagang dan berdasarkan nilai dagangan. Cukai 2.5% dikenakan ke atas peniaga Islam, 5.0% ke atas peniaga kafir harbi. Jumlah usyur yang dikenakan adalah 200 dirham apabila cukup kadar nisabnya.

Zaman Abbasiyah mencapai kemajuan ekonomi yang pesat dalam sektor perdagangan, perindustrian dan pertanian. Baghdad muncul antara pusat pedagangan tersibuk di dunia. Pelabuhan utama terletak di Baghdad, Basrah, Kaherah dan lain-lain.

Kapal-kapal membawa barang dagangan melebihi sejuta dirham. Antara barang dagangan utama termasuk sutera, kasturi, rempah-ratus, batu permata dan lain-lain. Oleh itu, usyur menjadi cukai penting yang dikenakan ke atas barang para pedagang.

Bermula zaman pemerintahan Khalifah al-Mahdi, kerajaan Abbasiyah telah menggenakan cukai perniagaan di pasar dan kedai-kedai di sekitar kota Baghdad dan wilayah kekuasaan Islam yang lain. Usyur digunakan untuk pembangunan negara seperti menyediakan kemudahan tempat-tempat perniagaan dan sebagainya.


Kesimpulan

Pelaksanaan sistem cukai yang sistematik dan terancang telah menyumbang kepada pembangunan dan kegemilangan kerajaan Abbasiyah. Sumber cukai yang stabil dan banyak menyebabkan kerajaan Abbasiyah mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan oleh rakyat. 



Thursday, 4 January 2018

KEGIATAN EKONOMI ZAMAN ABBASIYAH PADA ABAD KE-11 HINGGA KE-12



1.   Pertanian

Kegiatan pertanian mengalami perkembangan yg pesat kerana kedudukan ibu kota Kerajaan Abbasiyah terletak di daerah yang sangat subur iaitu diapit oleh sungai Euphrates dan Tigris. Kawasan amat sesuai untuk kegiatan pertanian. Di samping itu, kerajaan ini memberi tumpuan terhadap kegiatan pertanian dgn memberi kebebasan kpd penduduk setempat utk mengusahakan tanah pertanian mereka tanpa tekanan dan diskriminasi.

Antara tanaman yang ditanam ialah tanaman bijirin seperti gandum dan barli; tanaman buah-buahan seperti anggur, limau, kurma, epal, pisang dan tembikai; tanaman lain seperti kapas dan rami.

Wilayah Khurasan merupakan daerah pertanian yg paling makmur sehingga menjadi pendapatan cukai kerajaan yg terbesar, manakala Kota Bukhara merupakan daerah perkebunan yg subur.

Wilayah-wilyah yang banyak menyumbangkan hasil pertanian kepada kerajaan Abbasiyah ialah Mesir, Syam, Iraq, Yaman, Maqhribidan Khurasan.

Kerajaan Abbasiyah telah mengambil beberapa langkah untuk memajukan sektor pertanian seperti melebarkan sungai dan terusan untuk tujuan mengairi kawasan pertanian, membina empangan dan menggalakkan penerokaan tanah-tanah baharu untuk aktiviti pertanian.

Untuk meningkatkan hasil pengeluaran pertanian, kerajaan Abbasiyah telah melakukan usaha-usaha penyelidikan. Ini telah mendorong kemunculan ramai cendekiawan Islam yang memberi idea-idea bagi memajukan aktiviti pertanian.

Sekolah-sekolah pertanian dibuka utk menganalisis sifat-sifat tanah dan tanaman yang sesuai utk ditanam di atas jenis tanah dan iklim yg beraneka.

Ladang-ladang pertanian dan ternakan serta pasar yang dikenali sebagai suq al-baqar juga telah diwujudkan oleh kerajaan Abbasiyah.

Atas usaha kerajaan inilah telah menjadikan sektor pertanian meruapakan sumber terpenting kerajaan Abbasiyah dan para petani merupakan majoriti penduduk di sana.


2.   Perdagangan

Kegiatan perdagangan juga merupakan kegiatan ekonomi Kerajaan Abbasiyah. Kepesatan aktiviti perdagangan internasional pada zaman ini adalah kerana kedudukan ibu kotanya iaitu Baghdad yang strategik iaitu menjadi laluan perdagangan antara Timur dan Barat.

Baghdad menjadi kota dagangan terbesar di Asia setanding Iskandariah sebagai pusat perdagangan di Afrika. Buktinya, sepanjang pelabuhan beratus-ratus kapal berlabuh termasuklah kapal perang dan kapal perdagangan.

Pemerintah memainkan peranan penting bagi memajukan aktiviti perdagangan antaranya adalah dengan membina dan menyediakan kemudahan yang mencukupi di tempat-tempat tumpuan pedagang. Kawalan keselamatan juga diperketatkan lagi bagi menggelakkan berlakunya rompakan.

Antara pelabuhan terkenal pada masa itu ialah Baghdad, Basrah, Siraf, Amman, Kaherah dan Iskandariah.

Kegiatan perdagangan telah berlaku sehingga ke negara China dengan berdagang secara kafilah dan barangan di bawa dgn kuda. Barangan dagangan – sutera dan kasturi.

Barangan dagangan yg diperdagangkan seperti rempah-ratus dan cat dari India; batu permata dan hasil perusahaan dari Turki dan Asia Tengah; madu, lilin dan barang kulit dari Scandinavia dan Rusia; gading dan hasil galian seperti emas permata dan lain dari Afrika-Timur; beras dan gandum dari Mesir; barang kaca dan buah-buahan dari Syria; kain sutera dan minyak wngi dari Parsi. Perdagangan dgn negara Barat juga turut dijalankan sehingga sampai ke Sepanyol.


3.   Perindustrian

Sektor perindustrian juga menjadi salah satu kegiatan ekonomi di bawah kerajaan Abbasiyah. Beberapa bidang industri yg terkenal pada masa itu antaranya ialah industri gelas dan tembikar; dan industri tekstil dan tenunan.

Kilang-kilang  di Baghdad, Syiraz dan Isfahan di Parsi terkenal dengan hasil produk tenunan, hamparan dan permaidani.

Terdapat juga pengeluaran pinggan mangkuk dari Mesir dan barangan kaca, tembikar serta mozek  dari Mesir, Syam, Saida dan Sur.

Barangan kulit dan senjata dikeluarkan oleh Mesir, Andalus, Maghribi. Mankala barangan perhiasan dan batu permata dikeluarkan di Yaman, Khurasan, Bahrain dan Lubnan.

Kegiatan-kegiatan ekonomi yang dijalankan telah menjadikan umat Islam menikmati taraf hidup yang tinggi. Malah pendapatan yang diperoleh oleh kerajaan menerusi cukai dsb membolehkan kemudahan prasarana seperti tali air, masjid dan sekolah disediakan secara lebih teratur.



Followers

Pencipta Jalur Gemilang

Pencipta Jalur Gemilang
Beliau adalah anak kedua daripada 10 orang adik beradik. Allahyarham merupakan seorang yang sangar kreatif dan amat meminati lukisan. Sejarah Bendera Malaysia bermula pada tahun 1947 apabila pemerintah pada masa itu mengadakan pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Allahyarham tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu untuk menonjolkan bakatnya dalam bidang seni lukisan. Beliau yang pada ketika itu berusia 29 tahun bertungkus lumus menampilkan idea kreatif dan terbaik untuk menyertai pertandingan tersebut. Allahyarham menamatkan sekolah di English Collage (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum usianya genab 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau tiada lagi, namun kami berharap rakyat seluruh negara mengenang jasa Allahyarham yang mencipta Bendera Malaysia kebanggaan kita semua.